My Calendar

Saturday 27 February 2010

BBC

Minggu nie, ada dua rancangan di BBC yang aku tengok. Ya, bagus sebab banyak jugak kosa kata yang bertambah. Dua rancangan tu:

A: Masalah imigran di UK yang bertambah
B: Masalah 'homeless' yang semakin meningkat di London

Rancangan A
Dalam rancangan nie, dimulakan dengan tinjauan yang dibuat kepada masyarakat British akan ketidakpuashatian mereka dengan lambakan imigran. Mereka kata, 'pendatang merampas kerja mereka', 'menambah kesesakan dalam perkhidmatan (sekolah dan hospital)', rata-rata memang mereka tak puas hati.

Pastu, mereka kenal pasti beberapa sektor, (i) restoran, (ii) buat rumah (iii) pertanian (iv) kilang kentang. Kat sini semua tokey adalah orang tempatan (British) tetapi majoriti orang kepercayaan dan pekerja mereka adalah orang luar (Poland, India, Bangladesh dll). Mereka kata, mereka ingin bagi sumbangan kepada negara tetapi masalahnya ialah masyarakat British 'malas', 'nak keje mudah' dan 'selesa'.

Betul! Ini dibuktikan apabila dalam rancangan tu, beberapa masyarakat British yang 'jobless' yang dah hampir 5 tahun hidup dengan ehsan 'elaun' kerajaan dan kononnya dalam proses nak mencari kerja diberikan peluang untuk bekerja dalam sektor-sektor tu. Malangnya, dakwaan sifat-sifat negatif oleh pendatang kepada masyarakat British, semuanya benar-benar belaka! (Dalam kes orang-orang jobless yang diberi peluang bekerja nie...ada terus tak datang, separuh hari la...tapi ada gak yang OK)

Aku tinggalkan dengan persoalan untuk sama-sama kita fikirkan...

"Adakah benar apabila kita terlalu lena dalam mimpi indah, kita perlu dikejutkan!"


Rancangan B
Mereka jemput 5 rasanya individu-individu yang 'mewah' di London untuk menyelami camne hidup sebagai orang jalanan! Daripada 5 orang nie, hanya tinggal 4 je yang tahan dengan cacian, kesejukan, ancaman bergelar 'homeless'.

Mereka hanya diberikan baju-baju lama dan kemudian dilepaskan sendirian di kota london tanpa alat perhubungan dan duit! Ada yang terpaksa merayu mintak duit, meraih simpati mintak makanan, tidur kat lorong-lorong....Huh! Bayangkan dengan suhu yang sejuk menggila!

Ada sorang tu siap nangis, sebab baru apa itu 'manusia' dan 'kemanusiaan'! Ini baru episod 1 dan ada yang kata 'it was so pathetic'. Aku tulis bukan apa, untuk ingatkan diri aku sendiri.

Aku titipkan dalam bait-bait berikut:

Bila kita ada semuanya, kita selalu lupa...
Bila kita kehilangannya, baru kita menangis menggila...
Tapi untuk apa?...
Air mata dapat kembalikannya?...
Kita ada mak ayah, bila kita di menara kita lupa semua...
Kita ada adik beradik, bila kita mengenggam dunia kita pandang yang lain sebelah mata...
Kita ada isteri, apabila dilanda susah kita rasa sang isteri semuanya tak kena...
Kita ada suami, apabila dilanda masalah kita sang suami kita tak berguna...
Kita ada anak-anak, apabila dilanda musibah kita rasa anak-anaklah punca sengketa...
Inilah kita yang sebenarnya tak punya apa-apa....


Berjimat

Antara yang aku belajar berkelana di rantau orang ialah, erti berjimat. Mungkin secara kasarnya betapa mewah dan seronoknya hidup di kota London (walaupun hanya di zon 6). Apa yang membentuk pemikiran kita juga adalah pengalaman kita melihat rakan-rakan yang pulang dari UK misalnya dengan membawa kereta berjenama mewah, pakaian berjenama mewah, pinggan mangkuk serba mewah, pendek kata...semua serba mewah!

Tanpa kita sedar, adakah ini keperluan atau kehendak? Ini satu persoalan, tetapi bukan yang ingin aku bincangkan. Aku lebih berminat bagaimana budaya di sini yang mudah, tetapi memberikan kesan yang besar. Konsep bawak bekal dari rumah adalah satu budaya yang sangat sihat dan jimat. Kenapa dan mengapa?

  1. Masakan yang dibawa adalah 'air tangan' pasangan masing-masing (isteri atau suami) yang pastinya kebersihannya terjaga. lantas 'ganjaran keberkatan' bagi yang memahami
  2. Mesra alam, sebab kita tidak menggunakan bekas sendiri dan lagi kita tidak perlu keluar (menggunakan kenderaan) untuk ke kedai makan
  3. Jimat masa, sebab kita tidak perlu bersesak-sesak untuk mendapatkan sepinggan hidangan
  4. Jimat duit itu pasti, sebab kalau kita makan di luar dan membeli makanan pastinya kos bahan, kos buruh dan kos perkhidmatan diambil kira bukan?

