My Calendar

Thursday, 31 December 2009

Membuat K.E.P.U.T.U.S.A.N!

Betul, selain dari kandungan akademik yang perlu dikerjakan dalam sesebuah PhD, kemahiran membuat K.E.P.U.T.U.S.A.N juga tidak kurang peri pentingnya. Kali ini, aku berhadapan sekali lagi dengan situasi yang benar-benar memerlukan aku membuat keputusan yang agak drastik. Kita terlalu lemah, apa yang bakal berlaku di hadapan sana tidak mampu kita cerap dengan kedangkalan akal manusiawi kita!

"Aku memohon kepadaNya, jika keputusan yang bakal aku ambil itu membawa faedah kepada Agama dan diriku, tunjukkanlah jalannya. Dan jika keputusan itu akan mendatangkan mudarat jua, maka kau tunjukkanlah juga. Ya Allah"

Tuesday, 29 December 2009

Patut ke macam nie?

Entah, akhir-akhir ini kerap kali aku rasakan seperti tak suka dengan diri sendiri! Bila aku melihat orang lain, yang begitu vokal dalam mengutarakan apa yang disukai dan tidak disukai, mempunyai hobi yang menggembirakan diri mereka dan nyata, mereka semua kelihatan cukup berani dan gembira! Tapi aku?

Persoalan PhD sebagai contoh, kadang-kadang terfikir juga kenapa aku tidak seperti mereka? Kenapa aku terlalu penakut, cuba membuat persediaan dan selalu 'ketaq' bila ingin bertemu penyelia? Sampai ada yang menggelar aku 'terlalu serius'?

Sejujurnya, aku sebenarnya keliru...kadang-kadang aku nak rasa seperti orang lain...Tapi patut ke aku rasa macam nie? Apa yang aku mampu cuba ialah, berdoa kepadaNya...moga-moga aku akan beroleh jawapannya...

Ya Allah Wahai Tuhanku...
AKu berlindung denganmu ya Allah,
... dari sifat sedih dan dukacita
... dari sifat lemah dan malas
... dari sifat bakhil dan penakut
... dari beban hutang dan tekanan

Sunday, 27 December 2009

Anak murid

Seronok sebenarnya menjadi pensyarah. Ada banyak tugas dan fungsi kerja yang perlu kita laksanakan dalam satu-satu masa. Antara yang tidak kurang manisnya juga ialah apabila kita melihat pelajar-pelajar kita semakin pantas berlari!

Tempohari, ketika 'stop over' di KL dalam perjalanan London - Sydney, terharu seketika apabila dalam kesesakan manusia yang menggila di KL Sentral, tiba-tiba nama kerdil ini disebut. Kaget juga seketika, sebab dah lama rasanya tidak dipanggil sedemikian.

Cuba mencari arah dari mana datangnya suara tersebut, rupa-rupanya dari seorang pemuda berpakaian sut pejabat! Arghh malang sekali, aku gagal mencerap memori semula! Nyata aku semakin tua! Lantas, pemuda tersebut memperkenalkan diri sebagai bekas pelajar FKEE UTHM [Kumpulan AE05]. Oh! Aku tidak pernah mengajar kumpulan ini tetapi aku sangat menghargai kerana pelajar ini masih ingat kelas tambahan BEE1113 yang diadakan untuk kumpulan mereka.

Benar, subjek Teori Litar Elektrik banyak memberikan kesan yang signifikan dalam perkembangan kerjaya aku! Kami berbual-bual cepat kesan manusia yang melimpah ruah! Dan kini pelajar tersebut bertugas sebagai eksekutif di Telekom! Tahniah dan syabas!

Masih berkisar kisah pelajar, ada juga yang kini menjadi rakan sejawat! Aku sangat gembira melihat kalian semakin pantas berlari dan gembira dengan kehidupan masing-masing. Didoakan, agar kita semua akan bertemu lagi.

Cermin diri

Tahun baru Hijriah 1431 baru sahaja memahatkan paksinya. Pastinya, ramai yang menanam pelbagai azam sempena bermula pekiraan tahun baru Hijriah. Bagaimana dengan diri ini sendiri? Apakah azam yang disematkan? Apakah sifat-sifat mazmumah yang ingin dicantas satu demi satu? Diri ini terlalu kerdil dengan seribu satu macam senarai kelemahan. Diharapkan sinar Hijriah kali ini memberikan satu dorongan untuk menjadikan diri ini hamba yang sebenar-benar hamba.


Gambar ini diabadikan ketika berada di Sydney. Nyata bukan sebarang gambar kerana muncul dalam fikiran yang kerdil ini akan besarnya cerminan yang diberikan. Timbul persoalan, dalam hidup kita sebenarnya setiap inci pelakuan dan apa sahaja yang kita lakukan adalah dalam pengetahuan Yang Maha Mengetahui. Semuanya direkodkan tanpa sebarang kehilangan!

