My Calendar

Friday 30 April 2010

Stupid bitch!

Kejadian ini berlaku sedang aku menunggu bas. Bagaimana seorang ibu, boleh menghedik anak perempuannya yang berumur sekitar 4 - 5 tahun dengan frasa "Stupid bitch"!


Aku terkesima dengan herdikan itu. Apalah seorang anak kecil sekitar 4 - 5 tahun faham dengan herdikan sebegitu, tetapi kalau dikaji kesan jangka panjangnya, pasti kita akan risau. Moga-moga kita tidak akan bertindak sedemikian sebagai orang dewasa yang benar-benar dewasa!

Saturday 24 April 2010

Hulu Selangor: PKR atau BN?

[Pengundi bijak]
Ini merupakan artikel tertangguh dan ketika artikel ini ditulis, Malaysia dihangatkan oleh suasana pilihanraya kecil di Hulu Selangor dan yang lebih menarik juga di sini bahang pilihanraya bagi United Kingdom pada 6 Mei, tidak kurang hebatnya. Ulasan berkaitan pilihanraya Hulu Selangor bukan bahan yang ingin dibahaskan tetapi isu pilihanraya perlu dilihat dan diperhalusi dari perspektif yang lebih ilmiah dan terpimpin.

Di sini, sudah dua kali dihidangkan dengan sesi debat di kaca televisyen yang boleh ditonton dan dihakimi oleh segenap masyarakat di sini, berlangsung antara tiga parti utama dengan menampilkan nakhoda parti masing-masing. Format rancangan ini juga mudah tetapi memberikan maksud yang besar. Soalan dari para penonton ditampilkan untuk dijawab dan didebatkan oleh ketiga-tiga pemimpin dalam pelbagai aspek, misalnya keupayaan mereka 'mengeluarkan' UK daripada belenggu krisis ekonomi, kebanjiran imigran, kesamaan hak masyarakat dan macam-macam lagi. Menariknya, setiap jawapan yang diberikan boleh juga dibidas oleh pemimpin lain. Sejujurnya, peluang dan ruang ini dapat menjelaskan kepada para pengundi akan tahap know-how seseorang pemimpin dan partinya.


Mungkinkah peluang dan ruang sebegini juga perlu ditampilkan dalam arena politik di Malaysia bagi membolehkan sang pengundi membuat penilaian seadilnya sebelum dizahirkan sebarang pangkahannya dalam kertas undi?

Thursday 22 April 2010

Deadline or Dateline?

[Kesilapan lazim]
Kita kadangkala keliru dengan beberapa istilah bahasa Inggeris yang digunakan. Misalnya deadline atau dateline, which atau that, weather, whether atau wether dan pelbagai lagi. Sebagai penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, kekeliruan ini bukanlah sesuatu yang asing, tetapi juga bukan alasan untuk kita tidak cuba memahami perbezaannya. Satu laman web yang bagus untuk dijadikan rujukan ialah seperti berikut:


Laman web ini adalah berasakan buku Common Error in English Usage. Contoh perbezaan antara dateline dan deadline dijelaskan seperti berikut:

The word “dateline” is used today mainly to label the bit of text at the top of a printed news story that indicates where and—often, but not always—when it was written. For instance, after a headline about events in Kenya, the dateline might read “NAIROBI, Kenya, June 2, 2010.”

Probably because this rather obscure word has been popularized by its use for the name of an NBC television news show, some people confuse it with “deadline,” which is most often the date by which something must be accomplished. You can miss deadlines, meet deadlines, or have to deal with short deadlines— but not datelines.


[Dihambat deadline]
Apabila dihambat masa untuk kita melaksanakan sesuatu tugas atau tanggungjawab, seringkali kita berasa sesak nafas dan seringkali menganggu fikiran, malah ada tikanya menganggu keenakan masa tidur kita. Kadang kala pernah kita telah menyediakan badan untuk beradu, tetapi fikiran kita masih menerawang akan kerja-kerja yang masih terbengkalai. Aduh! Benarlah, tidur ini adalah juga satu nikmat yang sukar diterjemah malah bagi individu Muslim perkara ini ada juga dititipkan dalam kalam Al Quran terhadap soal agihan masa [Surah An-Naba': Ayat 9].

