My Calendar

Saturday, 27 September 2014

Kolej Kediaman Perwira UTHM Sebagai Pusat Pembelajaran Kedua: Antara Impian dan Realiti

Nota: Sekiranya ingin mendapatkan artikel penuh, boleh emel kepada saya menerusi afandia@uthm.edu.my


Abstrak


Kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua adalah suatu aspirasi yang jelas ke arah mengukuhkan peranan dan sumbangan kolej kediaman dalam membangunkan potensi mahasiswa. Kolej kediaman perlu keluar daripada kepompong kebiasaan dan lari daripada agenda tanpa fokus yang jelas. Kolej kediaman seharusnya diperkemas fungsinya agar peranannya seiring dengan kepentingan Fakulti dalam melahirkan mahasiswa yang boleh bersaing di arena global. Kertas kerja ini secara khusus membincangkan pengalaman Kolej Kediaman Perwira (KKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam merealisasikan peranannya sebagai pusat pembelajaran kedua seiring dengan gagasan yang dicetuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antara yang menjadi asas perbincangan ialah pembentukan Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik yang direncanakan bertujuan melahirkan penghuni yang bukan sahaja cerdas mindanya, cergas fizikalnya dan santun pekertinya. Selain itu, beberapa polisi dan inisiatif yang digariskan juga diperincikan, misalnya 1Penghuni 1Sukan, 1Penghuni Muslim 1Al Quran dan 1Penghuni 1Kemahiran. Polisi-polisi ini diperkemaskan dengan beberapa projek inisiatif berkaitan misalnya mewujudkan Taman Arnab dan Botani dan Projek Ternakan Itik ke arah mengubah persepsi penghuni bahawa Kolej Kediaman Perwira bukan sekadar sebuah kolej kediaman, tetapi sebagai sebuah taman ilmu. Diharapkan kertas kerja ini dapat menjadi panduan kepada warga pengurusan kolej-kolej kediaman lain dalam usaha merealisasikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua.
I. PENDAHULUAN


Ke arah merealisasikan “Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia”, idea menjadikan kolej siswa sebagai tempat pembelajaran kedua dicetuskan oleh Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi pada ketika itu, iaitu Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin dalam Amanat YB Menteri untuk tahun 2013 adalah signifikan [1]. Aspirasi ini secara jelas berkait rapat dengan konsep pembangunan mahasiswa holistik yang turut direncana sebagai salah satu program agenda kritikal (CAP) dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) [2].
Holistik dalam pembangunan modal insan di Universiti perlu dikupas sebaiknya dan tidak hanya dilihat sebagai tanggungjawab sesetengah pihak sahaja, sebaliknya merupakan agenda bersama yang mesti dipikul dengan penuh amanah dan dedikasi. Hal ini juga berkait rapat dengan aspek kebolehpasaran graduan (GE) yang kini semakin hebat persaingannya dengan semua Universiti mesti meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 75 peratus graduan memperoleh pekerjaan yang sesuai dalam tempoh enam (6) bulan selepas menamatkan pengajian [2], [3].
Sehubungan dengan itu, kolej kediaman sebagai “rumah kedua” perlu lebih teliti dalam memperkukuh peranannya. Jika fakulti berperanan secara langsung dalam menyedia dan melaksana program akademik bermutu tinggi, kolej kediaman pula perlu tampil sebagai dataran ilmu untuk mengembangkan potensi dalam diri pelajar. Sepanjang tempoh pengajian di Universiti, sekurang-kurangnya pada dua (2) semester pertama para pelajar dimestikan untuk menghuni di kolej-kolej kediaman. Apabila pelajar menghuni kolej kediaman seawal tahun pertama pengajian, pengaruh dan sumbangan kolej kediaman sebenarnya adalah sangat besar terhadap pembentukan diri dan kecemerlangan pelajar. Seawal tahun pertama, pelajar mula bercampur gaul dan membentuk kumpulan rakan belajar. Jika sistem di sesebuah kolej kediaman adalah berkesan dan berupaya membawa perubahan positif kepada para pelajar, pastinya tahun-tahun pengajian berikutnya di Universiti dapat dilalui dengan lebih baik. Justeru, sesebuah kolej kediaman mesti berupaya menyediakan platform ke arah merealisasikan proses transformasi diri para penghuninya dengan melihat kepada tuntutan dan cabaran global. 
Soalnya, apakah sumbangan kolej kediaman dalam membangunkan potensi mahasiswa yang holistik? Apakah pula kaitannya dengan gagasan untuk menjadikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua? Adakah gagasan ini bersifat terlalu ideal dan sukar direalisasikan? Inilah antara persoalan yang terkandung dalam kertas kerja ini. Bahagian II menghuraikan kepentingan menjadikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua. Kerangka utama kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua bersama cadangan-cadangan strategi yang boleh dilaksanakan pula masing-masing dijelaskan dalam Bahagian III dan IV. Akhirnya, kesimpulan dihuraikan dalam Bahagian V.