Justeru, masakan kita masih lagi layak melihat diri kita sebagai insan-insan hebat yang seringkali angkuh dan memandang rendah pada insan-insan lain? Sedangkan apa yang bakal berlaku sedetik di hadapan pun tidak mampu kita jangkau dengan akal manusiawi kita?

Bertepatan dengan apa yang terkandung dalam Surah Al-Hadid ayat 20:

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaaan dan anak keturunan, seperti hujan dan tanam-tanamannya yang mengkagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu melihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. [20]



Friday, 25 December 2009

Singkat Tetapi...

Kita sering mendengar, ada tindakan yang dilihat kecil tetapi memberikan kesan yang besar. Sama lah juga, ada tikanya pertemuan yang singkat dapat memberikan nafas baru dalam hubungan silaturrahim sesama sahabat dan rakan.

Pengorbanan seorang isteri juga tidak wajar diketepikan yang harus menjalani kehidupan sendiri. Bak kata orang tua-tua, "Sayang isteri ditinggal-tinggalkan". Benar, dalam perhubungan ada masa dan ketikanya elok juga masing-masing memberikan sedikit ruang agar sama-sama dapat 'merasakan kehilangan sementara' yang akhirnya menjadi batu loncatan untuk mengkoreksi diri masing-masing.


Menunaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa walau hanya seketika, membuka banyak ruang-ruang kekurangan dalam diri. Melihat wajah-wajah tua mereka yang semakin dimamah usia mengusik tangkai hati. Masa yang sangat singkat, bimbang juga akan ada yang terkecil hati. Terima kasih kepada ahli keluarga yang ada, atas tanggungjawab kalian semua.

Bertemu rakan-rakan lain pula ceritanya. Benar, masa dan keadaan banyak memberikan kesan. Belajar untuk menerima dengan memahami bahawa, pantai tidak akan selamanya landai. Mencari perbezaan itu pastinya banyak, tetapi mencari persamaan dan kesepakatan itu lebih membawa faedah yang besar.

Sahabat...sangat sukar untuk kita cari. Bertemu dengan sahabat yang baik budi, mengingatkan akan peranan dan fungsi kepadaNya. Itu indahnya erti dan nilai persahabatan. Ada masanya tutur bercanggah pendapat, itu adalah seni dalam bersahabat. Namun, kejujuran untuk sama-sama memperbaiki diri itu yang tidak dapat dinilai dengan angka kewangan.

Anak-anak didik...kalian semakin pantas berlari. Dulu, kalian hanya bertatih mengenal dunia orang dewasa. Awas, jangan tersalah jalan yang dipilih. Semoga semuanya akan terus berjaya.

Pastinya, perpisahan kita semua yang sementara ini moga-moga menjadi pengikat kesepakatan antara kita. Andai pertemuan yang singat, ada tersilap bahasa yang mengundang bunga sengketa, maaf dipinta. Jasa baik kalian semua, akan disemat sampai bila-bila.



Thursday, 10 December 2009

FPT 2009

Baru je selesai poster presentation di FPT 2009. Sebelum terlupa, banyak juga input yang diberikan untuk tindakan:


  1. Apa sebenarnya keperluan dalam industri telemedicine - user point of view. Apa keperluan end user dalam aspek area, power, maximum frequency, computation time? Jadikan satu case study dan ini sangat berguna untuk justify research motivation! - Bincang dengan SV untuk rujuk kepada Geneva Hospital atau Irish company
  2. Bagaimana power consumption diukur? Adakah memadai dengan hanya XPower? Sudah pasti tidak, jadi perlu diukur melalui real measurement (power analyzer etc) - Email kepada penyelidik di CNRS, France
  3. Kenapa guna HW-SW co-design dan tidak gunakan decoder yang sedia ada dalam MPEG or H.264?
  4. Berapa efficiency antara compressed image berbanding original data?
  5. Apa perbandingan antara HW-HW dan HW-SW implementation?


Rumusan: Menghadiri persidangan bertaraf 5* dalam bidang pengajian masing-masing adalah sangat baik dan merupakan peluang untuk menimba lebih banyak ilmu dan pengetahuan bersama-sama individu pakar dalam bidang pengajian kita.

Namun, pada masa yang sama kita juga harus bersedia mendengar dan menganalisa segala bentuk cadangan penambahbaikan terhadap kajian yang sedang kita jalankan.

Apa yang jelas, perjalanan diri ini semakin jauh dan dan terlalu banyak kelompangan yang harus diperbaiki dengan segera. Tiada jalan pintas dalam rutin sebuah kejayaan. Usaha yang gigih itu pasti, doa yang berterusan itu juga pasti.

Friday, 4 December 2009

Muda-muda dah jadi profesor

BIOCAS membuka ruang untuk aku melihat kejayaan individu-individu tersohor dunia. Antara yang memberikan pembentangan ialah seorang profesor termuda dari Imperial College [Tahniah azrin!]


