My Calendar

Sunday 31 August 2008

Ramadhan 1429


wahai Tuhan jauh
sudah lelah kaki melangkah
aku hilang tanpa arah
rindu hati sinarmu
wahai Tuhan aku lemah
hina berlumur noda
hapuskanlah terangilah
jiwa di hitam jalanku
ampunkanlah aku
terimalah taubatku
sesungguhnya engkau sang Maha Pengampun Dosaya
Rabbi ijinkanlah aku kembali padaMu
meski mungkin takkan sempurna
aku sebagai hambaMu
ampunkanlah aku terimalah taubatku
sesungguhnya engkau sang Maha Pengampun Dosa
berikanlah aku kesempatan waktu
aku ingin kembali kembali...kembali dan meski tak layak
sujud padaMu
dan sungguh tak layak aku
Ya Allah, jadikanlah Ramadhan ini titik tolak menjadikan diri ini benar-benar HAMBA kepadaMu.

Thursday 28 August 2008

Pelangi...

Semalam, Allah sudah tentukan memberikan sedikit masa melalui ruang maya (Yahoo Messenger) ini untuk bersembang dengan dua insan yang dikagumi dan dihormati.
Sahabat 1 : Berpeluang kami berdiskusi soal politik tanah air, apatah lagi kini beliau sudah bergelar 'PTDEngineer'. Pencapaiannya sangat mengkagumkan dan kematangannya berhujah semakin jelas. Pengalamannya bergelar pengerusi sebuah kelab juga diyakini banyak membantunya membentuk kredibiliti hari ini. Antara rumusannya untuk dijadikan pengajaran ialah, sewajarnya diri ini dengan kapasiti yang ada (akademia) untuk membantu dalam menjayakan pembangunan Agama, Bangsa dan Negara. Mudahnya, jadikan blog ini satu wadah untuk memberikan manfaat sebaiknya.
Sahabat 2: Kami pernah kenal hanya seketika ketika di tanah air, tapi tidak berpeluang untuk berkenal rapat. Tetapi, kuasa Allah menentukan kami dapat berbual mesra dan saling memberikan sokongan walaupun bersembang secara maya. Dengan sekelumit pandangan yang ada, aku berikan sedikit bahan dan bantuan dan moga-moga ini dapat membantunya. Apa yang lebih mengesankan diri ini ialah ketabahan, kekuatan dan kematangannya dalam menghadapi ujian yang berat tika ini. Emm...bagaimanakah aku rasa diri ini susah, sedih sedangkan ada insan lain yang lebih hebat diuji? Terlalu kerdil diri ini. Apapun, doa tetap dipohon agar diri sahabat senantiasa tabah dan kuat menghadapi ujian dari Allah.
Ingatlah, indahnya pelangi yang selalunya hadir selepas kita merungut kerana sedang enak kita menikmati cahaya mentari di siang hari...kerana kita ternyata terlalu kerdil dalam menilai dan membina persepsi...masih adakah ruang untuk kita merasa diri kita hebat? Peringatan untuk insan bernama AFANDI AHMAD.
Pelangi yang indah...datang selepas hujan...

Monday 25 August 2008

Tahniah!


Kali ini, UTHM sekali lagi menjalankan acara tradisi yang bole dianggap antara acara terpenting dalam kalendar sesebuah insitusi pendidikan dan buat kali ini juga penulis tidak dapat turut serta. Jika konvokesyen ke -6 mengukir kenangan apabila pelajar seliaan PSM (Hafis) berjaya mendapat Anugerah PSM Terbaik dan sesi graduasi pelajar Ak03 yang pernah menjadi anak didik dalam BKE 2273 - Pastinya menyaksikan mereka naik ke pentas menerima segulung ijazah, nyata diri ini yang senyum dan hati membuak rasa gembira tanpa sempadan. Inilah antara kepuasan bergelar 'cikgu'.

Shaffiq (AKA Tomet) antara dalam senarai pelajar terbaik yang pernah kuajar (BEE2233). Kesungguhannya menyiapkan tugasanku sangat mengkagumkan. Bersama ibunya, sangat memberikan motivasi.

Sebilangan yang lain! Mereka selayaknya tersenyum lebar!

Untuk konvokesyen 2008, walaupun dari kejauhan ini kegembiraan juga atas kejayaan pelajar-pelajar AE04 (Kelas BEE 2233), CE05 (BEE2233) dan sebilangan pelajar Ak01/Ak02 yang graduasi untuk program Sarjana Pendidikan. Apa yang pasti, saat graduasi ini kegembiraan dikongsi bersama ibu dan ayah, keluarga serta teman-teman. Apapun, selalulah kita sama-sama mengingatkan diri agar setiap bibit kejayaan yang kita rangkul terlalu banyak pengorbanan yang terpaksa kita bayar sebelum ini. Justeru, adalah sangat tidak wajar untuk kita merasakan diri kita hebat sehingga mengabaikan pengorbanan insan-insan di sekeliling kita.

"Terima kasih ibu dan ayah, terima kasih keluarga, terima kasih pensyarah-pensyarah, terima kasih staf-staf dan terima kasih UTHM"... itulah antara ungkapan yang sering diselitkan dalam ucapan balas graduan.
Moga dengan lebih berjaya, sarjana muda dan sarjana akan menzahirkan rasa rendah diri kita. Semakin banyak yang kita cari, seharusnya semakin kita rendah diri dan benar-benar menggambarkan diri kita seorang Sarjana Muda, Sarjana dan pastinya Doktor Falsafah.