Panduan berikut mungkin boleh digunapakai:
  1. Tulis secara jelas akan kerja yang perlu diselesaikan. 'Jelas' merujuk kepada bagaimana sesuatu tugas itu boleh dilaksanakan supaya kita benar-benar faham. Masa yang diperuntukkan kepada proses 'menjelaskan' apa yang perlu kita buat tanpa kita sedari sebenarnya akan melancarkan proses kerja kita.
  2. Letakkan sasaran jangka pendek, digalakkan sasaran harian dan mingguan. Jadi kita boleh menilai, dalam sehari misalnya selepas 9 pagi - 5 petang apa yang telah kita capai, dan selepas Isnin - Jumaat apa yang berjaya kita gapai.
  3. Untuk mengelakkan motivasi yang merudum, elok kita menggunakan konsep 'kecil dan banyak' iaitu kita cerakinkan kerja-kerja kita menjadi lebih kecil. Insya Allah, apabila kita berjaya melaksanakan sedikit demi sedikit tugas tersebut, kita akan menjadi lebih bersemangat untuk menyudahkan bakinya.
  4. Mulakan hari kita dengan melakukan tugas yang kecil dan boleh disiapkan dalam masa yang singkat. Ini bagi memastikan kita dapat membina semangat dan meneruskan dengan tugas yang lebih besar.
  5. Selang selikan dengan rehat atau aktiviti yang boleh menyegarkan, misalnya mengambil wuduk, membaca ayat-ayat Al Quran atau mungkin juga mendengar lagu kesukaan kita. Cukuplah sekadar 5 - 10 minit. Tetapi awas! Melayari laman-laman blog dan laman rangkaian sosial (Facebook dll) atau juga laman sembang (Messenger) adalah dilarang keras! Kerana fokus kerja kita akan sama sekali berubah dan menjadi melarat-larat!
  6. Hargai diri sendiri setelah sesuatu tugas yang kita tetapkan berjaya kita lakukan (pastikan dengan penuh kualiti). Tidak perlulah penghargaan itu melibatkan aktiviti yang gah dan sewaktu dengannya. Cukup dengan apa yang kita suka lakukan asal tidak berlebih-lebihan dan melampaui batas.
[Rumusan]
Pastinya panduan ini telah banyak dikemukakan oleh ramai pakar-pakar motivasi kerja dan pengurusan masa. Tapi, itu tak mengapa asalkan kita tidak jemu untuk berkongsi dan mencuba saban hari untuk menjadikan diri kita, lebih baik dan lebih baik!

Sunday 18 April 2010

EUVIP 2010

[Keputusan]
Kertas kerja kali ini ditolak lagi untuk EUVIP 2010. Anggaplah ini sebagai satu asam garam dan rutin latihan untuk benar-benar memahami tugas sebagai penyelidik. Kesediaan menerima kritikan dengan hati yang terbuka, adalah elemen penting sebagai calon PhD.


[Pengajaran]
Terdapat ulasan yang mencadangkan tiga 'related works' dimuatkan dan dilakukan perbandingan. Bagus dan ini adalah keuntungan apabila kita 'membuat latihan' menghantar kertas kerja untuk dinilai tidak kira dalam persidangan atau jurnal.

Kita seringkali terlepas pandang,
apabila kita 'terlalu' asyik dalam kajian tersebut!
[Motivasi]
Satu lagi laman yang perlu diperhalusi. Beliau adalah Dr Hadi Nur, seorang profesor madya di UTM. Perkongsian yang beliau titipkan dalam laman sesawangnya sangat mengujakan. Bukan semata-mata berkaitan kajian saintifiknya, tetapi juga 'nilai makanan dalaman' yang membuatkan diri ini lebih meneliti peranan sebagai ahli akademik.


[Proses atau hasil]
Beliau juga ada mengulas berkaitan kepentingan untuk kita menilai terhadap 'proses' atau 'hasil'. Selain itu, dalam keghairahan kita mengejar key performance indicator (KPI) dalam aspek penerbitan, beliau juga 'memberikan amaran' terhadap unwritten rules yang sering dipinggirkan dalam dunia akademik. Antaranya:

  1. Pemalsuan data: Keputusan dan dapatan 'direka'
  2. Kegagalan bersifat jujur: Adakah hasil penerbitan itu hasil kerja kita atau pelajar kita?
  3. Penerbitan bertindih: Menerbitkan artikel yang bertindan, bagi mengejar bilangan yang banyak

[Rendah diri]
Beliau juga ada menceritakan 'keunggulan' mentornya di salah sebuah universiti di Jepun. Walaupun sudah bergelar profesor yang menjadi individu rujukan dunia, masih utuh menjalankan kajian dan penerbitan. Yang paling utama ialah, sifat rendah dirinya dan keinginan untuk berkongsi apa yang dimiliki dengan orang lain (para pelajar).