"Toumazou was made a Professor at Imperial College at 33, one of the youngest ever, in recognition of his outstanding research." [kedudukan 6 dari kiri]

Sumber: http://www3.imperial.ac.uk/people/c.toumazou

Aku kagum dan bangga mendengar pembentangan beliau. Dan lagi, membuat untuk aku lebih berfikir akan laluan kerjaya dan kehidupan aku [ohh berangan dan terus berangan - tapi musa kata takpe, berangan x kena bayar]. Bila agaknya kita boleh berdiri bersama-sama mereka bersama hasil kajian yang boleh memberikan sumbangan kepada dunia?


BIOCAS 2009

The 2009 IEEE Biomedical Circuits and Systems Conference (BioCAS 2009)

26 – 28th November 2009, Beijing, China

Afandi Ahmad (0729168)

Image and Vision Systems Laboratory

Department of Electronic and Computer Engineering

School of Engineering and Design

The 2009 IEEE Biomedical Circuits and Systems Conference (BioCAS 2009) that is taking place in Beijing, China is the 4th in series of very successful conferences organised under the auspices of the BioCAS technical committee of the IEEE Circuits and Systems Society. The mission of BioCAS is to bring together scientist, engineers and medical researchers and practitioners from all over the world to meet, discuss cutting-edge research and exchange innovative idea in the area of biomedical circuits and systems. This year has witnessed the submission of total 118 papers from 26 countries and a total of 59 papers were accepted including my paper and it gave me the tremendous opportunity to share my PhD research findings.

[Ini sebahagian laporan yang perlu disertakan kepada Brunel Graduate School kerana telah menganugerahkan Vice-Chancellors Travel Prize]


Ada beberapa perkara yang perlu dikongsi:

  1. Jangan jadikan alasan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk kita tidak maju dan tercicir! Sangat mengkagumkan, kerana hampir 95% kertas kerja yang diterima adalah penulisnya bukan berasal sebagai penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama!
  2. Pengalaman menyaksikan pembentang dari negara Jepun dan China sangat membuktikan sikap rajin dan komited mereka adalah kunci kejayaan!
  3. Mereka kebanyakan dari universiti tersohor dunia! Stanford, MIT, John Hopkins [USA], Ecole Polytechnique Montreal [Canada], Tsinghua University, Hong Kong University Science and Technology [China], Imperial College, Edin [UK], [Jepun], [Eropah - Jerman, Perancis] dan aku membawa bendera Brunel + UTHM + Malaysia [hehe perasan plak] - satu latihan membina keyakinan diri

Reject lagi :(

Betul, bukan senang jugak rasanya nak terima hakikat erti 'belum berjaya'. Penantian selama hampir 6 bulan (Jun - Dis 2009) setelah kertas jurnal ini dihantar ke ACM TECS agak mengecewakan. Tetapi, persoalan berikut harus diperhalusi:


  1. Kertas kajian ini masih belum mencapai spesifikasi yang dikehendaki oleh ACM - maka kaji akan kelemahannya (rujuk komen penilai)
  2. Pengalaman menghantar kertas kajian kepada jurnal-jurnal ternama seperti IEEE, ACM, Elsevier [setakat hari ini] adalah satu pengalaman yang menarik dan berharga - perlu memahami LR, kaedah kajian, analisa keputusan dan penilaian
  3. Bukankah dengan adanya percubaan ini [hehe walaupun reject] dapat memberikan ruang untuk diperbaiki sebelum hasil akhir tesis PhD?
Jadi, kenapa mesti kecewa, patah hati dan semua pandangan negatif? Mencuba adalah anak kunci untuk berjaya! Kalau langsung tidak pernah kita cuba, kita tidak 'memaksa' momentum diri untuk berkerja dengan sebaiknya! Kaji kelemahan, perbaiki dan terus mencuba tanpa jemu! Doa kepadaNya agar dimudahkan.

Wednesday, 2 December 2009

Potential Ideas

Pertemuan dengan pakar-pakar dalam BIOCAS [ada entry tertangguh berkaitan BIOCAS2009] membuatkan aku terfikir, betapa kerdilnya pengetahuan yang aku ada [yang maha mengetahui hanya Allah].

Aku hanya terfikir:

  1. Adakah cara aku berfikir masih terlalu lambat dan terkebelakang?
  2. Bagaimana agaknya mereka yang berjaya menjana idea-idea bernas dalam menjalankan penyelidikan?
  3. Asas sains dan matematik aku yang lemah, menghadkan percambahan idea. Apa yang harus aku lakukan?
Berikut adalah beberapa inovasi idea yang berkaitan dalam bidang kajian ini. Mengkagumkan!



Rujukan:
Jürgen Becker, Michael Hübner
Institut für Technik der Informationsverarbeitung (ITIV)
Universität Karlsruhe (TH)
Prof. Dr.-Ing. K.D. Müller-Glaser
Prof. Dr.-Ing. Jürgen Becker


Sunday, 22 November 2009

Masa semakin pantas!

