My Calendar

Wednesday 22 December 2010

Menulis kertas persidangan

Panduan berikut boleh dipertimbangkan bagi yang ingin mula menulis kertas persidangan sama ada untuk persidangan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Lazimnya, setiap persidangan meletakkan peraturan tertentu berhubung bilangan muka surat yang diizinkan, ada yang empat, enam dan sepanjang pengalaman saya yang maksimum ialah lapan muka (dengan dua ruangan - two columns).

Selain itu, penganjur persidangan juga telah menyediakan template untuk digunapakai bagi memastikan konsistensi kertas persidangan terjaga, lazimnya dalam format Microsoft Word dan juga Latex.

Berdasarkan pengalaman, apa yang saya lakukan ialah dalam setiap work packages pengajian PhD saya, artikel untuk dihantar kepada jurnal disediakan. Selepas itu, setiap contributions dipecah-pecahkan bagi membentuk kertas persidangan. Kaedah ini sangat membantu, bukan sahaja dalam aspek kuantiti penerbitan kita malah juga dalam aspek penilaian kualiti kandungan kertas tersebut.

Untuk memudahkan penulisan kertas persidangan, saya juga menyediakan senarai semak dan panduan yang saya rangka sebelum menulis/menyediakan kertas persidangan. Antara perkara penting yang boleh diambil kira ialah:
  • Tajuk yang dipilih mestilah bersifat ringkas, padat dan menepati kandungan kertas. Elakkan tajuk yang terlalu panjang dan tidak menggambarkan sumbangan kertas persidangan.
  • Sediakan rangka abstrak yang perlu ditulis dengan kemas, tepat dan perlu diberikan perhatian serius. Abstrak adalah gambaran awal kualiti kertas yang dihasilkan.
  • Bagi komponen-komponen lain, senarai semak berikut saya kira dapat membantu dalam proses penyediaan kertas persidangan.

Semoga panduan dan perkongsian ini dapat menyemarakkan semangat saya untuk terus menulis dan membawa manfaat kepada rakan-rakan lain. Selamat maju jaya!

Debat 2010

Ramai yang tidak percaya, apabila saya katakan saya dahulu seorang pendebat. Bermula di peringkat sekolah hingga ke peringkat Universiti. Mereka selayakanya untuk tidak percaya saya kira berasaskan penampilan saya yang kelihatan "agak slow" dan kurang membantah.

Saya terhutang budi pastinya kepada Cikgu Hamim Haji Lahuri yang bertindak sebagai jurulatih saya ketika di alam sekolah rendah hingga menjadi naib johan syarahan peringkat negeri johor. Melangkah ke alam menengah, pastinya nama Cikgu Zaiton Mohd Zin tidak akan saya lupakan. Bagaimana kecewanya kami ketika tewas di peringkat separuh akhir bagi merebut piala Menteri Besar Johor (pasukan STF yang menjadi juara pada masa itu, tahun 1996).

Sekembali bertugas di UTHM, pihak HEP memberikan saya dua tugasan itu menjadi juri dalam pertandingan debat 1Malaysia bertempat di UKM, Bangi dan juga dalam debat diraja, di kampur UTHM sendiri.

Saya begitu meminati debat kerana ini adalah aktiviti ilmiah yang boleh mengasah kemahiran berfikir, mendengar dan menyampaikan kepada khalayak umum. Selain itu, melalui aktiviti debat saya juga berupaya mengemaskini pelbagai fakta dan isu semasa yang sudah sekian lama dipenuhi sarang labah-labah, angkara kononnya pengajian PhD saya.

Namun, saya mendapati kualiti kemahiran penyelidikan di kalangan pendebat nyata masih cetek. Saya sangat menyarankan agar kemahiran ini diasah dan dipelajari sebaiknya bagi memastikan debat di peringkat IPT jauh beza mutunya dengan debat di peringkat sekolah. Sekiranya kita ingin tampil sebagai pendebat, kita bukan sahaja perlu mahir berhujah malah mahir juga menganalisa fakta yang bersifat ilmiah!

Saya kira, sudah tiba masanya pendebat-pendebat yang penuh dengan retorik semata-mata, yang malas membaca dan mengkaji, yang hanya berhujah dengan penuh emosi, duduk bertafakur membuat koreksi diri! Ingatlah, debat adalah satu seni ilmiah yang memerlukan keazaman yang tinggi! Bukan sekadar mendamba populariti!

APCCAS 2010

Persidangan antarabangsa bagi tahun 2010 ditutup dengan penyertaan dalam APCCAS 2010 yang kebetulan pada tahun ini dijalankan di Kuala Lumpur. Pada asalnya, terdapat tiga kertas kerja yang berjaya dipilih tetapi atas kekangan kewangan, saya hanya dapat mendaftar dua kertas dalam persidangan kali ini.

Menariknya juga, saya turut dipelawa untuk bertindak sebagai Session Chair dalam salah satu sesi pembentangan lisan yang dijalankan. Sepanjang persidangan ini berjalan, pelbagai pengalaman saya timba. Antaranya ialah peluang untuk melebarkan profil penyelidikan saya dan meninjau peluang kerjasama penyelidikan dengan pelbagai individu pakar lain serta industri terbabit, misalnya Altera.

Tanpa diduga, saya bertemu dengan Shariman yang kini bertugas di Altera (beliau pernah saya temui di Belfast sekitar Jun 2010). Nyata, beliau seorang yang sangat fokus dalam menentukan kerjaya beliau dan sukakan cabaran. Saya teruja melihat kesungguhan dan kematangan beliau. Saya juga bertemu dengan Kak Gee yang kini merupakan pelajar PhD di UNITEN. Saya sangat berterima kasih dengan beliau, kerana sepanjang saya menyudahkan pengajian Sarjana di UKM tempohari, beliaulah yang banyak memberikan bantuan. Terima kasih Kak Gee!

