My Calendar

Saturday 28 July 2012

Tiada jalan pintas!

Enak sekali, apabila kita tidak berjaya memperolehi sesuatu kita tanpa berfikir panjang lantas menyalahkan orang lain! Saya kurang pasti, gunung mana yang mereka daki, laut mana yang mereka selami - apabila semuanya ingin digapai melalui jalan pintas.

Sepanjang denai-denai dan cerun keilmuan yang saya telusuri, tiada satu pun jalan pintas yang saya turuti. Saya lihat sendiri, andai ada sekalipun rakan taulan yang memilih jalan-jalan pintas itu pastinya ada unsur-unsur ketidak jujuran, jika tidak banyak, sedikit tetap ada!

Justeru, mengapa mudahnya kita ingin berjaya tanpa berusaha gigih? Menyalahkan orang lain apabila kita tidak beroleh sesuatu yang diinginkan, walhal kitalah yang kurang berusaha dan malas mencerap data-data kehidupan?

Apa yang berlaku, benar-benar membuka fikiran saya untuk lebih teliti dan menilai bahawa:

yang hitam itu belum tentu hitam, yang putih itu belum tentu putih

KepadaNya jualah saya memohon keampunan dan semoga saya tetap diberikan kekuatan untuk meneruskan baki perjuangan yang belum selesai.

Wednesday 25 July 2012

Hadiah Ramadhan

Syukur mesti dipanjatkan kepadaNya - hadiah yang menyuntik sedikit semangat agar terus berusaha keras, apabila bab ke empat di dalam tesis pengajian doktor falsafah tempohari diterima untuk diterbitkan dengan pembetulan minor di dalam jurnal IET Image Processing (Faktor impak 0.639).


Pastinya jasa dan sumbangan besar penyelia, penyelia bersama serta penyelidik bersama tidak boleh diketepikan. Kesungguhan penyelia saya misalnya, memberikan "tekanan dalaman" untuk saya tidak jemu-jemu mengkaji dan menulis hasil penemuan.

Walau bagaimanapun, kesedihan tetap ada kerana kini saya semakin kurang (tidak sebenarnya) menulis dan membaca. Apabila tidak membaca, manakan mungkin saya dapat mengupas dan mengetahui penemuan terkini dalam bidang kajian saya?

Ini satu peringatan juga kepada saya untuk lebih bijak mengagihkan masa dan tidak menangguhkan kerja. Semoga bimbingan dan pimpinanNya sentiasa bersama-sama diri ini.

Tunggu disuap

Konsep "spoon feed" banyak diperkatakan, dalam lapangan pendidikan malah juga dalam dunia pekerjaan. "Tunggu disuap" boleh juga diibaratkan sebagai tanda-tanda kurangnya dinamisme dalam diri individu dan juga organisasi.

Andai dalam sesebuah organisasi, ramai pekerjanya yang hanya "tunggu disuap" akan mendatangkan masalah besar, kerana alasan-alasan seperti "tiada arahan dari bos", "perlu ke saya buat?" akan seringkali kedengaran. Dunia hari ini memerlukan pekerja yang mempunyai tahap kepunyaan dan kesetiaan yang tinggi terhadap organisasi. Apabila kita menjadi dua elemen ini sebagai resipi dalam menjalankan tugas, insya Allah kita akan ceria mengemudi tugas kita sehabis baik, tanpa menunggu arahan.





Bagaimana pula dengan pelajar? Ini lebih membimbangkan kerana andainya ahli akademik lebih menjurus membuka gelanggang kuliah masing-masing yang bertunjangkan perkara ini, pelajar akan menjadi lesu dan umpama burung kakak tua sahaja!

Benar, pelajar akan hanya menggunakan bahan kuliah yang ringkas sebagai jalan pintas untuk belajar dan tiada daya untuk menjalankan kajian dan penyelidikan lebih dalam untuk memahami satu-satu topik. Natijahnya, apabila diuji dengan soalan yang melibatkan aras tertinggi dalam taksonomi Bloom, mereka kehilangan arah!


Mudahnya, perkara inilah yang perlu dijiwai oleh kita semuanya, mendalami sesuatu atas kecintaan terhadap nilai ilmu. Insya Allah, kita akan mendalami dan melaksanakan sesuatu dengan rela hati dan bukannya
hanya tunggu disuap!

"Before, During and After"


Lama juga tiada catatan dicoretkan di laman ini. Alasan S.I.B.U.K adalah kelihatan sangat tidak sesuai - alasan ini turut boleh dikaitkan sebagai antara simptom betapa culasnya kita dalam mengurus masa!

Cuti semester kali ini tampil berbeza, kerana tugasan berkaitan pengajaran turut perlu dilunaskan. Menariknya, pengalaman ini cuba dikaitkan bersama beberapa maklumat yang diperolehi ketika menyediakan bahan untuk mengendalikan bengkel POPBL tempohari.

Sebagai pensyarah, lazimnya kita lebih terdorong untuk memastikan silabus yang diberikan dapat disampaikan dalam masa yang ditetapkan. Selain itu, kita juga ada tikanya lebih melihat kepada gred yang diperolehi oleh pelajar bagi menilai kejayaan sesebuah proses pengajaran dan pembelajaran (P & P).


Tetapi, bagaimana pula dengan pendekatakan berpusatkan pelajar (student centred learning) yang seharusnya digembleng dengan kita harus menitikberatkan apakah persediaan yang dibuat sebelum sesi, ketika sesi berjalan dan selepas sesi tamat?

Untuk itu, perkara ini sedang diperhalusi ke arah menjadikan ekosistem saya sendiri sesuatu yang menggembirakan. Tetapi, percayalah tidak semua tindakan dan usaha baik kita disukai oleh para pelajar. Ini adalah lumrah, kerana semua pelajar (manusia) mempunyai kepelbagaian.

Saya seringkali mengingatkan para pelajar bahawa, saya mengajar bukan untuk kalian berbangga dengan gred A+ yang berderet-deret semata-mata, sebaliknya saya akan mengajar kalian "bagaimana untuk belajar?", yang saya kira jauh lebih penting.

Pastinya, saya tidak akan berikan kamu ikan, sebaliknya saya akan bekalkan kamu dengan jala, agar setelah saya tiada pun kelak, kamu tetap akan dapat menangkap ikan sampai bila-bila.