My Calendar

Friday 28 August 2009

12 Bulan?

Angka 12 ini benar-benar memberikan tekanan sihat. Adalah ditegaskan bahawa tujuan blog ini ditulis adalah untuk rekod peribadi. Tulisan ini juga adalah satu peringatan akan betapa banyaknya masa yang telah terbuang tanpa apa-apa hasil yang signifikan. Tempoh biasiswa berbaki 12 bulan lagi. Tuntutan kerja-kerja penyelidikan masih banyak yang perlu dilangsaikan seiring dengan menjelmakannya dalam bentuk hasil penulisan tesis.
Seiring dengan masa yang sangat suntuk yang ada, koreksi diri adalah sangat perlu. Ingat! Apa yang telah, sedang dan akan dilalui adalah latihan 'school of thought' yang memerlukan penambahbaikan berterusan. Dalam pada itu, kaki tersadung batu itu pasti. Yang peri penting, bangkit, kaji kelemahan dan kekuatan, dan teruskan mengayun langkah. Buka hati dan pemikiran untuk perkara-perkara berikut:
  1. Kelemahan dalam pengurusan data dan fail, masa. persekitaran dan meletakkan keutamaan mesti diambil pusing seiring dengan tindakan serius.
  2. Masalah? Itu pasti. Masalah yang berlaku di luar pilihan kemanusiaan kita, mohon kepadaNya untuk diberikan kekuatan. Pilihan semakin sempit, apa yang ada perlu diusahakan dengan sehabis baik.
  3. Jika belum berjaya, jangan ambil masa untuk memulihkan semangat. Bukan gagal, tetapi belum berjaya! Semat betul-betul dan teruskan dengan gaya renangan yang berbeza!
  4. Belajar untuk lebih kebal! Sesiapapun berhak memberikan komen, terima dengan hati yang terbuka! Mustahil kita dapat memuaskan hati semua orang!
  5. Buat kajian semula prestasi setiap minggu dan nilai keberkesanan. Berdiri atas kaki sendiri dan mesti kuat untuk hadapi semuanya!

Thursday 27 August 2009

Kawan Lama

Selain tuntutan akademik yang perlu dilunaskan sepanjang pengajian ini, pengajian terhadap tingkahlaku dan watak manusia juga perlu dilalui. Hari ini juga, ada berita gembira dalam kamus persahabatan. Melalui kawan lama dan facebook, dapat bertemu dengan sahabat lama yang terpisah sejak berumur 9 tahun. Gembira!
Gambar anak monyet betul-betul suka aku perhatikan. Ceria dan tanpa wasangka. Namun, dalam berkawan, tidak kurang juga sebaliknya hingga bisa mengundang bunga sengketa. Di depan kita berlagak suci, di belakang kita berbicara itu dan ini.

Walau apapun, sikap dan peribadi orang lain bukan di dalam kawalan kita. Kadang-kadang silent theraphy diperlukan untuk menghadapi manusia-manusia jenis begini. Bukan membenci, jauh sekali berdendam. Tetapi, sekadar lebih berhati-hati.

Sekadar renungan untuk diri ini fikirkan:
  1. Ada orang berkawan, kerana kita ada kereta besar yang boleh ditumpang. Agaknya, ada tak orang nak kawan andai kita hanya berbasikal atau berjalan kaki?
  2. Ada orang berkawan, kerana kita ada rumah besar yang boleh ditumpang. Agaknya, ada tak orang nak berkawan andai kita hanya berumah tanpa bilik?
  3. Ada orang berkawan, kerana ada kepentingan yang diinginkan.
Kenapa mesti semuanya didasari atas sifat kebendaan yang tidak pun boleh dibawa masuk ke dalam kubur? Tak bolehkah, kalau kita berkawan kerana Allah? Untuk mendapat redhaNya dengan membuka peluang bagi kita melakukan lebih banyak kebaikan?