2. RASIONAL KOLEJ KEDIAMAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN KEDUA

Ke arah menjadikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua, fungsi sesebuah kolej kediaman perlu lebih terpimpin, jelas dan mestilah boleh diukur. Sekiranya sebelum ini, ada yang beranggapan kolej kediaman hanyalah tidak lebih sebagai lokasi penginapan semata-mata, maka tanggapan seperti ini perlu dihakis serta merta. Walaupun tempoh wajib menginap di kolej-kolej kediaman berbeza-beza antara satu Universiti dengan Universiti yang lain, namun  jika diperhalusi masa yang diluangkan di kolej kediaman adalah jauh lebih panjang berbanding masa di fakulti, malahan juga masa bersama keluarga di rumah. Sehubungan dengan itu, berikut merupakan justifikasi yang menjelaskan mengapa kolej kediaman perlu dinobatkan sebagai pusat pembelajaran kedua.
1.     Kolej kediaman perlu berperanan sebagai agen merapatkan jurang polarisasi kaum
Sebagai sebuah Negara yang berbilang kaum dan berbeza agama, hidup sebagai bangsa Malaysia memerlukan toleransi yang tinggi. Walaupun jurang polarisasi kaum semakin mengecil antara satu sama lain, namun perkara ini perlu diperkukuhkan sebaiknya di peringkat Universiti. Sikap perkauman, memandang rendah kepada peranan dan sumbangan bangsa dan agama lain perlu dibuang jauh. Justeru itu kolej kediaman perlu lebih teliti dalam hal ini memandangkan di kolej-kolej kediaman juga pelajar tinggal berdekatan dan berjiran antara satu sama lain.

Aktiviti-aktiviti yang dirangka juga hendaklah bersifat berbilang bangsa bagi mendokong falsafah “bersama dalam kepelbagaian”. Atas rasional inilah, kolej kediaman perlu menjadi pusat pembelajaran kedua berkaitan pembentukan bangsa Malaysia yang tulen. Program-program yang turut menekankan aspek sejarah dan memupuk kecintaan terhadap Negara juga perlu diperkemaskan agar kolej kediaman juga bersama-sama dalam arus perdana gagasan 1Malaysia.

2.  Kolej kediaman perlu bertugas sebagai medium memberikan nilai tambah kemahiran insaniah (KI)
KI bukanlah perkara asing, lebih-lebih lagi apabila berlakunya lambakan graduan yang tidak berupaya menembusi persaingan sengit mendapatkan kerja yang mereka idamkan. Kumpulan ini lazimnya dikaitkan dengan kurang keupayaan “menjual diri” sama ada secara lisan mahupun tulisan.

Mereka bukan sahaja tidak mahir berkomunikasi, malah kebanyakkannya juga hanya hidup dalam dunia sendiri. Masalah ini banyak berpunca daripada sindrom kelesuan yang menghantui ramai pelajar di Universiti. Diari kehidupan mereka amat membosankan, hanya hadir ke dewan kuliah (itupun lebih banyak ponteng daripada hadir), menyertai kumpulan tugasan pun pada saat-saat akhir, tidak kenal barisan kepimpinan serta hanya menyibukkan diri dengan teman istimewa baharu iaitu media sosial dan permainan komputer.

Masalah ini perlu ditangani secara kolektif dengan kerjasama unggul antara pihak fakulti dan kolej kediaman. Jelasnya, pihak fakulti perlu berperanan dalam memberikan input akademik bagi melayakkan para pelajar menggengam segulung diploma mahupun ijazah sarjana muda yang mereka impikan. Manakala, di sinilah munculnya peranan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua untuk menajamkan tujuh (7) elemen KI para penghuninya.

3.  Kolej kediaman perlu tampil sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar bagi pasaran kerjaya
Menyediakan graduan agar bukan sahaja boleh berdiri sama tinggi, malah duduk sama rendah dengan graduan lulusan Universiti dalam dan luar Negara lain bukanlah tugas mudah. Dengan sasaran sekurang-kurangnya 75 peratus graduan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam (6) bulan, kecemerlangan diri pelajar perlulah diasah dan digilap. Kemantapan aspek kognitif, afektif dan psikomotor pelajar dalam bidang pengajian masing-masing perlulah berada pada tahap yang maksimum.

Tetapi, adakah hanya aspek ini sahaja yang dilihat oleh bakal majikan di luar sana? Sudah tentu jawapannya tidak. Majikan hari ini bersikap lebih memilih, apatah lagi sekiranya berlaku permintaan yang melebihi penawaran. Majikan mahukan bakal pekerja yang bersifat boleh bekerja dalam pelbagai tugasan (multitasking), cepat belajar dan menyesuaikan diri, mahir berkomunikasi, bijak membuat keputusan serta juga menjunjung tinggi etika dan nilai integriti.

