Tugas untuk dua persidangan ini baru sahaja selesai bagi pembentangan lisan dan juga poster. Menariknya, banyak perkara baru dan peristiwa "asam garam" sekolah kehidupan yang turut ditimba dalam aktiviti seperti ini.
Antaranya ialah:
Bukan sahaja penting untuk mahir berbahasa Inggeris, malah tidak kurang pentingnya juga kemahiran kreativiti dalam pembinaan slaid dan juga poster, serta keupayaan untuk menyampaikan dan menerangkan isu-isu teknikal. Ini dilihat sebagai bukan satu tugas yang mudah! Ada pembentang yang kita pasti bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka, tetapi sesi pembentangan mereka berjalan sangat hambar. [KATA KUNCI: BAHASA INGGERIS, KREATIVITI, PENYAMPAIAN]
Jadi, apa yang kita perlu buat jika kita menyedari bahawa kita mungkin kurang mahir berbahasa Inggeris contohnya? Tidak memadai dengan hanya merintih, sebaliknya kita perlu menggandakan latihan untuk meningkat keyakinan diri, lantas membolehkan kita menyampai kandungan pembentangan dengan berkesan.
Apa tujuan menyertai aktiviti seperti ini? Ini adalah SOALAN LAZIM untuk diri saya! Misalnya dalam RESCON yang telah saya sertai sejak tahun 1 pengajian, juga menjadi "bahan lawak" sebilangan kenalan!. "Ini mesti nak menang £500" [KATA KUNCI: SOALAN LAZIM]. Saya sudah lali dengan bahan jenaka seperti ini, kerana bagi saya tujuan saya melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini adalah:
- Memperbaiki kemahiran bahasa Inggeris, lantas mengukuhkan kemahiran dalam bahasa ini. Saya sedar, peluang saya menimba ilmu di sini tidak lama, hanya tiga (3) tahun, pastinya selepas ini harapan insan di sekeliling saya sangat tinggi. Jika saya gagal dalam menguasai bahasa Inggeris, pastinya pelaburan yang dibuat untuk saya ke bumi England ini kurang berhasil!
- Mengumpul soalan untuk senarai soalan lazim bagi peperiksaan lisan PhD (Viva), kerana saya pasti soalan-soalan dan komen dari pelbagai pihak sangat penting untuk memastikan kita tidak "syok sendiri" dengan apa yang kita buat. Dan lagi, kita dan juga penyelia kita ada masanya terlepas pandangan pelbagai pekara, kesan kerana kita terlalu menumpukan kepada kajian yang kita buat.
- Mengumpul ramai kenalan baru, ini sangat penting. Pada masa sekarang dan akan datang, pastinya kita perlu membuat kajian-kajian baru. Peranan rakan-rakan untuk sama-sama terlibat dalam kajian kita sangat diperlukan.
No comments:
Post a Comment