My Calendar

Friday, 31 July 2009

Aku Ingin Kenali Diri Ini

Kita terlalu lemah
Perkara yang mudah juga tidak mampu kita tangani
Tidak mampu kita lalui
Siapakah kita untuk lupa kepadaNya?
Adakah kita hanya ingat kepadaNya pada masa kecederaan sahaja?
Pada masa kita susah
Pasa masa kita payah
Pada masa air mata tidak mampu ditanggung
Pada masa segala tindakan menjadi canggung
Ya Allah, kau bukakanlah pintu taubat dan keampunan
Agar diri ini tidak mudah leka dan lena diulit mimpi
Agar diri ini faham dan menjiwai nilai sebuah kehambaan

Nota: Foto ihsan HUSNIHASSAN

Thursday, 30 July 2009

Aku Kena Belajar 'French'

Syukur, baru jejak kaki semula ke London setelah berkelana tiga hari ke bumi 'alien'. Walaupun kali ini tiga hari, banyak jugak yang dipelajari. Moga-moga usaha kami ini akan berjalan lancar dan dimudahkan. Terima kasih kepada Dr. Abbes atas peluang dan kepercayaan, Dr. Hassan dan Dr. Yves atas tunjuk ajar dan Michael atas kerjasama. Pengalaman berkerja dengan penyelidik dari Eropah membukan satu ruang akan erti "kesungguhan" dan kurang penguasaan bahasa Inggeris bukan alasan untuk tercicir.

Aku bercadang untuk mengikut kursus bahasa Perancis la September ni, memandangkan ke semua mereka pandai berbahasa Perancis, tentu lebih mudah dan dekat dalam perbincangan. Kalau tidak, setiap kali ke Perancis, rasa macam alien sangat. Nak beli apa-apa pun susah.

Nota: Ihsan gambar HUSNIHASSAN
  1. Aku tak suka lama-lama naik 'train' walaupun London-Paris-Nancy kononnya naik keretapi laju. Emm tak boleh lagi laju ke? (Hehe..harap-harap orang Eurostar dan TGV baca blog nie? Apa hal??)
  2. Peranan penyelia dalam memberikan tekanan positif kepada pelajar adalah perlu supaya pelajar mempunyai momentum untuk maju ke depan
  3. Meletakkan sasaran yang tinggi adalah perlu dan sentiasa cuba menghasilkan kerja pada tahap yang terbaik.
  4. Penulisan kertas jurnal dan persidangan adalah latihan yang sangat baik untuk mengukuh dan merekodkan hasil penyelidikan.
  5. Semakin banyak ilmu, semakin merendah diri itu adalah lambang keilmuan yang unggul. Aku banyak bertanya pada Dr. Abbes dan Dr. Hassan yang aku kira 'soalan bodoh', tetapi mereka dengan tenang menjawab 'soalan adalah asas pemikiran'.
  6. Moga-moga 'FPGA implementation of a compression system for 3D medical images using CAVLC' menjadi kenyataan. Mudahkannya Ya Allah!

Drama dan filem Melayu: Kegilaan!

Jiwa ini terlalu dekat dengan apa sahaja yang berkaitan dengan seni. Aku gemar melukis sejak kecil dan juga menulis. Kecenderungan dalam aktiviti ini banyak dipengaruhi oleh pengamatan dan pengalaman yang dilalui bersama Along dan Angah.

Benar, cita-cita sejak kecil langsung tidak menjurus kepada bidang-bidang pengajian berteraskan sains dan teknologi. Hinggalah, selepas PMR pun aku bertekad untuk meneruksan ke kelas aliran sastera. Pada masa itu, jiwa ini kuat untuk menceburi bidang linguistik (pakar bahasa macam Prof. Nik Safiah) atau bidang seni lukis (arkitek). Tapi, itulah kita manusia. Hanya mampu merancang dan meletak perancangan, tetapi Allah yang Maha Mengetahui akan segalanya.

