My Calendar

Wednesday, 30 April 2008

Segalanya Milik Allah


Semoga kita dapat memahami bahawa segalaNya adalah milik Allah. Maka kenapa kita tidak kembali kepadaNya? Meminta kepadaNya? Peringatan untuk insan bernama AFANDI AHMAD

Saturday, 26 April 2008

Memberi dan Menerima


Apabila kita ingin berteman, Janganlah kerana kelebihannya,
Kerana mungkin dengan satu kelemahan, Kita mungkin akan menjauhinya....
Andai kita ingin berteman, Janganlah kerana kebaikannya,
Kerana mungkin dengan satu keburukan, Kita akan membencinya.... Andai kita inginkan sahabat yang satu, Janganlah kerana ilmunya, Kerana apabila dia buntu, Kita mungkin akan memfitnahnya....
Andai kita inginkan seorang teman, Janganlah kerana sifat cerianya, Kerana andai dia tidak pandai menceriakan, Kita mungkin akan menyalahkannya....
Andai kita ingin bersahabat, Terimalah dia seadanya,
Kerana dia seorang sahabat, Yang hanya manusia biasa....
Jangan diharapkan sempurna, Kerana kita juga tidak sempurna…

(Sumbangan Yus_Montoro)

Friday, 18 April 2008

Lorong

Sebuah lorong bakal menentukan jejak langkah kita. Ada tikanya lorong yang kita lalui suram dan penuh dengan kegelapan, namun ada juga tikanya lorong itu nan indah dipandang. Wajarkah lorong yang menjadi titik persoalan kelajuan dan kelurusan langkah yang melangkah? Atau "kelurusan hati" pemiliknya yang sewajarnya dihisab?


Seusai lahir ke muka bumi Allah yang tidak terperi nikmatnya, 1001 macam lorong dan kelorongan kita tempuhi. Ada tikanya kita jatuh, mengesot dan bangun kembali berpaut untuk meneruskan perjalanan. Ada tikanya kita gundah gulana lantaran kita tidak mampu keluar dari lorong suram dan memenatkan itu.

Namun, percayalah - kita hanya manusia yang terlalu dangkal dan tiada pun ilmu di dada kita yang kononnya "Novel". Lantas! Berdoalah...memintalah kepada yang Maha Mengetahui, Maha Mendengar, Maha Pengampun dan SEGALANYA - kerana hanya kepada Allah kita meletakkan sandaran, dan BUKANNYA MANUSIA.

Peringatan untuk insan bernama AFANDI AHMAD.

Wednesday, 16 April 2008

Solat Sunat Dhuha

cahayanya cahayaMu, kerinduannya kerinduanMu,
kekuatannya kekuatanMu,
ya Allah sekiranya rezekiku ada di langit
maka turunkannya jika ada di bumi keluarkannya.
Jika cahaya jauh perdekatannya
dan jika ada hampir maka permudahkannya
dengan kebenaran dhuhaMu, cahayaMu, kekuatanMu dan kesucianMu, berikanlah kepada hamba-hambaMu yang soleh.
Allah cucuri rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan atas keluarga dan para sahabatnya serta kesejahteraan.
Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam."

Antara ungkapan yang tersingkap dalam doa yang dilafazkan dalam Solat Sunat Dhuha. Hinanya diri ini, dengan tak terbatasnya rezeki yang Allah telah turunkan, dahi ini tidak pun pernah sujud atas nama Dhuha, memohon rezeki yang hanya datang dariMu. Hinanya diri ini kerana menjadi hamba yang berpura-pura meminta daripadaMu, namun tidak sujud meminta kepadaMu.
Sekadar satu perkongsian;
SOLAT SUNAT DHUHA
1) Bilangan rakaat : 2 hingga 12 rakaat (2 rakaat 1 salam)
2) Waktu : Pagi anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi
3) Niatnya: "Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta'ala"
4) Antara surah dibaca dlm solat ini:
a.rakaat 1: Al-fatihah n al-kafirun rakaat2:al-fatihah n al-ikhlas
b.rakaat 1:al-fatihah n as-syams rakaat 2:al-fatihah n ad-dhuha
c.rakaat 1:al-fatihah n ayat kursi rakaat 2: al-fatihah n al-ikhlas
5) Baca ketika sujud yang terakhir - 3 kali
6) Baca doa ini selesai solat:
Maksudnya:Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu,keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu,kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah,jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu,limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