Bercakap soal masa, dari dulu sampai sekarang, pelbagai panduan pengurusan masa diberitahu untuk dijadikan amalan. Tetapi, aku kira aku bukan seorang individu yang pandai menguruskan masa. Dengan izin Allah, 26 November 2009 ini akan genap 2 tahun (24 bulan) aku bermusafir di sini. Dalam menghitung hari-hari yang mendatang, persoalan/perkara-perkara berikut perlu aku selesaikan dengan segera:

  1. Aku nak 'compile' semua kod-kod VHDL yang telah dibina lengkap dengan komen-komennya
  2. Aku nak 'compile' semua kertas-kertas kerja dalam bentuk penulisan sebuah tesis [walaupun masih banyak kelompangannya]. Siapa tahu, dengan cara ini aku akan jadi lebih bermotivasi untuk menyudahkannya?
  3. Aku nak 'settle' beberapa isu tatabahasa Inggeris yang masih kelam kabut. Malu pun ada jugak, kalau seringkali tuan penyelia membetulkan benda yang sama berulang-ulang. Lemah betul aku dalam hal ehwal 'articles' dan juga 'tenses'.
Dengan sedikit kesibukan bagi menyediakan diri untuk BIOCAS dan FPT, mampukah aku menyudahkan tiga perkara ini sebelum bermulanya tahun 2010?

"Ya Allah, aku meminta kau senantiasa memberikan aku panduan, bimbingan dan lindungan. Aku seringkali tergelincir dari landasanMu. Sedangkan, nikmat yang kau berikan tidak terperi banyaknya"

Saturday, 21 November 2009

Pengkhianat

Aku betul-betul terkesan. Selain dari tekanan akademik, pengajian yang sedang dilalui juga menuntut kekuatan mental.

Kisah dan renungan:
Aku tak faham dan buntu. Apa yang sebenarnya dia hendak dari aku. Hanya kerana namanya tidak aku letakkan dalam senarai penulis bagi satu kertas kajian yang dihantar ke satu jurnal, aku dikatakan pengkhianat! Musykil aku memikirkan, dari sudut etika kerja penulisan, kalau kau memang tak terlibat dan tidak memberikan sumbangan, masakan semudahnya untuk aku 'meletakkan' mana kau? Aku buntu, kenapa ada orang yang tidak memahami etika penulisan dan penerbitan?

Ya Allah, aku juga tidak mahu menjadi hambaMu yang sombong dan angkuh. Aku tetap sedar, sumbangan dan jasa insan-insan lain ketika aku dalam kesusahan. Masakan aku perlu bersikap sombong? Tentu sekali jawapannya tidak!


Syukur

Pertamanya, aku harus tegaskan buat kesekian kalinya bahawa tujuan aku menulis dan merekodkan perkara-perkara yang berlaku bukan untuk menunjuk-nunjuk akan apa yang diperlolehi. [Sejujurnya, aku bimbang akan wujud salah tafsir]. Ringkasnya, semua rekod ini adalah bertujuan untuk merekodkan aktiviti dan satu bentuk terapi peribadi.

Dengan izin Allah, permohonan aku untuk mendapatkan Brunel Graduate School Travel Prize bagi pembentangan kertas kerja di The IEEE International Conference on Biomedical Circuit and System (BIOCAS 2009) diluluskan. Dengan peruntukan £500 dapatlah menampung sebahagian kos tambang, penginapan dan pendaftaran di sana.



Nampaknya, tahun ini aku akan menyambut Hari Raya Haji di Beijing [di sana 25 - 29 November 2009] dan diharapkan aku dapat menimba seberapa banyak input berkaitan kajian yang dijalankan. Ramai nama-nama besar dalam bidang Biomedical Circuit and System bakal hadir dan moga-moga seberapa banyak ilmu dapat ditimba.

Kertas kerja kali ini juga memantapkan keyakinan aku bahawa pasukan yang berkesan sangat diperlukan untuk kita lebih berjaya. Profesionalisme kerja dan hikmah [wisdom] banyak aku belajar bersama Ben, Dr Abbes dan Dr Hassan

Moga-moga aku akan dapat menghasilkan lebih banyak kertas kajian berkualiti dan turut lagi sertai BIOCAS 2010. Insya Allah. Terima kasih buat semua [namanya tidak perlu dicatatkan di sini] atas doa dan sokongan kalian. Ketika aku tersadung batu dan bangun semula, kalian banyak memberikan dorongan.

Thursday, 19 November 2009

Gurau adalah bunga sengketa

Gurauan adalah bunga sengketa
Jadi, berhati-hatilah dalam setiap patah kata.
Benarlah, diam itu jauh lebih baik.
Apabila tergelincir lidah, mungkin ada hati yang terluka.
Ingat itu! Wahai diri insan yang serba lemah!

