My Calendar

Tuesday 24 May 2011

Perkongsian: POPBL

Tanpa dirancang, saya diberi peluang untuk berkongsi sedikit pengalaman dalam mengendalikan kaedah POPBL kepada rakan pensyarah lain. Bezanya, kali ini saya diminta berkongsi kepada staf akademik UTM, UTeM dan UTHM sendiri dalam Bengkel Pengukuhan Kaedah Pembelajaran Berpusatkan Pelajar, anjuran KPT bertempat di Persada, Johor.

Nyata, ini bukan sama sekali satu tugas yang mudah. Berdiri di hadapan ahli-ahli akademik pelbagai institusi pasti mengundang rasa rendah diri dan pelbagai rasa mual yang pelbagai. Apatah lagi, antaranya barisan pembentang sebelum saya ialah salah seorang individu terkenal dalam bidang SCL dari UTM. Dalam kesibukan tugasan seharian, saya cuba sedaya upaya membuat sedikit analisa bahan yang perlu saya tampilkan. Bantuan seorang rakan baik memberikan "viva kedua" kepada saya berkaitan POPBL memberi sedikit keyakinan untuk saya berkongsi apa yang ada.

Pada hari kejadian, usai tiba di Persada Johor dengan melihat keadaan seisi dewan yang penuh (kira-kira 300 peserta) sememangnya membuatkan saya tak senang duduk. KepadaNya juga saya panjatkan dan mohon agar segala yang ingin disampaikan dimudahkanNya. Syukur, dengan izinNya, saya dapat menyampaikan seperti apa yang dirancang. Pada masa akan datang, komunikasi Bahasa Inggeris saya perlu dipertajamkan untuk menjadikan sesi lebih menarik. Pembacaan juga perlu saya perbanyakkan bersama kajian-kajian yang lebih terkini berkaitan POPBL ini.