My Calendar

Friday, 11 September 2009

Manifestasi: Segenggam Tabah

Aku bukan seorang insan sempurna yang lengkap semuanya. Terlalu kerdil diri ini andai dibandingkan dengan apa yang diberikanNya. Akhir-akhir ini, jalan dan laluan yang perlu didaki memberikan peluang dan ruang untuk sama-sama memikirkan beberapa perkara penting:
  • Apa agaknya yang bakal aku tinggalkan jika nyawa di hujung jiwa? Anak yang soleh/solehah? Sedekah? Ilmu yang berpanjangan? Atau apa? Terlalu banyak hak yang tidak tertunai. Maafkan aku atas kelemahan itu.
  • Khutbah Jumaat hari ini sekali lagi memberi tamparan hebat! Aku membaca Al Quran tetapi aku tidak memahaminya! Analogi khatib cukup mudah dan sangat mengesankan. Tuan yang empunya diri ini, berikan aku ketengangan hati dan kekuatan untuk menjalani laluan yang berliku ini.
  • Hidup kita ada pelbagai warna warna yang mencantikkan tema penceritaan. Walau ada tikanya kita rasa seolah-olah tidak mampu untuk menghadapinya, tarik nafas dalam-dalam dan memintalah kepadaNya agar segenggam tabah diberikan.


Moga-moga hari-hari akhir Ramadhan ini akan membuka ruang untuk aku kenali diriku sendiri.

Sunday, 6 September 2009

Guru dan Pensyarah?

Tidak kisahlah, guru mahupun pensyarah. Peranan dan sumbangan dua insan ini sangat signifikan. Aku menulis bukan kerana aku terlibat dalam dunia akademik. Tetapi tulisan kali ini menjurus kepada permasalahan akan kefahaman kita dalam menjalankan tugas dan peranan kita. Dua hari yang lepas, aku kebetulan bertemu dengan rakan-rakan kumpulan penyelidikan lama dan ternyata memeranjatkan, mereka baru sahaja menukar tajuk dan penyelia selepas 18 bulan pengajian! Aku tumpang simpati dengan apa yang telah dan sedang mereka lalui. Apa yang telah dan sedang berlaku itu, tidak perlu untuk diceritakan dengan panjang lebar di sini. Cukuplah, kalau aku katakan bahawa dalam perjalanan hidup kita ini, banyak sungguh ketidakpastian yang hadir. Ini adalah lambang akan betapa lemahnya kita sebagai hamba kepada Nya.
Foto ihsan: SuhailiAhmad
Namun, aku ingin sekali menulis beberapa pandangan berhubung pengalaman yang pernah dilalui sebagai pensyarah. Moga-moga boleh membawa manfaat kepada sesiapa yang memilih bidang ini sebagai laluan kerjaya. (Khas juga untuk bakal pengarah Kolej Komuniti Masjid Tanah :)).

Foto ihsan: SuhailiAhmad
Aku mula bertugas sebagai pensyarah pada 2003, usai pengajian sarjana di UKM dan pada ketika itu umur baru sahaja 24 tahun. Dengan ilmu yang cetek dan pengalaman mengajar yang hampir sifar, kelas pertama pada masa itu 157 pelajar BKE 2273 (Teori Litar Elektrik), BKE 5012 (Kejuruteraan Berbantu Komputer) dan BKE 4043 (Mikroelektronik). Untuk subjek BKE 5012 dan BKE 4043 tidak lah memberikan masalah yang besar dengan bilangan pelajar hanya 8 orang dan subjek itu juga dipelajari di peringkat sarjana. Tetapi, mengajar di DK 2 bagi kumpulan 157 pelajar (mereka juga pelajar mengulang subjek) adalah cabaran yang sangat besar dan bermakna.


