My Calendar

Sunday 27 June 2010

Untuk ceria, tidak semestinya kita perlu menang setiap masa

"Untuk ceria, tidak semestinya kita perlu menang setiap masa"

Ini adalah yang diungkapkan oleh Dr Fadzilah Kamsah. Ada benarnya, dan sangat penting juga untuk dipertimbangkan. Keputusan RESCON sudah diumumkan, dan nampaknya tiada sebarang hadiah berjaya diperolehi. Tidak mengapa, penambahbaikan berterusan masih diperlukan lagi dan lagi. Teruskan berusaha!

Saturday 26 June 2010

"Do not undervalue yourself" dan "maturity"

Percaya pada kebolehan dan bakat yang ada seringkali menjadi satu masalah bagi sebilangan besar mereka yang bersifat "introvert". Ada tiga pengajaran yang dipelajari dalam minggu ini. Kisah makan malam di Queen's University, diskusi bersama tuan penyelia dan bertemu rakan baru di UUJ.

Entah atas justifikasi apa yang digunakan oleh pihak penganjur, saya diletakkan semeja dengan profesor-profesor dari Queen's dan UM, serta pelajar perubatan dari Queen's. Satu tugas yang nyata berat untuk membuka bunga perbualan. Banyak yang saya timba antara persoalan adab dan bagaimana membawa diri di meja makan. Nyata, telahan awal saya bahawa sesi makan malam itu akan menjadi satu sesi yang "mengerikan" adalah meleset. Bukan sahaja perut penuh berisi, tetapi minda juga diisi dengan pelbagai persoalan apabila duduk dengan orang berilmu. [KATA KUNCI: MEMBAWA DIRI]

Dalam satu kisah lain, saya memang bukan seorang yang aktif. Mungkin juga jatuh dalam kelas pelajar pasif. Sekali lagi, tuan penyelia saya memberikan dorongan supaya lebih yakin dengan diri sendiri dan jangan sesekali "undervalue" diri dan kebolehan. Saya rasakan sedikit kelainan dalam aspek keyakinan diri saya pada masa ini, terutamanya di UMIES. Saya seperti hilang perasaan "malu" dan sesiapa saja saya akan tegur. Saya harap ini satu perubahan yang baik dan membina keyakinan diri saya lagi dan lagi!. [KATA KUNCI: "UNDERVALUE"]

Saya diberi peluang bertemu dengan seorang rakan yang baik budi di UUJ. Umurnya baru sahaj 25 tahun, namun kematangan dan keberaniannya membuatkan saya malu pada diri sendiri. Beliau dalam kerja-kerja akhir menyudahkan pengajian kedoktorannya, saya doakan agar dapat dilalui dengan mudah. Dan lagi, beliau adalah khatib Jumaat yang lalu! Itu yang membuatkan hati saya benar-benar terusik! Nyata, usia bukan ukuran kematangan, saya perlu belajar banyak perkara dari rakan ini!. [KATA KUNCI: USIA DAN KEMATANGAN]

Friday 25 June 2010

RESCON 2010 dan UMIES 2010

Tugas untuk dua persidangan ini baru sahaja selesai bagi pembentangan lisan dan juga poster. Menariknya, banyak perkara baru dan peristiwa "asam garam" sekolah kehidupan yang turut ditimba dalam aktiviti seperti ini.

Antaranya ialah:

Bukan sahaja penting untuk mahir berbahasa Inggeris, malah tidak kurang pentingnya juga kemahiran kreativiti dalam pembinaan slaid dan juga poster, serta keupayaan untuk menyampaikan dan menerangkan isu-isu teknikal. Ini dilihat sebagai bukan satu tugas yang mudah! Ada pembentang yang kita pasti bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka, tetapi sesi pembentangan mereka berjalan sangat hambar. [KATA KUNCI: BAHASA INGGERIS, KREATIVITI, PENYAMPAIAN]

Jadi, apa yang kita perlu buat jika kita menyedari bahawa kita mungkin kurang mahir berbahasa Inggeris contohnya? Tidak memadai dengan hanya merintih, sebaliknya kita perlu menggandakan latihan untuk meningkat keyakinan diri, lantas membolehkan kita menyampai kandungan pembentangan dengan berkesan.