Salah satu cabang bidang seni yang aku minati juga adalah seni persembahan. He he....bukan la nak jadi artis (jauh sekali) Cuma suka melihat dan mengkaji sesuatu seni persembahan dan pengarahan. Pengalaman bertugas sebagai felo di TSN juga memberikan peluang memberikan buat fikiran untuk persembahan kolej pada Minggu Haluan Siswa, syukur berhasil.

Berbalik kepada kegilaan di sini menonton dan menkaji seni persembahan turut dipengaruhi oleh orang filem di sini. Seringkali, berkongsi pendapat terhadap kualiti drama atau filem Melayu (sembang kosong aje) dalam aspek pengolahan skrip, konti, pengarahan dan juga aspek ’kecantikan gambar’.

Ulasan:

  1. Ada drama dan lebih memalukan sebuah karya yang menggunakan label filem terlalu lemah dalam aspek skripnya. Aku pun kurang pasti, kenapa masih ada skrip yang apabila kita dengar pertuturannya, kita pun boleh merasakan ’kejengkelannya’ seolah-olah dibuat-dibuat.
  2. Tidak kurang juga, terlalu banyak kesilapan konti misalnya pada hari dan situasi yang sama tetapi si pelakon menggunakan pakaian yang berbeza warna? Di mana hilangnya ketelitian si pembuat drama atau filem?
  3. Ini tidak lagi termasuk, aspek solekan yang terlalu lemah. Mereka hanya ingin nampak cantik dan bergaya dengan dandanan maha hebat walaupun memegang watak bibik di dapur, ibu dalam bilik tidurnya yang baru bangun tidur. Pelik bukan?
  4. Ada tikanya, plot penceritaan juga membosankan dan seolah-oleh ’menafikan’ kebolehan penonton berfikir. Misalnya, kalau benarlah nak buat drama berkisar kepada dunia pekerjaan doktor dan peguam! Terma dan penggunaan kosa kata dalam skrip juga perlu dibuat kajian, jangan ambil mudah dan semberono (betul ke eja mcm nie?)!
  5. Ada juga pelakon yang dirasakan belum cukup sesuai untuk berlakon! Masih kaku dan keras dan dirasakan ada pelakon lain yang lebih sesuai! Jangan main tangkap muat dan kelak membuatkan penonton mual dengan lakonan yang ’lebih sudu dari kuah’!

Pasti ramai yang akan berkata: "La...fendi dah namanya pun cerita..." itulah yang sangat merisaukan.

"Kerana, kalau kita hanya melihat drama dan filem sebagai sebuah karya penceritaan dan hiburan semata-mata, tetapi bukan sebagai agen perubahan! Agen perubahan pemikiran, agen perpaduan, agen pengikat nilai kekeluargaan, agen pengukuh nilai keagamaan!"

Bagi yang berkesempatan, cubalah mengisi hati dengan sebuah filem yang tiada di arus perdana (Gadoh), pengisiannya dan mesej adalah sangat jelas! Cuma sedikit kekurangan dalam aspek garapan penyudah cerita yang terlalu mudah!. Tetapi aspek penghayatan watak oleh para pelakon dan pembawaan skrip yang ’terus terang’ dan tidak dibuat-buat sangat mengujakan!. Jelas, filem ini ingin tampil (walaupun bukan filem arus perdana) bagi mengisi kekosongan sebagai agen perubahan pemikiran dan perpaduan! Syabas buat kalian!

Kalau ada rezeki, ingin sekali aku tuliskan sebuah skrip yang berkisar kepada motivasi diri dan perjuangan dalam kehidupan. Sangat sedikit (rasanya macam tak ade je) filem Melayu yang bersifat demikian. Misalnya, sebuah novel 'Dari Kepala Batas ke New Heaven’ adalah satu bentuk novel yang seharusnya diadaptasikan kepada sebuah drama atau filem. (Mungkin ’kurang’ nilai komersial yang kononnya sangat penting dalam masyarakat kita!)

