My Calendar

Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Tuesday, 2 October 2012

Bersyukur Saat Diuji, Tugas ISTIMEWA


Tanpa sedar, tahun 2012 adalah tahun ke 10 bergelar seorang ahli akademik bermula dengan jawatan tutor pada 2 Mei 2002. Sedari atau tidak, pelbagai pengalaman dan turun naik denai lembah pengalaman yang ditelusuri. Nyata, ramai juga yang seringkali mengajukan, apakah "istimewanya" bergelar seorang pensyarah?

Ya, sememangnya tugas yang I S T I M E W A kerana diuji untuk menunaikan tugas sebagai seorang ahli akademik - terdapat tujuh (7) tugas yang perlu dilunaskan serentak, pengajaran, penyelidikan, penerbitan, pentadbiran, penasihatan, perundingan, perkhidmatan masyarakat!

Bersyukurlah kita saat diuji dan pastikan semuanya kita pusatkan kepadaNya. Misalnya, diuji menjalankan dua (2) tugas pentadbiran serentak yang perlu melayani karenah pelajar - setiap kali pelajar hadir dengan masalah dan memohon penasihatan, akan cuba diberikan perundingan dan bukannya penyelesaian.

Keletihan fizikal sedikit terubat apabila melihat pelajar lebih berkeyakinan, duka bertukar ceria dan lebih teguh hayunan langkah meninggalkan bilik penasihatan. Semoga kalian semua lebih berjaya, berjaya dan berjaya bukan sahaja di dunia, malah yang lebih utama di padang hakiki.

Friday, 14 September 2012

Bukan Sekadar Sebuah Kolej Kediaman


Ada sesetengah pihak melihat, mentadbir sesebuah kolej kediaman di Universiti, tidaklah sesukar mana, kerana yang diurus tadbir adalah pelajar Universiti dan bukan kanak-kanak tadika!

Kerana, secara kasarnya kelihatan mengurus kolej kediaman tidak lebih daripada menyediakan penginapan kepada para penghuni dan melaksanakan beberapa aktiviti pelajar untuk memenuhi indeks pengukur prestasi (KPI) dan melaksanakan beberapa tugas yang diarahkan dari semasa ke semasa.

Jika inilah sahaja ruang lingkup sebuah Kolej Kediaman di Universiti, maka banyak perkara perlu disemak dan diperhalusi. Alangkah baiknya andai Kolej Kediaman yang merupakan "rumah kedua" semua pelajar tahun satu di Universiti "bukan sekadar sebuah kolej kediaman".

Untuk muncul melangkaui sempadan kebiasaan, strategi-strategi berikut cuba dipergiatkan:

1. Menguruskan Kolej Kediaman seumpama mengurus sebuah syarikat atau perniagaan.
Konsep "keusahawanan" mesti diterapkan dalam segenap aspek. Minimumkan kos atau mungkin hapuskan sahaja kos-kos yang membebankan, sebaliknya sumber kewangan mesti dijana sendiri dan tidak hanya bergantung kepada dana sedia ada.

2. Merangka pelan perubahan ke arah memastikan "jenama" Kolej Kediaman mendapat tempat di hati penghuni dan seluruh khalayak Universiti.
Dalam hal ini, analisa SWOT diperlukan agar jenama yang cuba dikembangkan selari dengan sumber-sumber yang ada di Kolej Kediaman. Ada tikanya, kontroversi juga perlu, tetapi perlu juga diperhalusi dengan berhati-hati.

3. Melatih ahli pasukan yang memahami dan menghargai konsep ilmu.
Ini sangat penting, kerana menguruskan Kolej Kediaman bukan kerja "one man show". Sangat membantu andai ahli pasukan juga berjaya menghayati mengapa Kolej Kediaman perlu lebih daripada sekadar lokasi penginapan!

Tuesday, 12 June 2012

Nilai Sesuap Rezeki

Diberikan peluang untuk timba ilmu lagi, menerusi program kepimpinan pensyarah muda. Berada dalam kalangan insan-insan yang berjaya membolehkan saya cuba menimba seberapa banyak input rahsia-rahsia kejayaan mereka.

Jauh berjalan, luas pandangan. Indah pemandangan di Bukit Tinggi, Janda Baik, Pahang

Beberapa input berguna untuk saya jadikan iktibar:

  1. Kerjaya kita hari ini, adalah kita sendiri yang memohon. Justeru, mengapa sambil lewa dengan nikmat yang kita perolehi? Sedangkan di luar sana ramai insan lain yang benar-benar inginkannya?