Apa tujuan menyertai aktiviti seperti ini? Ini adalah SOALAN LAZIM untuk diri saya! Misalnya dalam RESCON yang telah saya sertai sejak tahun 1 pengajian, juga menjadi "bahan lawak" sebilangan kenalan!. "Ini mesti nak menang £500" [KATA KUNCI: SOALAN LAZIM]. Saya sudah lali dengan bahan jenaka seperti ini, kerana bagi saya tujuan saya melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini adalah:
  • Memperbaiki kemahiran bahasa Inggeris, lantas mengukuhkan kemahiran dalam bahasa ini. Saya sedar, peluang saya menimba ilmu di sini tidak lama, hanya tiga (3) tahun, pastinya selepas ini harapan insan di sekeliling saya sangat tinggi. Jika saya gagal dalam menguasai bahasa Inggeris, pastinya pelaburan yang dibuat untuk saya ke bumi England ini kurang berhasil!
  • Mengumpul soalan untuk senarai soalan lazim bagi peperiksaan lisan PhD (Viva), kerana saya pasti soalan-soalan dan komen dari pelbagai pihak sangat penting untuk memastikan kita tidak "syok sendiri" dengan apa yang kita buat. Dan lagi, kita dan juga penyelia kita ada masanya terlepas pandangan pelbagai pekara, kesan kerana kita terlalu menumpukan kepada kajian yang kita buat.
  • Mengumpul ramai kenalan baru, ini sangat penting. Pada masa sekarang dan akan datang, pastinya kita perlu membuat kajian-kajian baru. Peranan rakan-rakan untuk sama-sama terlibat dalam kajian kita sangat diperlukan.
Dengan melihat kepada antara faedah utama yang disenaraikan, saya pasti tiada ruginya untuk saya melibatkan diri. Soalan menang atau kalah itu hadir sebagai perkara kedua atau BONUS. Benar, saya akan sedikit kecewa jika saya gagal mendapat hadiah, itu memang sifat saya sejak kecil, apa sahaja acara yang saya sertai saya perlu pastikan saya mesti mendapat tempat! Tetapi, kecewa itu tidak lama, malah saya akan cuba untuk terus memperbaiki dan terus memperbaiki!

Wednesday 16 June 2010

Bugs

G:\Afandi_Thesis_April_2010_Others\Thesis writing tips


Tuesday 15 June 2010

Academic Word

Pautan berikut sangat membantu dalam menperkasakan kosa kata untuk membolehkan penulisan dilakukan dengan lebih baik. Benar, menulis perlu tepat dan betul, tetapi kosa kata yang pelbagai (tidak berulang-ulang juga mesti diberikan perhatian sewajarnya)

Friday 4 June 2010

Signal Processing: Image Communication (IF = 0.836)

Sebagai penulis kedua artikel ini, setinggi kesyukuran dipanjatkan. Bermula dengan "major revision" dan artikel dirombak dan distruktur semula pada Januari tempohari, kemudiannya diterima tetapi dan memerlukan pembetulan bahasa, benar-benar memberikan lengkuk pembelajaran yang sangat bermakna.

Walaupun hanya dengan IF = 0.836, tetapi hasil kerja ini menyemarakkan motivasi diri untuk terus cuba merebut peluang pembelajaran yang hadir dan menggunakan sebaiknya. Benar, letih dan penat itu pasti tetapi perlu dipegang kuat-kuat bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya. Semoga naskhah ini dapat membuka ruang ilmu kepada penyelidik lain.

£100

Nilainya £100. Walaupun tidak dapat menampung penuh kos bagi persidangan di Paris, tetapi amaun ini sangat bermakna. Yang menariknya, proses 'rundingan' dalam mendapatkan peruntukan ini adalah 'sekolah pembelajaran' dan kemahiran yang juga sangat penting untuk dikuasai.

Dengan izinNya, moga persidangan ini dapat meningkatkan kefahaman dalam kajian yang dijalankan.

Tuesday 1 June 2010

1 June 2010

Ya Allah, daku panjatkan setinggi kesyukuran. Tiada perkataan yang tepat terjemahannya bagi menggambarkan kekuasaan dan nikmatMu yang tidak bertepi. Tetapi ya Allah,
Pagi ku ingat, petang ku alpa
Begitulah silih berganti
Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah kau padaku
Hinanya diri ini. Terlalu kerdil dan tiada sebarang erti di sisiMu. Apa yang ingin aku panjatkan ya Allah:

Bimbinglah daku untuk dekat kepadaMu, tanpa syarat!