Nota: Sekadar coretan atas dasar minat semata, tidak berniat merendahkan sesiapapun. Malah, moga ada manfaat kepada yang membacanya.

Tuesday, 28 July 2009

Saya ingin menulis...Tentang...

Saya ingin sekali menulis tentang:

  1. Kegilaan menonton dan membuat analisa terhadap drama dan filem melayu
  2. Jam Belajar Pelajar: Kepentingannya kepada pelajar
  3. Aktiviti pelajar: Kuantiti atau kualiti?
  4. Saya perlu belajar bahasa Perancis !

Monday, 27 July 2009

Apa Perkembangan PhD?

Entah! Semenjak kejadian yang berlaku pada Tahun 1 PhD, membuatkan diri ini lebih berhati-hati apabila ditanya "Apa perkembangan PhD", "Bila nak abis PhD" dan yang sewaktu dengannya. Macam trauma pun ye jugak. Jawapan dia...

ENTAH???

Nota: Tiga helaian ini ditulis di St. Pancras, tak sangka ada Internet percuma dan menunggu keretapi ke Paris jam 5 pagi

Umum: PBL dan POPBL: Kenapa perlu?

Entah! Tanpa disangka-sangka PBL dan lagi-lagi POPBL jadi sangat rapat dengan diri ini bermula pada 2006. Pada masa Assoc. Prof. Mona Dahms memberikan pembentangan, langsung tidak memberikan kesan. Tetapi pada semester tersebut, mengajar pelajar tahun akhir (Mikroelektronik). Tergerak pula nak mencuba POPBL dengan acuan AFANDI (Haha! perasana la tu). Lantas, membuka ruang dan peluang. Lanjutannya percubaan tersebut membawa diri ini ke Budapest dan Aalborg. Membentang dan mendalami secara lebih dekat dan akhirnya jatuh cinta dengan bidang ini.

Pengalaman menjalankan POPBL untuk tahun 4 (mikroelektronik), tahun 3 (rekabentuk sistem digit), tahun 2 (elektronik digit) dan tahun 1 (teori litar elektrik) memberikan kesan yang besar. Melihat dan mendalami secara dekat isu dan cabaran terhadap pelaksanaan dalam budaya pendidikan tinggai di Malaysia! (Nota: POPBL telah lama bertapak dalam bidang perubatan dan Aalborg misalnya telah hampir 30 tahun menjadi universiti yang menggunakan model POPBL).

Pengalaman:
  1. POPBL perlu diterapkan seawal tahun 1 di Universiti sebagai persediaan pelajar kepada kerja berkumpulan pelbagai bangsa, profesionalisme sebagai bakal jurutera, pengurusan projek, kemahiran pembentangan, kemahiran menulis laporan dan seribu satu macam faedah lagi!
  2. Permasalahan yang diberikan dalam POPBL mestilah bersifat masalah sebenar (real problem) yang diambil dari industri supaya pelajar dibiasakan dengan masalah sebenar! Langsung memberi ruang kepada pensyarah membina jambatan bersama pihak industri
  3. Proses penyeliaan dalam POPBL mesti difahami dengan baik oleh penyelia (pensyarah) agar tidak berlawanan dengan falsafah POPBL iaitu ke arah CQI (continuous quality improvement) - mesti wujudnya gegelung tertutup (close loop)! Ini juga adalah selari dengan matlamat proses pendidikan, ke arah pembaikan berterusan
  4. Proses penilaian juga bukan bersifat menghukum! Menjadikan yang hebat akan lebih hebat dan yang lemah akan terus lemah! Sebaliknya, menjadikan yang hebat akan lebih hebat dan yang lemah kepada hebat!
  5. Sebaiknya, kumpulan ditentukan oleh penyelia (pensyarah) dengan mengambik kira faktor demografi (jantina, kelulusan akademik, etnik dll)! Banyak faedahnya.

