My Calendar

Sunday 25 October 2009

Kecil

Sering kita dengan, ada tindakan yang kecil tetapi memberikan kesan yang sangat besar. Aku sangat-sangat bersetuju dan sentiasa cuba untuk menyemak diri. Adakah aku telah dan selalu melakukannya.

Antara yang ingin dikongsikan di sini:
  1. Ucapan terima kasih: Ini boleh diumpamakan sebagai 'magic word' dan agama juga menuntut kita sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Syukur pada Allah itu pasti!. Apabila ada insan lain yang memberikan pertolongan kepada kita, ucaplah terima kasih. Tiada ruginya. Suami kepada isteri dan juga isteri kepada suami. Aku juga perlu menyemak berapa kali sehari kalimah azimat ini diungkapkan? Koreksi diri juga, berapa kali sehari kita mengucapkan syukur (Alhamdulillah) kepadaNya?
  2. Balasan SMS: Tiada ruginya, kita membuat insan lain jelas dengan SMS yang dihantar. Jawablah - "OK" atau "aku sibuk sikit, nanti aku get back" atau mungkin seringkas "K". Itu semuanya lebih baik daripada berdiam diri membuatkan "penantian sebagai satu penyeksaan".
  3. Balasan emel: Ini pun satu aspek penting. Kadang-kadang aku pelik, apa lah salahnya, membalas walau sebaris ayat. Misalnya "Dokumen diterima, tindakan sedang diambil" atau "Saya akan semak dan maklumkan kemudian" atau "Cadangan anda dihargai dan akan dipertimbangkan" atau juga seringkas "Terima kasih" ?
Inilah yang dinamakan seni dalam komunikasi. Aku perlu kuasai seni ini sebaiknya seperti mana yang aku harapkan juga. Semakin hari kita semakin meniti usia, biarlah umur yang bertambah dan nikmat yang menggunung kita perolehi juga menzahirkan peribadi diri kita yang lebih baik?


Nota: Seperti mana sedapnya ubi rebus bersama sambal tumis, begitu jugalah keinginan kita dalam kehidupan. Sedap dan menyedapkan!

"Pak Uda belajar rajin-rajin ye"

Anak kecil, jiwa mereka tulus dan sangat murni. Jika sejak kecil mereka dimomokkan dengan perkara-perkara yang berupaya menggelapkan jiwa mereka, apabila mereka meniti usia dan jiwanya sering memberontak, usah kita salahkan mereka. Salahkan diri kita sebagai ibu bapa dan individu dewasa yang kurang peka!.

Kita harus hati-hati, andai insan-insan kecil ini saban masa dan ketika dihidangkan dengan adegan permusuhan, pergaduhan dan pertengkaran di depan mata mereka, bukankah itu salah kita sebagai insan dewasa? Ini adalah persoalan tanggungjawab dan hak anak-anak untuk kita tunaikan bagi kita sebagai ibu bapa dan insan dewasa.

Ada tikanya kita pelik, bagaimana anak kecil yang tulus boleh melontar kata kepada orang dewasa, kosa kata yang boleh mengegar tangkai hati kita. Pengalaman di sini sendiri misalnya, seorang anak kecil pernah melontar kata "You are disgusting!" hanya kerana aku terlanggar dia tanpa sengaja.

Semalam, aku menelefon si kembar dan di akhir perbualan, kedua-duanya 'memberikan nasihat' kepada pak uda dia;

"Pak Uda belajar rajin-rajin ye..."

Lontaran kata-kata yang sangat signifikan dan menyentuh hati. Aku yakin dan percaya, andai kita insan dewasa yang waras fikirannya mendidik dengan nilai-nilai agama yang tinggi, nilai-nilai kasih sayang dan memanjatkan doa kepadaNya, pasti yang indah dan cantik itu akan hadir jua.

"Buat anak-anak saudaraku yang sedang meniti usia, aku doakan agar kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Berjalanlah di muka bumi ini dengan penuh rasa rendah diri dan kenal akan diri kita sendiri. Moga Allah sentiasa melindungi kalian dan menjadi insan-insan yang membuatkan mak dan ayah kalian gembira".
~Pak Uda~

Friday 23 October 2009

Masa?