Dalam pada itu, saya juga melihat bagaimana perkembangan bidang circuit and system ini dipelopori oleh penyelidik dari negara-negara Asia (Jepun, China, Korea, India dan Taiwan). Saya sangat berharap dan perlu berusaha keras untuk sama-sama maju dalam bidang penyelidikan ini. Saya perlu bijak mengenalpasti trick and threat agar keazaman saya terus membara!

IEEE Signal Processing (Malaysia Section)

Dengan izinnya, saya berkesempatan untuk membentangkan sebahagian hasil penyelidikan PhD saya dalam sebuah bengkel anjuran IEEE Signal Processing (Malaysia Chapter) sebagai Invited Speaker.

Menariknya, dalam sembilan sesi pembentangan yang dijalankan hasil kerja saya adalah satu-satunya kajian yang melibatkan pembangunan perkakasan. Pastinya, terima kasih saya yang tidak terhingga saya titipkan kepada Dr A yang telah menghulurkan tangan pada 2008 ketika saya terkapai-kapai mencari arah dan tujuan.

Saya akui, sememangnya saya agak gementar memandangkan pembentang-pembentang rata-rata merupakan mereka yang berjawatan Profesor dan Profesor Madya yang tidak asing dalam bidang ini di Malaysia.

Usai pembentangan, saya sangat terharu apabila didatangi oleh beberapa individu (pensyarah dan pelajar PhD) yang menyatakan minat terhadap kajian yang saya jalankan dan ada juga yang memohon tunjuk ajar. Ada juga yang menghantar emel memohon pandangan dan buah fikiran. Insya Allah, selagi saya ada ruang peluang akan saya kongsi apa yang saya. Moga-moga kita semua akan lebih berjaya dan menghargai nilai keilmuan.

Selepas ini, saya perlu lebih bersifat proaktif dan lebih banyak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti profesional sebegini. Selain saya boleh membuat tinjauan siapakah individu rujukan dalam bidang ini, saya juga dapat melebarkan rangkaian penyelidikan selain yang pastinya mempromosikan Jabatan, Fakulti dan Universiti saya!

Cerah dan Gelap

Saya perlu faham, bahawa setiap hari yang dilalui tiada kesamaan. Saya dapati, setelah kembalinya saya ke tanah air rentak dan onak cabaran yang lain pula harus saya lalui.



Dalam laluan hidup kita, ada masanya kita lalui saat-saat yang cerah dan penuh keceriaan. Tidak kurang juga, ada ketikanya suasana penuh gelap dan kemuraman perlu ditangani sebaiknya. Saya tidaklah sekuat yang disangkakan. Ada tikanya, rasa lemah dan longlai juga tubuh dan fikiran juga apabila dihujani dengan ujian dan pelbagai persoalan yang tidak mampu saya tangani.

Saya tidak mampu berbicara lebih panjang. Apa yang dapat saya ingatkan diri saya sendiri ialah sayalah yang perlu mencari kekuatan dalaman itu. Saya yang perlu mencorakkan supaya saya tidak terbawa-bawa rasa rindu suasana kehidupan di Uxbridge tempohari. Saya perlu bersifat realistik, Uxbridge hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Kini Parit Raja yang harusi saya mukai sebaiknya!

Thursday 16 December 2010

Buah Tangan

Setelah hampir enam bulan menunggu, satu lagi hasil kerja kami (Paul, saya dan Dr A) berjaya diterbitkan sebagai "Book of Chapter" dalam Springer Lecture Notes of Computer Science. Walaupun saya adalah penulis kedua bagi artikel ini, banyak pengalaman yang saya timba dan pelajari terutama sekali bagaimana penyelia saya membuka ruang kerjasama antara saya dengan Paul.



Saya kira, penerbitan ini juga penutup pencapaian untuk tahun 2010 dalam aspek penerbitan. Saya perlu untuk lebih fokus dan bekerja keras untuk bukan sahaja meningkatkan kuantiti dan kualiti penerbitan. Setelah hampir sebulan memulakan perjalanan baru, perkara utama yang perlu saya tangani ialah "perangkap masa". Ada tikanya, saya kurang selesa dengan pengurusan masa saya yang tidak tersusun dan kurang produktif. Banyak juga kerja-kerja tertangguh yang perlu saya tangani dengan segara. Antara yang benar-benar membuatkan saya rasa bersalah ialah penyelidikan dan penulisan kertas "cyclic convolution" bersama Ben. Saya perlu lebih tenang dan bijak meletakkan keutamaan!

Sunday 5 December 2010

Awal Muharam

Awal tahun hijriah kali ini disambut ketika saya di Kuala Lumpur, ketika menghadiri APCCAS 2010. Pastinya, setiap kali datangnya tahun hijriah ini kita akan membacakan doa akhir dan awal tahun. Memohon doa kepadaNya agar kesilapan-kesilapan lampau kita diberikan ampunan, dan memohon agar hari-hari mendatang pula diberikan limpahan pimpinan dan bimbingannya.


Saya sebagai hambaNya yang sangat kerdil pastinya tidak lepas daripada berbuat dosa. Mati senantiasa menghampiri kita, dan bukanlah ukuran angka usia itu jaminan kepada pendek atau panjangnya ajal kita. Saya benar-benar risau akan apalah amalan yang telah saya buat, kalau nak dibanding dengan dosa saya kepadaNya. Saya benar-benar pohon agar pintu keampunan senantiasa dibuka dan melebarkan hati dan perbuatan saya untuk berbuat amal kebajikan.

