My Calendar

Wednesday 4 December 2013

Bagaimana Menulis Kertas Cadangan, Seminar atau Laporan Projek/Makmal?


Menulis tidak semudah yang disangka, tambahan lagi apabila kita diperlukan untuk menulis dalam bukan bahasa ibunda kita serta menterjemah pemahaman teknikal sesuatu perkara. 

Dikongsikan beberapa panduan mudah untuk lebih difahami apa yang patut diketengahkan dalam sesebuah kertas seminar atau laporan projek bagi memastikan kita bukan hanya menyediakan laporan sebaliknya menyediakan naskhah yang berkualiti tinggi. 


Bahagian [Pengenalan]
Pengenalan adalah komponen penting selepas abstrak, iaitu memberikan gambaran umum kajian yang dilaporkan
  1. Pengenalan perlu ditulis menggunakan konsep "besar" kepada "kecil" atau "umum" kepada "spesifik"
  2. Gunakan "tajuk kajian" sebagai garis permulaan menulis pengenalan dengan membuat peta minda berkaitan. Pecahkan dan tuliskan fakta berkaitan
  3. Untuk jadikan pengenalan anda lebih istimewa, pastikan ada rempah ratusnya, misalnya statistik berkaitan, pernyataan dari tokoh/aktiviti utama berkaitan dll
  4. Bahagian pengenalan seharusnya menjawab persoalan "APA" kepada kajian yang ingin dilaporkan.

Bahagian [Pernyataan Masalah]
Bahagian ini menjelaskan kepada pembaca berkaitan masalah yang ingin diselesaikan bersama cadangan penyelesaian
  1. Senaraikan masalah-masalah berkaitan dengan kajian anda
  2. Senaraikan penyelesaian berkaitan dengan kajian anda
  3. Tuliskan rumusan masalah dan rumusan penyelesaian
  4. Ringkasnya, bahagian ini mesti menjawab "MENGAPA" kajian ini mesti dijalankan
  5. Jika anda tidak berupaya menulis dengan baik bahagian ini, pembaca akan melihat bahawa "kajian anda tidak relevan" kerana tiada masalahpun yang ingin anda selesaikan.

Bahagian [Objektif]
Bahagian ini MESTI ditulis dengan teliti. Jika anda silap menulisnya, hampir keseluruhan kajian ada hanyalah retorik dan tahap kebolehlaksanaannya diragui.
  1. Jangan senaraikan terlalu banyak objektif, sebaiknya tiga (3) sudah memadai
  2. Objektif lebih bagus disusun berdasarkan susur galur proses kerja yang terlibat dalam kajian yang anda lakukan
  3. Objektif mesti dimulakan dengan "kata kerja" atau "verb" yang boleh diukur. Jangan sesekali menulis proses pembelajaran yang mesti dibuat sebagai objektif, misalnya "to learn, to study" dll.
  4. Gunakan konsep S M A R T dalam menulis objektif, iaitu SPECIFIC, MEASURABLE, ACHIEVABLE, REALISTIC, TIMELY
Contoh:
This research embarks the following objectives:
1. to design an efficient circuit to ....
2. to implement the proposed circuit using ....
3. to test the systems in terms of ...


Bahagian [Batasan Kajian]
Seksyen ini penting bagi membolehkan kajian anda tidak bercita-cita untuk mengubah dunia. Sesuatu kajian TANPA batasan adalah tidak realistik. 
  1. Batasan boleh dibahagikan kepada jenis data yang terlibat, jenis pengukuran yang ingin dibuat, kawasan yang terbabit, alat yang digunakan dll yang berkaitan
  2. Ini bertujuan agar kajian lebih fokus dan tidak bersifat "broad-based"
  3. Ini juga membantu menjawab persoalan pihak luar mengapa kajian anda tidak kaji X, Y dan Z
  4. Tetapi, setiap batasan kajian mesti didatangi bersama "alasan saintifik" dan bukannya alasan mudah untuk menjadikan kajian ini bersifat mudah atau "simplistik"

Bahagian [Kajian Perpustakaan]
Pengalaman saya menunjukkan, bahagian inilah yang paling mencabar. Kerana kita bukan sahaja diminta menulis "mentah-mentah" apa yang telah kita baca. Tetapi, melakukan analisa kritikal terhadap apa yang kita baca.
  1. Pastikan bahan bacaan yang dipilih adalah berkualiti
  2. Sumber utama lazimnya ialah artikel jurnal atau persidangan, atau juga artikel menerusi majalah teknikal atau huraian paten
  3. Baca dan analias secara kritis - kaedah yang digunakan, kebaikan, kekurangan dll
  4. Tulis semula huraian berkaitan dalam ayat sendiri dan masukkan rajah/jadual yang boleh membantu kajian anda
  5. Hasilkan "spectrum of issues" berasaskan tahun untuk menjelaskan bahawa kajian anda adalah relevan
  6. Hasilkan "tabulation of issues" yang merujuk kepada parameter berkaitan kajian. Ini penting bagi menjelaskan kelompangan kajian yang boleh dimanfaatkan dalam kajian anda. 

Bahagian [Metodologi Kajian]
Bahagian ini sering disalah ertikan oleh penyelidik muda, apabila mereka lazimnya mencerita proses kajian dibuat dengan mempersembahkan "waterfall model".

Perkara yang ingin dilihat dalam bab ini adalah perincian aktiviti yang mesti dibuat bagi membolehkan objektif kajian ini dicapai. 
  1. Bina rajah blok atau rajah aliran bersandarkan objektif yang telah ditetapkan
  2. Perinciankan rajah blok/aliran ini dengan semua aktiviti major dan minor bagi membolehkan kajian terlaksana
  3. Buatkan secara pakej demi pakej supaya mudah disemak dan dikenalpasti permasalahan dan cara mengatasinya

Bahagian [Jangkaan Keputusan]
Bahagian ini seolah-olah kita menjadi "ahli nujum" dengan menjangkakan apakah yang akan terhasil menerusi kajian ini.
  1. Kita mesti jelas jenis kajian kita, adakah kita membina algoritma baru, mencertus idea senibina litar baru, menghasilkan sistem atau bagaimana?
  2. Kita mesti menulis bahawa kajian kita akan menyumbang kepada penghasilan misalnya produk baru dalam bidang X, Y dan Z

Bahagian [Kesimpulan]
Namapun kesimpulan, kalau bahagian ini ditulis lebih daripada pengenalan dan yang-lain nampak sangatlah tidak tepat.
  1. Bahagian ini tulis dengan menjelaskan tiga (3) perkara - apa yang telah dibuat, sedang dibuat dan akan dibuat
  2. Kaitkan dengan objektif kajian, adalah semuanya berjaya dicapai atau bagaimana
  3. Rumuskan juga cadangan pada masa depan bagi membolehkan kajian ini lebih berdaya saing

Bahagian [Rujukan]
Ramai yang keliru beza antara "Rujukan" dan "Bibliografi". Rujukan adalah semua bahan yang kita berikan sitasi (citation) di dalam teks laporan kita. 

Manakala bibiliografi pula adalah SEMUA bahan yang kita rujuk dan tidak semestinya ditindikkan dalam laporan/teks kita. 
  1. Pastikan rujukan mengikut format yang ditetapkan
  2. Semak kaedah penulisan nama penulis, mesti konsisten, nama persidangan, jurnal dll
  3. Rujukan mestilah terkini (lima (5) tahun) melainkan rujukan klasik dalam bidang berkaitan