My Calendar

Wednesday 25 May 2011

Smart Partnership

Walaupun usaha awal saya untuk mewujudkan Research Incubator pada peringkat awal kepulangan saya tempohari kurang berhasil, kini saya agak gembira juga. Tanpa dirancang dengan teliti, seorang pelajar saya (Elektronik Digit) dahulu yang kini menjadi jurutera di sebuah syarikat membuka ruang kerjasama antara kumpulan penyelidikan saya bersama syarikat tempat beliau bekerja.

Hasilnya, Tuan Shazlan sudi berkunjung untuk kali kedua memberikan input berguna kepada pelajar-pelajar penyelidikan di bawah seliaan saya. Bukan itu sahaja, beliau juga bersetuju untuk memberikan beberapa bantuan lain yang saya lihat sangat signifikan dalam memajukan kumpulan penyelidikan ini.


Walaupun kumpulan penyelidikan ini masih terlalu muda, tetapi saya harus melihatnya sebagai satu aset yang begitu tinggi nilainya. Ahli kumpulan juga kini bertambah dengan dua pelajar menjalankan latihan industri, menyemarakkan lagi budaya penyelidikan. Saya perlu lebih tekun dan serius menetapkan indeks penilaian prestasi agar kumpulan penyelidikan ini bukanlah bersifat jaguh kampung semata-mata!

Tuesday 24 May 2011

Amanah

Apabila kita diberikan kepercayaan, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab untuk kita menunaikan amanah tersebut dengan sebaiknya. Saya hanya seorang insan biasa yang serba kekurangan. Dengan kekurangan yang ada, saya cuba mengemudi amanah yang diberikan. Nyata, amanah ini memerlukan saya tangkas dalam segenap aspek.

Saya cuba melihat dan membawa amanah ini menyusur perspektif ke arena yang lebih jauh dan luas. Saya ingin sekali melihat, kolej kediaman bukan sahaja tampil sebagai ruang enak penginapan pelajar semata-mata, malah lebih daripada itu! Mungkin juga, saya terlalu bersifat bercita-cita tinggi! Bagi saya itu tidak mengapa.

Sebagai rumah kedua kepada para pelajar, dan ketetapan tahun pertama pengajian pelajar di universiti dimestikan mereka menghuni kolej kediaman, sudah pasti peranan dan sumbangan kolej kediaman perlu diperhalusi dan diperkemaskan. Saya senantiasa memohon bimbingannya, agar amanah yang diberikan oleh Universiti dapat ditunaikan sebaiknya.

Kepada yang bersama-sama saya berkerja bagi menjayakan misi ini, semoga kita berusaha sebaiknya dan tidak akan kenal erti jemu untuk memberikan sumbangan yang terbaik. Sesungguhnya, tiada jalan pintas untuk muncul sebagai insan luar biasa!

Perkongsian: POPBL

Tanpa dirancang, saya diberi peluang untuk berkongsi sedikit pengalaman dalam mengendalikan kaedah POPBL kepada rakan pensyarah lain. Bezanya, kali ini saya diminta berkongsi kepada staf akademik UTM, UTeM dan UTHM sendiri dalam Bengkel Pengukuhan Kaedah Pembelajaran Berpusatkan Pelajar, anjuran KPT bertempat di Persada, Johor.

Nyata, ini bukan sama sekali satu tugas yang mudah. Berdiri di hadapan ahli-ahli akademik pelbagai institusi pasti mengundang rasa rendah diri dan pelbagai rasa mual yang pelbagai. Apatah lagi, antaranya barisan pembentang sebelum saya ialah salah seorang individu terkenal dalam bidang SCL dari UTM. Dalam kesibukan tugasan seharian, saya cuba sedaya upaya membuat sedikit analisa bahan yang perlu saya tampilkan. Bantuan seorang rakan baik memberikan "viva kedua" kepada saya berkaitan POPBL memberi sedikit keyakinan untuk saya berkongsi apa yang ada.

Pada hari kejadian, usai tiba di Persada Johor dengan melihat keadaan seisi dewan yang penuh (kira-kira 300 peserta) sememangnya membuatkan saya tak senang duduk. KepadaNya juga saya panjatkan dan mohon agar segala yang ingin disampaikan dimudahkanNya. Syukur, dengan izinNya, saya dapat menyampaikan seperti apa yang dirancang. Pada masa akan datang, komunikasi Bahasa Inggeris saya perlu dipertajamkan untuk menjadikan sesi lebih menarik. Pembacaan juga perlu saya perbanyakkan bersama kajian-kajian yang lebih terkini berkaitan POPBL ini.