Laluan Blog

Asalnya, tujuan blog ini dinukilkan adalah untuk merekodkan kisah perjalanan (suka dan duka pengajian PhD juga pengalaman hidup di rantau orang. Saya terus menulis dan menulis dan pernah juga beberapa ketika saya seakan-akan ingin menutup terus laman blog ini atas beberapa sebab. Tetapi, pada masa yang sama ada juga rakan-rakan terdekat yang menjadi "pengikut" blog menyarankan agar terus menulis dan berkongsi, mereka menyifatkan tulisan di blog ini boleh memberikan manfaat, terutama sekali dalam aspek dan hal ehwal berkaitan pengajian PhD.

Dalam pada itu, lucunya juga, ada kenalan turut melabel betapa blog saya ini begitu membebankan dan disifatkan seolah-oleh membaca buku teks. Tidak kurang juga, ada yang pernah menyatakan betapa sedih dan seramnya membaca kisah-kisah PhD saya yang dicoretkan. Inilah yang saya kira tafsiran dan persepsi.

Apabila kembali bertugas, saya sedikit tertekan untuk menulis di sini kerana saya mendapati ramai juga rakan sekerja yang membacanya. Bukan apa, bimbang juga kalau-kalau tulisan saya bakal menyinggung mana-mana pihak atau mungkin disifatkan terlalu mengagung-agungkan kisah PhD saya. Atas tujuan itu, saya dengan rasa rendah diri memohon maaf andai tulisan yang telah saya catatkan dan bakal dicatatkan tidak disenangi kalian. Tujuan blog ini tidak lain dan tidak bukan, hanya untuk berkongsi apa yang mungkin boleh menjadi manfaat.

Menariknya juga, melalui blog ini saya dapat kenalan-kenalan baru yang tidak pernah saya jangkakan. Ada yang menghantar emel dan berhubung, seterusnya menjadi rakan. Saya benar-benar gembira dan berharap agar tulisan saya di sini bukan sekadar tempelan semata-mata. Saya sangat gembira kalau kalian pembaca beroleh manfaat dan dikongsikan kepada rakan yang lain.

Akhirnya, semoga saya akan tetap diberi kekuatan dan kesungguhan berkongsi pendapat dan pengalaman. Kini, talian Internet di rumah juga sudah selesai dipasang dan dapat membantu kerja-kerja perkongsian di laman blog ini. Selamat maju jaya buat kita semua!

Thursday 25 November 2010

Perjalanan Baru

Saya sifatkan perkara ini sebagai sebahagian permulaan satu perjalanan yang baru bagi saya. Kembali melapor diri setelah selesai urusan cuti belajar bukanlah semudah yang umum jangkakan. Pelbagai persoalan asas sentiasa berlegar-legar dalam kotak fikiran saya. Terutama sekali, berhubung aspek "selesaikah pengajian" yang merupakan amanah yang perlu kita pikul usai kita bersetuju untuk menyambung pengajian dan diberikan kemudahan "Cuti belajar bergaji penuh".


Menyingkap kembali tarikh 24 November 2007 (rujuk entri pertama) ketika saya antara sedar dengan tidak melangkah kaki turun di KLIA dan memberikan lambaian terakhir kepada keluarga dan rakan-rakan yang hadir menghantar saya pada masa itu. Memang benar, belajar di luar negara adalah antara impian saya sejak tamatnya SPM dahulu akhirnya berjaya ditunaikan. Tetapi, persoalan mampukah saya tangani asam garam dunia pengajian PhD tidak pernah surut bermain dalam fikiran.

Ketika melangkah turun dan melalui pemeriksaan keselamatan, saya masih di awangan mengenangkan perjuangan yang bakal saya tempuhi, ditambah lagi dengan kebimbangan memandangkan tiada sesiapa yang bakal menyambut saya kelak apabila tiba di Heathrow. Itu antara catatan awal pengalaman saya berkelana di rantau orang.

Masa berlalu terlalu pantas. 36 bulan bukanlah satu tempoh yang panjang. Bagi yang bakal memulakan pengajian PhD, saya ucapkan selamat maju jaya dan sentiasalah memanjatkan doa supaya Allah memberikan kita kekuatan dan pada masa yang sama kita juga perlu mencari kekuatan dalaman agar segala cabaran yang mendatang dapat kita tangani dan sama-sama sampai ke garisan penamat.

Berbalik kepada cerita asal, memulakan "tugasan baru" sejujurnya saya agak gugup dan ada masanya kecut perut juga dengan soalan, harapan dan juga tanggapan. Namun, "tanggapan" saya tidak harus ambil kira kerana saya tidak dapat mengawal anggapan orang lain.

Menariknya, satu soalan tipikal yang ditanya ialah "kereta apa yang saya bawa balik" dan "berapa banyak barang yang dihantar dari sana". Saya ada masanya tersenyum memikirkan jawapan terbaik. Ada juga yang menganggap saya pulang bercuti! Apabila saya katakan sudah selesai, ada di kalangan mereka yang kurang percaya. Entah, saya kurang pasti kenapa dan mengapa!

Apapun, banyak yang saya pelajari dalam tempoh dua minggu di sini. Benar, bukanlah saya berkelana di sana 30 tahun, tetapi bagi saya tempoh hampir tiga tahun sudah cukup "mencabar" bagi saya untuk memulakan "perjalanan baru" ini. Saya memohon doa kepadaNya, berikan saya kekuatan untuk menghadapi tugasan ini dan sentiasa memberikan bimbinganNya.

Tuesday 16 November 2010

Korban

Buat kesekian kalinya, kali ini saya dapat menyambut Hari Raya Aidil Adha bersama keluarga, dan juga buat pertama kalinya dalam keadaan yang lebih lengkap (bersama isteri dan keluarga). Saya masih ingat, tahun lalu Aidil Adha saya sambut di Beijing, ketika membentangkan kertas kerja dalam BIOCAS 2009.


