My Calendar

Sunday 31 May 2009

1 Jun 1979

Syukur, nikmat usia masih diberikan olehNya. Menjejaki angka 30 kini, dan secara relatifnya nilai 30 pastinya perlu mencerminkan nilai-nilai kehambaan kepadaNya dalam segenap hal. Dengan hadirnya nilai-nilai kehambaan kepadaNya akan memberikan kesan langsung kepada sikap, pelakuan dan pelaksanaan terhadap hubungan-hubungan lain (sebagai anak, suami dan semuanya). Ada beberapa perkara penting yang ingin dikongsi, antaranya:
  1. Amalan: Terlalu daif dan mesti dicari jalan keluar untuk memperbaikinya. Berikan hikmahmu Ya Allah.
  2. Cita-cita: 30 tahun masa berlalu, dan hingga detik ini masih belum dapat membuat atau menceburi bidang pengajian yang sememangnya diminati. bermula dengan PMR, SPM, ijazah pertama, ijazah sarjana, dan kini kedoktoran - semuanya bukan pilihan hati. Bukan tidak bersyukur, tetapi ingin juga diri ini rasakan satu masa nanti untuk mendalami pengajian bidang yang sememangnya diminati.
  3. Kematangan: Biarlah bukan angka yang menjadi ukuran. Ya, diri ini semakin tua, maka biarlah tindakan dan pelakuan benar-benar matang luar dan dalam. Moga diri ini diberikan kesabaran yang tinggi dan mudah mendidik hati.
  4. Hak-hak yang tidak tertunai: Maafkan diri ini atas hak-hak kalian yang tidak tertunai. Hak pencipta dari hambaNya, hak ibu dan bapa dari anaknya, hak isteri dari suaminya, hak sahabat dari sahabatnya, tidak dapat disenaraikan semuanya...Maafkan diri ini yang serba lemah
  5. Rendah diri: Biarlah semakin jauh kaki ini melangkah, semakin tinggi tangan ini menggapai bintang di langit, semuanya bukan milik diri ini. Terlalu tidak terhitung semua insan di sekeliling yang memberikan sumbangan. Moga diri ini tidak pernah lupa.

Akhirnya, moga hadirnya 1 Jun 2009 akan memberikan satu dimensi baru kepada insan bernama AFANDI AHMAD.

Rejected! Again...

Bukan GAGAL, tetapi masih belum berjaya. Dengan komen dari empat pemeriksa kertas tersebut membawa kepada kertas penyelidikan ini ditolak untuk FPL kali ini. Sedih dan semua perasaan ada. Belum ada rezeki buat aku. Tak mengapa, usaha mesti diteruskan. Segala kelemahan dan komen yang diberikan perlu dikaji untuk dimuatkan dalam cadangan penerbitan akan datang. Cuba dan terus mencuba!

Friday 29 May 2009

Bonjour dan Merci






Peluang terlibat bersama penyelia dalam penyelidikan 'Partial Dynamic Reconfiguration' membuka satu peluang untuk menimba ilmu. Maaf, tak boleh nak tulis panjang lebar, diringkaskan kepada apa yang penting seperti berikut (berdasarkan pemerhatian di Nancy):
  1. Masyarakah di France sangat menggunakan bahasa mereka. Jadi, asas bahasa mereka sangat-sangat membantu untuk 'diterima' dan memudahkan urusan harian. Jangan terperanjat, ada juga profesor mereka yang tidak mahu menggunakan bahasa Inggeris.
  2. Mereka akan bersalam setiap pagi apabila masuk ke makmal sebelum memulakan kerja dan akan bersalam semula apabila hendak pulang setiap hari.
  3. Kemudahan fizikal di universiti agak daif, tetapi kualiti penyelidikan mereka tersohor. Penerbitan dalam jurnal impak tinggi sangat banyak dan kemahiran penulisan mereka dalam bahasa Inggeris juga sangat bagus.
  4. Mereka tidak begitu mahir bahasa Inggeris, tetapi mereka boleh menulis dan menerbitkan kertas penyelidikan dalam bahasa Inggeris yang berkualiti tinggi. Emmm?

Moga diri ini mampu menggembleng tenaga untuk maju seperti mereka. Terima kasih juga kepada rakan-rakan Malaysia di Nancy (Yasmin, Nazeer, Exatul, Aini, Hana dan Sofea) yang sangat baik hati, kepetahan mereka berbahasa Perancis sangat mengkagumkan dan juga 'survival' mereka.




Orang yang melahir dan membesarkan kita


Hati ini jadi sayu akhir-akhir ini. Benarlah, kejauhan akan membuatkan diri kita belajar erti kasih sayang dan pengorbanan. Kepada Allah jua diri ini memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan. Andai dihitung, terlalu banyak hak kepada insan yang bergelar bak dan mak yang tidak tertunai. Kini, aku juga mempunyai seorang lagi ibu. Moga-moga aku tidak ulangi kesilapan dalam memahami tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anak. Doakan kejayaan anakmu di perantauan ini.