Cadangan peribadi:
  1. PBL dan POPBL sewajarnya diperkenalkan seawal sistem pra sekolah hingga ke Universiti.
  2. Satu kerangka khas pelaksanaan diperlukan merankumi isu penyediaan masalah sebenar, penilaian, penyeliaan dan pembaikan berterusan.
  3. Latihan kepada penyelia diperlukan supaya proses bimbingan berjalan dengan sempurna.

Potensti faedah yang bakal dicapai:
  1. Pelajar: Perpaduan melalui kerja berkumpulan seawal peringkat sekolah hingga ke Universiti (memahami perbezaan budaya dan agama dapat mengecilkan jurang prejudis)
  2. Pelajar: Dicabar dengan masalah yang bersifat sebenar berbanding tugasan yang bersifat teori yang diceduk dari buku teks
  3. Pelajar: Mengukuhkan kemahiran insaniah (kerja berkumpulan, pengurusan masa, keusahawanan, komunikasi dll)
  4. Pensyarah: Membina jambatan dengan pihak industri dengan mendapatkan masalah sebenar di industri/lokasi sebenar kerjaya tersebut
  5. Pensyarah: Meningkatkan kemahiran penyelidikan melalui kajian awal terhadap permasalahan yang ingin diberikan kepada pelajar

Nota:
PBL = Problem Based Learning (Pembelajaran Berasaskan Masalah)
POPBL = Project Oriented Problem Based Learning (Pembalajaran Berasaskan Masalah Berorientasikan Projek)

Umum: Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris?

Agak lama juga tertangguh untuk memberikan komen berhubung isu ini. Teman di sini dan juga teman di Malaysia ada juga yang bertanya pendapat peribadi berhubung isu ini. Biarlah pendapat yang bakal diberikan bukan sesuatu yang dicerminkan dari sudut politik! Tetapi biarlah dilihat sekadar pandangan peribadi dari seorang anak nelayan dan peneroka.

Kisah peribadi:
  1. Bak asalnya seorang nelayan dan mak pula sememangnya suri rumah. Berpindah ke FELDA dengan niat mengubah kehidupan sekeluarga. Suasana dalam keluarga sememangnya 0 terhadap bahasa Inggeris - malah langsung tiada kesukaan keluarga untuk menonton siri di televisyen berbahasa Inggeris. Malah di Semenchu itu sendiri (pada zaman aku membesar, sekarang tak pasti pulak) nak jumpa akhbar berbahasa Inggeris juga hampir MUSTAHIL!
  2. Bersekolah aliran penuh melayu (tiada juga rakan dari bangsa Cina dan India) yang semuanya menggunakan bahasa melayu.
  3. Seawal tingkatan 1 hinggalah menjelangnya PMR, bahasa Inggeris diajar oleh guru opsyen BM. Langsung, tiada seorang pun calon PMR 1994 yang mendapat 8A! gara-gara Bola, Cangkul, Dogol dan Enggang bagi kertas bahasa Inggeris. Bukan menyalahkan guru! tetapi meletakkan akan peri pentingan peranan guru!
  4. Menulis laporan projek sarjana muda (PSM) dalam bahasa Melayu dan disertasi sarjana juga dalam bahasa Melayu (UKM! mewajibkan pelajar nusantara menulis laporan mereka dalam bahasa Melayu).
  5. Kini! Semuanya dalam bahasa Inggeris! 3 tahun diberikan untuk belajar dan mengamalkannya dan pastinya kelak menulis tesis PhD dan mempertahankannya dalam bahasa Inggeris!
Pandangan peribadi:
  1. Sistem pra-sekolah (Tadika atau tabika) mesti dimurnikan kaedah pengajaran bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu.
  2. Perbaiki kaedah pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu! Apa yang ada terlalu berorientasikan peperiksaan! Mempelajari dan menguasai bahasa adalah dua entiti yang berbeza! Bahasa mesti diajar merentasi budaya (sasteranya) bukan sekadar tahu Articles (a, an , the) atau juga kata kerja (makan, minum dll)
  3. Pandangan peribadi! Seronok mempelajari bahasa Inggeris dengan cikgu-cikgu di sini! Mengapa tidak dilaburkan dengan mengimport mereka untuk menyuntik semangat baru terutamanya di sekolah-sekolah yang sangat kritikal!
  4. Mengapa? Kurangnya korporat prihatin yang menaja program-program bersifat akademik (mengukuhkan penguasaan bahasa, sains dan matematik dll) berbanding menaja program bersifat hiburan? (Nota: Berapa banyak tajaan bagi hadiah sesebuah realiti TV berbanding program akademik untuk anak bangsa?)
  5. Pengukuhan diperlukan! Cuti semester di sekolah, universiti mesti diisi dengan program pengukuhan bahasa, sains, matematik, agama dll. Di sini, misalnya ada konsep "summer school" yang membawa pelajar dari Itali untuk mengukuhkan bahasa Inggeris, kos yang tinggi, tetapi kenapa tiada yang menaja?
Akhirnya, ini hanyalah pandangan peribadi dan semoga kita tidak hanya saban waktu memberikan komen "pelajar kita lemah", "pelajar kampung tercicir" dan seribu satu macam lagi! Usaha biarlah konsisten dan berterusan serta kajian dan kajian mesti dibuat dan dibuat dan dibuat (signifkannya erti sebuah kajian!).