Wednesday 26 August 2009

How to be more interesting? Edward de Bono

Baru ambik satu buku percuma dari prayer room, tulisan Erdward de Bono bertajuk "How to be more interesting". Baru baca muka pertama, moga-moga dapat dijadikan amalan yang baik, kerana membaca adalah jambatan ilmu. Sekadar ingin berkongsi beberapa bahagian tulisan yang patut diri ini fikirkan:

"Intelligence is liek the horsepower of a car. Thinking is like the skill with which the car is driven. There may be powerful car driven badly and a humble car driven well. Thinking is a skill can be taught and developed"

"Some very clever people are only clever within their particular field. They have learned well the thinking idioms required in that field but have no generalizable thinking skills"

Cukup dulu dua keratan nie. Ulasannya adalah selepas gambar-gambar makanan ni sempena bulan Ramadhan.






Ulasan:
  1. Kita pelik, ada spesis yang begitu bangga dengan kelulusan PhD, kelulusan kelas pertama kononnya, tetapi apabila memberikan pendapat langsung tiada rasa hormat pada hasil dan usaha orang lain; lambang keilmuankah itu. Bercakap umpama tin kosong, lebih banyak bercakap dari bertindak, produktifkah begitu?
  2. Berfikir umpama masakan. Perlu diadun dengan penuh sederhana (wasatiah) bagi memastikan semuanya cukup dan membuka selera. Tidak harus dalam berfikir, kita merasakan kita sentiasa betul dan hebat.
  3. Berfikir juga ada kaitan dengan mendengar. Jika kita kurang mendengar, maka kuranglah juga kita berfikir. Banyak pergaduhan dan persengketaan berpunca kerana kurang berfikir dan kurang mendengar.
  4. Kita jangan dimomokkan, kalau kita belajar dalam bidang A, hanya dalam bidang A sahaja yang kita boleh lakukan. Kita mesti mencanai pemikiran kita untuk menjadi serba boleh. Kejayaan Prof. Zaini Ujang dan Prof. Halimatun dalam Anugerah Merdeka seharusnya dijadikan motivasi bagaimana insan-insan unggul melatih pemikiran mereka.
Kesimpulannya, belajar dan latihlah diri ini berfikir dengan waras dan bijak. Semua yang dibuat mesti ada justifikasi bagi memastikan wujudnya akauntabiliti.

Sunday 23 August 2009

Hidup dan pilihan

Dalam hidup ini, peluang dan pilihan ada tikanya jadi sangat terhad. Misalnya, kita hanya ada dua pilihan untuk memilih simpang kiri atau simpan kanan. Tetapi, setiap persimpangan yang bakal kita pilih pastinya ada ranjau dan dugaan yang bakal menanti. Sama ada suka atau tidak, kita tetap harus mengharunginya dengan sebaik mungkin.

Foto ihsan: husnihassan
Apabila pilihan dan peluang menjadi seakan-akan sempit, gunakan apa yang ada dengan sebaik mungkin. Kalaupun di akhirnya kita tak bisa mengecap kedua-dua pilihan itu dengan air mata kegembiraan, janganlah dibiarkan hingga kedua-duanya akan ditatapi dengan air mata penderitaan.
Apa yang pasti, dengan kaca mata kita sebagai insan yang penuh kelemehan, kita tidak dapat membuat sebarang jangkaan. Semoga Allah senantiasa memberikan hati kita lorong-lorong perjalanan yang penuh dengan nilai-nilai kasih sayang dan keredhaan dariNya. Walau apapun, hidup perlu diteruskan!

Hadir lagi

Buat kali kedua menjalani ibadah puasa di rantau orang. Jika bazar Ramadhan misalnya menjadi kayu ukur perbezaan berpuasa di sini dan di Malaysia, ternyata itu jelas. Tetapi, biarlah kita lebih menilai kehadiran Ramadhan dalam erti kata yang lebih membina. Alangkah ruginya diri ini, Ramadhan lalu tidak dapat menjadi medan latihan bagi membentuk diri yang penuh dengan sifat kehambaan.

