My Calendar

Thursday 2 February 2017

Pisang Untuk Anak Pelajar

Semoga projek ini dapat diteruskan demi kebaikan semua pihak

Projek pisang berjaya direalisasikan. Biasalah akan ada di kiri kanan memberi komentar - apa yang pasti saya kena terus jelas dengan apa yang ingin diberikan. Pisang ini tanda kasih sayang, tanda kita berkongsi rezeki. 

Apabila beberapa siri kami berpeluang menyantuni mahasiswa menuju ke dewan peperiksaan, jelas ada yang keletihan kerana melakukan persediaan peperiksaan. Moga seteguk air minuman dan sebiji pisang yang diberikan dapat memberi penyebab tenaga kepada mereka menjawab dengan baik. 

Ada yang menyebut saya suka menambah kerja - mudah sahaja jawapannya. Mengapa tidak? Jika pekerjaan itu boleh membawa kebaikan kepada diri saya dan orang lain kan?

Penting Sangatkah Berjaya Dalam Pelajaran?


  1. Hari ini semakin ramai yang berada di Universiti. Persaingan menjadi semakin sengit. Mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan juga semakin hebat atas beberapa faktor.
  2. Saya tidak pernah berpeluang pada sepanjang sesi persekolahan mengikuti tuisyen kerana kekangan kewangan. Seringkali pada masa itu rasa cemburu menguasai diri dan membandingkan dengan rakan yang berpeluang menghadirinya.
  3. Saya bercakap dengan anak-anak pelajar soal pencapaian peperiksaan mereka semester lalu. Minta mereka senaraikan punca dan kekangan mengapa tidak boleh cemerlang. Mereka senaraikan tetapi hampir semuanya merujuk kepada masalah diri sendiri yang berada di dalam kawalan mereka.
  4. Mereka juga cenderung menyalahkan keadaan, persekitaran dan pihak lain akan kekangan itu. Tetapi, mengapa mesti begitu dan adakah itu menguntungkan? Mereka mesti berubah dan memastikan api keinginan untuk lebih berjaya marak dalam diri. 
Mereka ini ingin berjaya, tetapi api keinginannya selalu sahaja malap. 

Hikmah Catatan Perjalanan

Berbicara dengan anak-anak pelajar berkaitan "Buku Azimat" yang nampaknya idea klasik ini jauh lebih sukar diterima. Suatu masa dahulu, kemahiran 3M - Membaca, Menulis dan Mengira adalah kemahiran mesti bagi kami di peringkat sekolah rendah. Hari ini, sebenarnya walau sudah dipinda kepada kemahiran lain misalnya KBAT - Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, namun secara peribadi saya berpandangan 3M dalam diri mahasiswa sangat perlu diperbaiki.



Antara foto awal pada Disember 2007 menggunakan kamera digital yang dibeli khas untuk merekodkan perjalanan sepanjang pengajian PhD. Pada masa itu, telefon pintarnya belum cukup canggih seperti hari ini.

Mengambil contoh, kemahiran menulis - jika bahasa Inggeris itu barangkali kelihatan jauh lebih sukar bagi kita yang menuturnya hanya sebagai bahasa kedua, bagaimana pula kemahiran menulis di dalam bahasa ibunda?

Lantas, syor saya agar anak-anak pelajar mula menyediakan catatan perjalanan (jika mereka tidak mahu menggunakan Buku Azimat, gunakanlah aplikasi media sosial. Dengan menyediakannya perkembangan prestasi diri dapat dicatatkan dan kemahiran menulis juga dapat diperbaiki.