Nyata, kitaran masa begitu pantas berlalu meninggalkan kita. Setiap kali tibanya Hari Raya Aidil Adha, sejujurnya saya masih tergapai-gapai mencari erti sebenar pengorbanan dalam diri saya sendiri. Selari dengan ini juga, saya merasa sangat kerdil dan merasakan tiada apa sumbangan bermakna yang saya berikan, kepada segenap pihak, misalnya keluarga, agama dan negara. Bukanlah saya berniat untuk menjadi wira yang boleh memberi dan berkorban sehebatnya, tetapi jauh di sudut hati kecil saya, saya ingin sekali insan-insan di sekeliling saya gembira dengan kerdilnya kemampuan pengorbanan (jika ada) yang saya berikan.

Saya pasti, erti pengorbanan juga adalah subjektif berdasarkan pengalaman dan sekolah pemikiran yang dilalui oleh setiap individu. Saya berdoa kepadaNya, agar saya sentiasa diberikan panduan, bimbingan, bantuan dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari depan, insya Allah.

Friday 5 November 2010

Ramuan dan Resipi

Makanan yang menyelerakan lazimnya agak subjektif penilaiannya. Namun, secara umumnya makanan yang enak dan menyelerakan mempunyai piawaian yang boleh diterima secara umum. Analoginya mudah, dalam menikmati hidangan makan tengahari misalnya, tidak cukup andai sambal ikannya sahaja yang enak, tetapi sotong bakarnya terlebih masin, manakala cendawan masak supnya mungkin terlebih layu!

Hal ini juga hampir sama dalam aspek pengajian, khususnya PhD yang memerlukan kita bekerja secara konsisten di bawah penyeliaan ahli akademik. Saya pernah ditanya usai viva, ketika mendapatkan tanda tangan Deputy Head of School (Research), Prof. Luiz bagi tujuan melabelkan tesis saya dalam kategori SULIT. Beliau menyatakan yang saya sangat bertuah kerana berjaya menamatkan pengajian agak awal dari tempohnya. Saya menjawab, peranan penyelia saya sangat-sangat membantu, dan saya sangat bertuah memiliki penyelia yang hebat!

Beliau menambah, sebenarnya peranan penyelia sahaja tidak cukup, tetapi PhD yang bagus juga memerlukan pelajar yang bagus! Saya hanya tersenyum dan tidak mampu memberikan komen lanjut. Ini yang saya kaitkan sebagai ramuan dan resipi. Kejayaan PhD bukan sahaja terletak kepada peranan pelajar, malah bagaimana penyelia memainkan tugas dan tanggungjawabnya!

Saya perhalusi aspek pelajar dan penyelia dalam PhD. Mengapa saya sangat berminat dalam hal ini? Kerana saya pernah melalui pengalaman mempunyai dua penyelia utama (pada tahun pertama, manakala tahun kedua dan seterusnya bersama seorang lagi penyelia) dan seorang penyelia tambahan melalui kerjasama penyelidikan.

Sistem di Brunel, misalnya menetapkan dua penyelia dilantik. Peranan penyelia utama dan kedua lazimnya bergantung kepada jenis penyelidikan dan komitmen penyelia. Ada juga berlaku, penyelia kedua lebih berperanan berbanding penyelia utama, dan dalam kes saya misalnya, penyelia kedua hanya pada nama.

Saya membandingkan kaedah penyeliaan penyelia-penyelia saya secara adil. Penyelia awal saya saya jauh bersifat lebih "mesra pelajar" dan menggunakan teknologi komunikasi terkini dalam penyeliaannya. Sebagai contoh, kami berdiskusi melalui "messenger" dan boleh disifatkan tidak mengira batas masa. Ada tikanya hingga jam 2 - 3 pagi!

Dalam aspek komunikasi, penyelia terkini saya lebih bersifat konvensional. Beliau tidak pernah menghubungi melalui telefon bimbit (baginya adalah hak peribadi) dan hanya menggunakan emel sepenuhnya. Menariknya, beliau juga mengizinkan malah memberikan komitmen menjawab emel walaupun pada hujung minggu.

Memberikan komen kepada hasil kerja kita saya kira juga antara aspek penting. Saya agak kurang serasi dengan penyelia asal dalam aspek ini. Saya pernah menghantar dokumen (dua minggu awal dari tarikh kami bermesyuarat) untuk pembelian satu alat (kategori segera) tetapi beliau hanya mencetak dokumen tersebut pada ketika saya berada di depannya untuk mesyuarat!

Berbeza dengan penyelia terkini yang lebih komited dan profesional menunaikan tugasnya sebagai penyelia. Benar, ada yang menganggap penyelia kita sibuk dan sebagai pelajar PhD kita perlu sangat-sangat berdikari. Tetapi awas, ada juga aspek-aspek dalam membuat keputusan pembelian peralatan misalnya yang memerlukan pandangan penyelia.

Ringkasnya, saya melihat aspek kesepadanan sikap dan sifat adalah sangat penting dalam mewujudkan keserasian, situasi menang-menang, hormat menghormati dan kedua-dua pihak menikmati (enjoy) proses PhD. Apabila salah satu pihak (lebih parah juga jika penyelia) mula berasa tidak selesa dan "terbeban" dengan menyelia kita, segeralah membuat koreksi diri! Jangan dibiarkan ini menjadi barah dan memungkinkan kita bertemu jalan sukar dalam pengajian PhD!

Wednesday 3 November 2010

Brunel

Pastinya ramai yang mengimpikan mereka adalah graduan universiti terkemuka dunia, mungkin dalam senarai 10 universiti terbaik dunia, Oxbridge University (bukan Uxbridge!) berada dalam Liga Ivy atau mungkin dalam kumpulan Russell. Walaupun Brunel bukan tergolong (buat masa ini) dalam liga dan senarai yang saya sebutkan, tetapi pengalaman yang ditimba di sini besar ertinya.







