Pendahuluan
Meneruskan pengajian ke peringkat PhD boleh dikatakan menjadi impian, dengan harapan niat menyambung pengajian adalah kerana ingin mendalami ilmu dan menjadikan diri lebih memahami dan menuruti konsep kesarjanaan. Namun, ketakutan juga pasti hadir dalam segenap ruang hati dan fikiran. Pelbagai persoalan timbul: "Mampukah untuk menyelesaikan dalam masa yang ditetapkan", "Mampukah memastikan hasil kerja diikitiraf dalam jurnal berwasit dan persidangan berprestij", "Mampukah ditangani kesarjanaan insan yang bergelar penyelia", dan 1001 macam persoalan lagi.
HuraianPendapat berikut adalah satu perkongsian yang lebih bersifat berkaitan aspek PEMILIHAN PENYELIA, dan bagi saya saya sebagai pelajar yang lemah adalah dikategorikan kritikal. Perkongsian ini lebih menjurus kepada mereka yang bakal memilih United Kingdom sebagai destinasi menggali ilmu pada peringkat PhD dan juga memilih untuk menjalankan PhD secara konvensional (perkongsian ini mungkin tidak sesuai bagi mereka yang memilih ke destinasi lain untuk bergelar "pelancong PhD" misalnya USA, Jepun, Eropah), tetapi mungkin juga sesuai dengan mereka yang ingin "memperkasakan R&D" di Malaysia - memandangkan boleh dikatakan negara kita menggunapakai sistem PhD konvensional.
Berikut adalah isu yang seharusnya diperhalusi dan selayaknya mendapat pertimbangan:
Semak potensi bidang kajian (melalui jurnal dan persidangan terkemuka)
Mengenal pasti bidang kajian bukan perkara yang mudah. Selain perlu disetarakan dengan kelulusan, kemahiran dan minat yang ada, potensi sesuatu bidang juga perlu diteliti. Indikator terbaik adalah dengan merujuk kepada bilangan jurnal terkemuka yang wujud dalam bidang berkaitan. Analisa boleh dilakukan terhadap perkembangan bidang tersebut dengan melihat kepada bilangan/kekerapan artikel yang ada. Mudahnya, ini boleh diukur berdasarkan Journal Impact Factor (JIF). Perlu diteliti, adakah bidang tersebut sudah mencapai tahap tepu atau masih terdapat ruang-ruang knowledge contribution yang boleh diisi? Selain itu, dengan menyemak persidangan-persidangan terkemuka juga boleh memberikan gambaran terhadap potensi bidang kajian kerana lazimnya penyelidik-penyelidik mewar-warkan keaslian hasil kerja mereka juga dalam persidangan-persidangan terkemuka. Selain itu, kaedah mudah yang boleh diguna pakai juga melalui tinjauan kepada Call For Paper (CFP) bagi jurnal dan persidangan. Ini secara jelas juga memberikan gambaran semasa terhadap bidang-bidang tumpuan penyelidik-penyelidik seantero dunia.
Nota: Persidangan terkemuka dirujuk kepada persidangan yang mana kertas pasca-sidangnya diindeks oleh badan-badan terkemuka, misalnya IEEE (bidang EE) dll. Jurnal terkemuka pula merujuk kepada jurnal berwasit dengan kesan impak (sila rujuk kepada "entry" terdahulu)
Hubungi penyelia yang berpotensiSetelah mengenalpasti bidang yang ingin digali ilmunya, dan juga berdasarkan artikel-artikel rujukan melalui jurnal dan persidangan terkemuka, kita boleh mengenalpasti akan terdapatnya nama-nama besar atau "key player" dalam bidang-bidang tertentu. Mendapat peluang berkerja dengan individu-individu hebat pastinya juga memberikan impak yang besar kepada proses penggalian ilmu PhD ini. Tentu menjadi impian kita seandainya, penyelia kita adalah Chief Editor kepada IEEE Transaction on VLSI. Hubungi penyelia berpotensi terbabit dengan menyertakan maklumat diri (CV) dan minat dalam bidang terbabit (perlu juga belajar menulis emel ini yang akan memberikan gambaran siapakah kita). Ingat! menyatakan yang kita telah membaca hasil kerja penyelia berpotensi tersebut turut menggambarkan bahawa kita serius ingin bekerja dengannya.