Foto ihsan: SuhailiAhmad
Beberapa perkongsian yang boleh diamalkan sebagai seorang pensyarah:
  1. Kenali pelajar anda sebaik mungkin. Sediakan borang maklumat diri pelajar yang lengkap dengan maklumat diri dan keluarga. Ini sangat penting! Dengan mengenali latar belakang pelajar termasuk keluarga kita akan lebih faham siapa diri pelajar kita.
  2. Jelaskan 'ground rules' dalam kuliah kita. Senarai dan terangkan 'The Do's' dan 'The Don't' supaya kedua-dua pihak gembira menjalankan fungsi masing-masing.
  3. Ingat semua nama pelajar anda! Hampir mustahil tetapi boleh dilaksanakan. Pelajar akan rasa dihargai apabila kita berupaya ingat akan nama mereka. Satu teknik untuk memastikan pelajar 'engage' dalam kuliah kita ialah, selang selikan dengan soalan dalam kuliah. Dengan kita kenal dan ingat nama pelajar kita, bila-bila masa kita boleh memanggil nama mereka untuk menjawab soalan. Setidak-tidaknya, pelajar kita juga akan sentiasa bersedia dan fokus dengan kuliah kita.
  4. Jangan menipu! Tak semua benda dalam ruang lingkup keilmuan kita. Andai ada soalan yang tidak dapat dijawab dengan baik, akui dengan jujur dan minta sedikit masa dari pelajar untuk semakan dibuat dan akan dibincangkan dalam kuliah berikutnya.
  5. Tiada soalan bodoh! Jangan bantutkan minat pelajar dengan mengatakan "ini soalan bodoh!". Setiap soalan adalah kunci ilmu. Bukalah ruang seluasnya untuk pelajar bertanya. Dengan itu, ilmu dan keyakinan kita dan juga pelajar juga akan meningkat.
  6. Kualiti kerja! Jika itu yang ingin kita terapkan kepada pelajar, itu juga yang mereka mahu lihat dari kita. Berkualitikah kerja kita andai nota kuliah kita pun tidak pernah dikemas kini? Menepati masakah kita kalau kertas ujian dan laporan tidak kita semak dan berikan komen yang diperlukan?

Cukup dahulu, perkongsian ini. Aku pernah juga menulis, "Mengajarlah bukan kerana kita seorang pensyarah". Apa yang jelas, tugas ini sangat memerlukan ketelitian dan perhatian yang serius. Apa yang bakal kita berikan kepada sang pelajar akan dipersoalkan kelak. Semoga kita semua dapat menjalankan tugas dengan cemerlang!

Nota: Di manakah guru-guru dan rakan-rakan lama dalam gambar-gambar di atas? Aku doakan kalian semua dalam lindungan Allah dan terima kasih atas segala ilmu yang telah dicurahkan.


Wednesday, 2 September 2009

Gembira dan Menggembirakan?

Menggembirakan orang lain adalah perkara yang menarik. Seorang pelawak misalnya, boleh membuatkan jutaan penonton tertawa tanpa kering gusi, tetapi mampukah seorang pelawak mengubat duka dan kecewa di hatinya sendiri?
Sama juga dengan gambar di sekitar London Eye ini. Pelbagai watak yang bisa mencuit hati berdiri dengan pelbagai gelagat dengan 'bertopengkan' wajah kegembiraan. Bagus sungguh mereka! Tetapi di sebalik topeng itu, apa agaknya rasa hati mereka? Itulah kita, insan yang sebenarnya tanpa sebarang nilai. Kita tidak mampu mengawal apapun tanpa kasih sayang dariNya. Moga-moga dalam pelbagai perasaan yang hadir dalam diri kita, kasih sayang Allah tidak akan surut kepada kita, kerana hanya kasih sayang Allah sahaja yang hakiki. Sepenuh kesyukuran atas nikmat-nikmat yang Allah kurniakan. Apa yang pasti, kita berhak mencuba dan terus mencuba tanpa kenal apa itu putus asa! Penat, letih, duka itu adalah asam garam orang berjuang!