Saya sangat yakin dan percaya, kualiti diri lebih banyak ditentukan oleh individu itu sendiri. Jika kita ingin meletakkan "jenama Brunel" sebagai setanding dengan senarai yang saya sebutkan, sayalah juga yang menentukannya. Kualiti ini bukan sahaja diukur dalam aspek kelulusan akademik, bilangan kertas dalam jurnal impak faktor misalnya, tetapi turut disumbangkan oleh pembawaan diri kita juga. Aspek-aspek misalnya kualiti kerja, kemahiran komunikasi, menepati masa, menghormati pandangan individu lain dan pelbagai "transferable skills" tidak harus juga dipandang remeh. Moga-moga, saya akan sentiasa ingat dan faham tugas dan peranan saya!

Tuesday 2 November 2010

Tiga Lokasi

Mengikuti pangajian di sini, pemilihan lokasi tempat kita tinggal juga tidak kurang pentingnya untuk kita fikirkan. Selain faktor kos, faktor lain juga mesti diambil kira, misalnya dalam atau luar kampus, siapakah rakan serumah juga kemudahahan yang ada. Saya sarankan, bagi yang bakal mengikuti pengajian, kajian dalam menentukan lokasi tempat tinggal perlu dibuat.

Tahun 1

Tahun 1


Tahun 2 dan 3

Saya telah melalui pengalaman tinggal dalam dan luar kampus. Semuanya ada baik buruknya, tetapi pilihlah yang paling memberikan keselesaan kepada kita.

Keputusan

Proses membuat keputusan, bukan satu proses yang mudah. Dalam dunia akademia ini misalnya, 2002 saya memulakan tugas sebagai tutor dan pada masa itu, keputusan saya ambil untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana di UKM dalam bidang yang tidak popular (saya kira).

Usai pengajian pada 2003, kononnya semangat benar-benar pada kemuncaknya untuk saya terus memulakan pengajian PhD. Saya ada juga berkomunikasi dengan beberapa bakal penyelia, tetapi saya akui pada masa itu bidang pengajian PhD pilihan saya juga masih tidak konsisten. Lantas, menyambung pengajian terus saya ketepikan dan mula menyampaikan kuliah.

Pada 2005, baru saya selesai urusan pengesahan jawatan dan membolehkan saya mengatur langkah semula bagi mengikuti pengajian PhD. Sekali lagi, pada mulanya saya cenderung untuk berkelana ke negara matahari terbit. Pada masa yang sama, pernah juga saya mengikut kursus bahasa Jerman, kerana ingin juga ke sana. Kemudian, negara Belanda pula muncul dalam senarai keutamaan saya. Tetapi, pada akhir-akhir proses bakal penyelia saya meninggal dunia. Lantas membuatkan saya hilang punca seketika.

2006 pula, tanpa saya sangka-sangka diamanahkan mengetuai satu jabatan lain, yang turut memerlukan saya mengubah cadangan bidang pengajian, agar selari dengan keperluan jabatan. Pada masa yang sama, bekas guru saya di UKM yang bertugas di salah sebuah IPTA lain menawarkan untuk menjadi penyelia pengajian PhD saya. Buntu juga dibuatnya, antara memilih pengajian PhD di dalam atau luar negara. Sememangnya menjadi impian saya sejak selesai SPM untuk merantau di negara orang.

2007, saya menguatkan langkah dan menduduki IELTS dan seterusnya membuat keputusan tanpa saya duga ke UK. Selepas semua selesai, timbul pula masalah kuota pada tahun 2007 yang sudah penuh dan memerlukan saya membuat rayuan. Akhirnya, rayuan bagi saya menggunakan kuota pada 2007 diluluskan dan saya mendaftar di Brunel University. Bagaimana dengan bidang pengajian? Sekali lagi, bukan pilihan saya. Tetapi, inilah yang saya ingin kongsi berkaitan laluan hidup kita.

Kita hanya mampu merancang, tetapi yang menentukan dan Maha Mengetahui semuanya tanpa sebarang batasan bukanlah kita. Walau apapun, saya kira belajar untuk bersyukur dengan peluang dan ruang yang ada juga perlu kita semat dalam-dalam. Tidak selalu peluang akan datang!

Saturday 30 October 2010

Motivasi

Dalam tempoh yang singkat, saya sangat berbesar hati kerana beliau membalas emel saya dan sudi berkongsi memberikan dorongan, nasihat dan panduan, bagi saya menjalani hari-hari mendatang. Sebelum ini, kisah kejayaannya menjadi dorongan saya dalam pengajian PhD dan juga hal ehwal berkaitan pengajian tinggi. Nyata, apabila saya teliti susur galur laluan kerjayanya juga kisah indah kejayaannya, sangat membuatkan saya teruja! Beliau berjaya membuktikan dan sifat rendah diri beliau juga memberikan peringatan kepada saya sendiri. Berikut adalah emel yang diberikan kepada saya.

Ringkas, tetapi sangat dalam maksudnya. Dengan izinNya, saya akan cuba sedaya upaya untuk paling tidak mencontohi jejak langkahnya. Moga dalam setiap impian, harapan dan perjalanan ini saya juga senantiasa mendapat lindungan dan berada dalam sempadan bimbinganNya.

Friday 29 October 2010

Oktober 2010

Tidak banyak yang dapat ditulis pada Oktober 2010 ini. Banyak juga perkara-perkara yang berlaku yang memberikan banyak pengajaran dan teladan kepada diri ini. Benar, tidak semua yang kita sangka, rancang dan fikir akan berlangsung seperti yang kita ramal. Ini adakah satu bukti kukuh akan kerdilnya diri kita, terlalu luas ruang-ruang kosong yang tidak sedikitpun dapat kita baca. Apapun, redha kepadaNya itu pasti. Hanya DIA yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Terimalah dengan berlapang dada dan yang paling pasti juga agar saya mengutip hikmah dalam perjalanan kehidupan yang sementara ini.