Thursday, 12 November 2009

Pelik?

Bagaimana orang yang sebelum ini pernah kenal dan boleh dikategorikan agak rapat dengan kita, tiba-tiba seolah-oleh tidak pernah kenal dengan kita. Kenapa ya? Yang lebih memusykilkan, kekerapan kita bertemu untuk membuka ruang perselisihan pendapat juga sangat-sangat minimum, apatah lagi berbicara soal dirinya.

Tak mengapa, didik diri kita agar kita tidak jadi begitu. Semakin kita melangkah ke depan, harus kita ingat yang kita berjaya bukan kerana diri kita, kita hidup selesa juga bukan kerana diri kita semata. Lantas! Didiklah diri kita untuk bersangka baik!

Wednesday, 11 November 2009

Syukur

Syukur, Allah mudahkan dan memberikan laluan. Dengan £700 yang diberikan oleh School of Engineering and Design dalam bentuk "Travel Prize" bersama hadiah RESCON 2009 banyak membantu menjadikan impian aku untuk sama-sama bersama mereka yang pakar dalam antara persidangan 5* dalam bidang pengajian ini [FPT 2009] menjadi kenyataan.


Moga-moga aku akan dapat bertemu dengan nama-nama yang selama ini hanya aku kenali melalui tulisan mereka. Dan lagi, mengharapkan mereka juga memberikan buah fikiran terhadap hasil kajian yang sedang aku laksanakan.
Yang paling penting, moga aku tidak akan mudah lalai dan lupa dengan apa yang diberikan ini. Terima kasih kepada semua yang memberikan bantuan [tanpa perlu disenaraikan nama di sini]. Aku perlu lebih bersemangat!

Sunday, 25 October 2009

Kecil

Sering kita dengan, ada tindakan yang kecil tetapi memberikan kesan yang sangat besar. Aku sangat-sangat bersetuju dan sentiasa cuba untuk menyemak diri. Adakah aku telah dan selalu melakukannya.

Antara yang ingin dikongsikan di sini:
  1. Ucapan terima kasih: Ini boleh diumpamakan sebagai 'magic word' dan agama juga menuntut kita sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Syukur pada Allah itu pasti!. Apabila ada insan lain yang memberikan pertolongan kepada kita, ucaplah terima kasih. Tiada ruginya. Suami kepada isteri dan juga isteri kepada suami. Aku juga perlu menyemak berapa kali sehari kalimah azimat ini diungkapkan? Koreksi diri juga, berapa kali sehari kita mengucapkan syukur (Alhamdulillah) kepadaNya?
  2. Balasan SMS: Tiada ruginya, kita membuat insan lain jelas dengan SMS yang dihantar. Jawablah - "OK" atau "aku sibuk sikit, nanti aku get back" atau mungkin seringkas "K". Itu semuanya lebih baik daripada berdiam diri membuatkan "penantian sebagai satu penyeksaan".
  3. Balasan emel: Ini pun satu aspek penting. Kadang-kadang aku pelik, apa lah salahnya, membalas walau sebaris ayat. Misalnya "Dokumen diterima, tindakan sedang diambil" atau "Saya akan semak dan maklumkan kemudian" atau "Cadangan anda dihargai dan akan dipertimbangkan" atau juga seringkas "Terima kasih" ?
Inilah yang dinamakan seni dalam komunikasi. Aku perlu kuasai seni ini sebaiknya seperti mana yang aku harapkan juga. Semakin hari kita semakin meniti usia, biarlah umur yang bertambah dan nikmat yang menggunung kita perolehi juga menzahirkan peribadi diri kita yang lebih baik?


Nota: Seperti mana sedapnya ubi rebus bersama sambal tumis, begitu jugalah keinginan kita dalam kehidupan. Sedap dan menyedapkan!

"Pak Uda belajar rajin-rajin ye"

Anak kecil, jiwa mereka tulus dan sangat murni. Jika sejak kecil mereka dimomokkan dengan perkara-perkara yang berupaya menggelapkan jiwa mereka, apabila mereka meniti usia dan jiwanya sering memberontak, usah kita salahkan mereka. Salahkan diri kita sebagai ibu bapa dan individu dewasa yang kurang peka!.

Kita harus hati-hati, andai insan-insan kecil ini saban masa dan ketika dihidangkan dengan adegan permusuhan, pergaduhan dan pertengkaran di depan mata mereka, bukankah itu salah kita sebagai insan dewasa? Ini adalah persoalan tanggungjawab dan hak anak-anak untuk kita tunaikan bagi kita sebagai ibu bapa dan insan dewasa.

Ada tikanya kita pelik, bagaimana anak kecil yang tulus boleh melontar kata kepada orang dewasa, kosa kata yang boleh mengegar tangkai hati kita. Pengalaman di sini sendiri misalnya, seorang anak kecil pernah melontar kata "You are disgusting!" hanya kerana aku terlanggar dia tanpa sengaja.

