Nota: Sekiranya ingin mendapatkan artikel penuh, boleh emel kepada saya menerusi afandia@uthm.edu.my
Abstrak
Abstrak
Kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua adalah suatu aspirasi
yang jelas ke arah mengukuhkan peranan dan sumbangan kolej kediaman dalam
membangunkan potensi mahasiswa. Kolej kediaman perlu keluar daripada kepompong
kebiasaan dan lari daripada agenda tanpa fokus yang jelas. Kolej kediaman
seharusnya diperkemas fungsinya agar peranannya seiring dengan kepentingan
Fakulti dalam melahirkan mahasiswa yang boleh bersaing di arena global. Kertas
kerja ini secara khusus membincangkan pengalaman Kolej Kediaman Perwira (KKP),
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam merealisasikan peranannya
sebagai pusat pembelajaran kedua seiring dengan gagasan yang dicetuskan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antara yang menjadi asas perbincangan
ialah pembentukan Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik yang direncanakan
bertujuan melahirkan penghuni yang bukan sahaja cerdas mindanya, cergas
fizikalnya dan santun pekertinya. Selain itu, beberapa polisi dan inisiatif
yang digariskan juga diperincikan, misalnya 1Penghuni 1Sukan, 1Penghuni Muslim
1Al Quran dan 1Penghuni 1Kemahiran. Polisi-polisi ini diperkemaskan dengan
beberapa projek inisiatif berkaitan misalnya mewujudkan Taman Arnab dan Botani
dan Projek Ternakan Itik ke arah mengubah persepsi penghuni bahawa Kolej
Kediaman Perwira bukan sekadar sebuah kolej kediaman, tetapi sebagai sebuah
taman ilmu. Diharapkan kertas kerja ini dapat menjadi panduan kepada warga
pengurusan kolej-kolej kediaman lain dalam usaha merealisasikan kolej kediaman
sebagai pusat pembelajaran kedua.
I. PENDAHULUAN
Ke arah merealisasikan “Pengajian Tinggi
Pemacu Daya Saing Malaysia”, idea menjadikan kolej siswa sebagai tempat
pembelajaran kedua dicetuskan oleh Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi pada
ketika itu, iaitu Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin dalam Amanat YB Menteri
untuk tahun 2013 adalah signifikan [1]. Aspirasi ini secara jelas berkait rapat
dengan konsep pembangunan mahasiswa holistik yang turut direncana sebagai salah
satu program agenda kritikal (CAP) dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
(PSPTN) [2].
Holistik dalam pembangunan modal insan di
Universiti perlu dikupas sebaiknya dan tidak hanya dilihat sebagai tanggungjawab
sesetengah pihak sahaja, sebaliknya merupakan agenda bersama yang mesti dipikul
dengan penuh amanah dan dedikasi. Hal ini juga berkait rapat dengan aspek
kebolehpasaran graduan (GE) yang kini semakin hebat persaingannya dengan semua
Universiti mesti meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 75 peratus graduan
memperoleh pekerjaan yang sesuai dalam tempoh enam (6) bulan selepas menamatkan
pengajian [2], [3].
Sehubungan dengan itu, kolej kediaman sebagai
“rumah kedua” perlu lebih teliti dalam memperkukuh peranannya. Jika fakulti
berperanan secara langsung dalam menyedia dan melaksana program akademik
bermutu tinggi, kolej kediaman pula perlu tampil sebagai dataran ilmu untuk
mengembangkan potensi dalam diri pelajar. Sepanjang tempoh pengajian di
Universiti, sekurang-kurangnya pada dua (2) semester pertama para pelajar
dimestikan untuk menghuni di kolej-kolej kediaman. Apabila pelajar menghuni kolej
kediaman seawal tahun pertama pengajian, pengaruh dan sumbangan kolej kediaman
sebenarnya adalah sangat besar terhadap pembentukan diri dan kecemerlangan
pelajar. Seawal tahun pertama, pelajar mula bercampur gaul dan membentuk
kumpulan rakan belajar. Jika sistem di sesebuah kolej kediaman adalah berkesan
dan berupaya membawa perubahan positif kepada para pelajar, pastinya
tahun-tahun pengajian berikutnya di Universiti dapat dilalui dengan lebih baik.