Sunday, 26 July 2009

PhD: Key Performance Indicator (KPI) for PhD Study

Meletakkan KPI atau petunjuk prestasi adalah penting bagi membolehkan satu penanda aras (bench mark) dibentuk. Dalam pengajian PhD (UK system - research based PhD), penerbitan adalah satu elemen yang penting walaupun tafsiran berbeza-beza mengikut pengalaman dan persepsi penyelia. Umumnya, adalah sangat bagus jika kita berjaya menerbitkan hasil kerja PhD kita dalam jurnal berwasit dengan impak faktor yang tinggi.

Menariknya, saya terbaca di laman blog Dr. Zaidi (http://norzaidi.blogspot.com/) digariskan KPI untuk pelajar-pelajar PhD di bawah seliaan beliau.

  1. Penerbitan artikel dalam SCOPUS: 3
  2. Penerbitan buku: 1
  3. Penerbitan prosiding: 2
  4. Pembentangan Seminar/Konferen: 1 peringkat antarabangsa, 2 peringkat kebangsaan
  5. Inovasi: 3 pingat
  6. Geran Penyelidikan: 1

Semoga, saya juga mampu mendapatkan sesuatu yang boleh memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negaga, juga kepuasan kepada diri sendiri.

Wednesday, 22 July 2009

Aku Ingin Dekat PadaNya

Jauh sudah kaki ini melangkah.
Berikan diri ini kekuatan untuk menghadapi semuanya.
Usah dihiraukan bagaimana ia bermula, tetapi bagaimana untuk mengakhirinya.

Foto ihsan: husnihassan

Tuesday, 21 July 2009

Klinik Akademik 6: Bagaimana Menulis Bahagian Pengenalan?

Pengenalan:
Menulis bahagian pengenalan tidak boleh dipandang mudah. Bahagian ini boleh memberikan gambaran awal terhadap menarik atau membosankan kajian yang dijalankan.. Justeru, teknik yang berkesan dalam menulis bahagian ini perlu dipelajari.

Panduan:
Berikut adalah empat komponen utama bagi menulis bahagian pengenalan dan merupakan pandangan peribadi penulis. Terdapat tiga panduan utama dalam bahagian ini:

  1. Perlu ditulis berdasarkan konsep "broad to specific"
  2. Pastikan antara satu perenggan kepada perenggan yang lain mempunyai jambatan (bridging) yang sempurna bagi mengelakkan penceritaan nampak tergantung (story board).
  3. Latar penceritaan (story board) untuk bahagian ini perlu dibina terlebih dahulu sebelum penulisan dimulakan.

