Saya terpanggil menulis topik ini atas beberapa alasan yang sangat tidak disangka-sangka akhir-akhir ini. Antara justifikasi kuat ialah rutin sebagai pelajar PhD yang sedang, telah, dan akan saya harungi dan juga nasihat seorang pelajar saya pinta apabila penyelia projek tahun akhirnya 'melarangnya' membuat pembentangan akhir (dalam erti kata lain memberikan gred GAGAL sebelum pembentangan dan laporan akhir dilangsaikan oleh pelajar ini).
Pastinya secara asas, penyeliaan di peringkat PhD dan sarjana muda adalah sangat berbeza. Seorang calon PhD perlu mempunyai personaliti yang istimewa dengan sifat-sifat ingin berjaya yang tinggi, bersedia bekerja melangkaui jangkaan penyelia dan pastinya faham bahawa "PhD is my show".
Saya menyelak kembali 'kitab' tulisan Prof. Kamil berkenaan tajuk "Misteri Seorang Penyelia" di halaman 45 - 65. Secara jelas, Prof. Kamil juga menegaskan bahawa untuk pengajian PhD, peranan penyelia adalah tersangat minimum. Persoalannya, memadaikah kita berkerja keras tanpa mendapat bimbingan yang tepat?
Saya pernah berkerja di bawah seliaan Dr. Hj. Jiwa Abdullah (projek tahun akhir sarjana muda) dan Prof. Dr. Ibrahim Ahmad (disertasi sarjana) dan kini saya bekerja di bawah seliaan Dr. Jonathan Loo dan Prof. John Cosmas. Saya juga telah menyelia pelajar-pelajar berikut di peringkat sarjana muda mereka:
Selain itu, saya juga turut sama menyelia kumpulan-kumpulan kecil pelajar untuk POPBL untuk tahun 1, 2, 3 dan 4. Kupasan saya berkenaan tajuk ini ini adalah berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan pandangan kemanusiaan saya yang penuh dengan kelemahan dari perspektif seorang bekas penyelia (supervisor) dan yang individu yang diselia (supervisee).
Namun dua syarat asas ini adalah asas yang sangat jelas dan bagi saya tidak boleh dipertikaikan bagi seorang pelajar tanpa keraguan:
- Seorang pelajar (yang diselia) seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kajian/penyelidikan/projek yang dijalankan. Istilah bertanggungjawab sepenuhnya bagi saya mempunyai nilai-nilai berikut: pelajar wajar berusaha gigih dan sedaya upaya, tidak mudah memberikan alasan-alasan untuk bersikap sambil lewa.
- Seorang pelajar perlu berusaha keras, kreatif, sedia dikritik dan tidak mudah berputus asa terhadap apa yang dikemukakan oleh penyelia dan pandangan individu lain. Kreatif merujuk kepada sifat bijak mendapatkan penyelesaian atau mencari jalan keluar terhadap satu-satu masalah berlaku. Misalnya, kajian tersebut memerlukan pelajar menggunakan perisian A tetapi penyelia tidak mahir menggunakannya, maka pelajar mesti mencari jalan keluar untuk belajar dari mana-mana sumber lain dan memastikan dirinya mahir dalam perisian tersebut bagi membolehkan kajian berjalan dengan jayanya. Sedia dikritik dan tidak mudah berputus asa pula merujuk kepada keterbukaan terhadap pandangan dan komen yang diberikan serta tidak mudah menyerah kalah - pastinya pandangan mereka yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman itu bagi memastikan kajian berjalan dengan lancar dan cemerlang.
Namun, huraian berikut adalah berasaskan pengalaman saya sendiri sebagai seorang penyelia:
- Bimbingan: Aspek ini bagi saya sangat kritikal. Sejujurnya, mungkin ada yang kurang bersetuju, namun secara peribadinya saya melihat bimbingan dari seorang penyelia adalah sangat diperlukan walaupun sememangnya pelajar semestinya mempunyai sikap "independent" yang tinggi. "Membimbing dan menyelia" adalah tidak sama dengan "memanjakan" pelajar. Bezanya begini, dalam kajian penentuan skop kajian adalah sangat penting juga penggunaan alat bantu (perisian, perkakasan) serta kaedah kajian (methodology). Ya, pelajar perlu menentukan perisian dan perkakasan serta "methodology" yang ingin digunakan berdasarkan kajian perpustakaaan yang dibuat. Namun, siapakah yang berperanan membuat pengesahan atau "verification" terhadap semua aspek ini? Jawapannya adalah PENYELIA. Justeru, ini jelas membezakan antara "memanjakan - memberikan atau menyuap pelajar" dan "memberikan bimbingan". Justeru, adalah KESALAHAN BESAR bagi seorang penyelia jika kita tidak berupaya memberikan pengesahan dan memberikan bimbingan kepada pelajar.