Justeru, sesebuah kolej kediaman mesti berupaya menyediakan platform ke arah
merealisasikan proses transformasi diri para penghuninya dengan melihat kepada
tuntutan dan cabaran global.
Soalnya, apakah sumbangan kolej kediaman
dalam membangunkan potensi mahasiswa yang holistik? Apakah pula kaitannya
dengan gagasan untuk menjadikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran
kedua? Adakah gagasan ini bersifat terlalu ideal dan sukar direalisasikan?
Inilah antara persoalan yang terkandung dalam kertas kerja ini. Bahagian II menghuraikan kepentingan menjadikan kolej kediaman sebagai pusat
pembelajaran kedua. Kerangka utama kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran
kedua bersama cadangan-cadangan strategi yang boleh dilaksanakan pula
masing-masing dijelaskan dalam Bahagian III
dan IV. Akhirnya, kesimpulan
dihuraikan dalam Bahagian V.
2. RASIONAL KOLEJ KEDIAMAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN KEDUA
2. RASIONAL KOLEJ KEDIAMAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN KEDUA
Ke arah menjadikan kolej kediaman sebagai
pusat pembelajaran kedua, fungsi sesebuah kolej kediaman perlu lebih terpimpin,
jelas dan mestilah boleh diukur. Sekiranya sebelum ini, ada yang beranggapan
kolej kediaman hanyalah tidak lebih sebagai lokasi penginapan semata-mata, maka
tanggapan seperti ini perlu dihakis serta merta. Walaupun tempoh wajib menginap
di kolej-kolej kediaman berbeza-beza antara satu Universiti dengan Universiti
yang lain, namun jika diperhalusi masa
yang diluangkan di kolej kediaman adalah jauh lebih panjang berbanding masa di
fakulti, malahan juga masa bersama keluarga di rumah. Sehubungan dengan itu,
berikut merupakan justifikasi yang menjelaskan mengapa kolej kediaman perlu
dinobatkan sebagai pusat pembelajaran kedua.
1. Kolej kediaman perlu berperanan sebagai agen merapatkan jurang
polarisasi kaum
Sebagai sebuah Negara yang berbilang kaum dan berbeza agama, hidup sebagai
bangsa Malaysia memerlukan toleransi yang tinggi. Walaupun jurang polarisasi
kaum semakin mengecil antara satu sama lain, namun perkara ini perlu
diperkukuhkan sebaiknya di peringkat Universiti. Sikap perkauman, memandang
rendah kepada peranan dan sumbangan bangsa dan agama lain perlu dibuang jauh.
Justeru itu kolej kediaman perlu lebih teliti dalam hal ini memandangkan di
kolej-kolej kediaman juga pelajar tinggal berdekatan dan berjiran antara satu
sama lain.
Aktiviti-aktiviti yang dirangka juga hendaklah bersifat berbilang
bangsa bagi mendokong falsafah “bersama dalam kepelbagaian”. Atas rasional
inilah, kolej kediaman perlu menjadi pusat pembelajaran kedua berkaitan
pembentukan bangsa Malaysia yang tulen. Program-program yang turut menekankan aspek
sejarah dan memupuk kecintaan terhadap Negara juga perlu diperkemaskan agar
kolej kediaman juga bersama-sama dalam arus perdana gagasan 1Malaysia.
2. Kolej kediaman perlu bertugas sebagai medium memberikan nilai tambah
kemahiran insaniah (KI)
KI bukanlah perkara asing, lebih-lebih lagi apabila berlakunya lambakan
graduan yang tidak berupaya menembusi persaingan sengit mendapatkan kerja yang
mereka idamkan. Kumpulan ini lazimnya dikaitkan dengan kurang keupayaan
“menjual diri” sama ada secara lisan mahupun tulisan.
