My Calendar

Monday 1 February 2010

Berguru

Sedikit lega. Mungkin itu yang boleh digambarkan selepas melalui satu minggu yang penuh dengan pengalaman yang agak menyesakkan dan penuh ujian ketahanan (fizikal dan mental). Semalam manuskrip versi akhir 'minor revision' telah dihantar kepada Dr. A dan Dr. H. Ya, dengan harapan apa yang telah dilakukan berjaya memuaskan hati mereka. Dan lagi, yang lebih utama dengan izin Allah, diharapkan agar 'reviewer' dan 'journal editor' akan berpuas hati dengan segala penambahbaikan yang telah kami lakukan dan seterusnya bersetuju untuk menerbitkannya.

Menjadi ahli akademik dan penyelidik, selain pembentangan kertas kerja dalam persidangan, penerbitan artikel dalam jurnal juga adalah satu kepuasan dan perkara yang wajar menjadi 'kegilaan'. Tetapi, dalam proses untuk menghasilkan sebuah 'karya' perkara yang perlu diteliti, misalnya,
  1. Mencapai spesifikasi diri sendiri (sebagai pemilik karya yang utama)
  2. Mencapai spesifikasi penyelia dan bertolak ansur dengan perselisihan pendapat di kalangan penulis-penulis.

Pertama: Spesifikasi diri sendiri
Nampak seperti mudah kerana kita hanya berhadapan dengan diri sendiri, tetapi ini juga adalah sangat sukar. Kerana, sebagai pemilik 'karya' penyelidikan yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hasil kajian dan setiap patah kata yang kita tulis, kita perlu benar-benar faham kandungan kajian. Memahami sebagai pembaca, dan memahami sebagai penulis adalah dua perkara yang tinggi jurang perbezaannya. Seringkali kita membaca artikel penyelidik-penyelidik lain dan tidak dapat menangkap maksudnya, tetapi ada juga artikel yang mudah kita ikutinya.

Mengapa?
A: Adakah kita masih kurang ilmu, atau
B: Kaedah penulisan penulis yang kurang berkesan?

Secara peribadi, kedua-duanya benar.

Kedua: Spesifikasi penyelia dan perbezaan pendapat para penulis
Persoalan yang menakutkan! Sehingga detik ini, belum pernah ada artikel yang dihantar kepada tuan penyelia yang terus dipersetujui untuk dihantar! Pernah juga, ada artikel yang terus ditolak untuk dihantar! Ya, bagus kerana ini adalah proses untuk belajar dan terus belajar, tetapi seringkali juga rasa terduduk hampa dengan ceteknya ilmu dalam bidang pengajian dan juga kemahiran penulisan artikel akademik menggunakan dalam bahasa Inggeris. Tapi ini tidak mengapa, selagi sang guru tidak jemu memberikan pandangan, selagi itu diri ini akan terus cuba memuaskan apa yang digariskan.

Perbezaan pendapat antara penulis juga pasti wujud. Ini yang menarik! Sebagai ahli akademik dan penyelidik kita perlu ada sifat 'sedia menerima kritikan' dan 'terbuka'. Kita tidak tahu semua perkara dan inilah peranan rakan penulis/penyelidik untuk memberikan maklumbalas. Jadi, usah membentak-bentak seperti anak kecil untuk menegakkan benang yang basah, kalau benar itu memang kekhilafan kita! Tetapi, jangan pula kita tiada pendirian! Sebab itu penting untuk faham apa yang kita buat dan apa yang kita tulis. Setiap apa yang kita buat, mesti ada sebab dan alasan!

Ini biografi rakan penulis dalam satu artikel akademik. Semuanya mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Sangat bagus, dalam satu pasukan untuk kita memaksimumkan kelebihan masing-masing, dengan ini kekurangan dapat kita minimumkan.

Pengalaman menarik sepanjang seminggu bersama Dr. H juga memberikan kesan yang besar. Mengenali Dr. H membuatkan rasa kagum pada nilai ilmu. Beliau seorang yang sangat rendah diri dan penuh hikmah. Pernah sekali saya cuba bertanya dan bimbang akan kalau-kalau soalan itu tidak begitu bijak, lantas beliau menjawab, "setiap soalan adalah pembuka ruang ilmu, jadi tiada soalan yang tidak bijak". Beliau akan menerangkan dengan bersungguh-sungguh kepada saya kenapa perlu ditulis begini dan apakah sebabnya. Dr. H berpesan, dua nilai yang perlu ada: 'argumentative' dan 'reasoning'. Jangan hanya terima apa sahaja yang kita baca, sebaliknya tanya 'why?', 'how?'.

Yang lebih menyakitkan, Dr. H juga telah membuat penelitian kepada hasil kajian saya. Dan .... beliau mendapati ada hasil kajian yang agak meragukan. Nah! Saya perlu 're-implement' senibina-senibina yang telah saya buat! Sakit tetapi sangat berguna! Walaupun Dr. H bukan penyelia saya, tetapi beliau sangat ikhlas untuk tidak membuatkan saya terus silap.



Tapi, ini juga bukan bermakna penyelia saya yang wajar saya salahkan! Terkilan sedikit memang ada, tetapi bila saya perhalusi, memang salah saya. Penyelidikan ini adalah milik saya dan penyelia hanyalah penasihat. Dr. A ada 11 pelajar yang perlu diteliti, jadi saya tidak boleh bersifat keanak-anakan dan terlalu mengharapkan beliau! Saya perlu jadi lebih matang dan bijak menangani keadaan. Sumbangan Dr. A kepada saya sangat signifkan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan contoh yang memberikan saya semangat untuk terus ke hadapan. Persamaan antara Dr. H dan Dr. A ialah, kedua-dua mereka kritis dan sangat cerewet! Tapi tidak mengapa, cerewet untuk menjadikan saya menghasilkan hasil kerja yang lebih berkualiti.


Benjamin juga seorang yang sangat cekap dan mahir dalam VHDL. Beliau adalah guru saya dalam VHDL. Saya harapkan, saya dapat kemahiran sepertinya. Ini yang agak perlahan bagi saya. Sekarang ada 'board' baru yang perlu saya belajar menggunakan. Saya mesti!


Rumusannya, sikap dan cara kita berfikir perlu positif. Kalau misalnya kita tidak dapat seperti yang kita harapkan dari penyelia, kita kena mencari 'secret weapon' untuk membantu kita. Dan sekali-kali jangan bersifat keanak-anakan! Belajarlah menjadi ahli akademik dan penyelidik yang MATANG!

1 comment:

Mohsen Amdan said...

Keep up the good work bro!