Semalam, aku menelefon si kembar dan di akhir perbualan, kedua-duanya 'memberikan nasihat' kepada pak uda dia;

"Pak Uda belajar rajin-rajin ye..."

Lontaran kata-kata yang sangat signifikan dan menyentuh hati. Aku yakin dan percaya, andai kita insan dewasa yang waras fikirannya mendidik dengan nilai-nilai agama yang tinggi, nilai-nilai kasih sayang dan memanjatkan doa kepadaNya, pasti yang indah dan cantik itu akan hadir jua.

"Buat anak-anak saudaraku yang sedang meniti usia, aku doakan agar kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Berjalanlah di muka bumi ini dengan penuh rasa rendah diri dan kenal akan diri kita sendiri. Moga Allah sentiasa melindungi kalian dan menjadi insan-insan yang membuatkan mak dan ayah kalian gembira".
~Pak Uda~

Friday, 23 October 2009

Masa?

Mengurus masa bukan satu perkara yang mudah. Tetapi aku harus akui, antara rahsia kejayaan nama-nama besar dalam apa jua bidang yang mereka ceburi ialah pengurusan masa yang berkesan. Ada orang yang tidur hanya empat jam sehari tetapi sangat produktif dalam kerja mereka. Ada juga ketika, aku sendiri boleh bekerja dengan tekun dan bersemangat walaupun tidur sedikit, tetapi ada juga hari dan ketika, malas menguasai diri walaupun tidur sangat-sangat mencukupi.

Bila Jumaat menjelma - pasti persoalan berikut muncul:
  1. Apa yang dah aku capai dalam aspek hasil kerja berkualiti (dalam bentuk yang boleh dipegang - sudah siap dicetak, bukan masih lagi sebagai softcopy) dalam minggu ini?
  2. Apa yang dah aku capai dalam aspek peningkatan ilmu dan kemahiran seiring dengan peranan dan tugas aku sekarang sebagai pelajar PhD (boleh diukur - measurable) ?
Nota dan panduan berikut aku kongsikan untuk diri aku sendiri dan sesiapa yang mungkin bermasalah macam aku. Moga-moga membawa manfaat dan menjadikan diri kita lebih menghargai masa!

http://vitae.ac.uk/policy-practice/1393-3410/The-balanced-researcher-Strategies-for-busy-researchers.html

tetapi, ada dua juga persoalan yang sangat-sangat penting dan membuatkan aku rasa bersalah juga pada diri sendiri:

  1. Apakah peningkatan dalam setiap minggu dalam urusan dan peranan kita sebagai hamba kepada PENCIPTA?
  2. Apakah hak-hak insan lain yang tidak dan telah aku abaikan?
Persoalan yang perlu aku halusi dan diambil tindakan secara serius dan konsisten!

Tuesday, 20 October 2009

Kawan, Serius, Poyo dan Kematian

Kisah 1: Kisah kawan
Minggu ini dua kali 'berjogging' di Heathrow. Ekoran larian yang kurang sempurna, acara pertama dijalani dengan peristiwa tersungkur di atas tangga bergerak. Berdarah dan bengkak!. Mujur larian kali kedua pagi tadi tiada apa-apa kecederaan yang dialami sebagai atlit suku profesional. Semuanya lantaran kisah kawan. Aku boleh tafsirkan, apa yang terjadi sebagai kisah penilaian dan tafsiran. Salah ke aku mengambil serius perkara-perkara yang pada pengamatan aku perlu diusahakan sebaiknya? Bagi aku, kawan ini umpama jambatan kemanusiaan. Untuk memastikan jambatan itu cantik dan memberikan makna, mesti dilengkap dengan senibina dan teknologi yang terbaik.

Kisah 2: Salah ke menjadi serius?
Aku tak pasti dan kadang-kadang pelik jugak. Salah ke agaknya bila kita hanya buat kerja kita, kurangkan berbual, kurangkan masa minum teh, kurangkan gelak-gelak? Aku rasa tiada salahnya, sebab aku tidak menganggu hak peribadi orang lain. Tetapi, baru aku sedari - rupanya tidak, kerana aku telah ditegur ekoran sikap aku yang sedemikian. Aduh! Pelik sungguh manusia

Foto ihsan: HusniHassan (infinite creativity)


Kisah 3: Beriya@poyo?
Ini soal tanggungjawab. Andai kita dah tentukan, program berjalan pada jam 8.30 pagi, masakah jam 8.25 pagi baru kita nak berkemas-kemas bertolak dari rumah? Bolehkah kita, semudahnya mencampur adukkan urusan peribadi dengan urusan kerja? Misalnya, keluar membeli belah? Benar, nilai tanggungjawab ini kurang disentuh secara nyata dalam pendidikan di IPT, tetapi malang sekali andai apabila kita mula berkerjaya, kita jadi gelap dunia!