Selain itu, setelah hampir genap tiga tahun berkelana di sini dengan izinNya tesis ini adalah hasilnya. Saya sedar, kisah PhD saya bukan satu kisah agung yang perlu dibanggakan dan menarik untuk menjadi bahan tatapan umum. Tetapi, saya merasakan apa yang dianugerahkan olehNya ini adalah satu ujian untuk membuatkan saya terus dan terus beringat.

Beringat agar senantiasa tidak lupa diri...
Beringat agar senantiasa menjaga agama, tutur kata dan budi pekerti...
Beringat agar senantiasa memberi dan terus memberi...


Sejujurnya saya agak gementar untuk meneruskan langkah seterusnya selepas PhD. Jangkaan dan harapan insan sekeliling juga pastinya berganda dan benar-benar memerlukan kecekalan hati untuk saya hadapi. Saya juga perlu meneguhkan keazaman diri untuk tidak mudah merasa selesa dan senantiasa memperbaiki diri. Kitaran untuk menuntut ilmu itu pasti noktahnya.

Umur blog ini juga hampir tiga tahun. Saya juga tidak pasti apa status seterusnya blog ini. Mampukah saya untuk terus mencoret kisah-kisah dan perkongsian di sini? Emm...sukar untuk saya jangka.

Akhirnya, selamat tinggal bumi Uxbridge yang telah saya singgahi buat sementara waktu dalam diari kehidupan ini. Walaupun di daerah ini saya lebih belajar dan mengenali pelbagai sifat dan nilai yang seringkali menyebabkan kesedihan melanda, kesyukuran tetap saya panjatkan kepadaNya. Dalam kesedihan dan kesakitan menjejak onak dan duri ini, ada kemanisan yang tetap saya timba. Moga, bumi seterusnya yang bakal saya jejaki akan redha dan bimbingan Allah tetap memayungi. Sesungguhnya, saya adalah insan yang serba dangkal dan penuh kekurangan. Khusus buat rakan-rakan di bumi Uxbridge, terima kasih atas segala perhatian, mohon maaf atas segala kekurangan.

Sunday 19 September 2010

Berita gembira

Lama juga menanti keputusan kertas-kertas yang dihantar ke APCCAS 2010. Kertas-kertas dihantar sebelum 30 Jun 2010 dan baru pagi tadi keputusan diperolehi. Syukur wajar dipanjatkan kepadaNya, kerana ketiga-tiga naskhah berjaya diterima dalam APCCAS 2010. Lebih manis lagi, setiap naskhah ada kisahnya.

Masih jelas dalam ingatan saya ketika bertungkus lumus menyempurnakan tiga naskhah ini, kerana pada masa yang sama saya juga perlu menyudahkan tesis PhD. Apa yang saya pelajari antaranya ialah jangan lupa memanjatkan doa dan berusaha membuat perancangan, serta fokus kepada apa yang ingin dicapai.

Naskhah yang pertama ini merupakan salah satu bab dalam tesis PhD saya. Sudah pasti saya dan penyelia sangat gembira.

Naskhah kedua pula adalah kerjasama saya bersama seorang ALUMNI dalam kumpulan penyelidikan kami, Dr Paul. Beliau merupakan pelajar keenam yang telah berjaya di bawah seliaan penyelia saya.

Manakala naskhah ketiga adalah hasil kerjasama saya membantu menyelia Anurag, pelajar tahun akhir.

Agak mengujakan juga, kerana APCCAS 2010 yang bakal berlangsung antara 9 - 12 Disember 2010 dijalankan di Kuala Lumpur. Sebagai salah satu persidangan 5* bagi kategori Circuit and System (CAS) yang khusus lokasinya di Asia Pasific, benar-benar memberikan satu motivasi yang kuat bagi saya untuk sama-sama menguatkan usaha untuk lebih maju dalam lapangan ini.

Saturday 18 September 2010

Menulis tesis

Ramai juga yang sering bertanya akan tempoh yang saya ambil untuk menulis tesis PhD. Sejujurnya soalan ini agak sukar untuk saya jawab secara tepat. Kerana proses penulisan tesis saya telah saya mulakan ketika saya menyediakan kertas-kertas jurnal dan persidangan bagi setiap pakej kerja (work packages) yang dipersetujui antara saya dan penyelia.

Saya yakin dan percaya, ini adalah falsafah penulisan (writing philosophy) yang dilatih dan cuba diterapkan oleh penyelia saya. Apa yang pasti, proses akhir menyudahkan tesis saya ambil kira-kira adalah satu bulan sebelum saya serahkan draf tesis kepada penyelia untuk tujuan semakan. Saya menyemak tesis sebelum diserahkan kepada penyelia hampir lima kali, kerana saya sangat bimbangkan kesilapan-kesilapan ini boleh menganggu emosi penyelia saya untuk menyemak.

Selain itu, dalam menyudahkan tesis juga, peranan isteri saya adalah sangat signifikan. Isteri membantu saya dalam proses-proses menyemak kesalahan ejaan dan persembahan tesis. Tidak kurang juga seorang rakan baik yang sudi meluangkan masa sepintas lalu menyemak tesis saya.

Saya juga sangat menyanjungi kesungguhan penyelia saya membaca tesis saya hanya dalam masa lima hari. Saya pernah juga mendengar bahawa proses semakan oleh penyelia adalah situasi yang agak kritikal. Ini sangat benar! Apa yang paling ditakuti ialah sekiranya penyelia merasakan penulisan tesis kita masih belum mencapai tahap yang boleh melayakkan kita untuk membuat serahan (submission) bagi tujuan peperiksaan lisan (viva). Selain itu, risau juga andainya penyelia meminta kita mengulang eksperimen atau menjalankan simulasi baru!

