My Calendar

Wednesday 15 July 2015

Berapa orang makan?

Banyaknya masak!

Pentingkah pandai memasak? Bagi orang yang cerewet seperti saya, memanglah sangat penting. Sebelum ke luar negara, memang saya tidak langsung pandai memasak. Hanya pandai "order" sahaja. Ini contoh nasi goreng yang saya masak dan hanya untuk diri saya sendiri saya sahaja!

Rutin  memasak saya selalunya adalah sehari sekali sahaja, iaitu apabila balik dari makmal penyelidikan. Saya memasak dalam kuantiti yang banyak kerana saya terus sediakan bakinya untuk dibawa sebagai bekal ke makmal esok pula. Itulah alasannya kenapa masakan yang disediakan nampak seperti lebih seorang yang makan. 


Mengayuh basikal...

Di Malaysia, saya tidak pun ada basikal. Setiap kali peperiksaan sekolah rendah dan dapat no 1 pun, tidak berjaya saya mendapatkannya atas kekangan kewangan keluarga. Rupanya Allah berikan saya basikal di luar negara!

Mudah sahaja berbasikal tetapi mencabar kerana mengayuh bukit dan melalui jalan utama juga. Saya pernah "trauma" apabila ditahan polis kerana mengayuh basikal di lorong pejalan kaki. Dengan basikal ini juga pernah beberapa kali saya terbabas dan hampir jatuh. Mujur sempat kaki menahan tembok. Apabila pulang, saya jual basikal ini kepada "junior". Sekarang entah di mana basikal ini!



Menu Hari Raya Haji pertama...

Apabila saya tiba di bumi Inggeris, tidak lama selepas itu adalah Hari Raya Aidil Adha. Maka saya pun memasak nasi ayam untuk dimakan oleh kami berdua, saya dan seorang lagi rakan yang baru dikenali. Nampak enak, dan saya berjaya menjadikan ayamnya seperti ayam madu!




Ruang belajar yang sempit...

Meja inilah yang menjadi saksi betapa saya berusaha bersungguh-sungguh pada peringkat awal untuk mengubah diri untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan berjaya. Dengan sikap penakut dan cepat gabra saya yang tinggi, menjadikan meja, komputer dan buku adalah teman setia.



Tuesday 14 July 2015

Kicap dan periuk nasi elektrik...November 2007

Blog ini ada sentimennya yang tersendiri. Ketika awal membuat keputusan untuk mencatatkan kisah kehidupan menerusinya, pelbagai persoalan timbul. Pada masa itu, memang berniat agar catatanya adalah berkisar kepada suka duka hidup di rantau orang.

Mungkin bagus juga untuk memulihkan semula nafas blog ini, dapat dicatatkan beberapa perkongsian berfoto secara rawak pada penghujung 2007 ketika dalam fasa perubahan. Fasa ini sebenarnya banyak mencatatkan pengajaran agar jangan "terlalu yakin dengan kebolehan diri" dan juga "niat ikhlas dalam menuntut ilmu" juga adalah sangat penting.  

Foto 1 ini adalah telefon bimbit yang digunakan pada November 2007 sebelum berlepas ke England, bersama-sama fail dan anak-anak kunci untuk nota serah tugas di Fakulti dan Kolej Kediaman. Kerana pada masa itu, meninggalkan jawatan sebagai Ketua Jabatan dan Felo. 
 


Siapa pula mereka ini? Ini adalah antara "rakan pelajar" yang rapat dan seperti menjadi mentee. Kami rapat dan merekalah yang banyak memberikan juga dorongan kepada saya untuk lebih memberi. Mereka banyak membantu saya dalam susah.




Foto ini walau tersenyum, sebenarnya hanya Allah sahaja yang tahu begitu gusar dalam hati. Bakal berpisah buat pertama kali untuk suatu tempoh yang saya sendiri tidak pasti berapa lamanya, walaupun biasiswa memberikan tempoh 36 bulan. Pada masa itu, saya sememangnya tidak pasti di mana hujungnya. Apa yang pasti perpisahan itu bukanlah suatu perpisahan yang meyakinkan!



Setelah mendarat di Heathrow dan pengalaman cemas yang dilalui, sampai juga akhirnya ke Brunel University. Ini adalah antara foto awal yang dirakam yang pada mas aitu saya pun tidaklah pasti apa bangunannya. Kelihatan seperti asrama saya kira. 

Nah! Inilah teratak yang saya terjah pada awal pagi tanpa kunci dan tanpa memperhalusi prosedur sebaiknya! Saya belajar tentang nilai dan kebaikan serta watak-watak manusia di sini. Saya masih ingat, bagaimana saya "ditipu" dengan bayaran bil internet rumah!


Melihat kembali foto ini, pasti nama Kak Ina dan Abang Rashid akan kebaikannya dikenang sampai bila-bila. Cuma kesilapan saya ialah, tidak menyusul kebaikan mereka hingga kini. Saya perlu mengambil tindakan dan tidak lupa pada jasa orang yang menghulur tangan ketika saya tidak tahu ingin ke mana. 


Entah, sejujurnya saya buat PhD pada awalnya kerana saya sudah bosan menjalankan tugas pentadbiran! Tetapi, adakah niat itu wajar dan bagus dalam mendalami ilmu? Ini kad pelajar di Brunel dan saya tidak pasti, adakah PhD itu akan menjadi milik saya?



Kicap dan periuk nasi elektrik ini adalah umpama "hadiah istimewa" awal ketika berkelana ini. Saya makan, memang tidak boleh tinggal kicap. Nasi? Oh itu sudah pasti. Beberapa hari awal tanpa nasi menjadikan saya seperti hilang punca juga.


November 2007 berakhir. Apa dan ke mana saya selepas itu? Adakah saya jelas apa yang perlu dibuat dalam PhD? Bagaimana untuk saya sesuaikan diri dengan cuaca yang semakin dingin?