  2. Bagaimana kita mengurus masa? Kalau sebelum mendapat kerjaya ini, dijanji temuduga jam 10 pagi, jam 9 pagi sudah kita terpacul menunggu giliran. Justeru, selepas bekerja mengapa kita tidak tahu hormatkan masa orang lain? Janji mesyuarat jam 9 pagi, jam 9.30 pagi baru kita muncul.

  3. Hasil kerja yang sambil lewa. Mengapa ini terjadi? Jika sebelum dapat kerja, 1001 macam janji kita tabur dan semuanya kita katakan boleh, demi memberikan imej baik kepada bakal majikan. Selepas dapat, mengapa kita memberikan 10,0001 dalih itu dan ini tidak boleh?

Setiap hari kita melangkah, mari sama-sama kita tanya - adakah sesuap rezeki yang kita perolehi ini benar-benar BERSIH dan layak untuk dikongsi dengan insan-insan tersayang?

Saturday, 31 March 2012

Budaya Ilmu

Gembira, walaupun kehadiran jika diukur secara bilangannya sangat kerdil. Tetapi, seringkali dalam mewujudkan budaya ilmu, saya perlahan-lahan membisikkan dalam hati bahawa "bukan kuantiti menjadi sandaran". Itu juga yang saya timba semasa berkelana di rantau orang sebelum ini. Saya lihat sendiri betapa kecilnya angka mereka yang hadir dalam kelas pengukuhan Bahasa Inggeris dan sesi bengkel pelajar pasca-siswazah yang diberikan secara PERCUMA!


Maka, sudah menjadi azam untuk menumbuhkan budaya cintakan ilmu ini selagi saya mempunyai kuasa. Gembira apabila yang diundang bukan calang-calang individu dalam kamus hidup saya hingga kini, Kesungguhan beliau dalam membimbing saya tanpa jemu pasti sentiasa segar terpahat dalam setiap anak tangga yang saya daki. Terima kasih guru...

Pemasaran & Penjenamaan

Diamanahkan untuk mempromosikan organisasi di Bangkok, Thailand nyata satu tugas yang mencabar. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan bersama delegasi di bawah Education Malaysia, banyak ilmu berkaitan "pemasaran" dan "penjenamaan" yang dipelajari.


Dengan izinNya, akan dikemukakan cadangan kepada pihak berkaitan untuk diperhalusi strategi dan KPI agar kos yang dilaburkan untuk menjadikan kita lebih berdaya saing membuahkan hasil.

Apapun, peluang melihat dengan lebih dekat masyarakat Thai dalam aspek ketegaran mereka kepada penggunaan Bahasa Thai, tulisan, kebanjiran pelancong asing, kesungguhan perniagaan serta pelbagai aspek lain membuka mata dan fikiran.

Sunday, 12 February 2012

Dalam kepayahan ada kemanisan

Saya dapat rasanya, masa untuk saya membaca semakin kurang. Membaca adalah anak kunci percambahan ilmu dan membuka minda. Terima kasih kepada penyelia saya yang masih tidak henti-henti mewujudkan peluang untuk saya maju ke hadapan. Saya sangat terhutang kepada budi baik pekerti penyelia saya.


Dengan peranan sebagai "international committee" saya diamanahkan menilai kertas-kertas penyelidikan dan secara langsung mempromosikan UTHM di persada dunia. Semoga saya akan terus rajin membaca dan memperbaiki diri dalam segenap segi. Banyak juga kertas penyelidikan yang tidak sempat saya tulis. Saya perlu susun strategi sebaiknya.

Saturday, 19 November 2011

Lima sebelum lima

Kita sering diingatkan dan barangkali juga mengingatkan, ingatlah lima (5) perkara sebelum datangnya lima (5) perkara. Antaranya sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit dan juga padanan yang lain.

Entah! Kapan agaknya saya berupaya menguruskan diri dengan lebih baik? Saya dapati 'penyakit kerja bertangguh' sekarang makin menjadi-jadi. Adakah kerja saya terlalu banyak, saya mengharap terlalu tinggi, saya tidak pandai mengagihkan kerja atau apa sebenarnya?

Bagi saya, ini semua adalah simptom yang bakal membawa kemudaratan kepada saya. Apa yang saya terfikir buat masa ini ialah, saya juga perlu menyediakan jadual harian berasaskan jam (sama seperti jam belajar pelajar barangkali) agar saya boleh menjalankan banyak perkara dengan lebih baik.

