My Calendar

Sunday 29 June 2008

Criticism

Minggu ini, boleh disifatkan sebagai Minggu Kritikan. Bertubi-tubi kritikan yang diterima dari penyelia dan juga Dr. Abbes (terutamanya) berkaitan penyelidikan yang dijalankan. Membuatkan diri ini terasa sangat risau. Entahlah, tak mampu jari ini menaip lebih panjang. Apa yang pasti, terlalu banyak kelemahan dalam diri ini. Bukakan hati untuk menerima segalanya dengan berlapang dada.

Saturday 21 June 2008

Don't Be Too Lonely


Dari kiri: Irfan, Ibrar, Shafi, Noor, Tahir, Dr. Jonathan. Amantha, Afandi, Nida.

Bersama rakan-rakan dalam kumpulan penyelidikan dan penyelia serta teman wanitanya. Mereka buat jamuan yang sememangnya sedap. Semakin hari, semakin runsing memandangkan sikap sedia adaku yang lebih suka mendengar berbanding bercakap sering menjadi bahan lawak jenaka mereka. Sesuatu perlu dilakukan, mungkin sikap INTROVET diri ini perlu diubah? Apabila dikhabarkan yang diri ini dahulunya seorang pendebat, semua orang pasti tersenyum simpul penuh makna. Moga Allah meluruskan jalan di hadapanku.

Terima kasih, kiriman sekeping kad ini sangat bermakna. Kepada pengirimnya tiada kata yang mampu diatur untuk menterjemah erti terima kasih ini.

Samalah juga dengan kesungguhan pengirim ini yang sudi poskan sehelai baju-T Giordano. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baikmu.

Antara lokasi popular di kota London. Sekadar diambil gambar dari jauh dan lihatlah betapa panjangnya pengunjung yang beratur untuk melihat koleksi patung lilin yang ada (menurut rakan yang telah pergi).

Segelas teh ais, sangat melegakan. Mungkinkah kelegaan ini berpanjangan? Begitulah dalam kehidupan kita kan. Alangkah indahnya kalau kita dapat meneguk kasih sayang Allah yang tidak bertepi dan bukan hanya ingat kepadanya untuk mencari kelegaan dalam kesusahan semata-mata. Di manakah Allah dalam sudut hati kita? Satu peringatan buat insan bernama AFANDI AHMAD

Tempohari, ada seorang rakan karib mencadangkan agar blog ini ditulis dalam Bahasa Inggeris. Namun, diri ini telah berazam untuk memastikan seberapa banyak perkongsian dibuat dalam Bahasa Ibunda. Keazaman yang membara untuk menulis dan menterjemah juga diharapkan agar dimudahkan kelak kapan tamat pengajian ini.

Friday 20 June 2008

Kejauhan, keseorangan dan kerinduan

Keseorangan, kerinduan...Inilah antara apa yang sering kali dirasakan setelah berjauhan dengan semuanya. Ternyata, di sini banyak yang dipelajari tentang erti kejauhan, keseorangan dan kerinduan. Moga latihan dan didikan yang diterima di sini menjadikan diri ini insan yang lebih merendah diri dan memahami orang lain.

Cantik sekali jam dalam British Library nie. Mengingatkan kepada konsep kreativiti dan ilusi yang menjimatkan ruang. Inilah juga dalam rutin kehidupan kita. Sering kali kita menyalahkan orang lain dan faktor lain, jarang sekali kita ingin berfikir sebijaknya. Misalnya, kalau ruang sempit kita selalu salahkan ruang yang sempit hinggakan kita tidak boleh menggantung jam dinding misalnya. Tetapi bukankan ini satu bukti betapa pentingnya mencari penyelesaian melalui kreativiti berbanding menyalahkan faktor lain?

Layanan petugas di kaunter yang sangat sopan menyebabkan diri ini terfikir. Mereka bukan Islam tetapi layanan dan konsep menghormati tetamu yang datang serta cuba memudahkan kerja orang lain sangat mengkagumkan. Mungkin ada yang menyangkal dan menganggap ini adalah kes terpencil dan sampel populasinya tidak boleh menggambarkan sikap keseluruhan masyarakat, namun tentu sekali tidak salah untuk kita menhisab kualiti diri kita berdasarkan kualiti individu lain kan?