Nota: Sila klik pada imej untuk paparan yang sebenar.

Klinik Akademik 5: Bagaimana Melaksanakan Kajian Perpustakaan

Pengenalan:
Kajian perpustakaan adalah sangat signifikan dalam sesebuah kajian dan boleh dianggap sebagai jantung kepada penyelidikan. Tidak dinafikan, ada penyelidik yang akan mengambil masa yang agak lama dalam bahagian ini kerana adalah bukan mudah untuk memahami apa yang telah dijalankan oleh penyelidik lain. Tidak kira apa laras bidang kajian (sains sosial mahupun sains tulen malah aplikasi sains) dan peringkat pengajian (sarjana muda, sarjana atau kedoktoran) kepentingan menjalankan kajian perpustakaan dengan berkesan tidak harus dipandang enteng.

Panduan:
Berikut dicadangkan enam langkah yang perlu diambil dalam menjalankan kajian perpustakaan. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan pastinya setiap penyelidik mempunyai cara dan kaedah tersendiri dalam melaksanakannya. Semoga panduan ini memberikan manfaat dan membolehkan kita menjalankan kajian dengan lebih berkesan.


Nota: Sila klik pada imej untuk paparan yang sebenar.

Thursday, 16 July 2009

New Request (Things to do!)

Ada dua permintaan daripada pembaca blog ini berkaitan PSM.

  1. Bagaimana seharusnya dilakukan untuk menjalankan "kajian literatur"?
  2. Apakah perincian untuk membina sebuah kertas cadangan penyelidikan yang baik? Apa yang seharusnya ditulis dalam bahagian pengenalan, motivasi kajian dll?

Terima kasih dan saya sangat gembira. Ini menunjukkan ada insan yang sudi membaca laman blog ini. Dengan izin Allah, saya akan cuba gunakan sebaiknya masa yang ada untuk menulis dua perkara yang diminta ini.


Friday, 10 July 2009

Klinik Akademik 4: Massage Your Supervisor Ego


Nota: Untuk paparan yang lebih jelas, sila klik pada imej.

Saje je pilih tajuk macam tu. Bukan suruh urut penyelia betul2 ye, hanya "urutkan" egonya :).

Umumnya, penyelia mempunyai ego yang tersendiri, adakalanya dirasakan semuanya adalah benar-benar belaka dan langsung tidak memberikan peluang kepada pelajar memberikan pandangan. Ada tikanya juga, kehendak-kehendak penyelia sukar diramal dan tidak terjangkau oleh kebolehan semasa pelajar. Maka, permodelan di atas menjelaskan akan peri pentingnya kita (termasuk la penulis ni pun) sebagai pelajar untuk secepat dan sedaya upaya mungkin mencapai "mutual point" bersama penyelia.

Kita seharusnya mengakui, idealnya komitmen dan pengetahuan penyelia adalah seperti yang digambarkan dengan garisan merah. Aspek ini akan mengalami susut secara eksponesial songsang (betul ke??) "inverse exponential" terhadap masa. Berdoa sebanyak mungkin supaya penyelia kita begitu. Jangan kita diuji dengan penyelia yang langsung tidak faham apa itu erti penyelia dan seliaan!

Peranan pelajar pula, seharusnya seperti garisan biru (Student X), iaitu secara konsisten meningkat naik (transient period) dengan cepat dan sampai kepada satu keadaan malar (konsisten).