Wednesday 20 May 2009

'Spesis' dan 'Species'

Penceritaan kali ini mungkin berbaur emosi. Entahlah, rasanya perlu jugak ditulis berkaitan isu ini agar sama-sama mengambil pengajaran, terutama diri ini sendiri. Namun, gambar yang dipilih rasanya takde kaitan secara langsung, tetapi pastinya ada kaitan secara tidak langsung.
Dalam kerja penyelidikan, memang satu bonus yang besar kalau kita ada pasukan penyelidikan yang mantap. Mantap ini terlalu abstrak, dan parameter penilaiannya boleh jadi melalui sikap (kesungguhan, displin, dll) dan juga pelaksanaan. Dalam mencari bonus tersebut, diuji pula dengan 'spesis' yang boleh menyebabkan kita hilang fokus. Penat!
'Spesis' yang banyak dijumpai setakat ini mempunyai ciri-ciri berikut:
  1. Dia sahaja yang betul dan pandai, dengan cara merendah-rendahkan orang lain, dia merasakan dirinya adalah 'superior' dari orang lain.
  2. Bila bercakap, dia sahaja yang tahu semuanya dan semua orang mesti bersetuju dengannya. Siapa yang bersetuju dan tidak melawan adalah rakannya dan yang suka melawan, pasti mencari padah.
  3. Dia sangat dominan dan mahu semua orang menurutinya. Apabila kita tidak menurutinya, kita akan dihakimi sebagai "tidak pandai berkerjasama".
  4. Kaki 'goreng' sampai hangit. Bercakap adalah senjata, dia boleh jual macam-macam idea dan memberikan infiniti janji-janji manis. Bila bercakap soal pelaksanaan? Emmm
Bagaimana untuk menangani 'spesis' seperti ini di sekeliling kita? Masalah ini adalah masalah global tanpa mengira peringkat umur, kedudukan geografi atau ringkasnya diistilahkan 'demografi'. Entah...kenapa semakin kaki ini melangkah, makin banyak pulak dijumpai 'spesis' macam nie...Penat!

Friday 8 May 2009

Bukan GAGAL, tapi BELUM BERJAYA

Bulan Mei telah dilalui lapan hari, dengan pelbagai pengajaran yang harus dilihat dengan teliti dan penuh pengertian. Rumusannya adalah: TABAH, KUAT SEMANGAT, YAKIN KEPADA ALLAH, SABAR, DOA BANYAK-BANYAK. Tidak semua perkara adalah di bawah kawalan kita. Andainya masalah tersebut di luar kawalan kita sebagai insan yang lemah, pastinya hanya Allah yang tahu jalan yang terbaik.
Bukan GAGAL, tetapi BELUM BERJAYA - itulah yang dapat dipelajari dari proses mendapatkan PhD ini. Sebahagian modul latihan yang dipilih kali ini ialah dengan menyertai "Graduate School Research Student Poster Conference". "Kenapa susah-susah sertainya? Adakah memberikan sumbangan kepada PhD?".
Jawapannya: Sudah pasti, kerana antara faedah dengan menyertainya: (i) melatih kita bagaimana merumuskan hasil kerja kita untuk diterangkan dalam masa 5 minit sahaja, agar hasil kerja kita dihargai (ii) melebarkan rangkaian bersama para penyelidik lain (iii) meningkatkan kemahiran komunikasi dan latihan menjawab pelbagai persoalan.
Walaupun gagal meraih hadiah 5 poster terbaik, kesan dalam pembinaan diri dan cara berfikir itu lebih utama dan kerana itulah, "Bukan GAGAL, tetapi BELUM BERJAYA" untuk menjadi yang TERBAIK. Apa yang perlu diyakini, MENCUBA adalah langkah-langkah ke arah KEJAYAAN.


Ini juga selari dengan apa yang telah dinyatakan dengan jelas seperti dalam ayat di atas. Yang pastinya doa kita kepada yang menguasai dan memiliki segalanya adalah SANGAT SIGNIFIKAN. Tiada keraguan! Perbaiki diri, agar perjuangan menuntut ilmu ini, walau dalam pelbagai ujian, dugaan dan saat-saat sukar, dapat meneguhkan sempadan iman, insya Allah.

Wednesday 6 May 2009

Meminta


Dalam kitar hidup
Kita pasti meminta
Meminta pada manusia
Meminta membina tanggapan
Ada tikanya ia tidak kesampaian
Meminta membina harapan
Ada tikanya ia dimusnahkan
Meminta belum pasti diberi
Kerana kita meminta bukan kepada yang hakiki
Memintalah dengan rasa rendah diri
Tapi biarlah kepada yang pasti memberi
Dialah yang Maha Memberi

Sunday 3 May 2009

April...Mei

April 2009: April 2009 tamat dan Mei 2009 menjelma. April 2009 banyak meninggalkan kesan mendalam dalam segenap ruang diri ini. Persoalan erti sebuah keluarga, erti sebuah rumah tangga, erti sebuah pengajian dan semuanya. Maaf juga yang mampu dipinta, terlalu banyak hak yang tidak tertunai. Kepada Allah jua, diri ini memohon bantuan dan pertolongan agar sentiasa memberikan pimpinan.

"Ya Allah, janganlah engkau biarkan nasib diri ini ditentukan
oleh orang lain, selain dari engkau sendiri, walaupun dengan kadar sekelip
mata, atau dengar kadar yang lebih pendek dari itu, Ya Allah, Tuhan yang cepat
memperkenankan pinta, perkenankanlah"




Kaki ini akan terus melangkah. Biar langkah-langkah ini jadi lebih tersusun dan teratur dengan penuh bertenaga. Andai ada duri, batu, lopak di hadapan sana, moga-moga kaki ini tidak mudah tersadung dan tergelincir. Kurangnya produktiviti dalam April 2009 perlu dijadikan ukuran kerisauan untuk menjadikan diri ini lebih baik.
Mei 2009: Ramai insan-insan yang dekat dengan diri ini akan menyambut ulang tahun kelahiran masing-masing. Didoakan, agar insan-insan ini sentiasa mendapat redha dan kasih sayang Allah senantiasa. Terima kasih yang tidak terhingga atas kebaikan semua.