Sunday 24 August 2008

Apabila Kita Diuji

Hampir dua minggu blog ini tidak dikemas kini. Dalam tempoh itu juga, banyak masa dihabiskan di bilik sahaja dan "melayan" suhu badan yang tak menentu, tekak yang "berduri" dan macam-macam lagi karenah sistem biologi badan ini. Berjumpa dengan GP dua kali - dan masih dikatakan ini adalah masalah virus dan biarlah sistem imunisasi badan yang akan melawannya, ada tikanya membuatkan diri ini kurang sabar. Apatah lagi, apabila tiba malam hari dan mata sukar dilelapkan, dada terasa dihimpit-himpit dan batuk berterusan tanpa noktahnya. Benarnya, apabila kita diuji dengan kesakitan, kita baru menyedari akan enaknya erti NIKMAT KESIHATAN.

Sepanjang tempoh itu juga, kerja-kerja akademik agak kelam kabut - hanya yang mana mampu dilakukan cuba juga dilakukan sebaiknya dan dikumpul juga kekuatan untuk merungkai kekusutan bertemu dengan individu yang lebih pakar untuk mendapatkan nasihat, dan moralnya: "BERTANYALAH, DAN BERUSAHALAH SERTA JANGAN KENAL ERTI PUTUS ASA".

Dalam tempoh ini juga, banyak sekali pengajaran tentang erti KASIH KELUARGA, erti SAHABAT, erti KEMASYARAKATAN yang dipelajari. Apa yang mampu dilakukan dari jarak beribu kilometer dari keluarga hanyalah secebis doa agar semuanya berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Keluargaku...Pastinya ujian yang saban hari datang tandanya Allah sayangkan kita semua dan membuka titik pertemuan untuk kita lebih mendekatkan diri kepadaNya. Mana yang silap, wajar kita perbetulkan dan janganlah merasa malu untuk berubah kepada perkara yang baik.

Menghirup udara Brunel bukan semudah dan seindah yang disangkakan. Inilah kamus kehidupan, bermacam ragam dan sifat manusia yang dihidangkan, moga-moga diri ini akan senantiasa memetik hikmah atas setiap yang berlaku dan sehalus-halusnya menilai mana yang wajar dijadikan panduan dan mana yang harus dijadikan sempadan.

Pengajian pastinya semakin mencabar - tanpa senior, tanpa rakan-rakan sealiran penyelidikan dalam bidang yang hampir serupa di sini, banyak mengajar erti "DAYA TAHAN", "BERFIKIR UNTUK TAHU - DAN BUKAN TERPAKSA TAHU" dan pastinya doa kepada yang memegang segalaNya dipanjatkan. Supaya kekuatan dan ketabahan diri ini senantiasa tumbuh mekar.

Akhir kalam, secebis ingatan untuk diri ini agar senantiasa kuat, tabah dan memetik hikmah atas segala yang berlaku. Ingatkan, apabila diturunkan hujan pada tika hari yang panas, rupanya ada selingkar pelangi yang indah menanti. Namun, kaca mata kemanusiaan kita terlalu kerdil untuk memikirkannya. Moga diri ini, AFANDI AHMAD menjadi insan yang lebih berfikir.

Saturday 2 August 2008

Terapi (Theraphy)

Sedar atau tidak, berikut adalah terapi (theraphy) yang tercetus sejak berada di sini. Tapi, dah lama rasanya tak jejak kaki mengayuh basikal ke Car Boot Sale (selalu sangat terbangun lewat...padan muka). Bagi aku - memang syok layan Car Boot...
Dan jugak - masak, setelah menjadi rutin tugas memasak ni, banyak juga la eksperimen yang berjaya, separa berjaya dan suku berjaya (tapi semuanya masuk jek - hehe sebab tak elok membazir kan)



Hehe, ini menu masakan - setelah sekian lama tak letak gambar makanan.

Sambal Udang

Menu Orang Rajin - Ikan Bakar hehe

Santapan dan Teman Setia

Terima kasih kepada dua insan berhati luhur yang sudi mengirimkan buku ini jauh dari Malaysia. Sangat mengesankan - dicadangkan agar kalian cuba mendapatkannya.
Teman setia - komputer riba. Kalau dihitung berapa jam sehari duduk menghadap komputer? Adus!!! - Tapi tengok tu, pisang (bukan epal tau Shamsul) adalah buah-buahan utama menu makanan, rasa tetap macam kat Parit Raja, tapi dulu dapat sarapan roti canai Parit Bengkok, kini sarapan pun ... :)

Ini masakan terkini - mee goreng. Emm, dah lama jugak teringin nak masak mee goreng nie, tu yang buat malam ni sebagai "reward" lepas siap penambahbaikan kertas jurnal.


Selamat Datang Ke Greece

Syukur, berpeluang menghadiri The 12th WSEAS International Conference on Circuit pada 22 - 24 Julai 2008 di Crete Island, Greece dengan tajaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Terima kasih kepada Encik Shamsul (bos saya), FKEE dan pihak Unit Cuti Belajar UTHM yang membantu menguruskan permohonan ke pihak KPTM. Berikut beberapa foto yang sempat dirakamkan sepanjang berada di sana.

Di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Athens


Di sekitar Crete Island


Tah, tak ingat nama kubu ni apa...

Sesi pembentangan - syukur dicalonkan untuk Best Presentation/Best Paper Award - tapi keputusan belum diperolehi sehingga mesyuarat WSEAS.