My Calendar

Saturday 15 September 2012

Mendidik Jiwa Pemimpin

Projek arnab dengan kelahiran generasi pertama

Projek tanaman serai

Seringkali kita dengar persoalan, "adakah pemimpin yang hebat itu dilahirkan atau dilatih?" Sekiranya jawapan "pemimpin hebat itu dilahirkan" atau juga "pemimpin hebat itu dilatih", apa yang utama ialah skala nilai tanggungjawab yang perlu disemai dalam diri setiap pemimpin.

Dalam kapasiti pemimpin pelajar khususnya di Kolej Kediaman Perwira, antara pembaharuan dalam program latihan dengan konsep "to learn & improve" yang diwujudkan ialah menguruskan dua (2) projek utama, iaitu Taman Penyelidikan & Rekreasi Arnab serta Taman Mini Botani Serai, Cili & Kunyit.

Sejujurnya, ada yang mentertawakan idea baru ini namun matlamat yang ingin dicapai cukup jelas. Mengapa pemimpin pelajar ini dilatih menguruskan haiwan dan tumbuhan?

Jika diperhalusi, dengan menguruskan haiwan (arnab sebagai contoh) dan beberapa tanaman seperti serai, cili dan kunyit secara langsung dapat mendidik seorang pemimpin pelajar untuk lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan mempunyai sifat rendah diri.

Kelmarin misalnya, mereka menguruskan bagaimana untuk memanfaatkan najis arnab secara "eco-friendly" dan kelihatan kerja ini agak kotor! Tetapi, falsafah di sebalik kerja-kerja ini yang lebih jelas kemanisannya.

Hanya kepadaNya dipohon agar pemimpin-pemimpin pelajar ini di bawah bimbinganNya dan bukan sahaja hebat fizikalnya, tajam mindanya malah cekal jiwanya.

Friday 14 September 2012

Bukan Sekadar Sebuah Kolej Kediaman


Ada sesetengah pihak melihat, mentadbir sesebuah kolej kediaman di Universiti, tidaklah sesukar mana, kerana yang diurus tadbir adalah pelajar Universiti dan bukan kanak-kanak tadika!

Kerana, secara kasarnya kelihatan mengurus kolej kediaman tidak lebih daripada menyediakan penginapan kepada para penghuni dan melaksanakan beberapa aktiviti pelajar untuk memenuhi indeks pengukur prestasi (KPI) dan melaksanakan beberapa tugas yang diarahkan dari semasa ke semasa.

Jika inilah sahaja ruang lingkup sebuah Kolej Kediaman di Universiti, maka banyak perkara perlu disemak dan diperhalusi. Alangkah baiknya andai Kolej Kediaman yang merupakan "rumah kedua" semua pelajar tahun satu di Universiti "bukan sekadar sebuah kolej kediaman".

Untuk muncul melangkaui sempadan kebiasaan, strategi-strategi berikut cuba dipergiatkan:

1. Menguruskan Kolej Kediaman seumpama mengurus sebuah syarikat atau perniagaan.
Konsep "keusahawanan" mesti diterapkan dalam segenap aspek. Minimumkan kos atau mungkin hapuskan sahaja kos-kos yang membebankan, sebaliknya sumber kewangan mesti dijana sendiri dan tidak hanya bergantung kepada dana sedia ada.

2. Merangka pelan perubahan ke arah memastikan "jenama" Kolej Kediaman mendapat tempat di hati penghuni dan seluruh khalayak Universiti.
Dalam hal ini, analisa SWOT diperlukan agar jenama yang cuba dikembangkan selari dengan sumber-sumber yang ada di Kolej Kediaman. Ada tikanya, kontroversi juga perlu, tetapi perlu juga diperhalusi dengan berhati-hati.

3. Melatih ahli pasukan yang memahami dan menghargai konsep ilmu.
Ini sangat penting, kerana menguruskan Kolej Kediaman bukan kerja "one man show". Sangat membantu andai ahli pasukan juga berjaya menghayati mengapa Kolej Kediaman perlu lebih daripada sekadar lokasi penginapan!

Universiti, bukan sekadar untuk lulus

Tempat ini telah beberapa tahun saya tinggalkan, tetapi pelbagai asam garam kehidupan yang dipelajari di sini. Antaranya belajar membina keyakinan diri dan mengenali apa tujuan sebenar kita belajar dan kaitannya dengan kehidupan yang hakiki.

Baru-baru ini, seorang sahabat memberikan buah tangan ringkas tetapi dekat di hati, sebuah beg cenderhati keluaran Universiti dengan tulisan:


Benar, semua yang mendaki tangga menara gading ingin mendapatkan segulung ijazah sebagai tiket untuk mendepani dunia kerjaya. Tetapi, adakah ini memadai? Adakah boleh dipastikan segulung ijazah itu melayakkan kita duduk di kerusi empuk kerjaya pilihan kita?

Dunia Universiti akan menjadi sangat lesu dan bertentangan dengan fungsinya jika isinya hanya memikirkan bahawa hanya gred dan kelulusan sahaja yang menjadi nadi dan fokus. Untuk lulus itu tidaklah sukar!

Tetapi, bagaimana dengan fungsi sebenar Universiti untuk memberikan latihan bagi menghadapi kehidupan di luar sana? Kehidupan yang sementara dan juga kehidupan yang hakiki?