Dalam kes saya misalnya, penyelia tidak begitu gembira dengan bab keempat dan memerlukan penambahbaikan. Dengan izinNya, simulasi yang selama ini saya terperangkap dapat saya selesaikan dalam tempoh dua jam. Bagi saya, ini adalah kuasa dariNya. Jadi sebab itulah, kita tidak layak untuk merasa diri kita hebat dan unggul dengan kejayaan PhD ini.

Dalam menyudahkan penulisan tesis saya, senarai semak berikut (sebahagiannya) telah saya bina bagi memudahkan saya mengingati falsafah penulisan tesis saya dan pada masa yang sama bagi memastikan tahap keseragaman tesis adalah pada tahap terbaik. Contohnya, bagaimana menulis ringkasan (abbreviation), penulisan label (caption) pada rajah dan jadual, adakah perlu semua rajah dilukis semula dll.


Selain dari aspek persembahan yang perlu dijaga tahap keseragamannya, penggunaan kosa kata dan tatabahasa Inggeris juga perlu dipastikan berada pada tahap memuaskan. Elakkan dari menggunakan kosa kata yang berulang-ulang dan membina ayat yang terlalu pendek (lazimnya tidak lengkap) dan terlalu panjang (lazimnya berulang-ulang). Antara kesilapan lazim yang saya sering lakukan misalnya:
  • Articles
  • Tenses
  • Subject verb agreement
Saya ingin juga mencadangkan supaya kita menghadiri kelas-kelas pengukuhan tatabahasa yang disediakan secara percuma oleh pihak universit, dan dalam kes saya pengetahuan yang saya pelajari sangat-sangat membantu.

Di sini juga secara peribadinya saya memuji Latex yang banyak membantu saya. Bagi yang menggunakan Mirosoft Word, saya juga pasti Word 2007 misalnya banyak kemudahan yang boleh digunakan.

"Apa yang pasti, saya turut mengakui ini bukan satu proses yang mudah dan tidak juga sukar. Tetapi sedikit perancangan yang teliti dan rapi diperlukan. Bertanya, bertanya dan bertanyalah!"

Rumah lama itu...

26 November 2007 merupakan tarikh saya menjejakkan kaki di bumi asing ini. Banyak kisah suka duka perjalanan yang dicoretkan. Flat 2 Room 1, Tedder Close, Honeycroft Hill merupakan tempat berteduh saya yang pertama di bumi ini. Pada ketika itu, pengalaman baru tinggal serumah dengan rakan pelbagai bangsa dan negara benar-benar membuka kotak fikiran. Saya juga mula belajar dan lebih memahami erti toleransi antara agama dan bangsa. Hampir kira-kira empat bulan saya di sini, saya berjaya pindah ke asrama dalam kampus.

Di bumi ini juga saya lebih kenal erti kawan dan sahabat. Jika di Malaysia, perhubungan rakan lebih terhad kepada urusan kerja di pejabat dan banyak masa dipenuhi dengan tugas-tugas melayani karenah pelajar di dewan kuliah, makmal dan tidak lupa kolej kediaman, tetapi atmosfera di sini jauh berbeza.

Terlalu banyak perkara yang dipelajari dengan cepat dan berkesan. Selain mengenali penyelia dan sistem akademik yang agak berbeza, kehidupan bermasyarakat juga tidak kurang peri pentingnya. Seawal saya di sini, bilangan komuniti Malaysia boleh dibilang dengan jari. Majoriti mereka adalah berpangkat "abang" dan "kakak" yang wajar dihormati seadanya tidak kurang juga rakan-rakan pensyarah rata-ratanya dari IPT lain yang sama-sama menjejakkan kaki bagi mendaki satu lagi tangga pengajian PhD.

Kini, November 2010 bakal muncul tidak lama lagi bagi menggenapkan tempoh saya akan berada di sini. Pastinya, kurang lebih tempoh tiga tahun ini bukanlah tempoh yang pendek. Dalam tempoh ini juga, banyak bebanan tanggungjawab kepada ibu bapa dan keluarga yang saya "tangguhkan" dan mengharapkan kepada adik beradik serta ipar duai lain. Pastinya pengorbanan mereka ini tidak dapat saya balas dan akan saya kenang sampai bila-bila.

Dalam berkelana di negara orang, mengenali dan memahami budaya masyarakat Malaysia di sini juga penting. Banyak kali juga, saya tersilap langkah pada awalnya kerana terlalu mudah mempercayai orang dan tidak kurang juga kesilapan terlalu mengharap pada manusia. Saya berpendapat, dua perkara ini harus dikaji dalam-dalam, bukan sahaja di negara asing malah di mana sahaja.

Lantas, apabila terdapat kejadian-kejadian yang berlaku membuka mata dan benak pemikiran saya, keputusan drastik juga saya ambil. Pastinya, perubahan akan mendatangkan persepsi di kalangan pihak lain dan mula meletakkan label kepada kita. Tetapi, bagi saya itu tidak mengapa. Asalkan kita tahu menghormati orang lain serta menunaikan hak mereka semampu kita, selebihnya kita pulangkan kepada yang memiliki semuaNya.

Saya yakin dan percaya, bahawa:

"Janganlah saya berkawan dengan seseorang kerana
pangkatnya, hartanya, kelulusannya, rupanya dan segala yang bersifat sementara".

Akhirnya, saya juga percaya bahawa usia dan kelulusan akademik bukanlah kayu ukur tahap kematangan seseorang. Ini juga peringatan berkesan buat saya. KepadaNya juga saya berdoa agar saya berada dalam lindungan dan bimbinganNya.

