My Calendar

Friday 19 August 2011

"Work Beyond Your Boss Expectation"

Semakin kurang catatan yang saya lakukan di sini. Semoga akan ada lebih banyak perkongsian yang saya boleh lakukan sebagai antara terapi kepada diri sendiri selain moga-moga hasil tulisan ini boleh memberikan manfaat kepada yang sudi membaca. Saya berhutang satu ulasan berkaitan tajuk tulisan ini, beliau telah lama meminta saya memberikan sedikit gambaran bagaimana dapat kita tawan hati penyelia, dalam ertikata supaya hubungan profesional yang baik dapat diwujudkan antara penyelia dan pelajar.


Saya sengaja letakkan gambar "satay sayur" yang saya sediakan sempena aktiviti di jabatan tempohari. Sekali imbas, tiada apa yang istimewanya asalkan boleh dimakan sudah la. Apa nak fikir susah-susahkan. Tetapi, saya fikirkan ada "seni" dalam menyusun jenis-jenis sayur ini termasuk kombinasi warna yang perlu ada agar dapat membuka selera mereka yang melihatnya kelak.

Perkara yang sama juga dalam memenangi hati penyelia, kita perlukan seni yang ikhlas supaya hasilnya juga menguntungkan kedua-dua pihak. Saya kongsikan sedikit panduan moga-moga memberikan manfaat.

Pertama: Penyelia lazimnya mempunyai harapan yang tinggi kepada pelajar seliaannya. Harapan yang tinggi bermaksud pelajar dianggap berupaya untuk berdikari tetapi pada masa yang sama tidak mengenepikan penyelia. Sebarang cadangan tindakan, terutama yang boleh memberikan kesan besar ada baiknya dibincang bersama penyelia. Bukan tandanya pelajar itu manja, sebaliknya "seni" perbincangan ini dapat memberikan pengiktirafan kepada kepakaran penyelia. Penyelia rasa dihargai peranannya!

Kedua: Usahkan "tidak boleh" itu lebih banyak daripada yang "boleh". Ini satu penyakit besar pelajar yang "keras kepala" dan mudahnya bagi saya mempunyai "mental block". Setiap apa yang ditugaskan ada sahaja alasan negatif yang diberikan. Saya berikan contoh mudah, andai penyelia meminta pelajar membantu mereka logo dan laman web kumpulan penyelidikan kita, itu tandanya penyelia menaruh percaya atas kebolehan kita. Memang benar, laman web itu bukanlah "contribution" kepada pengajian kita secara langsung tetapi pengalaman dan kesungguhan kita ini yang berupaya memenangi hati penyelia.

Ketiga: Biarlah buat "over and above". Maksudnya, apa yang seharunya menjadi tanggungjawab sebagai pelajar dibuat dan turut di"top-up" dengan pelbagai cadangan dan tindakan lain yang boleh mempercepatkan perkembangan pengajian. Ada penyelia yang suka memerhati dan melihat keupayaan pelajar "memimpin penyelidikan" masing-masing. Andai pelajar tidak bersungguh-sungguh dan hanya nanti disuruh, alamatnya "ke longkang" lah akhirnya penyelidikan tersebut.

Keempat: Biarlah hasil yang menerangkan keupayaan kita. Orang bijak pandai ini ada juga yang berpenyakit "tin kosong", makna kata ialah bercakap lebih banyak daripada bertindak! Elakkan kita terjerumus dalam penyakit buruk ini. Penyelia adalah individu pakar yang boleh menilai, adakah kita "tin kosong" atau "ubi yang berisi".

Kelima: Hormati hubungan profesional penyelia-pelajar. Saya secara peribadi sangat teruja dengan kaedah hubungan profesional yang dilatih oleh penyelia saya. Beliau tidak sewenang-wenangnya menghubungi saya menerusi talian telefon. Saya akan sangat bimbang kalau tiba-tiba ada "miscall" di telefon daripada beliau. Itu tandanya ada sesuatu yang sangat penting. Beliau hanya berhubung dengan pelajarnya melalui emel. Saya belajar menghormati cara kerja beliau dan ternyata kesannya sangat mengujakan. Ini berbeza dengan amalan sesetengah pelajar, sewenang-wenangnya menghubungi telefon bimbit penyelia tanpa mengira skala kepentingannya, tanpa mengira apakah yang disukai penyelia dan yang tidak disukai, membiarkan emel penyelia tidak dibalas walaupun hanya menggunakan satu abjad (boleh jadi "K" sahaja - walau ternyata sangat kurang sopan sebagai anak murid!). Entah, kadang-kadang sangat sukar juga untuk mengubah budaya dan cara berfikir!

Cukuplah lima pesanan utama ini berhubung bagaimana boleh kita menghasilkan sesuatu di luar batas jangkaan penyelia. Hubungan penyelia-pelajar adalah satu hubungan unik dan penuh misteri, maka kita perlu "membuat penyelidikan" dan melaksanakannya dengan penuh "seni keikhlasan". Semoga kita semua berjaya!

Hadiah Ramadhan

Sejak mula artikel ini dihantar pada 8 Oktober 2010, kemudian melalui dua (2) kali proses penilaian, kali pertama seorang penilai bersetuju dan seorang lagi tidak gembira dengan hasil yang kami sediakan. Sekali lagi, kami buat penambahbaikan demi menjaga kualiti dan memuaskan hati penilai kedua, syukur akhirnya artikel ini diterima untuk diterbitkan dalam Springer Journal of Real-time Image Processing dengan impak faktor 0.960 (2010).

Saya sifatkan hasil artikel ini sebagai satu motivasi untuk saya agar tidak sama sekali mengabaikan aspek penerbitan (walaupun banyak sekali projek tertunggak yang belum dibereskan) dalam pada sibuk dengan amanah-amanah lain yang turut perlu dikerjakan.

Saya masih menanam azam untuk memastikan artikel terbengkalai saya dalam kategori kertas tinjauan (survey paper) untuk berikan tanda noktah. Terasa benar-benar merugikan apabila bahan yang ada tidak disudahkan sebagai sebuah karya yang boleh memberikan manfaat kepada rakan penyelidik lain. Semoga saya dapat terus mencuri masa untuk menulis dan sekalung terima kasih buat semua yang sentiasa memahami dan menerima saya seadanya.