Saya juga pasti, ada beberapa perkara yang semakin jauh saya ketepikan. Saya perlu kembali kepadaNya.

Sunday, 13 November 2011

Ketua

Bukan mudah. Itu yang boleh digambarkan apabila kita diamanahkan sebagai KETUA mengemudi sesebuah pasukan. Banyak hati yang perlu dijaga walaupun ada masanya kita sebagai ketua perlu mengetuai mereka semua dengan seni bermain layang-layang.

Ya, seni bermain layang-layang. Untuk menaikkan layang-layang bukan semestinya tali perlu ditarik sekuat hati, ada masanya perlu juga dikendurkan. Walau apapun, saya berdoa kepadaNya agar amanah ini dapat saya lunaskan sebaiknya. Saya perlu menjadikan ini sebagai satu peluang untuk lebih dekat kepadaNya. Tegurlah saya andai saya tersasar daripada jalanNya.

Sunday, 12 June 2011

Tumpang Bangga

Tentu sekali saya teruja dan jadi bersemangat. Malah tak keterlaluan juga kalau saya katakan tumpang bangga atas kejayaan seorang rakan baik saya di arena antarabangsa. Walaupun kami berbeza warna kulit dan agama, tetapi tanpa saya sedari erti dan nilai persahabatan yang terjalin adalah sangat dekat.


Julai 2010, saya masih ingat lagi. Saya bertungkus lumus menyiapkan diri dengan viva, rakan baik saya inilah yang bertindak menjadi "external examiner" bagi tesis dan turut membantu saya mengadakan "mock viva", lantaran pada masa itu penyelia saya sudah berpindah ke universiti lain.

Apabila menerima berita beliau dianugerahkan Awards for the Best Visual Presentations, saya tersenyum dan menjadikan kejayaan ini sebagai satu dorongan untuk saya berkerja lebih kuat. Ini adalah satu contoh yang sangat baik supaya kita tidak hanya menjadi jaguh kampung! Kita mesti bermain dan menempa nama dalam litar antarabangsa! Tahniah Ng Thian Hong!

Monday, 14 March 2011

Peluang

Dalam hidup ini, peluang tidak akan datang berkali-kali. Bagi yang masih mempunyai dua insan tersayang (ibu dan ayah) seharusnya setiap detik dan saat digunakan untuk membantu memudahkan mereka. Jika mereka jatuh sakit dan berada dalam kesusahan, pastikan kita sentiasa ada dalam setiap ketika. Peluang kita memandikan mereka, menyapu bedak di muka mereka, menyisir rapi rambut mereka adalah satu peluang yang maha besar bagi kita untuk mencuci dosa-dosa kita kepada mereka. Penat dan letih seharusnya tidak hadir dalam kamus harian kita. Jika ketika kita yang satu ketika dulu terlalu mentah dan penuh dengan karenah mampu mereka jaga dengan rapi hingga kini, apakah sumbangan kita buat mereka? Malah, andai sekalipun harta seluas saujana mata memandang itu kita mampu miliki, itu juga tidak mampu untuk membayar harga setitis air susu yang kita teguk satu ketika dulu. Begitu juga setitis peluh yang jatuh ke bumi demi membesarkan kita. Semoga peluang yang hadir tidak akan berlalu begitu saja.

Thursday, 10 February 2011

Kaedah Penyelidikan

Menjalankan penyelidikan, tanpa mengira skalanya juga memerlukan kaedah yang bersesuaian dan tepat. Usaha JK PSM FKEE memperkenalkan Kursus Kaedah Penyelidikan (Research Methodology) kepada pelajar-pelajar tahun akhir yang mula menjalankan Projek Tahun Akhir adalah satu usaha murni ke arah memperkasa kualiti projek yang dihasilkan pelajar.

Saya diamanahkan untuk memberikan perkongsian dan ini bukan satu tugas yang mudah. Saya diberikan kurang lebih tiga (3) jam untuk menyampaikan apa yang dirasakan berkaitan dan boleh membantu pelajar. Setelah diperhalusi, saya memikirkan terdapat tiga (3) modul yang perlu bagi mereka yang ingin mula menjalankan penyelidikan. Antara modul yang diketengahkan ialah "Trick or Threat" untuk modul 1, "Languages doesn't matter" bagi modul 2 dan disudahi dengan "For only 15 minutes!" dalam modul 3.