Masyarakat negara maju gemar membaca. Benarkah?

Monday 16 June 2008

Segenggam Tabah

Nota kaki: Terima kasih buat Hafizal dan kereta barunya yang sudi berkunjung menziarahi mak dan bak serta keluarga. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikanmu.

Lama tidak disisipkan di sini, nak dikatakan terlalu sibuk mungkin juga dan Annual Progress Report telah dihantar kepada penyelia dan kini agak gementar untuk menantikan komen penyelia.

Pertemuan minggu sudah agak kurang menggembirakan. Walaupun sudah hampir enam bulan berkelana dan bekerja bersama penyelia, namun masih lagi hati ini kurang selesa dengan pencapaian yg ada. Ternyata penyelia mahukan lebih dari itu dan inilah yang agak merungsingkan fikiran.

Setiap kali mata ini ingin terlena, wajah penyelia juga yang terpacul dengan istilah "rigorous training" nya yang seringkali menyebabkan hati ini menjadi kecut. Bukan niat untuk menagih simpati di sini akan asam garam PhD kepada pembaca laman blog ini, namun sekadar meluah kerisauan yang tanpa sempadan dalam diri ini. Hanya pada Allah jualah ku pohon segenggam tabah untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

Istilah "make sure on time", "ko mesti bole buat punye" dan seribu satu macam lagi seringkali menghantui diri ini. Mampukah untuk diri kerdil ini menggalas dan membuktikan semua persoalan itu?

Aku terlalu kerdil untuk memikul itu semua. Allah jualah tempat ku sandarkan semua harapan dan semoga kerisauan ini akan surut dan hanyalah gelombang naik dan turun sepanjang PhD ini.

-- Aku yang mendambakan SEGENGGAM TABAH --

Monday 2 June 2008

1 Jun 2008


Dalam kesibukan menyediakan Transfer Report PhD Year 1, terjumpa dengan satu bahan yang mungkin boleh dikongsikan. Bagaimana untuk menangani PhD, yang nampak ringkas tapi signifikan. Dengan izin Allah panduan ini akan dijadikan panduan dalam proses untuk membaiki diri ini. Moga Allah izinkan, bukan semata untuk mendapatkan PhD, malah lebih dari itu.

Namun, bagaimana pula untuk menangani diri sendiri? Nafsu, sikap, sifat, peribadi, tabiat dan sebagainya? Apatah lagi bila angka usia mendaki tangga dan amalan kepadaNya pula sebaliknya? Tidak risaukah diri ini andai bila-bila masa kita dipanggil kepadaNya? Ya Allah ampuni daku....

Syukur pastinya kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan. Tidak banyak yang boleh ditulis apabila usia semakin meningkat ke angka 29 ini. Apa yang pasti, betapa kerdilnya diri ini dalam hubungan dan sifat kehambaan dalam diri ini. Sibuk memikirkan kemewahan dunia dan pencapaian akademik semata-mata membuatkan sewajarnya renungan yang mendalam terhadap dalaman diri ini wajar diberikan. Apabila lihat orang lain berkereta mewah, silih berganti menukar pakaian berjenema, mudahnya menukar telefon bimbit mewah dan 1001 macam lagi kelangsungan duniawi, nafsu manusiawi ini ada tikanya meruntun ingin seperti itu juga.


Aku mohon kepadaMu ya Allah, agar kau didiklah jiwa ini menjadi hambaMu yang benar-benar penuh dengan sifat kehambaan. Jangan ada rasa ingin bermewah-mewah, jangan ada rasa diri ini hebat, jangan ada rasa diri ini sudah cukup bagus, jangan ada rasa untuk melakukan laranganMu, mampukah aku tanpa kasih sayangMu?

Terima kasih kepada semua yang ada mengirimkan ucapan dan hadiah, ada masanya kita lihat perkara ini kecil, tetapi sangat signifikan bagi diri ini.
Moga bermula 1 Jun 2008 diri ini bahagia dalam kasih sayangMu, ya Allah.