PSM: Satu Pandangan Peribadi


Sekadar melontarkan pandangan peribadi berkaitan PSM. "Begin With the End in Mind" - seharusnya dilihat sebagai satu peringatan akan apa yang kita innginkan pada akhirnya. dalam erti kata PSM misalnya, kalau kita melihat PSM sebagai satu latihan kepada diri kita (penyelia) dalam melatih pelajar menjadi jurutera yang berupaya menjalankan kajian saintifik secara ilmiah, dan jika kita (pelajar) ingin menjadikannya medan menguji keupayaan IQ, EQ dan SQ setelah belajar selama 3 tahun, maka yang TERBAIK sangat diperlukan. Doa usah dilupakan malah sewajarnya doa menjadi zikir harian kita supaya dalam apa jua yang kita lakukan agar dimudahkan olehNya.

Bahan ini dihasilkan tempohari dalam kesibukan PSM pelajar dan moga-moga perkongsian ini berupaya memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja. Kerana pembelajaran itu seharusnya berlaku secara berterusan.
Fikirkan perkara berikut:
  1. Secara asasnya, anda hanya ada 15 – 20 minit untuk menarik perhatian panel penilai supaya memberikan markah terbaik sepanjang dua semester anda bertungkus lumus (kalau bersungguh2 la ☺). Bagaimana?
  2. Pembentangan dan sesi soal jawab perlu dijalankan dalam Bahasa Inggeris (Awas! Membuat pembentangan bukan ‘membaca’ bahan yang anda sediakan), disebabkan kita semuanya bukan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, maka… Bagaimana?
  3. Mungkin panduan ini boleh membantu anda dalam menghadapi saat paling indah sepanjang menjalankan PSM. Selamat berjaya!
Bahan boleh dimuat turun dari laman berikut: Bahan 1 (berkaitan penulisan kertas seminar, dan mungkin juga bermanfaat kepada yang menjalankan pengajian sarjana dan PhD dalam ertikata penulisan kertas jurnal, pascasidang dll)
Download Link:
http://www.usaupload.net/d/2vy31a6gewg

Bahan 2 (berkaitan aspek penyediaan bahan pembentangan dan menjalankan pembentangan)
Download Link: http://www.usaupload.net/d/u2p216cs532

"Ya Allah, ampunilah diri ini. Bukanlah niatku menulis di laman blog ini untuk menunjuk2 kepada sesiapa, apa yang aku kongsikan juga bukan lah untuk menumbuhkan perasaan cemburu kepada yang membacanya, tetapi ya Allah - aku sekadar ingin berkongsi pengetahuan aku sangat kerdil ini...Ampunkan aku Ya Allah"

Tuesday, 15 April 2008

PhD works

Sedar tak sedar, kini dah 4 bulan bergelar pelajar PhD. Tugasan sekarang ialah menyediakan draf untuk Kajian Perpustakaan dan satu kertas jurnal. Insya Allah aku perlu sudahkannya sebelum penghujung April 2008.

Sekadar ingin berkongsi gambaran evolusi dalam bidang "video coding". Kita tidak terkecuali menjadi penggunanya.


Namun, adakah kita hanya sekadar menjadi pengguna? Aku ingin jadi bukan sahaja pengguna malah lebih dari itu. Moga Allah meredhai perjuangan ini.

Monday, 14 April 2008

Delegasi UTHM



12 April 2008 - Delegasi UTHM (Naib Canselor - Prof. Dato Dr. Ismail Bakar, Pengarah PEKA - PM. Dr Idrus Masirin dan Pendaftar - En Sulam) berada di Malaysian Hall. Mereka semua melapangkan masa bertemu dengan warga UTHM di sekitar London. Aku ambik kesempatan untuk hadir. Banyak azimat dan pesanan mereka yang aku kutip. Ternyata terpikul di bahu ini begitu banyak tanggungjawab. Moga aku mampu menggalasnya untuk menyelesaikan tugasan PhD sebaiknya. Lagi dan lagi, mereka ungkapkan "on time".