Mereka bukan sahaja tidak mahir berkomunikasi, malah kebanyakkannya
juga hanya hidup dalam dunia sendiri. Masalah ini banyak berpunca daripada
sindrom kelesuan yang menghantui ramai pelajar di Universiti. Diari kehidupan
mereka amat membosankan, hanya hadir ke dewan kuliah (itupun lebih banyak
ponteng daripada hadir), menyertai kumpulan tugasan pun pada saat-saat akhir,
tidak kenal barisan kepimpinan serta hanya menyibukkan diri dengan teman
istimewa baharu iaitu media sosial dan permainan komputer.
Masalah ini perlu ditangani secara kolektif dengan kerjasama unggul
antara pihak fakulti dan kolej kediaman. Jelasnya, pihak fakulti perlu
berperanan dalam memberikan input akademik bagi melayakkan para pelajar
menggengam segulung diploma mahupun ijazah sarjana muda yang mereka impikan.
Manakala, di sinilah munculnya peranan kolej kediaman sebagai pusat
pembelajaran kedua untuk menajamkan tujuh (7) elemen KI para penghuninya.
3. Kolej kediaman perlu tampil sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar
bagi pasaran kerjaya
Menyediakan graduan
agar bukan sahaja boleh berdiri sama tinggi, malah duduk sama rendah dengan
graduan lulusan Universiti dalam dan luar Negara lain bukanlah tugas mudah. Dengan
sasaran sekurang-kurangnya 75 peratus graduan berjaya mendapatkan pekerjaan
dalam tempoh enam (6) bulan, kecemerlangan diri pelajar perlulah diasah dan
digilap. Kemantapan aspek kognitif, afektif dan psikomotor pelajar dalam bidang
pengajian masing-masing perlulah berada pada tahap yang maksimum.
Tetapi, adakah hanya
aspek ini sahaja yang dilihat oleh bakal majikan di luar sana? Sudah tentu
jawapannya tidak. Majikan hari ini bersikap lebih memilih, apatah lagi
sekiranya berlaku permintaan yang melebihi penawaran. Majikan mahukan bakal
pekerja yang bersifat boleh bekerja dalam pelbagai tugasan (multitasking), cepat belajar dan
menyesuaikan diri, mahir berkomunikasi, bijak membuat keputusan serta juga
menjunjung tinggi etika dan nilai integriti.
Adakah elemen-elemen ini cukup
dibekalkan oleh pihak fakulti sahaja? Siapakah pihak lain yang boleh membantu?
Jawapannya ialah kolej kediaman. Sebagai pusat pembelajaran kedua, budaya,
persekitaran dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mesti berupaya memberikan
hasil pembelajaran mirip yang dikehendaki oleh para majikan.
3. KERANGKA UTAMA KOLEJ
KEDIAMAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN KEDUA
Setelah diperjelaskan, rasional mengapa
perlunya kolej kediaman muncul sebagai pusat pembelajaran kedua, yang lebih
utama juga ialah bagaimana untuk mereaslisasikannya. Justeru, persoalan
kerangka yang menjadi tulang belakang bagi kolej kediaman sebagai pusat
pembelajaran kedua akan dibentangkan. Terdapat tiga (3) perkara yang perlu
dilihat dengan teliti jika benar kolej kediaman ingin menjadi pusat
pembelajaran kedua, iaitu:
1. Model aktiviti pelajar di kolej-kolej kediaman
Sebagai pusat pembelajaran kedua,
model pelaksanaan aktiviti pelajar yang terancang adalah diperlukan. Ini adalah
amat penting bagi memastikan bukanlah kuantiti program yang menjadi ukuran, sebaliknya
kualiti dan impak yang dikecapi oleh para pelajar. Sehubungan dengan itu,
cadangan model aktiviti pelajar seperti dalam Gambarajah 1 dikemukakan sebagai
suatu usaha mengelakkan berlakunya pertindihan maksimum beban antara urusan
akademik dan aktiviti pelajar. Dengan adanya model seperti ini juga, diyakini
dapat membantu pentadbir di kolej-kolej kediaman bagi memantau perjalanan
aktiviti pelajar dengan berkesan.
