My Calendar

Sunday, 9 September 2018

Jangan jadi kacang hantu!

Hidup yang sementara ini, perlu usaha sentiasa didik hati untuk ingat selalu dan tanpa jemu, siapa yang hadir membantu tanpa kenal erti jemu. Membantu ini sifatnya lebih mudah bagi mereka yang tahu arah. Arah bahawa kiblat kehidupan adalah tentang kematian.

Hidup yang sementara ini juga, jika tidak mahu membantu, janganlah jadi KACANG HANTU - sibuk membelit dan memanjat, asalkan dapat apa yang diinginkan! 

Thursday, 6 September 2018

Belajar di Universiti Bukan Susahpun!

Allah izinkan ilham untuk menghasilkan naskhah ini, melihat kepada impak pelaksanaan Minggu Haluan Siswa (MHS) yang secara peribadinya semakin kabur. Amat merugikan dengan kos dan masa yang dilabur, usai MHS apabila ditanya hal ehwal asas sebagai siswa di menara gading, semuanya geleng kepala. Di mana lokasi kuliah, membaca jadual waktu akademik, mencari kertas soalan peperiksaan akhir, dll dirangkumkan dalam Buku Panduan "Universiti Bukan Hanya Untuk Lulus". Semoga usaha kecil ini membawa manfaat kepada para pelajar. Selamat menempuhi alam kampus yang mencabar!

Pautan buku 
http://anyflip.com/lejr/aaxe/





Sunday, 22 July 2018

Saya sudah lulus PhD lah!

Tanda masih lagi ruang catatan ini tetap dekat di hati, sedikit coretan singgah di sini. Cerita lama, lapan (8) tahun dahulu - 23 Julai 2010. Masa pantas berlalu. Pada masa itu, gigih mencari jalan menuju cahaya di hujung terowong. 


Allah izinkan dengan kelulusan pengajian PhD untuk apa buat kita? Untuk bergembira dan tersenyum lebar dengan gelaran DR di awal pangkal mana? Atau berang amarah apabila orang tidak memanggil kita dengan gelaran unggul ini?

Renung dan fikirkan semula, bait-bait doa yang sentiasa dititipkan ketika bekerja keras suatu masa dahulu. Dengan kejayaan ini, perlu dibantu lebih ramai orang yang mahu berjaya! Itulah doa yang tidak pernah putus. Moga diri ini terus diberi bimbinganNya!


Saturday, 7 April 2018

Terlebih Minyak!

Memasak ini tidak mudah, perlu ada seninya. Sesekali memasak, maka kita akan lihat betapa hebatnya mak dan isteri kita memasak untuk kita. Nak memasak kangkung goreng belacan ini pun mujur zaman ICT semua ada di internet. Hasilnya, versi dengan terlebih minyak!




Dalam hidup, jangan kita memandang mudah tugas orang lain selagi kita sendiri tidak pernah melaluinya. Buatlah apa juga tugas dengan niat yang baik dan moga kita dimudahkanNya. 

Friday, 30 March 2018

Sekeping Kad Sepotong Kek...


Walau hanya sekeping kad kecil bersama sepotong kek, setiap staf cuba dihargai pada hari kelahiran mereka. Tanpa mengira pangkat, bahagian dan umur, diharapkan ini dapat membawa kegembiraan.
Apalah sangat, sepotong kek murah dan kad kecil sahaja yang dipastikan mesejnya ditulis tangan. Menerima emel mereka, buat mata berkaca dan hati tersentuh. Mereka begitu menghargainya dan kata-kata semangat mereka inilah yang selalu dibelek-belek menjadi penguat semangat buat diri ini.
Benarlah, walau sekecil mana usaha untuk membawa kebaikan, jangan kita lengahkan. Semoga usaha kecil ini menjadi pendorong untuk mereka bekerja dengan amanah dan dedikasi. Demi sesuap rezeki.

Thursday, 15 March 2018

Ini pun kita rasa kita hebat...

Kita pada suatu masa dahulu. Maka siapalah kita kan? Terlalu banyak pihak yang membantu kita. Belajarlah menjadi manusia yang ingat dari mana kita datang. Yang utama juga, ke mana kita akan pergi.  




Saturday, 3 March 2018

Tahun 2017 - Makmal Kehidupan Mahasiswa


Tahun 2017 adalah tahun kejutan. Beberapa perkara yang tidak dijangka berlaku lagi dan lagi. Banyak sekali pengalaman baharu berkaitan perubahan (dan menangani perubahan) perlu diuruskan khususnya berkaitan kerjaya. Ada orang barangkali melihat kerjaya dan kehidupan adalah dua (2) entiti berbeza, tetapi untuk diri ini barangkali sebaliknya. Kerjaya dan kehidupan itu berjalan seiringan. Selalu difikirkan bagaimana kerjaya boleh memberi manfaat dalam kehidupan dan sebaliknya.

Usai pulang pengajian PhD, 1 Mac 2011 diamanahkan memikul tugas menjadi kepala kolej. Masih segar ingatan pada masa itu, juga tidak mudah menangani perubahan dan jangkaan. Ya, tentang jangkaan juga kerana selepas PhD berkobar-kobar ingin hanya menghabiskan masa menjalankan penyelidikan FPGA, pengimejan perubatan di makmal.

Nyata, Allah itu masa menguasai dan penyelidikan tentang anak-anak mahasiswa yang diberi untuk dipikul di bahu. Maka duduk dan betapalah di "makmal kehidupan mahasiswa" pagi, petang, malam hingga muncul semula pagi. Kunci "makmal mahasiswa" hanya dipulangkan pada 1 Ogos 2018 dan dengan bagasi besar diheret pula mendaki tangga konon sebagai seorang strategis dan penjaga imej! Kekal diingati, tarikh 27 Julai 2017 itulah umpama tarikh keramat, memisahkan banyak perkara!