"Benarlah, seharusnya apabila kita semakin mendaki tangga angkasa,
sifat rendah diri kita juga seharusnya sehebat raksasa!"

Tuesday 13 April 2010

Orang Popular

[Popular]
Bukan popular dalam Anugerah Bintang Popular, tetapi popular dalam dunia akademik! Bagi yang mengikuti dan berkecimpung dalam bidang mikroelektronik di Malaysia, nama Profesor Burhanuddin (IMEN UKM) bukan satu nama asing. Pastinya dikenali kerana kepakaran dan sebagai insan yang mempelopori bidang ini. Menariknya, laman blog beliau telah dijumpai dan ini merupakan satu bahan motivasi yang sangat baik!



[Motivasi]
Koleksi kejayaan-kejayaan beliau sangat mengesankan dan jelas menunjukkan bagaimana beliau sangat menjiwai bidang ini. Ini sangat sesuai untuk saya jadikan bahan bacaan bagi mengukuhkan motivasi diri. Moga-moga kita yang baru belajar bertatih ini berupaya sekurang-kurangnya mengikut jejak langkah beliau, InsyaAllah. Asasnya mudah! Tiada yang boleh menggantikan DOA dan KERJA KERAS!

Modal Insan

[Tersasar]
Tersasar! Itu yang boleh dikatakan. Lain yang ingin dicari, lain pula yang dijumpai. Tetapi sangat menarik untuk dikongsi dan diteliti. Saban hari, graduan IPTA sering dilabel kurang memberangsangkan dalam pasaran kerja [pelbagai alasan diberikan: Bahasa Inggeris, kelemahan kemahiran insaniah, dll].

[Pasaran kerja]
Apa yang menarik untuk diteliti dalam graf berikut adalah persaingan dan pencapaian antara IPTA dalam aspek 'graduate employment'. Ini merupakan salah satu aspek penting yang lazim dijadikan kayu ukur secara umum terhadap kualiti sesebuah insitusi. Yang ditandakan dengan kotak merah adalah UTHM. Bagi tahun 2004 dan 2008 sememangnya penambahbaikan berjaya diunjurkan. Tetapi masih belum berada pada paras purata 26%. Justeru, penambahbaikan berterusan perlu dilakukan supaya kualiti graduan dapat ditingkat dan seterusnya mengangkasan kebolehpasaran graduan UTHM. Persoalannya, bagaimana?


Fakta ini diperolehi melalui ACADEMIA INDUSTRY CONSULTATIVE COUNCIL 1/2009 (boleh dimuat turun melalui http://web.utm.my/k-economy/images/presentation/epu-hrd-slides.pdf)

[Fakta]
Membandingan dengan IPTA lain bukan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Tidak kira sama ada IPTA tersebut setahun jagung atau beratus tahun jagung, hak dan fungsi IPTA jelasnya memerlukan penambahbaikan yang serius!

Menulis lagi [POPBL]

[Book chapter]
Dah lama rasanya tak mengulas berkaitan bidang POPBL. Tanpa disangka-sangka [setelah persidangan ini dijalankan pada tahun 2007] pihak UTM telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan koleksi-koleksi artikel sebagai buku yang berjudul "Innovative Engineering Education for the Next Generation".

[Curi masa]
Terima kasih kepada H yang menjadi tulang belakang dalam penghasilan kertas kerja ini. Nampaknya, dalam kesibukan pengajian PhD ini aku perlu curi-curi masa untuk menyudahkan naskhah ini pula.

"Semoga ada kebaikan yang dapat ditinggalkan,
seandainya hari ini adalah terakhir buat aku."

Saturday 10 April 2010

Universiti ternama dunia!

[Keyakinan diri]
Dua hari lepas, baru je selesai satu persidangan yang berlangsung di UCL. Dengan yuran penyertaan yang boleh dikategorikan sebagai murah dan lokasinya juga di London, maka peluang sebaik ini tak dilepaskan.

Aku hadir dengan dua kertas kerja, satu hasil kajian peringkat PhD dan satu lagi kertas bersama pelajar PSM sebelum ini. Dalam kes kertas bersama pelajar PSM, aku hanya membantunya untuk dirinya lebih faham dan menjiwai dunia akademik. Moga-moga usaha ini merupakan satu batu loncatan kepadanya utk terus mengorak langkah menjiwai dunia ahli akademik.

Banyak pengalaman yang aku timba dalam dua hari persidangan ini. Yang paling menarik ialah bagaimana aku melihat sikap dan kualiti yang ditunjukkan oleh mereka yang mengikuti pengajian di universiti-universiti terkemuka dunia [misalnya IC, UCL, UoL] yang mana universiti mereka berada pada senarai 5 terbaik dunia! Mereka mempunyai keyakinan diri yang sangat baik!