Gambarajah
1: Model Pelaksanaan Aktiviti Pelajar
2. Pengupayaan kolej kediaman memaksimumkan sumber sedia ada
Ke arah melestarikan
kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua, pasukan pengurusan juga
perlulah lebih terkehadapan dan berdaya saing. Semua sumber sedia ada di kolej
kediaman mestilah dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi memberikan kelebihan,
bukan sahaja dalam aspek penjenamaan kolej kediaman tersebut, malah lebih baik
juga jika boleh menambah pendapatan kepada kolej kediaman. Sebagai contoh,
sekiranya terdapat tanah-tanah terbiar di dalam kawasan kolej kediaman,
hendaklah dimanfaatkan sebaiknya menerusi projek-projek yang bersifat
keusahawanan tani, seperti projek tanaman cili, tembikai, pisang dan lain-lain
lagi. Ini bukan sahaja dapat mencungkil potensi dalam diri pelajar,
mengembangkan budaya keusahawanan malah juga boleh meraih keuntungan menerusi
hasil jualan.
Perkara ini telah
direalisasikan di Kolej Kediaman Perwira (KKP) UTHM menerusi tiga (3) projek
utama iaitu Taman Arnab, Botani dan Itik seperti dalam Gambarajah 2. Walaupun
tidaklah berskala besar, namun ini merupakan suatu permulaan baik dalam aspek
pengupayaan sumber sedia ada. Menerusi projek-projek ini, para penghuni yang
terlibat bukan sahaja belajar berkaitan aspek bercucuk tanam, malah turut
menajamkan minda mereka dalam aspek pemasaran dan promosi hasil jualan, kajian
terhadap teknik penanaman, penghasilan baja dan banyak lagi.
Gambarajah
2: Pengupayaan sumber sedia ada menerusi projek Taman Itik
3. Penglibatan bersama masyarakat setempat
Pelajar di Universiti
perlu juga dilibatkan dengan realiti sebenar dunia luar yang pastinya lebih
mencabar. Sepanjang tempoh pengajian, lazimnya para pelajar bertungkus lumus
dengan tugasan akademik, laporan makmal, ujian, pembentangan dan pelbagai lagi
bentuk penilaian akademik. Bagaimana pula dengan kemahiran hidup bermasyarakat?
Mampukah para pelajar kita “merendahkan” pengetahuan teknikal mereka dalam
aspek kejuruteraan sebagai contoh apabila berbicara bersama orang-orang tua di
kampung?
Sebagai pusat pembelajaran
kedua yang berperanan mengembangkan nilai akademik pelajar, kolej kediaman
mestilah menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat setempat. Hal ini juga
adalah selari dengan peranan dan fungsi sebenar Universiti, iaitu memberikan
impak positif kepada masyarakat setempat. Di KKP misalnya, perkara ini telah
dibuktikan membawa manfaat menerusi konsep “Masjid dan Kawasan Perkuburan
Angkat” seperti dalam Gambarajah 3 yang dimeterai dengan pihak Masjid Riyadus
Solihin. Kedudukan KKP dan Masjid yang strategik ini memberikan banyak impak
positif.
Gambarajah
3: Konsep Masjid Angkat
Pelbagai aktiviti bersama telah
dijalankan. Contohnya, apabila pihak Masjid melaksanakan aktiviti rewang, majlis
dan sambutan tertentu, maka para pelajar dari KKP yang menjadi ahli rewangnya.
Para pelajar berpeluang melaksanakan kerja-kerja dapur serta bekerjasama dengan
penduduk kampung menyelesaikan tugasan. Pengalaman adalah sangat berharga dan merupakan
suatu bentuk pendedahan hidup harmoni dalam masyarakat.
4. MEREALISASI IMPIAN KOLEJ KEDIAMAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN KEDUA
4. MEREALISASI IMPIAN KOLEJ KEDIAMAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN KEDUA
Ke arah menjadikan impian sebagai pusat
pembelajaran kedua suatu realiti, KKP komited dengan merangka pelbagai strategi
dalam melahirkan mahasiswa yang holistik. Pembangunan holisitik yang disasarkan
telah dijelmakan menerusi pelancaran Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik
(PTMH) pada September 2013 dengan menjunjung tinggi iltizam bagi melahirkan
penghuni yang bukan sahaja cerdas mindanya, cergas fizikalnya malah santun
pekertinya.
