My Calendar

Thursday, 6 January 2011

Tugas Pensyarah

Saya akui, minggu pertama perkuliahan dan tugas bagi berhadapan dengan pelajar usai pengajian PhD memberikan sedikit tekanan. Hinggakan malam sebelum kuliah pertama bermula pada Rabu lalu saya masih asyik mengemaskini nota yang bakal disampaikan. Setelah selesai kedua-dua sesi dalam minggu ini, nyata banyak lagi perkara perlu saya tangani dan perhalusi dengan lebih teliti. Kuliah kali ini mempunyai pelbagai latar pelajar yang memerlukan saya lebih teliti memahami keperluan mereka. Dalam pada masa yang sama, ada juga beberapa perkara yang saya perlu perbetulkan demi kebaikan mereka.

Pertemuan pertama kumpulan penyelidikan kami juga telah dilaksanakan. Saya berdoa supaya usaha saya untuk membudayakan penyelidikan dan pembangunan melalui bidang tujah saya membuahkan hasil. Saya telah merangka empat modul untuk saya sampaikan kepada kumpulan saya, moga-moga mereka dapat manfaat dan boleh mengorak langkah sebagai penyelidik.


Modul pertama minggu ini berkisar kepada bagaimana mengurus penyelidikan, merangkumi: bagaimana mengurus penyelia, mesin (komputer), maklumat dan hasil penyelidikan. Selepas selesai menyampaikan perkongsian modul, saya memberikan peluang kepada mereka untuk berbincang perkembangan proses penyelidikan masing-masing. Nyata Khamis hari yang agak meletihkan tetapi agak menyeronokkan. Moga keseronokan ini akan dimudahkanNya dan saya dapat melihat hasilnya kelak. Ada satu yang ingin saya cuba laksanakan selepas ini juga, morning cofee! Moga usaha ini juga turut membawa faedah.

Saturday, 1 January 2011

1 Januari 2011

Akhir-akhir ini, kesihatan saya sedikit membataskan aktiviti dan pergerakan. Benar, apabila kita dihadirkan rasa sakit, baru akan kita kenang masa sihat. Saya pohon keampunannya atas dosa dan salah silap saya. Moga-moga sakit yang dihadirkan ini dapat membuatkan saya lebih halus dalam berfikir dan bertindak.

Bermula tahun baru ini, pasti ramai yang menyimpan azam untuk dilunaskan dalam tahun mendatang. Saya sejujurnya kurang pasti, apakah KPI yang wajar saya letakkan untuk tahun semasa 2011. Pelbagai aspek perlu saya ambil kira dalam mencorak dan meletak sasaran KPI 2011 untuk dicapai.

Dalam aspek kerjaya misalnya, penutup hujung tahun 2010 juga memberi suntikan semangat apabila proses lantikan Dr A sebagai profesor madya pelawat di fakulti telah berjaya. Insya Allah, saya akan cuba memanfaatkan ruang dan peluang yang ada agar kita sama-sama beroleh manfaat.

Saya turut gementar apabila saya perlu memimpin seorang pelajar sarjana penyelidikan dan enam pelajar sarjana muda. Saya berazam untuk menyemai minat sebagai penyelidik di kalangan mereka. Mampukah saya?

Setelah tiga tahun berehat, saya juga akan kembali mengajar pelajar-pelajar tahun 3. Saya juga gerun dan perlu membuat persediaan rapi. Agar, mereka akan benar-benar belajar untuk menghargai nilai ilmu.


Menyemai minat dan menghargai nilai ilmu bukan satu perkara yang mudah. Kita terpaksa berdepan dengan pelbagai tanggapan yang ada masanya boleh meruntuh benteng motivasi kita. Saya berdoa kepadaNya, agar niat saya untuk memberikan yang terbaik sentiasa dalam lindungan dan bimbinganNya.


Saya selalu berharap agar mereka yang berkesempatan di bawah pengajaran dan seliaan saya bukan sahaja belajar apa itu BEX 31503 misalnya, tetapi lebih daripada itu. Saya nyata lebih gembira apabila melihat anak didik saya tahu apa itu erti "survival" dalam kehidupan yang sementara ini!