Hubungi pelajar (semasa dan yang telah tamat)Ini juga adalah satu tindakan yang penting, bagi mendapatkan gambaran asas siapakah bakal tuan/puan penyelia yang bakal kita menjadi bos kita sepanjang 3 tahun. Gunakan enjin pencari sebaiknya untuk membantu mendapatkan alamat-alamat emel bekas-bekas pelajar (ALUMNI) bagi penyelia tersebut. Manakala, bagi pelajar semasa juga perlu dihubungi bagi mendapatkan pandangan semasa terhadap bakal tuan/puan penyelia. Berdasarkan dapatan daripada maklumbalas emel yang diterima, lakukan penilaian kasar terhadap apa yang dinilai oleh pelajar semasa dan bekas pelajar tuan/puan penyelia. Sedikit sebanyak, ini membantu bagi kita untuk memahami siapakah tuan/puan penyelia, peribadinya, kualiti kerjanya dan hubungannya dengan pelajarnya. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa dapatan ini hanyalah gambaran kasar dan sebarang kemungkinan perubahan perlu dihadapi dengan siap sedia.
Nota: Ada pelajar yang hadir sendiri ke universiti tersebut untuk berbincang dengan kumpulan penyelidik di bawah tuan/puan penyelia dan juga berbincang dengan tuan/puan penyelia sendiri - bagi mendapatkan gambaran sebenar.
Semak laman web/CV penyelia
Perkara utama yang perlu disemak ialah bidang kepakaran tuan/puan penyelia. Jika tuan/puan penyelia menyudahkan PhD mereka di UK, kita juga berpeluang meneliti abstrak tesis mereka melalui http://www.theses.com/. Ini adalah penting untuk memberikan gambaran terhadap bidang kajian dan minat sebenar mereka. Berdasarkan senarai penerbitan tuan/puan penyelia, teliti sejauhmanakah mereka aktif dalam penulisan dan penerbitan, terutamanya dalam jurnal berwasit dan persidangan terkemuka. Melalui senarai penerbitan juga, kita dapat membuat penilaian terhadap bidang fokus pelajar-pelajar tuan/puan penyelia, selain teliti juga berapa banyakkah tuan/puan penyelia bertindak sebagai penulis pertama dalam senarai penerbitan.
Nota: Ini adalah unwritten rules dan etika dalam penerbitan. Lazimnya, individu yang mempunyai sumbangan terbesar seharusnya menduduki nama pertama dalam senarai penulis dan menjadi satu jenayah akademik juga jika kita mengADAkan (bagi yang tidak menyumbang) dan menTIADAkan (bagi yang menyumbang).
Kesimpulan
Proses memilih tuan/puan penyelia adalah ujian awal terhadap kemahiran kita dalam proses melakukan PhD. Sekiranya kita memandang mudah dan merasakan perkara ini kurang relevan, dibimbangi proses PhD yang bakal dilalui perlu ditempuhi dengan segengam tabah. Moga-moga secebis pandangan peribadi ini dapat membantu metodologi dan proses penilaian yang lebih berkesan. Apa yang pasti, dalam semua tindakan - usah dilupai melakukan Solat Istikharah (paling utama) dan pintalah kepada Yang Maha Agung agar kita ditunjukkan jalan-jalan yang lurus. Indahnya antara bait-bait doa yang boleh kita titipkan:
Ya Allah, jika tindakanku memilih tuan/puan penyelia akan membawa kebaikan kepada urusan agamaku dan kehidupanku, maka kau tunjukkan jalan.
Jika tindakanku memilih tuan/puan penyelia akan membawa mudarat kepada urusan agamaku dan kehidupanku, maka kau tunjukkan juga jalannya.
Dengan sifatmu Yang Maha Mengetahui, bantulah hambaMu yang amat kerdil ini.
No great work is ever done in a hurry. To develop a great scientific discovery, to print a great picture, to write an immortal poem, to become a minister, or a famous general—to do anything great requires time, patience, and perseverance. These things are done by degrees, “little by little.” (W. J. Wilmont Buxton)
My Calendar
Saturday, 15 November 2008
Memilih Tuan/Puan Penyelia?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
ayat kt ats sekali 2 cam penah bace tp kt buku mane ntah lupa plak.."everyday is not the same"
Post a Comment