Tetapi, kita juga ada pilihan untuk jadi "Studeny Y" dan "Student Z" yang kita juga boleh jangkakan apa akan hasilnya kelak. Berdoa dan berusaha agar kita jangan jadi begitu. Berikut adalah panduan untuk "massage your supervisor ego":

  1. Work beyond his/her expectation! (Kalau penyelia bekerja untuk kajian 5 jam sehari, kita seharusnya 10 atau 15 jam dan lebih!)
  2. Pamerkan hasil kerja yang profesional (Buat sesuatu dengan sehabis baik tak kira sekecil mana juga)
  3. Rajin dan kesungguhan akan terpancar melalui usaha yang ikhlas untuk mendapatkan ilmu. Penyelia akan "cair" apabila melihat kita bersungguh-sungguh mencuba untuk berjaya

Cukup lah tiga nie dulu, peringatan untuk diri sendiri dan yang sudi membaca. Selamat maju jaya!

Peringatan: Ini hanyalah pandangan bersifat peribadi

Klinik Akademik 3: Alamak...nak kena mahir semua ke???


Nota: Untuk paparan yang lebih jelas, sila klik pada imej.

Berikut adalah cadangan keperluan yang seharusnya dikaji dan diambil tindakan sewajarnya. Untuk menjadi menjalankan penyelidikan/kajian tanpa mengira peringkat pengajian, keperluan-keperluan di atas tidak seharusnya dipandang mudah. Kemahiran dalam menggunakan alat bantu yang berkait rapat dengan kajian masing-masing itu pasti. Tetapi, kemahiran bukan-kejuruteraan juga seringkali memberikan impak yang sangat signifikan. Pertimbangkan situasi-situasi berikut:

"Alamak, kat mana aku simpan ek file yang penyelia bagi? folder mana ek yang aku
letak?"
"Emm...hari tu aku dah update dah report nie, yang mana satu
nie...ada mcm2 file name...ishh payah"
"mati la aku, semua code C++ dan
result semua hilang, dan aku tak buat backup pun...parah"
"adui, camne nak
tulis tesis ni mudah...dah la banyak senarai rujukan yang nak kena buat
citation"

Ini hanyalah sebahagian situasi yang seringkali berlaku. Jadi, benarlah mencegah itu lebih baik daripada merawat. Maka seawal menjalankan kajian/projek perkara-perkara asas berikut perlu diberikan pertimbangan:
  1. Buat satu akaun e-mel dan pastikan setiap kali ada dokumen/hasil baru dicapai, maka hantar kepada akaun e-mel tersebut
  2. Buat satu akaun untuk storan di Internet, misalnya Media Fire dll. Juga sebagai storan kecemasan

Moga, perkongsian ini akan dapat membawa manfaat dan membolehkan kita menjalankan kajian/projek dengan lebih cemerlang. Selamat maju jaya untuk penulis sendiri dan semua yang sudi membaca.

Peringatan: Ini hanyalah pandangan bersifat peribadi.


Friday, 3 July 2009

Klinik Akademik 2: Memulakan PSM (Projek Sarjana Muda)...Nak Buat Projek Jenis Apa Ek?

Situasi: Jenis projek bagaimana yang harus dibuat? Nak yang mudah ke atau yang 'gempak', yakin ke boleh siap dalam dua semester?
Panduan: Sila rujuk rajah berikut dan moga-moga membawa manfaat.
Nota: Untuk paparan yang lebih jelas, sila klik pada imej.

Berdasarkan pengalaman, jenis projek boleh dikelaskan kepada A, B, C dan D seperti di atas. Setiap penyelia pasti ada kecenderungan masing-masing, begitu juga pelajar. Permodelan dalam persamaan (i) dan (ii) merupakan sekadar pandangan peribadi akan seharusnya watak sebuah PSM, atas justifikasi berikut:
  1. Selari dengan kaedah penyelidikan yang dirasakan betul (bermula dengan kajian awal (mendapatkan permasalah sebenar di industri), permodelan (simulasi), pelaksanaan projek (perkakasan) dan akhirnya adalah ujian (validity).
  2. Mudah menonjolkan bahawa semua komponen yang diperlukan adalah mencukupi dan selari dengan hasil pembelajaran (learning outcome) yang diperlukan dalam mata pelajaran PSM ini.
  3. Mudah menjelmakan "amaun" kerja yang telah dijalankan kepada panel penilai semasa pembentangan akhir projek.
  4. Mudah mendapat tempat kelak di industri kerana masalah yang dikaji dan diselesaikan adalah masalah sebenar (real problem).