"Persoalan untuk diri aku sendiri, mampukah aku kekalkan budaya ini apabila pulang kelak?"
Moga dimudahkanNya untuk mengamalkan perkara-perkara yang baik.

Pindah?

Dalam laluan Ph. D, ada juga satu benda yang kita kena jangka. Misalnya, bagaimanakah harus kita tangani:

A. Jika penyelia yang membimbing kita menderita penyakit kronik dan akhirnya meninggal dunia?

B. Jika penyelia yang membimbing kita dinaikkan pangkat dan berpindah ke institusi lain?

Mungkin bagi mereka yang seringkali melabel diri mereka sebagai 'pelajar PhD berdikari', sama ada kes A atau B, tidak sedikitpun meninggalkan kesan kepada mereka. Tapi, bagi aku yang sangat memerlukan bimbingan insan bergelar penyelia, ini memberikan kesan yang sangat hebat!

Apa yang aku ingin kongsikan di sini ialah, peri pentingnya peranan penyelia kedua (bagi yang menjalankan PhD di negara yang mempunyai sistem begini). Jika kes A dan B berlaku, di sinilah keperluannya! Tapi bagaimana kalau penyelia 1 dan 2 memang tak sebulu? Huh! Belum ada idea lagi untuk diulas buat masa ini.

Tak tau dah nak tulis macam mana, apa yang pasti, aku kena hadapi dengan sebaiknya. Pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Thursday 18 February 2010

Tahniah!

Tulisan ini khas untuk seorang rakan baik di sini. Kejayaannya dalam PhD viva hari ini adalah sangat signifikan. Aku sangat yakin, kerja keras dan kesungguhannya dalam menyempurnakan pengajian adalah kunci kejayaan. Aku, sebagai rakan tumpang gembira dengan 'wajah kepuasan' hari kejayaannya. Aku kira, proses pengajian B. Eng dan terus kepada PhD adalah sebahagian dari 'school of thought' yang membuatkannya matang melangkaui usianya. Aku doakan agar kejayaan akan terus bersamanya.

Nota: Apa hikmah yang aku petik dari kejayaan ini untuk diri aku sendiri?

Sunday 14 February 2010

Advice

Artikel ini sangat menarik. Dimulakan dengan satu pepatah berbunyi:

Orang yang bijak boleh mempelajari sesuatu dari sesiapa sahaja....

Aku ingin merumuskannya begini, supaya lebih dekat dengan diri aku sendiri.

Untuk menjadi orang yang bijak,
Lapangkan hati, buka minda untuk menerima pendapat dari orang lain.
Ego dan merasa diri kita hebat adalah 'pendinding' yang maha hebat!
Bertanya adalah kunci membuka ruang ilmu,
tapi awas!
bukan bertanya kerana untuk menunjukkan kita insan hebat!
dan merendah-rendahkan orang lain!

  • Work hard and do good work: There is no substitute for this nor...
  • Genius is not enough!


Selain itu, terdapat dua sumber utama yang boleh dijadikan bahan bacaan untuk menajamkan pelbagai kemahiran. Boleh rujuk:

Koleksi 1:

Koleksi 2:


Friday 12 February 2010

Menulis

Bagi membolehkan kita menulis dengan baik, bukan sahaja kandungan teknikal yang diperlukan. Malah kemahiran penulisan teknikal dan kemahiran penguasaan tatabahasa Inggeris juga mesti dikuasai dengan baik.

Semakin banyak kita menulis,
semakin banyak yang perlu kita baca.
Semakin banyak yang kita cuba gali,
semakin kita sedar akan kekurangan diri.

Itu cantiknya dunia penulisan. Tetapi, ada beberapa kelemahan yang mesti diperbaiki segera. Setiap kali membuat penulisan, masalah berbaitan 'articles', 'possessive', 'punctuation' dan macam-macam lagi. Aku kena sediakan satu nota khusus agar mudah aku rujuk dan faham kenapa aku perlu menulis begitu dan begini. Kalau ada yang ingin juga belajar dan memperbaiki kemahiran dalam bahasa Inggeris ini, rujukan berikut sangat baik:


Selamat belajar, AA!

Tuesday 9 February 2010

Journal of System Architecture (Impact Factor: 0.984)

Benar, Allah itu maha kaya dan mengetahui semuanya. Atas izinNya, doa dan usaha salah salah satu KPI dalam pengajian PhD ini dapat dicapai. Walaupun nyata masih jauh untuk memenuhi KPI yang tuan penyelia telah tetapkan, tetapi sebagai individu yang mula merangkak semula dengan penuh kepayahan, aku patut rasa gembira.