Aku bukan dalam kategori pelajar cemerlang. Dari sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi semuanya berada pada tahap sederhana. Selepas UPSR misalnya, aku melihat bagaimana rakan-rakan yang berjaya ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan juga SMKA dan kesannya terhadap pembentukan keyakinan diri. Selepas PMR juga sama rentaknya, bagaimana rakan-rakan yang berjaya ke SBP dan MRSM. Selepas SPM pun tidak kurang bezanya, malah lebih jelas jurang keyakinan diri tambahan pula pada masa itu, aku memilih ke ITTHO [barangkali tidak cukup terkenal!].

Kini dalam pengajian PhD, aku lebih faham dan melihat dengan lebih dekat. Kesan dan pengaruh di mana kita belajar terhadap keyakinan diri. Tapi tak mengapa, dalam kitaran proses pembelajaran sebagai pelajar 'kebanyakan' yang aku lalui, aku tetap aku menyusur langkah. Setiap apa yang datang akan aku cuba lakukan dengan baik.


[Kertas kerja PhD]
Dengan izin Allah, dalam UK-MEC 2010 ini kertas kerja aku dipilih untuk 'Best Paper Award' yang mana aku langsung tidak terfikir. Ya lah, nak dibandingkan dengan calon-calon PhD dari universiti termuka dunia yang lain.


[Kelemahan pembentangan]
Tetapi, dalam aspek pembentangan aku masih banyak tercicir. Aku kena kukuhkan penguasaan bahasa Inggeris supaya boleh menyampai dan menerangkan dapatkan kajian dengan lebih fasih dan yakin. Aku akui, aku rasa sangat rendah diri berdiri di hadapan mereka dan menyebabkan aku sedikit gugup. Aku perlu perbaiki.

Tak mengapa, aku sangat percaya, selagi kita ingin belajar dan memperbaiki diri, selagi itu Allah akan tunjukkan ruang dan peluangnya. Moga aku akan senantiasa kuat dan konsisten dalam kayuhan mengejar ilmu ini.

Nota: Ada seorang kawan juga belajar di ENSTA - salah satu universiti tersohor. Moga kawan akan dapat timba seberapa banyak ilmu dan kelak dapat berkongsi apabila pulang.

Tuesday 6 April 2010

Ditolak?

[Keliru]
Ya, artikel ini ditolak dalam satu persidangan. Sedih? Ya jugak. Gembira? Ya jugak. Ini asam garam untuk menjadi penyelidik yang unggul. Percubaan kali pertama belum tentu membuahkan hasil. Persidangan ini yang bagusnya diadili oleh lima penilai dan komen-komen yang diberikan sangat baik (penilai yang rajin).


[Teruskan!]
Bagusnya, komen ini boleh digunakan untuk memperbaiki kualiti sebelum boleh dimasukkan sebagai sebahagian tesis penyelidikan. Masih jauh rasanya jalan dan pelbagai aspek perlu diperkukuhkan. Apa yang penting, tiada istilah kecewa, putus asa dan yang sewaktu dengannya.

Friday 2 April 2010

Satu lagi...

Syukur. Itu yang paling sesuai untuk digambarkan atas bantuan yang diberikanNya. Selepas manuskrip yang ditulis bersama Ben dengan bimbingan Dr. A dan Dr. H diterima dengan 'major correction' tempohari, setelah pembetulan dan penambahbaikan dibuat kini manuskrip ini diterima untuk diterbitkan dalam Journal of Signal Processing: Image Communication (IF = 1.376).


Banyak yang dipelajari dalam proses pembelajaran ini. Bukan sahaja kemahiran dalam aspek teknikal, malah lebih daripada itu. Apa yang pasti, kerja berpasukan juga amat penting dalam penghasilan kerja yang berkualiti. Semoga, dengan ilmu yang sangat kerdil ini akan lebih banyak sumbangan dapat diberikan kepada agama, bangsa dan negara.

Cabaran datang dan pergi,
masalah hadir silih berganti,
apa yang pasti, dekatkan diri kepada yang memiliki,
nescaya, kita akan menuju bahagia abadi...

Thursday 1 April 2010

Motivasi

Seorang rakan berjaya dalam viva-voicenya. Tahniah dan semangat seperti ini yang ingin kita sama-sama ambil. Walau apapun, tiada apa yang boleh menggantikan keras dan doa.

Apa iktibar buat aku sendiri?