Adakah elemen-elemen ini cukup dibekalkan oleh pihak fakulti sahaja? Siapakah pihak lain yang boleh membantu? Jawapannya ialah kolej kediaman. Sebagai pusat pembelajaran kedua, budaya, persekitaran dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mesti berupaya memberikan hasil pembelajaran mirip yang dikehendaki oleh para majikan.

3. KERANGKA UTAMA KOLEJ KEDIAMAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN KEDUA

Setelah diperjelaskan, rasional mengapa perlunya kolej kediaman muncul sebagai pusat pembelajaran kedua, yang lebih utama juga ialah bagaimana untuk mereaslisasikannya. Justeru, persoalan kerangka yang menjadi tulang belakang bagi kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua akan dibentangkan. Terdapat tiga (3) perkara yang perlu dilihat dengan teliti jika benar kolej kediaman ingin menjadi pusat pembelajaran kedua, iaitu:
1.     Model aktiviti pelajar di kolej-kolej kediaman
Sebagai pusat pembelajaran kedua, model pelaksanaan aktiviti pelajar yang terancang adalah diperlukan. Ini adalah amat penting bagi memastikan bukanlah kuantiti program yang menjadi ukuran, sebaliknya kualiti dan impak yang dikecapi oleh para pelajar. Sehubungan dengan itu, cadangan model aktiviti pelajar seperti dalam Gambarajah 1 dikemukakan sebagai suatu usaha mengelakkan berlakunya pertindihan maksimum beban antara urusan akademik dan aktiviti pelajar. Dengan adanya model seperti ini juga, diyakini dapat membantu pentadbir di kolej-kolej kediaman bagi memantau perjalanan aktiviti pelajar dengan berkesan.


Gambarajah 1: Model Pelaksanaan Aktiviti Pelajar

2.    Pengupayaan kolej kediaman memaksimumkan sumber sedia ada
Ke arah melestarikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua, pasukan pengurusan juga perlulah lebih terkehadapan dan berdaya saing. Semua sumber sedia ada di kolej kediaman mestilah dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi memberikan kelebihan, bukan sahaja dalam aspek penjenamaan kolej kediaman tersebut, malah lebih baik juga jika boleh menambah pendapatan kepada kolej kediaman. Sebagai contoh, sekiranya terdapat tanah-tanah terbiar di dalam kawasan kolej kediaman, hendaklah dimanfaatkan sebaiknya menerusi projek-projek yang bersifat keusahawanan tani, seperti projek tanaman cili, tembikai, pisang dan lain-lain lagi. Ini bukan sahaja dapat mencungkil potensi dalam diri pelajar, mengembangkan budaya keusahawanan malah juga boleh meraih keuntungan menerusi hasil jualan.

Perkara ini telah direalisasikan di Kolej Kediaman Perwira (KKP) UTHM menerusi tiga (3) projek utama iaitu Taman Arnab, Botani dan Itik seperti dalam Gambarajah 2. Walaupun tidaklah berskala besar, namun ini merupakan suatu permulaan baik dalam aspek pengupayaan sumber sedia ada. Menerusi projek-projek ini, para penghuni yang terlibat bukan sahaja belajar berkaitan aspek bercucuk tanam, malah turut menajamkan minda mereka dalam aspek pemasaran dan promosi hasil jualan, kajian terhadap teknik penanaman, penghasilan baja dan banyak lagi.
  
Gambarajah 2: Pengupayaan sumber sedia ada menerusi projek Taman Itik
3.      Penglibatan bersama masyarakat setempat
Pelajar di Universiti perlu juga dilibatkan dengan realiti sebenar dunia luar yang pastinya lebih mencabar. Sepanjang tempoh pengajian, lazimnya para pelajar bertungkus lumus dengan tugasan akademik, laporan makmal, ujian, pembentangan dan pelbagai lagi bentuk penilaian akademik. Bagaimana pula dengan kemahiran hidup bermasyarakat? Mampukah para pelajar kita “merendahkan” pengetahuan teknikal mereka dalam aspek kejuruteraan sebagai contoh apabila berbicara bersama orang-orang tua di kampung?

Sebagai pusat pembelajaran kedua yang berperanan mengembangkan nilai akademik pelajar, kolej kediaman mestilah menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat setempat. Hal ini juga adalah selari dengan peranan dan fungsi sebenar Universiti, iaitu memberikan impak positif kepada masyarakat setempat. Di KKP misalnya, perkara ini telah dibuktikan membawa manfaat menerusi konsep “Masjid dan Kawasan Perkuburan Angkat” seperti dalam Gambarajah 3 yang dimeterai dengan pihak Masjid Riyadus Solihin. Kedudukan KKP dan Masjid yang strategik ini memberikan banyak impak positif.