Intipati dalam modul 1 adalah berkaitan pengurusan penyelidikan, perkara yang sering dipandang mudah boleh menjadi satu strategi dan boleh juga menjadi ancaman jika tidak diperhalusi dengan baik. Saya turut menekankan bagaimana hubungan baik yang perlu dibina antara penyelia dan pelajar. Selain itu, kaedah pencarian bahan menggunakan enjin pencari, kepentingan membuat "back-up" juga ditekankan serta alat-alat bantu yang perlu diketahui oleh pelajar.

Modul 2 pula menekankan berkaitan aspek penulisan, dan bersesuaian dengan pelajar PSM 1 mereka didedahkan bagaimana menulis proposal penyelidikan dan kertas seminar dengan baik. Penekanan diberikan misalnya, bagaimana ciri-ciri tajuk yang baik, penulisan objektif yang betul, penggunaan "measurable verb action" yang tepat, bagaimana olahan kaedah penyelidikan perlu dikemukakan dan hinggalah penulisan senarai rujukan.


Akhirnya, sesi disudahkan dengan kaedah berkesan menyediakan slaid pembentangan hasil kertas seminar yang dibuat. Aspek penyediaan slaid dan kaedah penyampaian yang berkesan adalah nadi kepada penyampaian pembentangan yang hebat dalam tempoh yang singkat.


Dengan jumlah peserta seramai 201 orang, ini bukan satu tugas mudah bagi saya. Masih terdapat banyak ruang yang saya perlu perbaiki. Ada masanya, saya lihat pelajar agak tepu dan mungkin saya terlalu serius dan kurang unsur lelucon untuk menarik minat pelajar. Saya perlu lebih variasi dalam penyampaian! Walau apapun, saya harapkan perkongsian ini dapat membuka lembaran baru sebagai usaha membantu pelajar.

Wednesday, 3 November 2010

Brunel

Pastinya ramai yang mengimpikan mereka adalah graduan universiti terkemuka dunia, mungkin dalam senarai 10 universiti terbaik dunia, Oxbridge University (bukan Uxbridge!) berada dalam Liga Ivy atau mungkin dalam kumpulan Russell. Walaupun Brunel bukan tergolong (buat masa ini) dalam liga dan senarai yang saya sebutkan, tetapi pengalaman yang ditimba di sini besar ertinya.







Saya sangat yakin dan percaya, kualiti diri lebih banyak ditentukan oleh individu itu sendiri. Jika kita ingin meletakkan "jenama Brunel" sebagai setanding dengan senarai yang saya sebutkan, sayalah juga yang menentukannya. Kualiti ini bukan sahaja diukur dalam aspek kelulusan akademik, bilangan kertas dalam jurnal impak faktor misalnya, tetapi turut disumbangkan oleh pembawaan diri kita juga. Aspek-aspek misalnya kualiti kerja, kemahiran komunikasi, menepati masa, menghormati pandangan individu lain dan pelbagai "transferable skills" tidak harus juga dipandang remeh. Moga-moga, saya akan sentiasa ingat dan faham tugas dan peranan saya!

Saturday, 30 October 2010

Motivasi

Dalam tempoh yang singkat, saya sangat berbesar hati kerana beliau membalas emel saya dan sudi berkongsi memberikan dorongan, nasihat dan panduan, bagi saya menjalani hari-hari mendatang. Sebelum ini, kisah kejayaannya menjadi dorongan saya dalam pengajian PhD dan juga hal ehwal berkaitan pengajian tinggi. Nyata, apabila saya teliti susur galur laluan kerjayanya juga kisah indah kejayaannya, sangat membuatkan saya teruja! Beliau berjaya membuktikan dan sifat rendah diri beliau juga memberikan peringatan kepada saya sendiri. Berikut adalah emel yang diberikan kepada saya.

Ringkas, tetapi sangat dalam maksudnya. Dengan izinNya, saya akan cuba sedaya upaya untuk paling tidak mencontohi jejak langkahnya. Moga dalam setiap impian, harapan dan perjalanan ini saya juga senantiasa mendapat lindungan dan berada dalam sempadan bimbinganNya.

Friday, 29 October 2010

Oktober 2010

Tidak banyak yang dapat ditulis pada Oktober 2010 ini. Banyak juga perkara-perkara yang berlaku yang memberikan banyak pengajaran dan teladan kepada diri ini. Benar, tidak semua yang kita sangka, rancang dan fikir akan berlangsung seperti yang kita ramal. Ini adakah satu bukti kukuh akan kerdilnya diri kita, terlalu luas ruang-ruang kosong yang tidak sedikitpun dapat kita baca. Apapun, redha kepadaNya itu pasti. Hanya DIA yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Terimalah dengan berlapang dada dan yang paling pasti juga agar saya mengutip hikmah dalam perjalanan kehidupan yang sementara ini.