Foto ihsan: rajauthm

Moga-moga, kali ini walau dalam kepayahan, walau dalam keperitan sekalipun medan latihan ini akan membuahkan hasil yang dapat memberikan sinar kegembiraan.

"Selamat menjalani ibadah puasa buat semua"

Saturday 15 August 2009

POPBL: Mengisi ruang yang telah lama kosong dan usang

Walaupun pahit untuk kita akui, sama ada kita sedar atau tidak tahap perpaduan kaum yang saban hari membimbangkan. Konsep 1 Malaysia yang dilancarkan seharusnya dilihat dalam persepsi yang murni ke arah penyatuan bangsa Malaysia.

Nota: Gambar ketika pelaksanaan POPBL BEE 1113 (Semester 1 2007/2008)

Gambar 1

Gambar 2

Bagaimana POPBL boleh mengisi sebuah ruang kosong di Universiti? Pengalaman saya menunjukkan, stigma bangsa sangat menebal di Univesiti (di mana silapnya?). Kalau diberikan tugasan berkumpulan dan dilepaskan kepada pelajar untuk memilih ahli kumpulan masing-masing, adalah sangat kecil bilangan kumpulan yang tampil dengan pelbagai warna kulit sebagai ahlinya.

Adakah mereka tidak selesa dengan warna kulit dan bahasa ibunda yang berbeza? Adakah mereka mempunyai rasa prejudis dan pelbagai prasangka dalam dunia akademik?

POPBL adalah satu jawapannya dalam mengisi ruang yang telah lama kosong di Universiti.


Gambar 3

Gambar 4

Gambar 5

Ulasan:

Dengan adanya POPBL, satu tugasan yang sangat mencabar dan bersifat nyata (real) diberikan. Dengan kumpulannya ditentukan dengan meletakkan aspek demografi sebagai elemen yang sangat penting (pelbagai bangsa, jantina, latar belakang keluarga, kelulusan akademik dll) adalah sangat signifikan untuk menjadikan POPBL sebagai alat penyatuan.

Kenapa?

  1. Mereka akan belajar menguruskan kumpulan dengan berkesan. Mereka akan belajar menghormati pengurusan masa yang mungkin sedikit berbeza bagi yang berlainan warna kulit
  2. Mereka belajar menggunakan satu laras bahasa untuk mengelakkan prasangka yang boleh mengundang sengketa
  3. Mereka akan belajar sama-sama susah dan senang dengan tugasan yang mencabar
  4. Mereka akan saling membantu agar sama-sama maju, mudahnya yang bagus akan menjadi lebih bagus dan yang kurang bagus menjadi bagus! Apabila rapatnya jurang akademik, masing-masing akan bermotivasi untuk senantiasa menjadi yang terbaik. Bukankah itu matlamat dalam sebuah proses pendidikan yang ideal? Bukannya yang yang pandai akan lebih pandai dan yang bodoh akan terus tercicir!

Ringkas dan mudah mesej yang ingin disampaikan! Tidak guna kita merungut kalau masing-masing mempunyai perasaan prejudis yang tinggi, tetapi tiada daya dijalankan untuk menggerakkan beban yang telah lama tertanggung! Bimbang, beban itu akan merosakkan dan menyemarakkan amarah dan prasangka yang menggila!

Wednesday 12 August 2009

Manifestasi

Manifestasi 1
Kita terlalu lemah. HInggakan tiada skala khas yang dapat menggambarkan akan betapa lemahnya diri kita. Segala tindak tanduk kita adalah sangat terbatas. Tetapi kita sering terlupa akan 'siapakah' yang mengawal dan membatasi semuanya itu?

