My Calendar

Saturday 30 April 2011

Gagal

Keputusan akhir gred kursus yang saya diamanahkan untuk mengajar pada semester kali ini telah siap. Sepanjang saya bergelar pensyarah, keputusan kali ini adalah rekod tercorot yang pernah dicatatkan. Bilangan pelajar yang gagal adalah sangat-sangat tinggi peratusannya dan mereka yang lulus juga hanya sekadar dengan kelulusan "cangkul" sahaja.

Saya benar-benar "terpukul" dengan pencapaian ini dan memerlukan saya menilai kembali kelemahan dan kekuatan saya dalam aspek pengajaran. Saya lihat, usaha saya untuk memberikan dorongan dan motivasi kepada pelajar juga kurang berhasil. Barangkali, usaha yang dibuat tidak mencukupi dan strategi saya adalah meleset!

Entah, saya sedikit buntu dan memohon kepadaNya agar diampunkan dosa-dosa saya :(

Kini Kalian Bergelar "Dr"

Cerita ini mungkin sudah basi. Bermula Februari lalu, beberapa rakan rapat di Brunel dan Ulster berjaya mempertahankan tesis kedoktoran masing-masing. Sebagai rakan, saya sangat gembira mendengar khabar ini. Pastinya, dengan selesainya satu tugasan dan amanah untuk menggenggam segulung ijazah kedoktoran akan memberikan warna baru dalam hidup kalian. Selain dariapda cabaran untuk mendapatkan pangkat "Dr", cabaran yang lebih besar ertinya ialah bagaimana untuk kita membawa pangkat itu di depan nama kita. Adakah kita sekadar tersenyum riang apabila dipanggil sebagai "Dr"? atau mungkin kita akan berang apabila pangkat itu tidak disebutkan apabila nama kita dipanggil?

Mari kita sama-sama renung ketika seawal kita mula bertatih bergelar sebagai calon PhD. Banyak sekali asam garam, suka duka, cabaran dan segala yang berkaitan yang dilalui. Kita pastinya pernah jatuh, menangis dan ada juga masanya rasa seolah-olah ingin sahaja berhenti. Tetapi, kita kumpulkan kembali kekuatan dan teruskan hanyunan langkah.

Akhirnya, apabila kita sudah mampu mendongak ke langit, jangan sesekali kita lupa rumput yang kita pijak di bumi. Marilah sama-sama kita membantu dan menjalankan tugas dengan lebih baik dan berikan perkhidmatan terbaik kepada semua di sekeliling kita. Tahniah untuk kalian semuanya!

Thursday 28 April 2011

Tugasan

Sejujurnya, saya kurang selesa untuk menulis secara jelas berkenaan tugasan ini. Sejak diamanahkan dengan tugasan ini pada 1 Mac 2010, rutin kehidupan juga banyak yang perlu disesuaikan semula. Tidak kurang juga, ramai yang menyangka bahawa saya yang "memohon" untuk diberikan tugasan ini. Walau apapun, perancangan kita sebagai manusia adalah terlalu lemah.

Hari ini, saya fikirkan tiada gunanya saya "mengeluh" dengan tugasan ini. Tugasan ini perlu saya lihat sebagai ruang untuk saya mendekatkan diri kepadaNya. Itu sahaja jawapan dan motivasi paling kuat untuk saya sebagai hambaNya. Andai dalam menjalankan tugasan ini, kita menjadi kurang popular, tidak disenangi dan segala yang sewaktu dengannya, apa yang perlu sebati dalam jiwa saya ialah "mencari damai abadi, mencari redha sejati".

Sunday 24 April 2011

Semangat 2011

Setelah artikel ini dihantar sekitar Oktober 2010, akhirnya keputusan yang agak positif diterima. Syukur, kerana pembetulan minor diperlukan dan dihantar semula untuk semakan pada 3 Mei 2011. Saya perlu kejar dan gandakan usaha untuk memastikan kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan tidak terbengkalai, termasuk juga penyeliaan pelajar.

Ada tikanya, rasa bersalah juga kerana tidak dapat memberikan banyak masa untuk pelajar-pelajar seliaan saya. Tetapi saya juga sedikit gembira melihat mereka mula belajar erti berdikari dan percaya pada diri sendiri. Saya kira, ini juga ramuan penting dalam dunia penyelidikan.

Untuk cuti yang agak panjang ini juga, saya sudah merangka beberapa agenda untuk ahli kumpulan penyelidikan kecil saya bergerak. Saya juga akan cuba sepenuhnya membuat persediaan rapi memastikan kerja-kerja penyelidikan dan penulisan yang tertunggak dapat saya lunaskan. Semoga niat yang baik ini dapat memberikan banyak manfaat kepada segenap pihak.

Kesibukan

Kita selalu diingatkan, antaranya ialah persediaan yang perlu dibuat sebelum datang waktu sibuk dan juga sebelum datang waktu sakit. Ini yang boleh saya sifatkan keadaan yang benar-benar mencengkam saya April ini. Banyak benar rasanya benda baru untuk saya tangani dan pelajari dalam masa yang singkat. Apa yang membuatkan sedikit kekesalan di hati ialah ... Ya Allah bantulah diri ini untuk senantiasa dalam bantuan dan redhaMu.