My Calendar

Thursday 3 July 2014

Keputusan Peperiksaan


Di universiti yang mengamalkan sistem semester, tempoh pengajian sebenarnya sangat singkat dan padat. Para pelajar bukan sahaja perlu memastikan mutu akademiknya yang dicerap berkualiti tinggi, pada masa yang sama aspek pembangunan diri juga tidak boleh diketepikan.

Kini, musim para pelajar menyemak keputusan peperiksaan. Ada yang menjerit gembira kerana berjaya menyenaraikan diri dalam senarai dekan dan ke atas, ada yang rasa biasa-biasa sahaja, ada yang menangis kesedihan kerana keputusan yang menjunam jatuh terduduk!

Soalnya, berapa ramai antara pelajar yang mengambil pengajaran dengan apa yang terjadi? Ini bersifat klise! kerana ramai yang "berpura-pura menyesal". Apabila buka semester baharu kelak masih lagi dengan perangai lama:

  1. Hadir lewat ke kuliah
  2. Ponteng kuliah
  3. Tiada nota dan tidak buat tutorial
  4. Tidur (mengantuk dalam kelas)
  5. Buat tugasan dan laporan pada saat akhir
  6. Tiru dan ubah muka depan sahaja laporan
  7. Berpaksikan "toyol" dalam ujian
  8. Habiskan masa tidur lewat dengan media sosial
  9. Habiskan masa dengan permainan komputer
  10. Sewa kereta bersama rakan dan berfoya-foya
  11. Habiskan duit biasiswa untuk rokok, wayang, belanja awek, boling dll
  12. Main futsal berlebihan tanpa kira masa
  13. Aktif keterlaluan dalam persatuan pelajar
  14. Tidak pernah ziarah perpustakaan
  15. Tiada buku rujukan dalam kursus yang diambil
  16. Tidak meminjam buku di khutub khannah
  17. Tiada adab dengan pensyarah
  18. Tidak pernah tahu siapa nama penuh pensyarah, di mana bilik pensyarah
  19. Tidak menjaga hubungan dengan pencipta
  20. Terlalu ikutkan kawan, semuanya nak buat kena ada kawan

Ini hanyalah 20 senarai yang sempat dicatatkan secara pantas. Entah, kita sememangnya lebih mudah menyalahkan orang lain berbanding diri sendiri.

Tiada orang yang pandai atau bodoh, tetapi yang ada hanyalah orang yang rajin atau MALAS!

Pilih Tajuk atau Penyelia

Dalam menjalankan penyelidikan dalam pengajian (sama ada sebagai calon PhD, sarjana atau projek sarjana muda), pasti persoalan antara tajuk dan penyelia menjadi dilema besar. Ada yang cenderung mengatakan lebih penting memilih tajuk/tema kajian yang diminati agar boleh melakukan rencana kelak tanpa banyak kesukaran.

Tidak kurang juga ada yang menegaskan, betapa peri pentingnya untuk memastikan penyelia yang dipilih adalah setepat mungkin. 

Akan tetapi, sedarkah kita bahawa kedua-dua elemen ini adalah bersifat pembolehubah bersandar. Apa maksudnya?

  1. Tajuk kajian lazimnya bersifat sementara. Sampai suatu ketika, kita diperlukan menyemak kesepadanan kandungan dan pencapaian kajian dengan judul yang ingin dicatatkan sebagai tajuk tesis, disertasi mahupun laporan akhir
  2. Penyelia juga bukanlah bersifat pemalar. Kerana, ada ketikanya daripada sembilan (9) orang yang diselia ada juga yang menemui noktah dan titik kebuntuan. Ada pula di bawah penyeliaan yang serupa berjaya menggapai kejayaan yang pelbagai. 

Inilah yang sangat signifikan untuk kita sama-sama perhalusi. Secara peribadi, apa yang lebih penting dalam soal ini ialah lakukan kajian literatur terlebih dahulu kepada diri kita sendiri. Dapatkan jawapan bagi dua (2) persoalan utama berikut:

  1. Adakah saya seorang yang berdisiplin tinggi? Tidak perlu disediakan buku log kehadiran tetapi saya boleh memastikan saya bekerja sekurang-kurangnya lapan (8) jam sehari
  2. Adakah saya seorang yang sangat berdikari? Saya tidak sedikit pun kisah jika terpaksa ke hulu dan hilir untuk merungkai persoalan kajian, sanggup duduk berjam-jam di hadapan skrin komputer untuk mendapatkan solusi masalah pengaturcaraan

Melalui jawapan ini, kita akan lebih kenal kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Maka, carilah guru atau tajuk untuk kita berpaut dan menuntut ilmu bagi menampung kekurangan diri kita. Jawapan truistik hanya ada pada diri kita sendiri. 

Jika diri sendiri pun kita tidak tahu kuat dan lemahnya, mana mungkin dengan mudah kita berupaya mencerap tajuk kajian dan sikap penyelia yang penuh dengan 1,001 misteri...