My Calendar

Monday, 14 March 2011

Peluang

Dalam hidup ini, peluang tidak akan datang berkali-kali. Bagi yang masih mempunyai dua insan tersayang (ibu dan ayah) seharusnya setiap detik dan saat digunakan untuk membantu memudahkan mereka. Jika mereka jatuh sakit dan berada dalam kesusahan, pastikan kita sentiasa ada dalam setiap ketika. Peluang kita memandikan mereka, menyapu bedak di muka mereka, menyisir rapi rambut mereka adalah satu peluang yang maha besar bagi kita untuk mencuci dosa-dosa kita kepada mereka. Penat dan letih seharusnya tidak hadir dalam kamus harian kita. Jika ketika kita yang satu ketika dulu terlalu mentah dan penuh dengan karenah mampu mereka jaga dengan rapi hingga kini, apakah sumbangan kita buat mereka? Malah, andai sekalipun harta seluas saujana mata memandang itu kita mampu miliki, itu juga tidak mampu untuk membayar harga setitis air susu yang kita teguk satu ketika dulu. Begitu juga setitis peluh yang jatuh ke bumi demi membesarkan kita. Semoga peluang yang hadir tidak akan berlalu begitu saja.

Pangkat dan Kedudukan

Apa yang pasti,. pangkat dan kedudukan adalah antara ujian dariNya. Jika salah hemat, pelbagai kemurkaan akan diundang. Yang paling dirisaukan adalah kemurkaan dariNya. Dalam pada masa yang sama, sebagai pemimpin sudah barang pasti juga kita tidak akan dapat memuaskan hati segenap pihak. Justeru, laksanakanlah amanah dengan penuh rasa rendah diri dan integriti. Saya memanjatkan doa kepadaNya agar tugas yang dilalui ini dapat mendekatkan diri saya kepadaNya.