Walaupun penerbitan ini bukan lah di dalam IEEE yang sangat diidamkan, ini tidak mengapa. Aku akan terus berusaha untuk memperbaiki hasil kajian dan mutu penulisan akademik. Masih terdapat terlalu banyak ruang untuk aku perbaiki. Kemahiran bahasa Inggeris aku juga perlu aku tajamkan.

Walau apapun, semua insan yang senantiasa ada bersama aku memberikan sokongan dan bantuan tidak akan aku lupakan. Jasa baik kalian biar aku simpan dalam hati dan di doakan agar semuanya mendapat redha Illahi.

Ringkasnya, "tiada jalan pintas untuk kita dapatkan sesuatu. Jika kita mahu, kita kena bergerak menuju kepadanya".

Monday 1 February 2010

Soal Hati

Rasanya boleh dirumuskan berkaitan soal hati. Ini persoalan di lab sekarang nie. Keadaan yang agak 'menakutkan'. Kami berlima aje pun kat lab nie. Dulu masa mula-mula masuk, aku lebih banyak buat kerja sendiri, hinggakan ada jugak yang tak puas hati. Aku tak suka 'becak-becak' [Pinjam kata-kata hairol], kadang-kadang aku perhatikan banyak jugak yang pelik dilakukan untuk mendapatkan kepercayaan/perhatian penyelia dan juga situasi bermuka dua.

Foto ihsan: http://www.filemkita.com/

Ada jugak yang tidak dapat dipastikan, kurang berkongsi dan saling sorok menyorok akan kerja yang dilakukan. Semalam, ada si A bercerita pasal B, katanya A menyorok menulis satu jurnal untuk 'special issue', puncanya sebab si B ada 2 kertasnya berjaya dalam satu persidangan, tetapi kertas yang ditulis bersama B, kena 'reject'. Uhhhh....aku hanya mendengar dan malas nak berikan komen.

Aku perhatikan, situasi ini agak bahaya. Ada yang di depan lain, di belakang lain. Cara terbaik, jangan jadi 'ajinomoto'. Aku dapat rumuskan, jangan la kita takut dengan bayang-bayang sendiri. Berkongsi ilmu dan apa yang kita ada takde ruginya pun!

Maggi

Dulu masa 'undergrad' pernah juga makan maggi. Murah, mudah dan memang segera. Tapi persoalan khasiatnya? Yang ingin dicatatkan di sini ialah, seorang rakan saya. Rajin dan sangat komited dalam kajian dan pengajiannya. Rakan ini juga antara pendorong saya di sini untuk berusaha dengan lebih gigih dan tekun.
Rakan ini sangat cekal dan nilai ilmu sangat tinggi baginya. Datang ke sini untuk pengajian PhD dengan belanja sendiri, adalah satu pengorbanan yang cukup tinggi buatnya. Saya kagum! Saya yang dibiayai sepenuhnya pun tidak serajin rakan ini!

Berguru

Sedikit lega. Mungkin itu yang boleh digambarkan selepas melalui satu minggu yang penuh dengan pengalaman yang agak menyesakkan dan penuh ujian ketahanan (fizikal dan mental). Semalam manuskrip versi akhir 'minor revision' telah dihantar kepada Dr. A dan Dr. H. Ya, dengan harapan apa yang telah dilakukan berjaya memuaskan hati mereka. Dan lagi, yang lebih utama dengan izin Allah, diharapkan agar 'reviewer' dan 'journal editor' akan berpuas hati dengan segala penambahbaikan yang telah kami lakukan dan seterusnya bersetuju untuk menerbitkannya.

Menjadi ahli akademik dan penyelidik, selain pembentangan kertas kerja dalam persidangan, penerbitan artikel dalam jurnal juga adalah satu kepuasan dan perkara yang wajar menjadi 'kegilaan'. Tetapi, dalam proses untuk menghasilkan sebuah 'karya' perkara yang perlu diteliti, misalnya,
  1. Mencapai spesifikasi diri sendiri (sebagai pemilik karya yang utama)
  2. Mencapai spesifikasi penyelia dan bertolak ansur dengan perselisihan pendapat di kalangan penulis-penulis.

Pertama: Spesifikasi diri sendiri
Nampak seperti mudah kerana kita hanya berhadapan dengan diri sendiri, tetapi ini juga adalah sangat sukar. Kerana, sebagai pemilik 'karya' penyelidikan yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hasil kajian dan setiap patah kata yang kita tulis, kita perlu benar-benar faham kandungan kajian. Memahami sebagai pembaca, dan memahami sebagai penulis adalah dua perkara yang tinggi jurang perbezaannya. Seringkali kita membaca artikel penyelidik-penyelidik lain dan tidak dapat menangkap maksudnya, tetapi ada juga artikel yang mudah kita ikutinya.