Monday 2 May 2011

Solat Dhuha

Ditentukannya, minggu lalu dalam perbualan dan input yang diberikan oleh rakan-rakan terdekat ialah peri pentingnya kita membulatkan tindakan terhadap tiga perkara.

Pertama: Menarik hidayah Allah, Kedua: Melaksanakan solat Dhuha, dan Ketiga: Memohon dan sentiasa berdoa kepadaNya.

Dalam urusan menarik hidayah Allah, ini jelas kadangkala tindakan kita sangat-sangat jauh melencong atas nama "hamba" kepadaNya. Hidayah Allah perlu kita tarik dan perlu kita usahakan setiap masa, bukan hanya pada hari Jumaat atau bulan Ramadhan atau hanya dalam kesusahan!

Kepentingan solat Dhuha juga tidak harus dipandang enteng. Dalam sisipan doa solat Dhuha, bagaimana kita diajar bahawa setiap rezeki adalah milikNya. Kita diajar supaya berdoa supaya meminta kepada empunya rezeki di segenap inci. Adakah kita berdoa dan meminta kepadaNya?

Akhirnya, bagaimana kita sangat kurang berdoa kepadaNya. Apabila berjaya seringkali kita lupakan bahawa yang memberikan kejayaan atau rezeki adalah Allah. Kita hanya mencari Quran penyejuk jiwa apabila dalam kesusahan, esok nak viva, esok nak presentation, esok nak interview kerja, diri dalam kesakitan dan segala yang berkaitan. Uh! Terlalu ego diri kita ini sebenarnya. Sebaliknya, alangkah manisnya andai dalam segenap tindakan kita disertakan dengan pengaduan kepadaNya. Semoga pesanan ini akan membuatkan diri yang jauh akan kembali kepadaNya. Insya Allah.

Sunday 1 May 2011

Post-Final Exam

Setiap kali munculnya peperiksaan akhir, khususnya di Universiti pelajar mula berada dalam zon tekanan. Tekanan datang dalam segenap segi, markah kerja kursus yang rendah, jadual peperiksaan akhir yang padat menggila dan pelbagai bentuk tekanan lain hadir.

Terpacul juga rasa penyesalan di kalangan pelajar terhadap kelemahan pengurusan diri dan azam baru dipahatkan dalam hati. "Ish...teruk betul semester nie, takpe semester depan aku akan buat dengan lebih baik lagi..."

Pastinya dialog seperti ini berulang-ulang siarannya setiap kali musim peperiksaan dan yang menjadi persoalan ialah apakah tindakan yang diambil untuk merealisasikannya? Lazimnya, usai peperiksaan akhir pelajar seolah-olah tolak mentah-mentah ke tepi azam baru itu.

Apa yang diperhatikan juga, budaya meraikan selesainya peperiksaan akhir setiap semester semakin menjadi-jadi di kalangan pelajar di sini. Sejujurnya, saya melihat perkembangan situasi ini adalah kurang sihat. Benar, tiada salahnya untuk meraikan atau melepaskan "penat" menjawab peperiksaan akhir. Tetapi, pengisian aktiviti ini juga dilihat mempunyai kurang nilai keilmuan. Lazimnya, masa dihabiskan dengan aktiviti seperti "mandi air terjun", "makan BBQ", "main boling", "makan pizza" dan yang berkaitan dengannya.

Bilakah agaknya, akan muncul aktiviti seperti "solat hajat" memohon agar dimudahkan dan dilembutkan pensyarah menanda kertas jawapan pelajar? Qiamullail perdana untuk memberikan ruang kita bermunajat dan memohon taubat, moga-moga permintaan kita dikabulkan olehNya?

Sudah tiba masanya, kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Mengubah sesuatu yang dilihat sudah menjadi budaya kepada satu yang lebih mengisi jiwa. Saya terpukul dengan pandangan sorang sahabat minggu lalu, katanya "kita nie hipokrit dengan Allah". Maksudnya, berdoa dan meminta kepada Allah hanya dalam kesusahan. Apabila senang, semuanya kita tolak ke tepi!