Selain itu, setelah hampir genap tiga tahun berkelana di sini dengan izinNya tesis ini adalah hasilnya. Saya sedar, kisah PhD saya bukan satu kisah agung yang perlu dibanggakan dan menarik untuk menjadi bahan tatapan umum. Tetapi, saya merasakan apa yang dianugerahkan olehNya ini adalah satu ujian untuk membuatkan saya terus dan terus beringat.

Beringat agar senantiasa tidak lupa diri...
Beringat agar senantiasa menjaga agama, tutur kata dan budi pekerti...
Beringat agar senantiasa memberi dan terus memberi...


Sejujurnya saya agak gementar untuk meneruskan langkah seterusnya selepas PhD. Jangkaan dan harapan insan sekeliling juga pastinya berganda dan benar-benar memerlukan kecekalan hati untuk saya hadapi. Saya juga perlu meneguhkan keazaman diri untuk tidak mudah merasa selesa dan senantiasa memperbaiki diri. Kitaran untuk menuntut ilmu itu pasti noktahnya.

Umur blog ini juga hampir tiga tahun. Saya juga tidak pasti apa status seterusnya blog ini. Mampukah saya untuk terus mencoret kisah-kisah dan perkongsian di sini? Emm...sukar untuk saya jangka.

Akhirnya, selamat tinggal bumi Uxbridge yang telah saya singgahi buat sementara waktu dalam diari kehidupan ini. Walaupun di daerah ini saya lebih belajar dan mengenali pelbagai sifat dan nilai yang seringkali menyebabkan kesedihan melanda, kesyukuran tetap saya panjatkan kepadaNya. Dalam kesedihan dan kesakitan menjejak onak dan duri ini, ada kemanisan yang tetap saya timba. Moga, bumi seterusnya yang bakal saya jejaki akan redha dan bimbingan Allah tetap memayungi. Sesungguhnya, saya adalah insan yang serba dangkal dan penuh kekurangan. Khusus buat rakan-rakan di bumi Uxbridge, terima kasih atas segala perhatian, mohon maaf atas segala kekurangan.

Thursday, 19 August 2010

What Exactly Is a Doctorate?

Dr K telah membuka ruang untuk saya lebih faham. Apa itu erti PhD? Adakah sekadar kita berfikiran kita adalah insan paling hebat di muka bumi? Senyum sampai ke telinga kerana kita sudah ada gelaran DR di hadapan nama kita atau kita akan marah apabila masyarakat tidak menyebut gelaran DR itu apabila memanggil kita?

Bacaan lanjut boleh dibuat melalui http://gizmodo.com/5613794/what-is-exactly-a-doctorate. Beberapa lakaran berikut boleh menggambarkan betapa kerdilnya kita!

Kajian yang kita jalankan besifat fokus dalam tempoh PhD

Kejayaan mengenggam PhD

Di manakah kita?

Kenapa tidak?

Bidang ini menarik untuk saya kaji dan tinjau peluang-peluang untuk saya libatkan diri. Terima kasih kepada H atas laluan dan soalan yang ditanya. Soalannya telah menyebabkan saya perlu baca dan terus membaca!

Satu lagi...

Syukur! Itu sahaja yang paling digambarkan dengan penerimaan satu lagi naskhah kami untuk diterbitkan dalam Springer Transaction. Ini adalah hasil kolaborasi kami (Paul, saya dan Dr A). Saya sangat-sangat kagum dengan tuan penyelia saya. Beliau sangat bijak melihat dan menggunakan peluang. Yang perlu, kita hanya melebihkan lebih sedikit perisa "rajin", "tidak jemu berusaha" dan "doa" dalam resipi kehidupan kita.


Saya sentiasa berdoa, agar ilmu dan pengalaman yang saya kutip bersama tuan penyelia akan dapat saya kongsikan dengan sesiapa sahaja. Saya tidak akan selamanya bersama tuan penyelia, tetapi jauh di sudut hati, saya tetap dan akan terus memahatkan nama beliau dalam ruang hati saya sebagai antara insan yang banyak mengubah diri saya!