Contoh kajian pelajar saya terdahulu yang boleh diguna pakai bagi menggambarkan jutifikasi di atas.

Contoh 1: "Development of Monitoring System for UTHM Cleanrooms'"

  1. Dalam menguruskan sebuah cleanroom, sememangnya pemantauan (monitoring) yang berterusan adalah sangat kritikal dan diperlukan.
  2. Elemen kritikal yang perlu dikawal seperti suhu, kelembapan, gegaran bagi memastikan proses fabrikasi litar bersepadu berjalan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
  3. Projek yang dibangunkan merangkumi: Pengaturcaraan menggunakan pengaturcaraan grafik (LabVIEW), penggunaan Data Acquisition (DAQ) Hardware bagi sebagai antaramuka sistem dengan litar pengesan suhu, kelembapan dan gegeran yang dibangunkan (berasaskan PCB).
  4. Pembangunan model pelaksanaan sistem bagi menguji kebolehkerjaan sistem.

Contoh 2: "Development of Supervisory Controlling System for Industrial Based System'"

  1. Dalam menguruskan sebuah kilang/industri berskala besar, penyeliaan dan pengawalan terhadap operasi adalah sangat penting kerana memberikan kesan kepada keselamatan dan produktiviti.
  2. Elemen kritikal yang perlu dikawal seperti kelajuan sistem takal, berat dan bentuk produk memastikan proses sistem takal berjalan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
  3. Projek yang dibangunkan merangkumi: Pengaturcaraan menggunakan pengaturcaraan grafik (LabVIEW), penggunaan Data Acquisition (DAQ) Hardware bagi sebagai antaramuka sistem dengan sistem motor
  4. Pembangunan model pelaksanaan sistem kawalan bagi sebuah kilang bagi menguji kebolehkerjaan sistem.

Pesanan penting:

  1. Silalah berbincang dengan tuan/puan penyelia, diyakini kepakaran mereka dapat membantu memudahkan perjalanan anda semua.
  2. Rujuklah seberapa banyak sumber dan individu ke arah idea yang lebih bernas.

Peringatan: Segala pandangan dan panduan yang diberikan adalah bersifat pandangan peribadi. Hanya bertujuan untuk berkongsi dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

To Do List for 'my hobby' (3 July 2009)

I want to share the following ideas, on The Will of Allah.

  1. Examples of "problem statement"
  2. What kind of project should I choose? Research based, software development, hardware development, hardware and software development or industrial based project?
  3. What 'tools' do we need for PSM? Engineering tools (hardware and software for the project implementation) and non-engineering tools (Folder management, documentation tool: Word, Latex?, drawing tool, presentation tool etc)?

May Allah help me.

Klinik Akademik 1: Memulakan PSM (Projek Sarjana Muda)...Jangan Cari Tajuk Dulu!

Situasi: Aku sangat2 blur camne nak mulakan PSM nie. Jumpa penyelia, penyelia suruh propose tajuk sendiri. Camne aku nak tau tajuk yg sesuai, adakah tu level PSM, kang buatnya itu level master ke PhD ke? Aduh...buntu la...
Panduan: Sila rujuk carta berikut dan moga-moga membawa manfaat.


Nota: Untuk paparan yang lebih jelas, sila klik pada imej.

Peringatan: Segala pandangan dan panduan yang diberikan adalah bersifat pandangan peribadi. Hanya bertujuan untuk berkongsi dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

Thursday, 2 July 2009

2 Julai 2009

(50 + 400) GBP
Syukur, Terima Kasih,
Bukan Gagal, Tapi Belum Berjaya