My Calendar

Wednesday, 5 June 2013

Penyelia...dan yang diselia


Sekitar 2008, pernah ditulis sebuah pandangan peribadi khusus berkaitan "misteri seorang penyelia". Kali ini, selepas diizinkanNya menyudahkan pengajian PhD (kira-kira lima tahun selepas artikel tersebut ditulis), mohon izin untuk diulas sekali lagi perkara ini. 

Mungkin dalam nada dan nafas yang sedikit berbeza. Mengapa berbeza, kerana telah selesai pengajian PhD selepas:

1. bertukar penyelia dan domain kajian selepas 11 bulan;
2. kemudiannya menjalankan PhD dengan seorang penyelia dan seorang "penyelia tersembunyi";
3. penyelia kemudiannya berpindah ke Universiti  lain pada tahun 3 PhD; dan
4. menjalankan kajian pada tahun 3 tanpa penyelia (penyelia jarak jauh).

Selepas kembali bertugas, nama saya bukan sebuah nama popular menjadi pilihan ramai pelajar untuk mereka lantik sebagai penyelia. Hanya beberapa orang (boleh dibilang dengan jari) yang datang dan menyatakan kesediaan untuk bekerja di bawah seliaan saya. Sebab musabab saya bukan menjadi pilihan, saya tahu juga :-)

Apapun, ingin dikongsikan beberapa pesanan berhubung soal penyelia dan yang diselia:

Pesan 1:
Sebelum menjalankan kajian/penyelidikan, lakukanlah kajian/penyelidikan terhadap penyelia anda

Pesan 2:
Dapatkan CV beliau dan lakukan analisa, apakah kekuatan dan kekurangan beliau (mungkin seperti SWOT analisis). Misalnya:

Kekuatan: Pakar rujuk bidang kajian, mahir dalam penerbitan jurnal impak tinggi, ramai pelajar graduate on time (GoT)
Kelemahan: Kekangan masa (penyelia menjalankan tugas pentadbiran), pelajar seliaan beliau ramai
Kekuatan + Kelemahan: Cerewet

Pesan 3:
Semak dengan pelajar-pelajar beliau terdahulu yang telah selesai atau mungkin juga belum selesai. 
- Yang sudah selesai, tanya apa pengalaman mereka
- Yang belum selesai juga ajukan apakah yang berlaku
- Yang tidak selesai, tanyakan "mengapa"

Pesan 4:
Jumpalah penyelia dan cuba baca bahasa badan penyelia. Bolehkah anda berkomunikasi dengan baik dengan beliau, atau terdapat kesukaran. Awas, ada juga penyelia yang "suka menguji" dalam pertemuan pertama!

Pesan 5:
Dapatkan artikel-artikel tulisan bakal penyelia anda dan selami, lihat bagaimana kemahiran beliau dan adakah anda teruja untuk berguru dengannya? Jika ya, itu isyarat yang baik tetapi jika tidak, mungkin penyelia ini harus anda lupakan!


Rumusan mudah, penyelia yang bakal kita bekerjasama tidak kiralah apa peringkat pengajian, sarjana muda, sarjana apatah lagi PhD - akan mencorakkan diri kita! Selepas 1, 2 atau 3 tahun kelak, lihat bagaimana kesan seorang penyelia terhadap diri anda.

Awas, andai kita kurang mengkaji bimbang kiranya kita akan khilaf dalam memilih dan mungkin kelak memberikan kesan buruk kepada kita dan orang lain juga, termasuk penyelia.