Mengurus masa bukan satu perkara yang mudah. Tetapi aku harus akui, antara rahsia kejayaan nama-nama besar dalam apa jua bidang yang mereka ceburi ialah pengurusan masa yang berkesan. Ada orang yang tidur hanya empat jam sehari tetapi sangat produktif dalam kerja mereka. Ada juga ketika, aku sendiri boleh bekerja dengan tekun dan bersemangat walaupun tidur sedikit, tetapi ada juga hari dan ketika, malas menguasai diri walaupun tidur sangat-sangat mencukupi.

Bila Jumaat menjelma - pasti persoalan berikut muncul:
  1. Apa yang dah aku capai dalam aspek hasil kerja berkualiti (dalam bentuk yang boleh dipegang - sudah siap dicetak, bukan masih lagi sebagai softcopy) dalam minggu ini?
  2. Apa yang dah aku capai dalam aspek peningkatan ilmu dan kemahiran seiring dengan peranan dan tugas aku sekarang sebagai pelajar PhD (boleh diukur - measurable) ?
Nota dan panduan berikut aku kongsikan untuk diri aku sendiri dan sesiapa yang mungkin bermasalah macam aku. Moga-moga membawa manfaat dan menjadikan diri kita lebih menghargai masa!

http://vitae.ac.uk/policy-practice/1393-3410/The-balanced-researcher-Strategies-for-busy-researchers.html

tetapi, ada dua juga persoalan yang sangat-sangat penting dan membuatkan aku rasa bersalah juga pada diri sendiri:

  1. Apakah peningkatan dalam setiap minggu dalam urusan dan peranan kita sebagai hamba kepada PENCIPTA?
  2. Apakah hak-hak insan lain yang tidak dan telah aku abaikan?
Persoalan yang perlu aku halusi dan diambil tindakan secara serius dan konsisten!

Tuesday 20 October 2009

Kawan, Serius, Poyo dan Kematian

Kisah 1: Kisah kawan
Minggu ini dua kali 'berjogging' di Heathrow. Ekoran larian yang kurang sempurna, acara pertama dijalani dengan peristiwa tersungkur di atas tangga bergerak. Berdarah dan bengkak!. Mujur larian kali kedua pagi tadi tiada apa-apa kecederaan yang dialami sebagai atlit suku profesional. Semuanya lantaran kisah kawan. Aku boleh tafsirkan, apa yang terjadi sebagai kisah penilaian dan tafsiran. Salah ke aku mengambil serius perkara-perkara yang pada pengamatan aku perlu diusahakan sebaiknya? Bagi aku, kawan ini umpama jambatan kemanusiaan. Untuk memastikan jambatan itu cantik dan memberikan makna, mesti dilengkap dengan senibina dan teknologi yang terbaik.

Kisah 2: Salah ke menjadi serius?
Aku tak pasti dan kadang-kadang pelik jugak. Salah ke agaknya bila kita hanya buat kerja kita, kurangkan berbual, kurangkan masa minum teh, kurangkan gelak-gelak? Aku rasa tiada salahnya, sebab aku tidak menganggu hak peribadi orang lain. Tetapi, baru aku sedari - rupanya tidak, kerana aku telah ditegur ekoran sikap aku yang sedemikian. Aduh! Pelik sungguh manusia

Foto ihsan: HusniHassan (infinite creativity)


Kisah 3: Beriya@poyo?
Ini soal tanggungjawab. Andai kita dah tentukan, program berjalan pada jam 8.30 pagi, masakah jam 8.25 pagi baru kita nak berkemas-kemas bertolak dari rumah? Bolehkah kita, semudahnya mencampur adukkan urusan peribadi dengan urusan kerja? Misalnya, keluar membeli belah? Benar, nilai tanggungjawab ini kurang disentuh secara nyata dalam pendidikan di IPT, tetapi malang sekali andai apabila kita mula berkerjaya, kita jadi gelap dunia!


Kisah 4: Kematian
Aiman (9 tahun) anak jiran sebelah rumah meninggal dunia kerana lemas di paya. Terbayang-bayang aku keletah dan riangnya. Benarlah, ajal maut itu bukan diasaskan melalui ukuran angka usia. Hukum akal mengatakan, yang tua akan mati kerana umur telah lanjut. Tetapi tidak semuanya tepat. Tanya diri kita, dah bersediakah kita andai esok kita tiada lagi di sini?