Manifestasi 2
Ada ketikanya, kita merasakan seolah-olah kita tidak punyai banyak pilihan di hadapan. Andai kita ada dua perkara yang kita tidak pasti akan akhirnya, janganlah kita benarkan kedua-duanya akan membawa kesedihan kepada diri kita. Setidak-tidaknya, biarlah apa yang ada itu adalah satu yang boleh membawa kemanisan kepada diri kita.
Foto ihsan: HusniHassan

Manifestasi 3
Kita tidak harus berhenti mencuba. Sakit, penat, ada tikanya jemu itu adalah asam garam yang perlu dihadapi. Cuba dan terus mencuba. Kerana mencuba dengan bersungguh-sungguh adalah anak kunci kejayaan. Biar kita dikritik, itu adalah jauh lebih baik dalam proses mendapatkan ilmu.
Manifestasi 4
Masa akan terus berjalan. Persekitaran, cabaran dan ujian yang hadir dari segenap sudut adalah latihan amali yang sedang dan akan terus kita lalui. Ada masanya, kita rasa ingin terbang bebas seperti burung dan pergi jauh dari semua orang. Kerana seolah-olah kita hilang kepercayaan kepada semua orang. Duduk dan berfikirlah dengan penuh rasa keinsafan. Hidup tetap perlu diteruskan. Noktah.

Tuesday 4 August 2009

Penjenamaan Semula dan Strategi Penjenamaan (Branding Strategy)

Penjenamaan semula bukan satu perkara yang asing terutamanya dalam syarikat-syarikat korporat bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Dalam aspek domestik, dapat disaksikan dengan jelas beberapa nama besar yang dulunya kurang dan mungkin tidak dikenali telah mengambil langkah serius dalam strategi penjenamaan. Dalam bidang industri penyiaran, rangkaian Media Prima (TV3, TV9, 8TV, NTV7) dilihat sangat serius dalam aspek ini dan tidak terkecuali juga RTM. Bezanya, hasil terhadap langkah serius ini memerlukan tempoh penilaian. Mudahnya, jangan impikan peningkatan jumlah penonton secara tiba-tiba melonjak jika strategi penjenamaan dibuat secara ’geli-geli’ sahaja.
Persoalannya, penting sangatkah jenama? Jawapannya mudah, sangat penting. Dalam konteks pengguna di Malaysia misalnya, kita lihat akan peri pentingnya jenama. Renungkan, kalau semua jenis kopi dipanggil ’Nescafe’, semua jenis ubat gigi kita panggil ’Colgate’, semua jenis mee segera kita panggil ’Maggi’, semua jenis minuman perisa coklat kita panggil ’Milo', nah! Bukankah itu menjelaskannya?

Bagaimana penjenamaan sesebuah Universiti atau institusi pendidikan di Malaysia? Satu pekara yang sangat menarik untuk dibincangkan. Malah ada yang menjadikannya sebagai tajuk kajian ijazah kedoktoran!


Ulasan dan cadangan:
  1. Penjenamaan nama sesebuah Universiti mempengaruhi persepsi ’stakeholder’ (alamak apa dalam BM ni??) misalnya pihak industri, ibu bapa dan pelajar yang bakal membuat pilihan pengajian.
  2. Penjenamaan sesebuah Universiti dirasakan lebih dominan melalui kualiti pensyarah, pelajar dan sistem sokongan (staf bukan akademik). Pensyarah yang hebat dalam penulisan (berapa banyak kertas jurnalnya yang dibuat ’citation’ dll) dan juga menjadi pakar rujuk dalam bidang-bidang tujah (niche area). Misalnya, UTHM seharusnya menjadi pakar rujuk dalam bidang-bidang tujah yang sangat berpotensi dan selaras dengan persekitarannya.
  3. Penting sangatkah ’ranking’ dalam menjenamakan Universiti? Saya berpendapat penting! Tetapi ini memakan masa yang lama dan proses yang berterusan (merangkumi CQI – Continous Quality Improvement) dan sokongan padu segenap lapisan warga Universiti (staf dan pelajar).
  4. Perlu diwujudkan satu pasukan yang secara serius menjalankan kajian dan mencadangkan pelaksanaan strategi penjenamaan secara berkala! Kenapa? Kerana kepuasan dan persepsi pelanggan sentiasa berubah-ubah! Pasukan ini seharusnya diberikan autoriti menjalankan kajian dan memberikan buah fikiran tanpa dibayangi perkara-pekara lain.
  5. Dunia hanya di hujung jari! Laman web rasmi sesebuah Universiti juga seharusnya senantiasa terkini dan mesra pengguna! Kajian terhadap jenis tulisan, warna, susun atur kedudukan menu perlu juga dibuat! Kenapa sedalam ini diperlukan? Kerana jenama adalah sangat penting! Ada kajian di sini (Brunel) dalam ijazah kedoktoran misalnya dalam bidang penjenamaan yang mengkaji kesan dan persepsi pengguna terhadap logo dan penulisan dari kanan ke kiri (Arab) berbanding tulisan kiri ke kanan (Rumi)!