Siri Penyakit PhD

Sudah lama saya perhatikan. Sebelum saya memulakan pengajian PhD dan kini sehinggalah saya selesai pengajian. Saya pasti juga, apabila saya kembali bertugas kelak, situasi sebegini juga berlaku, cuma watak dan persekitarannya berbeza. Apa yang saya maksudkan dengan penyakit PhD?

Kredit foto: husnihassan

Saya sangat kurang senang dengan sebilangan besar mereka yang telah dan sedang menjalani pengajian PhD yang suka membesar-besarkan skala kesusahan, kesukaran, kehebatan dan betapa ulungnya kajian kedoktoran mereka. Jika sekadar membesar-besarkan skala kesukaran mereka sahaja masih lagi boleh dimaafkan, tetapi janganlah sampai merendah-rendahkan malah memperlekehkan kajian orang lain.

Bagi saya mudah sahaja. Jika anda merasakan kajian anda sukar, usaha yang gigih perlu digandakan. Bukannya dengan cara memandang enteng usaha dan kejayaan orang lain atau menyalahkan faktor-faktor lain, misalnya penyelia dll.

Benar, pengajian peringkat apapun, diploma, sarjana muda, sarjana malah peringkat sekolah rendah dan menengah juga ada kesukaran masing-masing. Bukanlah kesukaran ini yang menjadi lengkuk pembelajaran (learning curve) yang perlu kita lalui dan memahami nilainya?

Saya lihat gejala ini semakin berleluasa. Saya boleh merumuskan sifat ini dibesar-besarkan bagi individu-individu yang ingin menggambarkan diri mereka adalah sangat unggul. Hanya mereka yang terbaik sahaja boleh menjalankan kajian "sukar" seperti yang mereka jalankan. Hanya mereka yang berjaya lulus sahaja merupakan insan-insan terbilang!

Saya menjalani school of thought yang tidak mengajar untuk bertindak sebegini. Benar, mereka yang berjaya layak untuk "berbangga" atas usaha dan penat lelah yang dicurahkan. Saya sama sekali tidak menafikan hak mutlak itu. Tetapi, apa yang lebih penting bagi saya ialah:

"Bagaimana kita yang telah berjaya untuk memberikan sumbangan dan membentuk lebih ramai orang yang berjaya?"

Tuesday 14 September 2010

Pembetulan Minor

Ogos tempohari antara agenda utama ialah menyudahkan urusan pembetulan tesis PhD yang diberikan tempoh selama empat bulan (tempoh maksimum yang diberikan di Brunel University bagi kes - pembetulan minor).



Ramai juga yang bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan minor corrections? Bagi menjawab persoalan ini, huraian berikut adalah khusus kepada mereka yang mengikuti pengajian PhD di UK dan untuk lebih spesifik di Brunel.

Pembetulan minor diberikan kepada calon PhD sekiranya pemeriksa bersetuju bahawa calon telah dapat mempertahankan tesis mereka dalam peperiksaan lisan dan pada masa yang sama mereka bersetuju bahawa kualiti tesis yang dipersembahkan adalah layak untuk dianugerahkan ijazah doktor falsafah. Akan tetapi, pemeriksa-pemeriksa juga berpendapat terdapat ruang yang memerlukan penambahbaikan.

Antaranya ialah kesilapan/kekeliruan/kelemahan dalam aspek:
  • bahasa - ejaan, tatabahasa, struktur ayat, dll
  • persembahan - rajah, jadual, dll
  • fakta - terlalu umum, bersifat cenderung kepada sesuatu aspek sahaja, dll

Merujuk kepada kes khusus di Brunel, berikut adalah proses-proses yang berlaku sehingga sijil ijazah doktor falsafah kita dikeluarkan.
  1. Setelah selesai semua pembetulan minor dibuat, segala perubahan perlu disahkan oleh seorang pemeriksa (lazimnya pemeriksa dalam sahaja) sebelum pengesahan dibuat untuk tujuan penganugerahan.
  2. Berikutnya, kita perlu menunggu surat penganugerahan yang akan dikeluarkan oleh Student Centre dan kemudiannya memerlukan kita menyerahkan salinan elektronik tesis PhD kita kepada pihak perpustakaan.
  3. Sekiranya status tesis kita adalah sulit untuk tempoh dan atas alasan tertentu, kita juga boleh berbuat demikian dan dengan ini tesis kita akan diperlihara statusnya sehingga tempoh berstatus sulit selesai.
  4. Proses berikutnya adalah menunggu sijil ijazah doktor falsafah kita dikeluarkan dan ini hanya dikeluarkan selepas mesyuarat senat dalam urusan penganugerahan selesai.

Kepada yang telah sampai ke garisan penamat larian maraton PhD, syabas dan tahniah diucapkan. Moga kejayaan yang diukir tidak sama sekali menjadi tiket untuk kita bersifat meninggi diri. Kepada yang sedang berusaha, gandakan usaha dan usah lupa memanjatkan doa kepada pemilikNya. "Selamat bertemu di puncak kejayaan".



Thursday 19 August 2010

What Exactly Is a Doctorate?

Dr K telah membuka ruang untuk saya lebih faham. Apa itu erti PhD? Adakah sekadar kita berfikiran kita adalah insan paling hebat di muka bumi? Senyum sampai ke telinga kerana kita sudah ada gelaran DR di hadapan nama kita atau kita akan marah apabila masyarakat tidak menyebut gelaran DR itu apabila memanggil kita?

Bacaan lanjut boleh dibuat melalui http://gizmodo.com/5613794/what-is-exactly-a-doctorate. Beberapa lakaran berikut boleh menggambarkan betapa kerdilnya kita!

Kajian yang kita jalankan besifat fokus dalam tempoh PhD

Kejayaan mengenggam PhD

Di manakah kita?