Foto ihsan: HusniHassan (infinite creativity)

Monday 12 October 2009

Minat, Kesungguhan atau Kepintaran?

Pendahuluan:

Minat, kesungguhan dan kepintaran ada pertalian dan sangat kuat. Lantas, ada yang berpendapat, kalau kita sudah tiada minta, agak sukar untuk kita melakukan sesuatu perkara. Mengenali individu-individu yang mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang fotografi, membuka ruang fikiran untuk lebih memahami apa yang diterjemahkan sebagai minat dan kesungguhan. Rumusannya ialah, KAGUM!

Foto ihsan: HusniHassan

Lantas, nota ringkas berikut memerlukan sedikit pemerhatian untuk diri ini fikirkan:

  1. Pupuk minat dalam sesuatu bidang berupaya menajamkan kepintaran (intelligence). Kita dimomokkan dengan kepintaran akal (IQ) semata-mata. Sesiapa yang mempunyai skor tertinggi dalam ujian IQ dikatakan lambang invididu yang pintar. Bagaimana pula dengan kepintaran pelbagai (multiple intelligence) yang sering kita terlepas pandang? Pintar dalam emosi, seni lukis, seni berhujah, seni fotografi, seni memasak dan macam-macam lagi
  2. Latih minda kita dengan memfokuskan kepada satu perkara yang kita minat dan asahkannya. Dengan latihan hari ke hari tanpa jemu dan memaksimum kelebihan/kepintaran dan meminimumkan kelemahan dapat membentuk kepuasan peribadi yang maksimum
  3. Bagi yang mempunyai anak-anak, kenal pasti kepintaran anak-anak kalian sejak kecil dan pupuk mereka dengan sifat-sifat yg positif. Sokongan insan-insan terdekat sangat besar ertinya dalam membentuk keperibadian. Jangan biarkan provokasi negatif dalam persekitaran yang dibimbangi akan meracun minda!
  4. Bagi yang dalam pengajian akademik, pupuklah minat dalam apa yang kita lakukan. Lihat sekeliling kita, ada orang yang boleh duduk berjam-jam mengadap bahan-bahan ilmiah lantaran minat yang sangat mendalam dalam penyelidikan dan penulisan.

Foto ihsan: HusniHassan

Kesimpulan:

Kita terlalu kerdil untuk pintar semuanya. Justeru, jangan dirasakan kita terlalu hebat dengan semudahnya memperlekehkan orang lain yang pada pengamatan kita mungkin tidak setanding dengan kita. Semat dalam hati, semakin banyaknya peluang yang diberikanNya, semakin lebar seharusnya sifat HIKMAH dalam diri kita! Peringatan untuk diri ini SENDIRI.

Tuesday 6 October 2009

Pembentangan Projek Sarjana Muda (PSM)

Ada yang bertanya. Sebagai panel penilai dahulu, apa yang diperhatikan dalam pembentangan projek sarjana muda (PSM)? Berikut adalah panduan yang boleh diambil kira oleh pelajar dalam menyediakan diri dalam menghadapi pembentangan PSM 1 dan 2.


  1. Pastikan kertas kerja seminar dihasilkan mengikut format dan profesional. Penulisan akademiknya juga seharusnya tepat dan jelas. Semakin jelas dan profesional kertas seminar, memberikan gambaran awal hasil kerja yang berkualiti.
  2. Elakkan kesalahan-kesalahan lazim misalnya ejaan, rajah yang tidak dilukis semula (hanya copy n paste), teks yang diceduk dari Internet.
  3. Slaid pembentangan mesti disediakan secara profesional (pemilihan warna, teks, susun atur dll) perlu diperhalusi. Jangan hentam keromo dan ambil mudah.
  4. Jangan sekali-kali hanya copy n paste dari kertas seminar dan menjadikan slaid pembentangan adalah versi lain kertas seminar.
  5. Mudahkan slaid pembentangan dengan mewakilkan teks dengan rajah, jadual, carta alir.
  6. Berlatihlah menyampaikan pembentangan dengan fasih dalam Bahasa Inggeris. Latihan yang gigih dapat menjadikan kita lebih bersedia dan fasih. Sediakan skrip bagi membantu melancarkan kefasihan.
  7. Sediakan FAQ untuk kemungkinan soalan-soalan yang bakal ditanya. Dengan adanya persediaan ini, kita akan lebih bersedia menghadapi sesi Q n A dengan lebih yakin.
Selamat Maju Jaya untuk kita semua!


