My Calendar

Saturday 31 January 2015

Peperiksaan Lisan (Viva) memerlukan latihan

Tekanan sebagai pelajar penyelidikan (PhD atau Sarjana) ternyata jauh berbeza. Selagi tesis belum dihantar, selagi belum dipertahankan, selagi itu umpamanya serba resah. Esok, akan dijalankan inisiatif baharu dalam kumpulan penyelidikan yang dikendalikan. 



Tujuannya jelas iaitu mengukur berdasarkan dua (2) aspek utama penyelidikan: tesis (penulisan) dan keboleh mempertahankan tesis (penyampaian). Diharapkan latihan seperti ini akan menjadikan para pelajar "seronok" dicabar keupayaannya.

Usai sesi peperiksaan lisan olok-olok ini akan diberikan rumusan dan beberapa input penting, misalnya bagaimana menulis tesis dengan lebih berkesan, alat bantu dalam penulisan tesis, penerbitan berkesan dan banyak lagi.

Selagi boleh dibantu, akan dibantu agar mereka lebih berjaya!


Tuesday 27 January 2015

PerWIRA yang mengajar maksud sebagai WIRA!

Kini, hari-hari akhir tahun keempat berkhidmat di sini sedang dihitung. Walau pada awalnya tugasan ini begitu berat hati diterima dan mengambil masa yang agak lama berada pada fasa penafian (denial phase), amanah yang diberikan cuba dilakukan sebaiknya.

Pelbagai catatan konflik dan penyelesaian pernah dicatatkan dengan pelbagai watak dan situasi yang berbeza. Tekanan demi tekanan juga menuju daripada pelbagai sudut dan jendela. 



Rumusannya mudah, tugas ini jauh lebih istimewa setakat ini jika dibanding dengan tugasan lain sebelum ini. Skopnya lebih mencabar dan setiap hari akan berhadapan dengan cabaran yang memerlukan keputusan dibuat sebaiknya. Walau ada ketikanya, keputusan itu tidak menjadi kegemaran bagi sesetengah pihak. Itu lumrah!

Walau ada yang menganggap tugasan ini kurang impak dan peranannya, tidaklah itu menjadi keutamaan. Sebenarnya juga adalah amat menakutkan diri lagi apabila dihitung "habuan" yang diterima (contohnya, diberikan pembiayaan rumah, utiliti percuma, elaun pentadbiran) berbanding khidmat bakti yang dicurahkan.

Jika kita terlalu banyak bertanya apa yang kita perolehi, kita sebenarnya semakin membesarkan tembolok untuk disuap. Bimbang kalau-kalau kita akan jadi terlalu berkira dalam hal yang sebenarnya kita tidak layak untuk itu semua.

Sesungguhnya, kepadaNya jua keampunan dipinta. 




Thursday 8 January 2015

Gejala Meniru Dalam Peperiksaan


Hampir semua pelajar ingin mendapat keputusan yang cemerlang. Jika di Universiti, lazimnya Anugerah Dekan menjadi sasaran hampir setiap penuntut, malah ada yang begitu berbangga dengan koleksi sijil dekan yang diperolehi. Tiada masalah, tahniah diucapkan!





Akan tetapi, yang menjadi MASALAH utama ialah bagaimana proses kita mendapatkan kejayaan tersebut. 

1. Adakah kita belajar dengan penuh kejujuran? Ujian dan peperiksaan semuanya kita lakukan ulangkaji dengan teliti. Toyol, pontianak, jerangkung semuanya bukan kawan kita. Adatlah, tidak semua yang kita belajar itu mudah, ada juga yang sukar. 

Tetapi, kita tidak pernah sekalipun cuba "menipu diri sendiri", kerana kita memahami bahawa keputusan pengajian kita akan digunakan kelak untuk mencari pekerjaan. Sudah pasti, kita mahu pekerjaan dan gaji yang berkat

2. Bagaimana agaknya olahan kita dalam kerja berkumpulan? Adakah kita yang menjadi penggerak kepada gerak kerja kumpulan dan menyempurnakan tugas dengan penuh dedikasi, atau kita adalah penyangak kepada kumpulan?

Mesyuarat tidak hadir, laporan kita hanya "copy & paste", diskusi tidak kita ikuti! Akhirnya kita hanya mahu tuntut markah. Apa semua ini?

Dalam sistem pendidikan semasa, markah ujian, kerja kursus, tugasan dan peperiksaan akhir membentuk gred dan akhirnya himpunan mata nilai. Tanya diri sendiri, jujurkah kita dalam proses ini!

Tuesday 6 January 2015

2015...Nota berlumpur

Ternyata mengekal momentum untuk terus menulis di sini ternyata sangat sukar. Setiap kali memikirkan "kenangan yang tersemat" dengan blog ini, setiap kali itu rasa sayang untuk ditinggalkan. Falsafahnya mudah, ini adalah antara catatan "buku azimat" yang diharap dapat memberi manfaat kepada khalayak pembaca.



2015 dibuka dengan catatan kisah banjir yang melanda negara. Kisah ini turut membuat hati lebih "bersemangat" untuk terus memberi dan memberi apabila dikirimkan foto berlumpur oleh seorang bekas pelajar (tahniah! kini seorang jurutera berjaya). Naskhah nota ini adalah antara kompilasi nota yang pernah disediakan pada tahun 2007, ketika diamanahkan mengajar kursus asas Teori Litar Elektrik untuk pelajar tahun pertama.

Ekoran kekangan asas matematik yang perlu diperkukuhkan, maka inisiatif diambil dengan memberikan mereka bahan-bahan ini. Rupa-rupanya, nota ini masih disimpan elok walau sudah berumur hampir tujuh (7) tahun dan kini basah bersama lumpur banjir. Tidak mengapa.

Apapun, foto ini memberikan suntikan semangat agar terus menghasilkan buah tangan berkualiti untuk para pelajar. Semoga usaha kerdil dapat memberikan lampu suluh untuk mereka lebih berjaya. Inilah antara kemanisan bergelar ahli akademik!