- Kepakaran: Pastinya, walaupun kita seorang pensyarah semua perkara adalah di bawah penguasaan kita. Sekiranya kajian yang dijalankan oleh pelajar kita itu memerlukan penglibatan dan bantuan individu lain yang lebih pakar dan mahir, maka adalah "KEMESTIAN" bagi kita sebagai seorang penyelia untuk "MELANTIK SECARA RASMI" penyelia lain untuk memberikan bantuan dan kepakaran yang profesional kepada pelajar seliaan kita. Mengapa saya katakan, "MELANTIK SECARA RASMI"? kerana ini melibatkan persoalan profesionalisme, dan individu yang kita lantik juga mempunyai beban profesionalisme yang perlu dipikul. Maka, adalah adil kepakaran individu tersebut juga diangkat secara profesional. Saya sendiri misalnya pernah melantik secara rasmi Pn. Fairuzniza dan Pn. Rozaimah (dari MIMOS untuk projek-projek bagi Fahrul, Mee Lian, Kelvin, Nasarudin dan Noralim). Hairol Jabbar pastinya bukan nama yang asing dan sukar diungkapkan jasanya kepada pelajar-pelajar saya (Azlan dan Hafis) hingga berjaya menjadikan projek tersebut sangat memberikan kesan kepada saya sendiri secara peribadinya.
- Menghargai hasil kerja pelajar: Ya, penyelia berhak untuk jadi cerewet dan mahukan hasil yang terbaik ke arah kualiti kerja yang tinggi. Tetapi, wajarkah andai cerewet tanpa asas? Tentu sekali tidak! Cerewet dan mengkritik biarlah dengan memberikan cadangan. Janganlah dengan tiket kita sebagai pensyarah maka kita semudahnya mengkritik hasil kerja pelajar dan seringkali didengar "hasil kerja kamu nie, macam budak form 3 aje". Tetapi, apa pula cadangan penyelia?
Akhirnya, beberapa persoalan berikut saya lontarkan terutamanya untuk diri saya sendiri untuk saya nilai dan perhalusi:
- Wajarkah seorang penyelia melarang pelajarnya membuat pembentangan akhir? Bukankah peranan penyelia adalah memberikan bimbingan supaya pelajar berada pada jalan yang betul (on the right track) seawal kajian dijalankan? Kenapa pelajar tidak ditegur andai pelajar dilihat silap dalam menentukan arah kajian? Kenapakah pelajar tidak "dihambat" andai pelajar sudah mula hilang fokus?
- Wajarkah seorang penyelia semudah A, B dan C memberikan cadangan-cadangan untuk skop yang baru dalam kajian dan seolah-olah kajian ini bersifat gelung tertutup (close loop) yang berterusan tanpa hasil (outcome) sedangkan pelajar mempunyai kekangan masa misalnya 2 semester untuk projek tahun akhir dan 3 tahun untuk PhD?
- Wajarkah seorang penyelia seringkali memberikan alasan sibuk dan tidak menyemak hasil kerja berkala pelajar? Bagaimana mungkin bimbingan boleh diberikan sebaiknya jika penyelia tidak menyemak hasil kerja pelajar dari awal? Atau mungkinkah penyelia sendiri kurang berminat dengan kajian yang pelajar jalankan?
Akhirnya, persoalan-persolan dan apa yang diutarakan hanyalah satu perkongsian dan pandangan peribadi dari saya yang penuh dengan kelemahan. Saya adalah seorang "pelajar" seumur hidup.
1 comment:
sapa tu boleh buat laporan pada pihak atasan
baru2 sekolah lama kita teknik ada buang pelajar dan tak kasi pelajar ambil spm ... lepas ayah dapat laporan pengetua sekolah kena tindakan .. sebab buat keputusan tak ikut buku.. nak jadi gila kuasa macam pengetua ada kuasa tak ikut law... kesian budak tu walaupun dia buat salah fly malam sebab nak makan tindak pengetua tu terlalu keras
Post a Comment