Sila Pulangkan Kepada SAYA!

Nota:
  1. Baru-baru ini aku belajar untuk lebih berhati-hati. Aku selalu betul buat silap dan kadang kala terlalu teruja dengan sesuatu perkara. Gelojoh! Itu mungkin perkataan yang sesuai untuk sikap aku ini.
  2. Namun, benarlah dan aku akui bahawa keadaan dan atmosfera yang berbeza itu membuatkan cara kita berfikir juga berbeza.
  3. Sekarang, perkara ini telah berlaku dan mengundang pelbagai persoalan. Aku akan bertanggungjawab dan benar-benar belajar dengan 'salah faham' yang pada pengamatan dan tafsiran akal kerdil aku, bukan 'salah faham'.

"Jika anda ada kemusykilan dan tidak berpuas hati,
sila pulangkannya kepada SAYA!
Saya akan bertanggungjawab SEPENUHNYA!"

Monday 5 October 2009

Kompilasi

Kisah 1: Sepotong
Aku akan terus mencuba untuk berkongsi 'sepotong' maksud-maksud yang boleh kita sama-sama renungkan. Masih lagi dalam Surah Az-Zariyat.

Ayat 20: Dan di bumi terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang yakin.
Ayat 21: Dan juga pada dirimu sendiri. Maka, apakah kamu tidak memerhatikan?

Tanda kebesaran Allah kalau kita ukur dari indah dan sempurnanya segala ciptaanNya di muka bumi, tiada perkataan yang dapat kita gambarkan ukuran kesempurnaannya. Dalam diri kita juga, banyak sungguh kelebihan yang dikurniakan.

Kisah 2: Bahasa Inggeris
Aku kagum, dengan penguasaan Bahasa Inggeris profesor TNCAA. Sangat jelas sebutan dan meyakinkan. Sesi pembentangan bersama rakan-rakan pemegang biasiswa semakin membina keyakinan untuk menyampaikan dengan fasih dan meyakinkan. Aku mempunyai PR yang OUT! Tetapi biarlah hasil kerja aku yang menjadi duta kepada diri aku sendiri!

Kisah 3: Pembentangan bersama rakan-rakan UTHM dan TNCAA
Aku melihat aktiviti ini sangat bagus. Malah, kalau di Brunel misalnya kita juga dapat mengadakan aktiviti menjurus kepada hal ehwal akademik begini juga adalah sangat-sangat membantu. Apabila kita membuat pembentangan di hadapan rakan senegara misalnya, kita dapat menguji keyakinan dan kefasihan berbahasa Inggeris kita, sebelum kita membuat pembentangan di hadapan rakan bangsa lain dan juga 'native speaker'! Walaupun bidang berbeza, tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak berkongsi. Sharing is caring!

Sebenarnya berkongsi dan membentangkan sesuatu dalam bahasa Inggeris kepada mereka yang bukan dalam bidang yang sama adalah latihan yang sangat bagus! Kerana melatih minda kita berfikir dalam bahasa Inggeris dengan cepat dan jika kita berjaya membuatkan mereka faham, satu kejayaan!
Dan lagi, latihan merumuskan kajian dalam masa 10 minit juga latihan calon PhD yang sangat signifikan. Bayangkan, andai kita diminta merumuskan kajian PhD kita yang telah kita jalankan selama 3 tahun dalam masa 10 minit. Apa yang perlu kita tekankan?

Kisah 4: Kawan-kawan 'native speaker'
Malu jugak! Ishh apa nak jadi nie. Ada seorang kawan baru aku kat sini, dia tegur sebab katanya susunan perkataan/ayat aku terlalu skema dan mengikut buku dan masih dipengaruhi oleh cara berfikir dalam bahasa ibunda! Aduhai....aku kena koreksi secepat mungkin!