Kisah 4: Kematian
Aiman (9 tahun) anak jiran sebelah rumah meninggal dunia kerana lemas di paya. Terbayang-bayang aku keletah dan riangnya. Benarlah, ajal maut itu bukan diasaskan melalui ukuran angka usia. Hukum akal mengatakan, yang tua akan mati kerana umur telah lanjut. Tetapi tidak semuanya tepat. Tanya diri kita, dah bersediakah kita andai esok kita tiada lagi di sini?

Foto ihsan: HusniHassan (infinite creativity)

Monday, 12 October 2009

Minat, Kesungguhan atau Kepintaran?

Pendahuluan:

Minat, kesungguhan dan kepintaran ada pertalian dan sangat kuat. Lantas, ada yang berpendapat, kalau kita sudah tiada minta, agak sukar untuk kita melakukan sesuatu perkara. Mengenali individu-individu yang mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang fotografi, membuka ruang fikiran untuk lebih memahami apa yang diterjemahkan sebagai minat dan kesungguhan. Rumusannya ialah, KAGUM!

Foto ihsan: HusniHassan

Lantas, nota ringkas berikut memerlukan sedikit pemerhatian untuk diri ini fikirkan:

  1. Pupuk minat dalam sesuatu bidang berupaya menajamkan kepintaran (intelligence). Kita dimomokkan dengan kepintaran akal (IQ) semata-mata. Sesiapa yang mempunyai skor tertinggi dalam ujian IQ dikatakan lambang invididu yang pintar. Bagaimana pula dengan kepintaran pelbagai (multiple intelligence) yang sering kita terlepas pandang? Pintar dalam emosi, seni lukis, seni berhujah, seni fotografi, seni memasak dan macam-macam lagi
  2. Latih minda kita dengan memfokuskan kepada satu perkara yang kita minat dan asahkannya. Dengan latihan hari ke hari tanpa jemu dan memaksimum kelebihan/kepintaran dan meminimumkan kelemahan dapat membentuk kepuasan peribadi yang maksimum
  3. Bagi yang mempunyai anak-anak, kenal pasti kepintaran anak-anak kalian sejak kecil dan pupuk mereka dengan sifat-sifat yg positif. Sokongan insan-insan terdekat sangat besar ertinya dalam membentuk keperibadian. Jangan biarkan provokasi negatif dalam persekitaran yang dibimbangi akan meracun minda!
  4. Bagi yang dalam pengajian akademik, pupuklah minat dalam apa yang kita lakukan. Lihat sekeliling kita, ada orang yang boleh duduk berjam-jam mengadap bahan-bahan ilmiah lantaran minat yang sangat mendalam dalam penyelidikan dan penulisan.

Foto ihsan: HusniHassan

Kesimpulan:

Kita terlalu kerdil untuk pintar semuanya. Justeru, jangan dirasakan kita terlalu hebat dengan semudahnya memperlekehkan orang lain yang pada pengamatan kita mungkin tidak setanding dengan kita. Semat dalam hati, semakin banyaknya peluang yang diberikanNya, semakin lebar seharusnya sifat HIKMAH dalam diri kita! Peringatan untuk diri ini SENDIRI.

Tuesday, 6 October 2009

Pembentangan Projek Sarjana Muda (PSM)

Ada yang bertanya. Sebagai panel penilai dahulu, apa yang diperhatikan dalam pembentangan projek sarjana muda (PSM)? Berikut adalah panduan yang boleh diambil kira oleh pelajar dalam menyediakan diri dalam menghadapi pembentangan PSM 1 dan 2.


  1. Pastikan kertas kerja seminar dihasilkan mengikut format dan profesional. Penulisan akademiknya juga seharusnya tepat dan jelas. Semakin jelas dan profesional kertas seminar, memberikan gambaran awal hasil kerja yang berkualiti.
  2. Elakkan kesalahan-kesalahan lazim misalnya ejaan, rajah yang tidak dilukis semula (hanya copy n paste), teks yang diceduk dari Internet.
  3. Slaid pembentangan mesti disediakan secara profesional (pemilihan warna, teks, susun atur dll) perlu diperhalusi. Jangan hentam keromo dan ambil mudah.
  4. Jangan sekali-kali hanya copy n paste dari kertas seminar dan menjadikan slaid pembentangan adalah versi lain kertas seminar.
  5. Mudahkan slaid pembentangan dengan mewakilkan teks dengan rajah, jadual, carta alir.
  6. Berlatihlah menyampaikan pembentangan dengan fasih dalam Bahasa Inggeris. Latihan yang gigih dapat menjadikan kita lebih bersedia dan fasih. Sediakan skrip bagi membantu melancarkan kefasihan.
  7. Sediakan FAQ untuk kemungkinan soalan-soalan yang bakal ditanya. Dengan adanya persediaan ini, kita akan lebih bersedia menghadapi sesi Q n A dengan lebih yakin.
Selamat Maju Jaya untuk kita semua!