Ya Allah, kamu makbulkan doaku.

Hanya kepadaMu sahaja tempat aku mengadu.

Kepulangan dan kejauhan


Kenangan bersama mereka di Heathrow Airport.

Abang Rashid dan Kak Ina telah kembali ke Malaysia setelah selesai urusan pengajian di Brunel. Tahniah dan syabas, ternyata jasa kalian tidak mampu saya balas. Semoga kalian terus berjaya di dunia dan gemilang di akhirat.

Salji dalam musim Summer?

Summer sudah bermula. Umumnya, summer lebih sesuai kot bagi Malaysian...hehe sebab panas sikit la berbanding Winter.


Kuasa Allah, pada hari kedua Summer dengan tiba-tiba turun salji. Renungkan...bahawa ramalan kaji cuaca dan jangkaan manusia terlalu dangkal kan? Jadi kenapa kita ada rasa riyak dan rasa hebat dalam diri?


Menurut akhbar tempatan, kejadian ini sangat pelik dan berlaku setelah 20 tahun yang lalu juga. Renungkan...

Terima Kasih Tanpa Sempadan

Ini lah stok dari Malaysia. Hehe... Terima kasih untuk Abang Azam dan Angah yang sudi poskan. Tak lupa pada semua ahli keluarga.



Tengok jekla, apa yang ada...hehe

Penyelia dan Diselia?




Lama tidak diisi laman ini, ternyata tuntutan kerja akhir-akhir ini agak memerlukan sedikit fokus. Walau apapun, satu perkara yang sangat menarik untuk sama-sama renungkan ialah "Penyeliaan". Satu istilah yang sebenarnya aku fikirkan dengan agak teliti beberapa minggu lepas ekoran PSM.

Walaupun aku bukan lagi menyelia pelajar-pelajar PSM di UTHM, namun atas dasar ukhwah masih ada yang sudi mendapatkan khidmat nasihat dariku. Aku bukanlah berkira atau mahu menunjuk lagak pandai, namun pertolongan yang dipinta aku cuba tangani sebaiknya, agar kalian dapat menunaikan "hak PSM" dengan sebaiknya.

Ada dua persoalan pokok yang bermain lantaran perkara ini; (1) Peranan penyelia dalam isu "rekabentuk penyelidikan", (2) peranan penyelia dan pelajar dalam isu "penulisan/persembahan hasil kerja".

Bagi aku, kedua-duanya adalah aspek yang penting dan saling berkait rapat. Sebagai jurutera, kita bukan sahaja perlu bijak membina model penyelidikan, menganalisa dan sebagainya, malah senjata "penulisan dan persembahan hasil kerja" jangan sesekali diabaikan.

Penyelia, seharusnya memberikan bimbingan sewajarnya kepada pelajar yang baru menjalankan projek PSM. Sebab itu jugalah, POPBL wajar dijadikan budaya seawal tahun 1 pengajian. Ternyata lebih banyak baik dari buruknya "Budaya POPBL" nie.

Seperkara lagi, persoalan penulisan menggunakan Bahasa Inggeris. Aku sedar, sebagai penutur English as a Second Language (ESL) bukan satu perkara mudah, lantaran itu latihan wajar disediaan oleh pihak Universiti supaya pelajar tidak lagi memberikan alasan mereka tidak boleh menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik, walhal sudah berada di ambang kerjaya mereka.

Berada di Brunel, menjadikan aku sangat kagum dengan sistem sokongan mereka kepada pelajar antarabangsa. Selain kelas-kelas berkaitan Grammar, Writing dan Speaking yang disediakan mereka juga menyediakan 1001 macam bantuan. Syukur kepada Allah yang menghantar aku ke sini. Azamku, untuk mendalami bahasa ini dan moga-moga sistem yang baik ini akan dapat aku bawa balik ke UTHM. Aku perlu berpegang,


"tidak guna kita merungut pelajar kita tidak pandai, andai kita tidak ada usaha membantu mereka, kerana kita juga pernah bergelar pelajar"


Lihat sahaja la gambar siput tu, berusaha dengan bersungguh-sungguh itu perlu...kerana itu adalah hak kita, yang pasti DOA kepada ALLAH jangan dilupa.