"special issue"

Salah satu "jalan pintas" untuk kita menerbitkan hasil kerja kita dalam jurnal-jurnal terkemuka ialah melalui isu khas atau "special issue". Berikut adalah beberapa contoh "call for paper" yang perlu dimanfaatkan (tarikh tamat serahan sekitar November - Disember 2010).


Kenapa saya mencadangkan kita untuk mengejar "special issue"? Melalui "special issue", terdapat tarikh yang jelas proses kerja penerbitan yang dibuat. Jika kita menghantar kepada jurnal-jurnal melalui "serahan biasa", prosesnya akan sangat-sangat memakan masa.

Nyata, peluang yang ada terbuka sangat luas di hadapan. Saya mesti menggandakan usaha supaya lebih banyak naskhah-naskhah bermutu dapat dihasilkan dan seterusnya diterbitkan untuk bekalan "masa hadapan".

Sunday, 15 August 2010

UKM

Saya berkesempatan bersembang menerusi FB dengan rakan lama. Saya kenali beliau seusia tingkatan empat dan seterusnya kami sama-sama menyempurnakan pengajian sarjana muda di Parit Raja. Kini masing-masing mencorak kehidupan masing-masing.

Tetapi ada persoalan perbincangan yang agak memberikan kesan kepada saya. Bagaimana beliau katakan, UKM (kini beliau sedang mengikuti pengajian sarjana separuh masa di UKM) telah membuka fikirannya terhadap nilai keilmuan melalui para pensyarahnya.

Ternyata saya sangat-sangat bersetuju. Walaupun hanya setahun sahaja (November 2002 - 2003) saya di bumi Bangi, banyak yang saya belajar sebagai ahli akademik di sini. Saya kenali beberapa nama besar dalam dunia akademik (terutamanya bidang saya) yang bukan sahaja mantap ilmu akademiknya tetapi yang lebih meruntun hati manusia saya ialah sifat rendah diri mereka. Bagi saya, ini adalah harga yang tidak dapat dibeli. Peluang saya berguru antaranya dengan Prof. Masuri, Prof. Sahbudin, Prof. Ibrahim, Prof. Ahmad Kamal, Dr. Badariah dan Prof. Che Husna banyak mengingatkan saya bahawa "Memberilah dengan hati yang ikhlas".

Saya kerap kali bertemu dengan ahli akademik yang bersifat agak mendukacitakan. Saya bertemu dalam dua situasi, mereka sebagai pensyarah saya dan ada juga yang saya temui sebagai rakan sekerja. Nyata, saya sentiasa berdoa kepadaNya agar apa yang saya lihat dan alami itu tidak berlaku pada diri saya.

Bukan niat saya untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak, tetapi biarlah ini menjadi iktibar kepada kita semua. Bagi saya, peranan sebagai ahli akademik ini memberikan terlalu banyak kesan langsung kepada pembangunan sesebuah negara. Andai, yang mengajar bidang kejuruteraan itu tidak menitik beratkan masa, akan lahirlah jurutera yang "tidak mempunyai jam tangan".


Saya juga sering kali terpukul, apabila ada sesetengah pihak yang suka merendah-rendahkan pelajar. Bagi saya, sebagai ahli akademik kita tidak sama sekali harus bersifat demikian. Mengkritik dan memberikan buah pandangan itu tiada salahnya. Tetapi akan menjadi satu kesalahan jika kita hanya tahu mengkritik tanpa cadangan dan usaha untuk memperbaikinya!

Spesis ini banyak sekali saya jumpa. Mereka rasakan, dengan bersifat begini mereka adalah insan hebat yang patut di sanjung! Nyata mereka silap. Ingatlah, kalau hari ini kita seorang yang kita rasakan "sangat bagus", siapakah yang ada di samping kita ketika kita tercari-cari kunci jawapan, kunci semangat dan kunci arah perjalanan? Malah, kalau kita benar-benar memahami peranan dan tugas kita, yang lebih berat ialah bagaimana untuk kita membantu mereka yang lemah untuk menjadi lebih maju?


Wednesday, 11 August 2010

Geran Penyelidikan

Saya berkesempatan untuk YM dengan bekas pelajar saya yang kini bertugas sebagai pensyarah di UiTM Shah Alam. Terima kasih atas perkongsian maklumat akan peluang-peluang bagi saya mendapatkan geran penyelidikan pada masa hadapan.


Apabila saya melayari laman web yang diberikan, ternyata begitu banyak ruang dan peluang yang boleh diambil. Semoga saya diberikan bimbinganNya dan juga kekuatan untuk meneruskan sebahagian dari minat saya ini.