My Calendar

Thursday 3 July 2014

Pilih Tajuk atau Penyelia

Dalam menjalankan penyelidikan dalam pengajian (sama ada sebagai calon PhD, sarjana atau projek sarjana muda), pasti persoalan antara tajuk dan penyelia menjadi dilema besar. Ada yang cenderung mengatakan lebih penting memilih tajuk/tema kajian yang diminati agar boleh melakukan rencana kelak tanpa banyak kesukaran.

Tidak kurang juga ada yang menegaskan, betapa peri pentingnya untuk memastikan penyelia yang dipilih adalah setepat mungkin. 

Akan tetapi, sedarkah kita bahawa kedua-dua elemen ini adalah bersifat pembolehubah bersandar. Apa maksudnya?

  1. Tajuk kajian lazimnya bersifat sementara. Sampai suatu ketika, kita diperlukan menyemak kesepadanan kandungan dan pencapaian kajian dengan judul yang ingin dicatatkan sebagai tajuk tesis, disertasi mahupun laporan akhir
  2. Penyelia juga bukanlah bersifat pemalar. Kerana, ada ketikanya daripada sembilan (9) orang yang diselia ada juga yang menemui noktah dan titik kebuntuan. Ada pula di bawah penyeliaan yang serupa berjaya menggapai kejayaan yang pelbagai. 

Inilah yang sangat signifikan untuk kita sama-sama perhalusi. Secara peribadi, apa yang lebih penting dalam soal ini ialah lakukan kajian literatur terlebih dahulu kepada diri kita sendiri. Dapatkan jawapan bagi dua (2) persoalan utama berikut:

  1. Adakah saya seorang yang berdisiplin tinggi? Tidak perlu disediakan buku log kehadiran tetapi saya boleh memastikan saya bekerja sekurang-kurangnya lapan (8) jam sehari
  2. Adakah saya seorang yang sangat berdikari? Saya tidak sedikit pun kisah jika terpaksa ke hulu dan hilir untuk merungkai persoalan kajian, sanggup duduk berjam-jam di hadapan skrin komputer untuk mendapatkan solusi masalah pengaturcaraan

Melalui jawapan ini, kita akan lebih kenal kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Maka, carilah guru atau tajuk untuk kita berpaut dan menuntut ilmu bagi menampung kekurangan diri kita. Jawapan truistik hanya ada pada diri kita sendiri. 

Jika diri sendiri pun kita tidak tahu kuat dan lemahnya, mana mungkin dengan mudah kita berupaya mencerap tajuk kajian dan sikap penyelia yang penuh dengan 1,001 misteri...

No comments: