My Calendar

Showing posts with label Mendidik Hati. Show all posts
Showing posts with label Mendidik Hati. Show all posts

Friday, 25 September 2015

Persediaan MHS - Umpama Sambut Menantu

Apa yang istimewa di Kolej Perwira - kami bersama-sama melihat bahawa menyambut pelajar baharu itu seumpama kami menyambut menantu! Kami gembira dan teruja untuk memberikan khidmat terbaik selagi boleh.

Kami sentiasa juga cuba menyediakan sesuatu yang baharu untuk menjadi kenangan buat semua tetamu, khususnya para ibu bapa yang datang dari jauh. Semoga kenangan mereka walau beberapa jam bersama kami, kekal dalam ingatan. 







Tuesday, 27 January 2015

PerWIRA yang mengajar maksud sebagai WIRA!

Kini, hari-hari akhir tahun keempat berkhidmat di sini sedang dihitung. Walau pada awalnya tugasan ini begitu berat hati diterima dan mengambil masa yang agak lama berada pada fasa penafian (denial phase), amanah yang diberikan cuba dilakukan sebaiknya.

Pelbagai catatan konflik dan penyelesaian pernah dicatatkan dengan pelbagai watak dan situasi yang berbeza. Tekanan demi tekanan juga menuju daripada pelbagai sudut dan jendela. 



Rumusannya mudah, tugas ini jauh lebih istimewa setakat ini jika dibanding dengan tugasan lain sebelum ini. Skopnya lebih mencabar dan setiap hari akan berhadapan dengan cabaran yang memerlukan keputusan dibuat sebaiknya. Walau ada ketikanya, keputusan itu tidak menjadi kegemaran bagi sesetengah pihak. Itu lumrah!

Walau ada yang menganggap tugasan ini kurang impak dan peranannya, tidaklah itu menjadi keutamaan. Sebenarnya juga adalah amat menakutkan diri lagi apabila dihitung "habuan" yang diterima (contohnya, diberikan pembiayaan rumah, utiliti percuma, elaun pentadbiran) berbanding khidmat bakti yang dicurahkan.

Jika kita terlalu banyak bertanya apa yang kita perolehi, kita sebenarnya semakin membesarkan tembolok untuk disuap. Bimbang kalau-kalau kita akan jadi terlalu berkira dalam hal yang sebenarnya kita tidak layak untuk itu semua.

Sesungguhnya, kepadaNya jua keampunan dipinta. 




Tuesday, 6 January 2015

2015...Nota berlumpur

Ternyata mengekal momentum untuk terus menulis di sini ternyata sangat sukar. Setiap kali memikirkan "kenangan yang tersemat" dengan blog ini, setiap kali itu rasa sayang untuk ditinggalkan. Falsafahnya mudah, ini adalah antara catatan "buku azimat" yang diharap dapat memberi manfaat kepada khalayak pembaca.



2015 dibuka dengan catatan kisah banjir yang melanda negara. Kisah ini turut membuat hati lebih "bersemangat" untuk terus memberi dan memberi apabila dikirimkan foto berlumpur oleh seorang bekas pelajar (tahniah! kini seorang jurutera berjaya). Naskhah nota ini adalah antara kompilasi nota yang pernah disediakan pada tahun 2007, ketika diamanahkan mengajar kursus asas Teori Litar Elektrik untuk pelajar tahun pertama.

Ekoran kekangan asas matematik yang perlu diperkukuhkan, maka inisiatif diambil dengan memberikan mereka bahan-bahan ini. Rupa-rupanya, nota ini masih disimpan elok walau sudah berumur hampir tujuh (7) tahun dan kini basah bersama lumpur banjir. Tidak mengapa.

Apapun, foto ini memberikan suntikan semangat agar terus menghasilkan buah tangan berkualiti untuk para pelajar. Semoga usaha kerdil dapat memberikan lampu suluh untuk mereka lebih berjaya. Inilah antara kemanisan bergelar ahli akademik!

Friday, 31 May 2013

Benarlah...untuk mengekal momentum itu tidak mudah


Blog ini semakin meningkat usianya. Sedikit malang, akhir-akhir ini semakin terpinggir dan tidak disisipkan dengan perkara-perkara yang boleh membawa manfaat kepada khalayak pembaca.

Alangkah ruginya, kerana dihimpit dengan kegagalan mengurus kesibukan dengan hikmah dan bijaksana, beberapa perkara yang boleh disifatkan "signifikan" dalam rutin kehidupan semakin tercicir.

Moga, keazaman 1 Jun 2013 akan membawa dimensi baharu dan mengembalikan bidang tujah tulisan di sini. Kerana, perlu sentiasa disemat bersama keazaman mengapa blog ini perlu dikekalkan ialah:

Jika hari ini kita dipanggil menghadap Ilahi, sudah cukupkah persediaan kita?

Berapa banyak ilmu berguna yang telah kita sebar luaskan?
Berapa banyak sedekah jariah yang telah kita hulurkan?
Adakah anak soleh/solehah yang akan mendoakan kita?

Saturday, 29 December 2012

Anda Hebat!

Menghuni dalam persekitaran pelajar Universiti menjadikan rutin harian pelajar dapat dilihat dan dianalisa dengan lebih jelas. Kini musim peperiksaan akhir kembali entah buat kesekian kalinya.

Sedikit berbeza, kali ini ingin dikupas bagaimana pentingnya MENGENALI DIRI SENDIRI. Akhir-akhir ini, banyak kesempatan dapat berbual dan menganalisa beberapa pelajar yang cemerlang sebelum ini tetapi hilang punca apabila memulakan rentak dalam padang keilmuan Universiti. Soalnya, mengapa?

Apabila kita rasa tertekan dan muram durja mungkin kerana markah kerja kursus yang corot, pertimbangkan cadangan-cadangan berikut:

Cadangan 1:
Duduk seketika dan berkhalwatlah secara peribadi, kenang kembali kejayaan-kejayaan terdahulu dan juga segala kekangan yang berjaya ditangani

Cadangan 2:
Dampingi insan-insan positif, boleh jadi pensyarah, mentor, rakan yang boleh berkongsi cerita

Cadangan 3:
Munajatlah kepadaNya agar kekuatan dan dilorongkan hati kepada perkara-perkara yang baik dan dimudahkan segala urusan.

Nota: Berkelana dan berhijrah di rantau orang dapat menjadikan kita lebih mengenali diri dan memahami serta menghayati erti pergantungan yang hakiki

Akhirnya, jadikan peperiksaan kali ini batu loncatan ke arah menjadikan diri yang sebenar-benarnya hamba kepadaNya. Ini baru peperiksaan akhir semester sahaja, belum lagi peperiksaan menghadapi pencipta kita!

Saturday, 15 September 2012

Mendidik Jiwa Pemimpin

Projek arnab dengan kelahiran generasi pertama

Projek tanaman serai

Seringkali kita dengar persoalan, "adakah pemimpin yang hebat itu dilahirkan atau dilatih?" Sekiranya jawapan "pemimpin hebat itu dilahirkan" atau juga "pemimpin hebat itu dilatih", apa yang utama ialah skala nilai tanggungjawab yang perlu disemai dalam diri setiap pemimpin.

Dalam kapasiti pemimpin pelajar khususnya di Kolej Kediaman Perwira, antara pembaharuan dalam program latihan dengan konsep "to learn & improve" yang diwujudkan ialah menguruskan dua (2) projek utama, iaitu Taman Penyelidikan & Rekreasi Arnab serta Taman Mini Botani Serai, Cili & Kunyit.

Sejujurnya, ada yang mentertawakan idea baru ini namun matlamat yang ingin dicapai cukup jelas. Mengapa pemimpin pelajar ini dilatih menguruskan haiwan dan tumbuhan?

Jika diperhalusi, dengan menguruskan haiwan (arnab sebagai contoh) dan beberapa tanaman seperti serai, cili dan kunyit secara langsung dapat mendidik seorang pemimpin pelajar untuk lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan mempunyai sifat rendah diri.

Kelmarin misalnya, mereka menguruskan bagaimana untuk memanfaatkan najis arnab secara "eco-friendly" dan kelihatan kerja ini agak kotor! Tetapi, falsafah di sebalik kerja-kerja ini yang lebih jelas kemanisannya.

Hanya kepadaNya dipohon agar pemimpin-pemimpin pelajar ini di bawah bimbinganNya dan bukan sahaja hebat fizikalnya, tajam mindanya malah cekal jiwanya.

Saturday, 11 August 2012

Kerja Kuat


Usah merungut berulang kali. Sebaliknya, pusatkan doa kepadaNya dan gandakan usaha, Insya Allah kejayaan bersama-sama kita. 

Monday, 6 August 2012

Belajarlah Mencintai Diri Sendiri

Semua daripada kita hadir sebagai entiti berbeza. Benar, kita semuanya memiliki pelbagai perbezaan dalam 1001 ranting perbezaan. Ada tikanya, kita terlalu taksub memerhati kelebihan yang dimiliki oleh insan lain, tanpa menghargai kekuatan yang ada pada diri kita sendiri.

Andai sekalipun kita meletakkannya sebagai kayu ukur, alangkah baiknya itu hanyalah sekadar pemerhatian tanpa lekat di hati? Yang lebih dalam maudukknya ialah bagaimana mungkin untuk kita memusatkan kesyukuran atas kurnianNya dan belajar mencintai diri sendiri

Menu makanan yang tetap di hati

Apabila duri tertusuk di kaki, pastinya pengalaman berkelana di rantau orang satu ketika dulu diselak sehelai demi sehelai. Nyata, kerinduan kepada kenangan itu sangat mendalam. Di sanalah, kekuatan luar biasa dan kefahaman erti segengggam tabah diberikan olehNya. Semoga, kekuatan itu sentiasa hadir dalam diri ini. KepadaNya jualah daku memohon keampunan.

Saturday, 28 July 2012

Tiada jalan pintas!

Enak sekali, apabila kita tidak berjaya memperolehi sesuatu kita tanpa berfikir panjang lantas menyalahkan orang lain! Saya kurang pasti, gunung mana yang mereka daki, laut mana yang mereka selami - apabila semuanya ingin digapai melalui jalan pintas.

Sepanjang denai-denai dan cerun keilmuan yang saya telusuri, tiada satu pun jalan pintas yang saya turuti. Saya lihat sendiri, andai ada sekalipun rakan taulan yang memilih jalan-jalan pintas itu pastinya ada unsur-unsur ketidak jujuran, jika tidak banyak, sedikit tetap ada!

Justeru, mengapa mudahnya kita ingin berjaya tanpa berusaha gigih? Menyalahkan orang lain apabila kita tidak beroleh sesuatu yang diinginkan, walhal kitalah yang kurang berusaha dan malas mencerap data-data kehidupan?

Apa yang berlaku, benar-benar membuka fikiran saya untuk lebih teliti dan menilai bahawa:

yang hitam itu belum tentu hitam, yang putih itu belum tentu putih

KepadaNya jualah saya memohon keampunan dan semoga saya tetap diberikan kekuatan untuk meneruskan baki perjuangan yang belum selesai.

Thursday, 14 June 2012

"Saya nak tolong orang"

Baru-baru ini, saya ditanya mengapa memilih kerjaya sebagai ahli akademik, walhal banyak juga beberapa peluang di luar sana yang menjanjikan pulangan yang lebih mengujakan. Secara spontan lantas saya menjawab,

"Saya nak tolong orang"

Benar, pada mula memasuki kelas aliran sains dan kerana mata pelajaran Biologi menjadi kesukaan saya, sebelum berpindah ke sekolah lain - saya mengimpikan kerjaya sebagai pakar mata, kiranya seperti Prof Dr Muhaya pada hari ini. Mengapa? Kerana saya benar-benar ingin tolong insan lain dan pada masa itu saya kira menjadi seorang doktorlah paling mudah untuk membantu insan di sekeliling dan menjadi jambatan kasih sayang.

Kenangan di Sydney ketika persidangan FPT 2009

Hari demi hari, pelbagai jalan dilalui. Yang pasti, kita hanya melihat dan mampu merancang atas kapasiti kerdil kita sebagai manusia. Saya tidak langsung meneruskan dalam aliran sains tulen dan pastinya tidak berada dalam bidang kedoktoran.

Hari ini, saya bergelumang dengan dunia pendidikan tinggi - pelbagai rencah, rasa dan aroma dilalui. Jika benar-benar saya ingin mengotakan "saya ingin tolong orang", saya perlu selalu menyemak persoalan-persoalan berikut sebagai key performance index (KPI), antaranya ialah:
  • Berapa ramai pelajar PhD, Sarjana dan Sarjana Muda yang telah kita selia dan menerapkan hasil kerja penyelidikan yang tulen dan tinggi mutunya?

  • Berapa ramai pelajar dengan pencapaian lemah, misalnya CPA 2.10 ke bawah yang telah saya berjaya pimpin menjadikan CPAnya 3.10?

  • Berapa ramai pula yang berjaya saya majukan daripada CPA 3.00 kepada 4.00?

  • Berapa ramai yang lemah penguasaan Bahasa Inggerisnya berjaya saya lakukan transformasi menjadi mereka yang yakin pada kebolehan diri?

  • Berapa ramai pelajar yang dapat dipimpin menjadi insan yang kenal akal budi, meletakkan persoalan adab di hirarki tertinggi?

  • Berapa ramai pelajar yang dapat dididik memahami konsep "sampai maksud" dan mengamali bahawa kehidupan kita bukan atas taruhan RM semata-mata? 

Benar, saya kira laluan untuk "saya nak tolong orang" jauh lebih subjektif berbanding seorang pakar mata yang saya impikan satu ketika dulu. Ada tikanya dalam laluan ini saya tersadung kaki, tersepak batu hatta tertusuk duri di kaki, atau mungkin jua ditertawakan! Jika perlu berundur setapak, tak mengapa itu jauh lebih baik dan semak kelemahan diri.

Semoga niat yang baik ini difahami dan sisa-sisa kehidupan yang ada dapat memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja...kerana kita tidak pasti bila kita akan dijemputNya.

Monday, 11 June 2012

Sejambak Bunga

Sejambak bunga ini digubah oleh manusia. Fizikalnya, kepelbagaian dalam jambangan bunga ini tampak serasi dengan pelbagai warna yang sedap dipandang. Aroma kepelbagaian ini juga selesa dikesan oleh rongga manusia. 

Ini juga ceritera dalam kehidupan kita sehari-harian. Ada pelbagai warna, rasa dan bau yang masing-masing membawa peranan tersendiri. Jika dikatakan, yang merah dan wangi itu bagus, bagaimana pula dengan dedaun yang hanya berwarna hijau dan dipadan menjalar?

Hikmahnya, sayangi diri kita sendiri dan sentiasalah bersyukur atas kurniaanNya. Jangan sesekali kita merungut atas kekurangan yang diberikanNya kepada kita. Semakin banyak kita merungut, tiada apapun yang kita perolehi. Sebaliknya, belajarlah mencintai diri sendiri.

Friday, 1 June 2012

Facebook

Kegilaan masyarakat hari ini menerusi media sosial semakin menjadi-jadi. Pastinya, mereka yang menjadi pengasas kepada beberapa media sosial yang menjadi makanan manusia akhir zaman ini bersorak sorai penuh kegembiraan kerana "projek keusahawanan" mereka benar-benar menjadi!

Apa tidaknya, daripada kanak-kanak kecil, golongan remaja malah yang sudah berusia juga tidak lekang dengan Facebook. Siapa lagi yang mendapat faedahnya? Lihat sahaja, model telefon pintar juga bersilih ganti menembusi pasaran. Duit sahaja yang tidak mampu dipetik daripada pokoknya untuk menukar telefon setiap tiga (3) bulan sekali.

Jika dahulu, kita mendebatkan "Internet membawa keburukan" tetapi kini adakah kita mampu mendepani cabaran Facebook sebagai contoh? Manusia jadi hilang punca dan seolah-olah Facebook itulah segalanya-galanya. Semua perkara ingin dikemaskini sebagai status, semua masalah ingin diadu menerusi Facebook, marahkan seseorang juga ingin ditulis di situ.

Soalnya, di mana nilai akal budi dan adab kesopanan yang dilatih dalam diri sejak kita masih seorang budak hingusan? Atau, kita sebenarnya sudah menambah data kuantitatif sebagai salah seorang Facebook Attention Disorder?

KepadaNya jualah saya pinta untuk memberikan saya bimbingan dan pertolongan, walau dalam perkara berkaitan dengan sosial media ini.

Angka dan Kehidupan

Setiap orang pasti ada sentimen dalam kehidupan masing-masing. Apabila umur meningkat sempena ulangtahun kelahiran, tidak kurang juga ramai yang meraikan dengan pelbagai cara, hinggakan ada yang kadangkala di luar jangkaan pemikiran.

Apabila usia meningkat, ternyata apa yang merisaukan ialah masih adakah masa untuk mengetuk pintu taubat dan menjadi hamba yang sebenar-benar hamba kepadaNya.
 


Dunia kehidupan hari ini semakin menggila dengan norma kemewahan, pangkat, jenama yang menjadi ukuran. Ada yang kelihatan sangat mengejar pangkat - dengan harapan apabila ada gelaran dan pangkat akan dihormati. Ada juga yang mengejar jenama untuk dilihat sebagai insan yang kontemporari dan mendahului!

Apa agaknya yang saya sendiri inginkan dalam hidup yang sebenarnya sangat sementara ini? Saya ingin ingatkan diri ini dengan sepuluh pesanan yang MESTI saya baca hari-hari.

1. Tidak rakus dengan dunia
2. Sibuk beribadat
3. Kurang bercakap, melainkan perlu sahaja
4. Memelihara solat lima (5) waktu
5. Bersahabat dengan mereka yang mendidik
6. Rendah diri
7. Menjauhi perkara yang haram
8. Pemurah dan baik hati
9. Kasih sayang sesama makhluk
10. Berguna kepada masyarakat


Soalan yang mudah, adakah dalam baki kredit umur yang diberikannya, sekurang-kurangan sepuluh (10) perkara ini mampu untuk saya laksanakan?

Wednesday, 9 May 2012

Ruang dan Peluang


Masih kekal dalam ingatan, antara latihan yang saya lalui pada zaman kanak-kanak. Saya tidak makan durian, tetapi sayalah yang perlu menyapu daun-daun durian di laman ini, walau kini hanya tinggal tunggulnya sahaja.



Tentu sekali rungutan ketidakpuashatian seringkali dilontarkan, kerana bukan mudah untuk menyapu dedaun durian ini jika dibandingkan dengan keinginan bermain bersama rakan-rakan. Itu sudah menjadi sejarah.

Kini saya melihat dalam konteks kehidupan masyarakat semasa. Saya lihat bagaimana generasi muda semakin kurang memahami erti amanah dan tanggungjawab. Saya yakin dan percaya, setiap perkara kita akan lalui dengan gembira andai kita mengubah cara kita berfikir. Berfikirlah bahawa setiap yang hadir itu sebagai satu peluang untuk belajar dan memperbaiki. Semoga kita akan melalui kehidupan dengan lebih gembira dan penuh makna.

Sunday, 12 February 2012

Musuh Dalam Selimut

Saya seringkali terlepas pandang perkara ini "musuh dalam selimut" atau "gunting dalam lipatan". Saya perlu lebih berhati-hati dan mencerakinkan persekitaran saya dengan lebih kemas dan teratur. Kemudian, saya susun umpama "menarik rambut dalam tepung". Saya berdoa kepadaNya agar sentiasa memberikan saya keampunan dan bimbingan dan ujian yang berlaku ini.

Friday, 3 February 2012

Istiqamah

Laman ini pastinya mengalirkan air mata kesedihannya. Langsung tiada kemas kini sejak kebelakangan ini, adakah satu gambaran bahawa usaha sejak 2007 ini akan berkubur? Inilah antara perkara sukar dalam melaksanakan sesuatu perkara - melaksanakan dengan I.S.T.I.Q.A.M.A.H

Baru-baru ini, satu idea baru dicetuskan - cadangan mewujudkan Taman Rama-rama Mini di kawasan saya bertugas. Ada yang menganggap idea-idea ini tidak masuk akal dan pastinya akan berkubur! Tak mengapa, saya sudah biasa melaksanakan sesuatu sebagai 'calon tidak popular' dan sering dipandang remeh! Biarlah, hasil kerja yang membuktikannya!



Kredit foto ini untuk seorang rakan penyelidik - kami sama-sama dengan beberapa individu lain yang tiada latar belakang biologi cuba menerjah satu cabang ilmu. Nyata, berdamping dengan unsur-unsur alam ini begitu mendamaikan dan membuka minda kita dengan lebih pantas, akan kebesaranNya.

Rumusannya, sesekali elok juga keluar daripada kepompong kebiasaan. Buat sesuatu yang kita sukai supaya kita lebih menikmati hari-hari mendatang sengan senyuman yang menguntum indah!

Saturday, 19 November 2011

Lima sebelum lima

Kita sering diingatkan dan barangkali juga mengingatkan, ingatlah lima (5) perkara sebelum datangnya lima (5) perkara. Antaranya sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit dan juga padanan yang lain.

Entah! Kapan agaknya saya berupaya menguruskan diri dengan lebih baik? Saya dapati 'penyakit kerja bertangguh' sekarang makin menjadi-jadi. Adakah kerja saya terlalu banyak, saya mengharap terlalu tinggi, saya tidak pandai mengagihkan kerja atau apa sebenarnya?

Bagi saya, ini semua adalah simptom yang bakal membawa kemudaratan kepada saya. Apa yang saya terfikir buat masa ini ialah, saya juga perlu menyediakan jadual harian berasaskan jam (sama seperti jam belajar pelajar barangkali) agar saya boleh menjalankan banyak perkara dengan lebih baik.

Saya juga pasti, ada beberapa perkara yang semakin jauh saya ketepikan. Saya perlu kembali kepadaNya.

Sunday, 13 November 2011

Ketua

Bukan mudah. Itu yang boleh digambarkan apabila kita diamanahkan sebagai KETUA mengemudi sesebuah pasukan. Banyak hati yang perlu dijaga walaupun ada masanya kita sebagai ketua perlu mengetuai mereka semua dengan seni bermain layang-layang.

Ya, seni bermain layang-layang. Untuk menaikkan layang-layang bukan semestinya tali perlu ditarik sekuat hati, ada masanya perlu juga dikendurkan. Walau apapun, saya berdoa kepadaNya agar amanah ini dapat saya lunaskan sebaiknya. Saya perlu menjadikan ini sebagai satu peluang untuk lebih dekat kepadaNya. Tegurlah saya andai saya tersasar daripada jalanNya.

Monday, 7 November 2011

November 2010

Sungguh pantas masa berlalu. Sedar tak sedar sudah hampir setahun saya kembali semula ke tanah air setelah diberikan nikmah cuti belajar tempohari. Apa yang saya jangkakan, memang berlaku. Sikap bertangguh saya untuk menulis di sini akhir menjadi kenyataan.

Natijahnya, laman ini jadi "beku" dan "tepu" tanpa rekod dan pastinya ruang bisu yang selama ini turut saya gunakan untuk berkongsi seribu satu rasa terbiar. Maafkan saya. Saya sangat mengharapkan agar saya tidak lagi diburu oleh perangkap masa.

Jujur saya akui, saya rindukan suasana sebelum Mac 2011 - saya punyai lebih masa bukan sahaja untuk keluarga malah juga pastinya diri sendiri. Kini, semuanya sangat jauh berubah. Malah yang lebih menyedihkan ialah saya benar-benar terkilan kerana tempoh setahun yang saya lalui di rantau sendiri ini benar-benar melalaikan saya. Ya, benar-benar melalaikan dan lupa akan tugas dan tanggungjawab sebenar sebagai HambaNya.

Ya Allah, kau berikanlah aku peluang untuk memperbaiki akan kekurangan ini
Kau berikan jua aku kekuatan untuk sentiasa dekat kepadaMu
Kau berikan jua aku bimbingan untuk sentiasa dalam AgamaMu

Untuk keluarga dan insan-insan paling hampir, maafkan saya atas segala kekurangan.

Monday, 2 May 2011

Solat Dhuha

Ditentukannya, minggu lalu dalam perbualan dan input yang diberikan oleh rakan-rakan terdekat ialah peri pentingnya kita membulatkan tindakan terhadap tiga perkara.

Pertama: Menarik hidayah Allah, Kedua: Melaksanakan solat Dhuha, dan Ketiga: Memohon dan sentiasa berdoa kepadaNya.

Dalam urusan menarik hidayah Allah, ini jelas kadangkala tindakan kita sangat-sangat jauh melencong atas nama "hamba" kepadaNya. Hidayah Allah perlu kita tarik dan perlu kita usahakan setiap masa, bukan hanya pada hari Jumaat atau bulan Ramadhan atau hanya dalam kesusahan!

Kepentingan solat Dhuha juga tidak harus dipandang enteng. Dalam sisipan doa solat Dhuha, bagaimana kita diajar bahawa setiap rezeki adalah milikNya. Kita diajar supaya berdoa supaya meminta kepada empunya rezeki di segenap inci. Adakah kita berdoa dan meminta kepadaNya?

Akhirnya, bagaimana kita sangat kurang berdoa kepadaNya. Apabila berjaya seringkali kita lupakan bahawa yang memberikan kejayaan atau rezeki adalah Allah. Kita hanya mencari Quran penyejuk jiwa apabila dalam kesusahan, esok nak viva, esok nak presentation, esok nak interview kerja, diri dalam kesakitan dan segala yang berkaitan. Uh! Terlalu ego diri kita ini sebenarnya. Sebaliknya, alangkah manisnya andai dalam segenap tindakan kita disertakan dengan pengaduan kepadaNya. Semoga pesanan ini akan membuatkan diri yang jauh akan kembali kepadaNya. Insya Allah.