Gambarajah 3: Konsep Masjid Angkat

Pelbagai aktiviti bersama telah dijalankan. Contohnya, apabila pihak Masjid melaksanakan aktiviti rewang, majlis dan sambutan tertentu, maka para pelajar dari KKP yang menjadi ahli rewangnya. Para pelajar berpeluang melaksanakan kerja-kerja dapur serta bekerjasama dengan penduduk kampung menyelesaikan tugasan. Pengalaman adalah sangat berharga dan merupakan suatu bentuk pendedahan hidup harmoni dalam masyarakat.


4. MEREALISASI IMPIAN KOLEJ KEDIAMAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN KEDUA

Ke arah menjadikan impian sebagai pusat pembelajaran kedua suatu realiti, KKP komited dengan merangka pelbagai strategi dalam melahirkan mahasiswa yang holistik. Pembangunan holisitik yang disasarkan telah dijelmakan menerusi pelancaran Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik (PTMH) pada September 2013 dengan menjunjung tinggi iltizam bagi melahirkan penghuni yang bukan sahaja cerdas mindanya, cergas fizikalnya malah santun pekertinya.
Secara jelas, terdapat empat (4) elemen yang ditekankan iaitu aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang turut selari dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Terdapat pelbagai polisi seperti dalam Gambarajah 4 yang dicetuskan bagi mengukuhkan PTMH antaranya ialah:
1.     1Penghuni 1Sukan
Polisi ini disemarakkan dengan konsep rumah sukan Azure, Harlequin, Aureolin dan Scarlet yang dianggotai oleh seluruh penghuni KKP. Acara sukantara dan merentas desa merupakan acara wajib yang melibatkan semua penghuni. Menerusi polisi ini, bukan sahaja semangat kerja berpasukan dan persaingan sihat berjaya dicetuskan, malah yang lebih utama ialah ke arah pembentukan gaya hidup sihat dalam kalangan penghuni. Ini juga secara langsung menyokong aspirasi ke arah pembentukan jasmani yang cergas.

2.     1Penghuni Muslim 1Al Quran
Dalam pada kita dihimpit dengan kesibukan dunia, usah sesekali kita lupa akan peri pentingnya adab dan nilai dalam kehidupan. Hubungan baik dengan pencipta misalnya tidak harus dipandang remeh dan mesti digerakkan sebagai agenda utama. Hal ini berkait rapat dalam usaha membentuk para penghuni yang mempunyai nilai etika, moral dan integriti tinggi. Program tadarus Al Quran dengan silabus yang tersusun dan dilaksanakan secara berkala sekali seminggu bagi melahirkan penghuni yang beretika dan berakhlak tinggi.
  
3.    1Penghuni 1Kemahiran
Selain daripada keperluan keputusan akademik yang baik, kemahiran-kemahiran lain dalam kehidupan juga perlu dilihat sebagai elemen penting. Jika di peringkat sekolah menengah misalnya, kita didedahkan dengan mata pelajaran Kemahiran Hidup, begitulah juga menerusi polisi ini. Pelbagai kursus-kursus kemahiran hidup yang boleh memberikan nilai tambah diri dan kehidupan dijalankan, seperti kursus masakan, seni batik lukis, menggosok pakaian, membina reban, membuat tanggam dan lain-lain lagi. Walaupun mungkin ada yang beranggapan bahawa kemahiran-kemahiran ini tidak lagi diperlukan hari ini, tetapi nilai-nilai tambah inilah yang akan membezakan antara pelajar dan graduan yang lemah, sederhana, baik dan cemerlang.

Gambarajah 4: Polisi-polisi dalam PTMH
4. KESIMPULAN  

Kertas kerja ini telah menjawab tiga (3) persoalan utama dalam merealisasikan impian menjadikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua, iaitu apakah rasionalnya, bagaimanakah untuk merealisasikannya dan apakah strategi yang perlu diambil? Walaupun kertas kerja ini bukanlah bersifat emperikal, adalah menjadi harapan agar kandungannya dapat menjadi panduan khususnya kepada saf pengurusan kolej kediaman dalam menjadikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua seiring dengan tuntutan arus perdana.


RUJUKAN
Ucapan YB Menteri Pengajian Tinggi, Amanat Tahun 2013
[2]  [Atas Talian], “Diakses 18 April 2014”, http://www.moe.gov.my/v/pelan-strategik-pengajian-tinggi-negara
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
[3] [Atas Talian], “Diakses 8 Mac 2014”, http://www.pemandu.gov.my/gtp/Improving_Students_Outcomes-@-Improving_Students_Outcomes_Overview.aspx
Program Trasformasi Kerajaan