Secara jelas, terdapat empat (4) elemen yang
ditekankan iaitu aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang turut selari
dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Terdapat pelbagai polisi seperti dalam
Gambarajah 4 yang dicetuskan bagi mengukuhkan PTMH antaranya ialah:
1. 1Penghuni 1Sukan
Polisi ini
disemarakkan dengan konsep rumah sukan Azure, Harlequin, Aureolin dan Scarlet
yang dianggotai oleh seluruh penghuni KKP. Acara sukantara dan merentas desa
merupakan acara wajib yang melibatkan semua penghuni. Menerusi polisi ini,
bukan sahaja semangat kerja berpasukan dan persaingan sihat berjaya dicetuskan,
malah yang lebih utama ialah ke arah pembentukan gaya hidup sihat dalam
kalangan penghuni. Ini juga secara langsung menyokong aspirasi ke arah
pembentukan jasmani yang cergas.
2. 1Penghuni Muslim 1Al Quran
Dalam pada kita
dihimpit dengan kesibukan dunia, usah sesekali kita lupa akan peri pentingnya
adab dan nilai dalam kehidupan. Hubungan baik dengan pencipta misalnya tidak
harus dipandang remeh dan mesti digerakkan sebagai agenda utama. Hal ini
berkait rapat dalam usaha membentuk para penghuni yang mempunyai nilai etika,
moral dan integriti tinggi. Program tadarus Al Quran dengan silabus yang
tersusun dan dilaksanakan secara berkala sekali seminggu bagi melahirkan
penghuni yang beretika dan berakhlak tinggi.
3. 1Penghuni 1Kemahiran
Selain daripada keperluan keputusan akademik yang baik,
kemahiran-kemahiran lain dalam kehidupan juga perlu dilihat sebagai elemen
penting. Jika di peringkat sekolah menengah misalnya, kita didedahkan dengan
mata pelajaran Kemahiran Hidup, begitulah juga menerusi polisi ini. Pelbagai
kursus-kursus kemahiran hidup yang boleh memberikan nilai tambah diri dan
kehidupan dijalankan, seperti kursus masakan, seni batik lukis, menggosok
pakaian, membina reban, membuat tanggam dan lain-lain lagi. Walaupun mungkin
ada yang beranggapan bahawa kemahiran-kemahiran ini tidak lagi diperlukan hari
ini, tetapi nilai-nilai tambah inilah yang akan membezakan antara pelajar dan
graduan yang lemah, sederhana, baik dan cemerlang.
Gambarajah
4: Polisi-polisi dalam PTMH
4. KESIMPULAN
Kertas kerja ini telah menjawab tiga (3)
persoalan utama dalam merealisasikan impian menjadikan kolej kediaman sebagai
pusat pembelajaran kedua, iaitu apakah rasionalnya, bagaimanakah untuk
merealisasikannya dan apakah strategi yang perlu diambil? Walaupun kertas kerja
ini bukanlah bersifat emperikal, adalah menjadi harapan agar kandungannya dapat
menjadi panduan khususnya kepada saf pengurusan kolej kediaman dalam menjadikan
kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua seiring dengan tuntutan arus
perdana.
RUJUKAN
[1] [Atas Talian],
“Diakses 20 April 2014”, http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/articlefile/2013/articlefile_file_003073.pdf
Ucapan
YB Menteri Pengajian Tinggi, Amanat Tahun 2013
[2] [Atas Talian],
“Diakses 18 April 2014”, http://www.moe.gov.my/v/pelan-strategik-pengajian-tinggi-negara
Pelan
Strategik Pengajian Tinggi Negara
[3] [Atas Talian],
“Diakses 8 Mac 2014”, http://www.pemandu.gov.my/gtp/Improving_Students_Outcomes-@-Improving_Students_Outcomes_Overview.aspx
Program
Trasformasi Kerajaan
1 comment:
kat perwira ada senior ke x ? sem2 kena cari rumah sewa sndri ke ?
Post a Comment