Contoh strategi penjemaan:

Contoh 1: Di sekitar Parit Raja dan Ayer Hitam adalah kawasan pertanian dan industri kecil, alangkah moleknya kalau saya (saya menulis untuk membuatkan diri saya berfikir dan berfikir, apa yang boleh saya sumbangkan!) mempunyai kepakaran dalam aspek kejuruteraan pertanian, kejuruteraan membuat pasu, pemasaran dan penjenamaan produk industri kecil dan sederhana (kerepek, tembikar)?

Bagaimana misalnya bidang ’reconfigurable computing’ boleh membantu dalam proses pemantauan proses penanaman sayur, pokok pisang dll? Bagaimanakah mungkin teknologi ini boleh membantu penyelidikan tanah lembut yang sangat signifikan di Batu Pahat dan juga penghasilan tenaga baru melalui sisa bahan pertanian, misalnya tandan pisang?

Contoh 2: Menjadi pakar rujuk dalam kerangka pelaksanaan POPBL dalam bidang kejuruteraan di Malaysia dan dunia? (Berangan lebih sket hehe). Membina satu kerangka yang boleh diguna pakai oleh Universiti lain yang ingin menggunakan kaedah POPBL?

Alangkah indahnya, kalau kita berupaya menjenamakan produk (pelajar UTHM) dengan pencirian berikut:

  • Produk yang sangat bersedia menghadapi dunia kerjaya: sebagai natijah latihan seawal tahun pertama pengajian yang diperolehi melalui sistem pengajian berasakan POPBL/PBL
  • Produk UTHM yang cekap dalam aspek bahasa dan penyampaian: berbahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan satu bahasa asing serta berupaya membuat penulisan dan pembentangan dengan berkesan
  • Produk yang berupaya menjadi pemimpin, kemahiran kerja berpasukan dan mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif yang tinggi
  • Produk yang penuh dengan nilai keagamaan yang tinggi dan penuh dengan integriti dalam menjalankan tugas


Contoh 3: Menjadi institusi rujukan dalam penglibatan juruteknik dalam kerja-kerja penyelidikan. Ini adalah sangat baik dan perlu diberi perhatian yang serius seiring dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam memajukan sesebuat institusi akademik, semua lapisan memainkan peranan yang signifikan. Alangkah manisnya, kalau pensyarah dan juruteknik berganding bahu menjalankan kerja-kerja penyelidikan (win-win situation untuk pensyarah dan juruteknik) dan ini juga merupakan strategi untuk memastikan makmal dan kemudahan yang ada sentiasa hidup! Alangkah ruginya kita! Kemudahan yang kita ada adalah bertaraf kelas pertama! Tetapi mungkin rosak kerana ’tidak pernah digunakan’!

Nota: Sekadar mengasah kemahiran berfikir. Moga pendapat ini ada manfaat kepada diri sendiri dan yang sudi membacanya. Ini hanya pandangan peribadi penulis.