Mengapa?
A: Adakah kita masih kurang ilmu, atau
B: Kaedah penulisan penulis yang kurang berkesan?

Secara peribadi, kedua-duanya benar.

Kedua: Spesifikasi penyelia dan perbezaan pendapat para penulis
Persoalan yang menakutkan! Sehingga detik ini, belum pernah ada artikel yang dihantar kepada tuan penyelia yang terus dipersetujui untuk dihantar! Pernah juga, ada artikel yang terus ditolak untuk dihantar! Ya, bagus kerana ini adalah proses untuk belajar dan terus belajar, tetapi seringkali juga rasa terduduk hampa dengan ceteknya ilmu dalam bidang pengajian dan juga kemahiran penulisan artikel akademik menggunakan dalam bahasa Inggeris. Tapi ini tidak mengapa, selagi sang guru tidak jemu memberikan pandangan, selagi itu diri ini akan terus cuba memuaskan apa yang digariskan.

Perbezaan pendapat antara penulis juga pasti wujud. Ini yang menarik! Sebagai ahli akademik dan penyelidik kita perlu ada sifat 'sedia menerima kritikan' dan 'terbuka'. Kita tidak tahu semua perkara dan inilah peranan rakan penulis/penyelidik untuk memberikan maklumbalas. Jadi, usah membentak-bentak seperti anak kecil untuk menegakkan benang yang basah, kalau benar itu memang kekhilafan kita! Tetapi, jangan pula kita tiada pendirian! Sebab itu penting untuk faham apa yang kita buat dan apa yang kita tulis. Setiap apa yang kita buat, mesti ada sebab dan alasan!

Ini biografi rakan penulis dalam satu artikel akademik. Semuanya mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Sangat bagus, dalam satu pasukan untuk kita memaksimumkan kelebihan masing-masing, dengan ini kekurangan dapat kita minimumkan.

Pengalaman menarik sepanjang seminggu bersama Dr. H juga memberikan kesan yang besar. Mengenali Dr. H membuatkan rasa kagum pada nilai ilmu. Beliau seorang yang sangat rendah diri dan penuh hikmah. Pernah sekali saya cuba bertanya dan bimbang akan kalau-kalau soalan itu tidak begitu bijak, lantas beliau menjawab, "setiap soalan adalah pembuka ruang ilmu, jadi tiada soalan yang tidak bijak". Beliau akan menerangkan dengan bersungguh-sungguh kepada saya kenapa perlu ditulis begini dan apakah sebabnya. Dr. H berpesan, dua nilai yang perlu ada: 'argumentative' dan 'reasoning'. Jangan hanya terima apa sahaja yang kita baca, sebaliknya tanya 'why?', 'how?'.

Yang lebih menyakitkan, Dr. H juga telah membuat penelitian kepada hasil kajian saya. Dan .... beliau mendapati ada hasil kajian yang agak meragukan. Nah! Saya perlu 're-implement' senibina-senibina yang telah saya buat! Sakit tetapi sangat berguna! Walaupun Dr. H bukan penyelia saya, tetapi beliau sangat ikhlas untuk tidak membuatkan saya terus silap.



Tapi, ini juga bukan bermakna penyelia saya yang wajar saya salahkan! Terkilan sedikit memang ada, tetapi bila saya perhalusi, memang salah saya. Penyelidikan ini adalah milik saya dan penyelia hanyalah penasihat. Dr. A ada 11 pelajar yang perlu diteliti, jadi saya tidak boleh bersifat keanak-anakan dan terlalu mengharapkan beliau! Saya perlu jadi lebih matang dan bijak menangani keadaan. Sumbangan Dr. A kepada saya sangat signifkan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan contoh yang memberikan saya semangat untuk terus ke hadapan. Persamaan antara Dr. H dan Dr. A ialah, kedua-dua mereka kritis dan sangat cerewet! Tapi tidak mengapa, cerewet untuk menjadikan saya menghasilkan hasil kerja yang lebih berkualiti.


Benjamin juga seorang yang sangat cekap dan mahir dalam VHDL. Beliau adalah guru saya dalam VHDL. Saya harapkan, saya dapat kemahiran sepertinya. Ini yang agak perlahan bagi saya. Sekarang ada 'board' baru yang perlu saya belajar menggunakan. Saya mesti!


Rumusannya, sikap dan cara kita berfikir perlu positif. Kalau misalnya kita tidak dapat seperti yang kita harapkan dari penyelia, kita kena mencari 'secret weapon' untuk membantu kita. Dan sekali-kali jangan bersifat keanak-anakan! Belajarlah menjadi ahli akademik dan penyelidik yang MATANG!