Sila Pulangkan Kepada SAYA!

Nota:
  1. Baru-baru ini aku belajar untuk lebih berhati-hati. Aku selalu betul buat silap dan kadang kala terlalu teruja dengan sesuatu perkara. Gelojoh! Itu mungkin perkataan yang sesuai untuk sikap aku ini.
  2. Namun, benarlah dan aku akui bahawa keadaan dan atmosfera yang berbeza itu membuatkan cara kita berfikir juga berbeza.
  3. Sekarang, perkara ini telah berlaku dan mengundang pelbagai persoalan. Aku akan bertanggungjawab dan benar-benar belajar dengan 'salah faham' yang pada pengamatan dan tafsiran akal kerdil aku, bukan 'salah faham'.

"Jika anda ada kemusykilan dan tidak berpuas hati,
sila pulangkannya kepada SAYA!
Saya akan bertanggungjawab SEPENUHNYA!"

Monday, 5 October 2009

Kompilasi

Kisah 1: Sepotong
Aku akan terus mencuba untuk berkongsi 'sepotong' maksud-maksud yang boleh kita sama-sama renungkan. Masih lagi dalam Surah Az-Zariyat.

Ayat 20: Dan di bumi terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang yakin.
Ayat 21: Dan juga pada dirimu sendiri. Maka, apakah kamu tidak memerhatikan?

Tanda kebesaran Allah kalau kita ukur dari indah dan sempurnanya segala ciptaanNya di muka bumi, tiada perkataan yang dapat kita gambarkan ukuran kesempurnaannya. Dalam diri kita juga, banyak sungguh kelebihan yang dikurniakan.

Kisah 2: Bahasa Inggeris
Aku kagum, dengan penguasaan Bahasa Inggeris profesor TNCAA. Sangat jelas sebutan dan meyakinkan. Sesi pembentangan bersama rakan-rakan pemegang biasiswa semakin membina keyakinan untuk menyampaikan dengan fasih dan meyakinkan. Aku mempunyai PR yang OUT! Tetapi biarlah hasil kerja aku yang menjadi duta kepada diri aku sendiri!

Kisah 3: Pembentangan bersama rakan-rakan UTHM dan TNCAA
Aku melihat aktiviti ini sangat bagus. Malah, kalau di Brunel misalnya kita juga dapat mengadakan aktiviti menjurus kepada hal ehwal akademik begini juga adalah sangat-sangat membantu. Apabila kita membuat pembentangan di hadapan rakan senegara misalnya, kita dapat menguji keyakinan dan kefasihan berbahasa Inggeris kita, sebelum kita membuat pembentangan di hadapan rakan bangsa lain dan juga 'native speaker'! Walaupun bidang berbeza, tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak berkongsi. Sharing is caring!

Sebenarnya berkongsi dan membentangkan sesuatu dalam bahasa Inggeris kepada mereka yang bukan dalam bidang yang sama adalah latihan yang sangat bagus! Kerana melatih minda kita berfikir dalam bahasa Inggeris dengan cepat dan jika kita berjaya membuatkan mereka faham, satu kejayaan!
Dan lagi, latihan merumuskan kajian dalam masa 10 minit juga latihan calon PhD yang sangat signifikan. Bayangkan, andai kita diminta merumuskan kajian PhD kita yang telah kita jalankan selama 3 tahun dalam masa 10 minit. Apa yang perlu kita tekankan?

Kisah 4: Kawan-kawan 'native speaker'
Malu jugak! Ishh apa nak jadi nie. Ada seorang kawan baru aku kat sini, dia tegur sebab katanya susunan perkataan/ayat aku terlalu skema dan mengikut buku dan masih dipengaruhi oleh cara berfikir dalam bahasa ibunda! Aduhai....aku kena koreksi secepat mungkin!

Wednesday, 30 September 2009

Aku Membaca, Tetapi...

Kerdilnya diri ini. Kita membaca, tetapi tidak pula kita fahami. Hebatnya kuasa kerana semuanya tercatat dalam kitabNya. Kalau kita rasanya PhD kita ini sangat unggul dan susah sampaikan kita merasakan orang lain tiada nilai di mata kita, renungkan betapa indahnya kalam Allah dalam Surah ke 51, Az Zariyat, ayat 1 - 6.
  1. Demi angin yang menerbangkan debu
  2. Dan awan yang mengandungi hujan
  3. Dan kapal-kapal yang berlayar dengan mudah
  4. Dan malaikat-malaikat yang membagi-bagi urusan
  5. Sungguh apa yang dijanjikan kepadamu pasti benar
  6. Dan sungguh hari pembalasan pasti terjadi
Jelas bukan? Telah tercatat segala kandungan dan pelbagai ilmu dan kajian untuk kita terokai. Mari kita sama-sama mencuba ambil sepotong demi sepotong dan cuba memahami dan mengamalkannya. Insya Allah.