My Calendar

Tuesday, 13 April 2010

Modal Insan

[Tersasar]
Tersasar! Itu yang boleh dikatakan. Lain yang ingin dicari, lain pula yang dijumpai. Tetapi sangat menarik untuk dikongsi dan diteliti. Saban hari, graduan IPTA sering dilabel kurang memberangsangkan dalam pasaran kerja [pelbagai alasan diberikan: Bahasa Inggeris, kelemahan kemahiran insaniah, dll].

[Pasaran kerja]
Apa yang menarik untuk diteliti dalam graf berikut adalah persaingan dan pencapaian antara IPTA dalam aspek 'graduate employment'. Ini merupakan salah satu aspek penting yang lazim dijadikan kayu ukur secara umum terhadap kualiti sesebuah insitusi. Yang ditandakan dengan kotak merah adalah UTHM. Bagi tahun 2004 dan 2008 sememangnya penambahbaikan berjaya diunjurkan. Tetapi masih belum berada pada paras purata 26%. Justeru, penambahbaikan berterusan perlu dilakukan supaya kualiti graduan dapat ditingkat dan seterusnya mengangkasan kebolehpasaran graduan UTHM. Persoalannya, bagaimana?


Fakta ini diperolehi melalui ACADEMIA INDUSTRY CONSULTATIVE COUNCIL 1/2009 (boleh dimuat turun melalui http://web.utm.my/k-economy/images/presentation/epu-hrd-slides.pdf)

[Fakta]
Membandingan dengan IPTA lain bukan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Tidak kira sama ada IPTA tersebut setahun jagung atau beratus tahun jagung, hak dan fungsi IPTA jelasnya memerlukan penambahbaikan yang serius!

Menulis lagi [POPBL]

[Book chapter]
Dah lama rasanya tak mengulas berkaitan bidang POPBL. Tanpa disangka-sangka [setelah persidangan ini dijalankan pada tahun 2007] pihak UTM telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan koleksi-koleksi artikel sebagai buku yang berjudul "Innovative Engineering Education for the Next Generation".

[Curi masa]
Terima kasih kepada H yang menjadi tulang belakang dalam penghasilan kertas kerja ini. Nampaknya, dalam kesibukan pengajian PhD ini aku perlu curi-curi masa untuk menyudahkan naskhah ini pula.

"Semoga ada kebaikan yang dapat ditinggalkan,
seandainya hari ini adalah terakhir buat aku."

Saturday, 10 April 2010

Universiti ternama dunia!

[Keyakinan diri]
Dua hari lepas, baru je selesai satu persidangan yang berlangsung di UCL. Dengan yuran penyertaan yang boleh dikategorikan sebagai murah dan lokasinya juga di London, maka peluang sebaik ini tak dilepaskan.

Aku hadir dengan dua kertas kerja, satu hasil kajian peringkat PhD dan satu lagi kertas bersama pelajar PSM sebelum ini. Dalam kes kertas bersama pelajar PSM, aku hanya membantunya untuk dirinya lebih faham dan menjiwai dunia akademik. Moga-moga usaha ini merupakan satu batu loncatan kepadanya utk terus mengorak langkah menjiwai dunia ahli akademik.

Banyak pengalaman yang aku timba dalam dua hari persidangan ini. Yang paling menarik ialah bagaimana aku melihat sikap dan kualiti yang ditunjukkan oleh mereka yang mengikuti pengajian di universiti-universiti terkemuka dunia [misalnya IC, UCL, UoL] yang mana universiti mereka berada pada senarai 5 terbaik dunia! Mereka mempunyai keyakinan diri yang sangat baik!

Aku bukan dalam kategori pelajar cemerlang. Dari sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi semuanya berada pada tahap sederhana. Selepas UPSR misalnya, aku melihat bagaimana rakan-rakan yang berjaya ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan juga SMKA dan kesannya terhadap pembentukan keyakinan diri. Selepas PMR juga sama rentaknya, bagaimana rakan-rakan yang berjaya ke SBP dan MRSM. Selepas SPM pun tidak kurang bezanya, malah lebih jelas jurang keyakinan diri tambahan pula pada masa itu, aku memilih ke ITTHO [barangkali tidak cukup terkenal!].

Kini dalam pengajian PhD, aku lebih faham dan melihat dengan lebih dekat. Kesan dan pengaruh di mana kita belajar terhadap keyakinan diri. Tapi tak mengapa, dalam kitaran proses pembelajaran sebagai pelajar 'kebanyakan' yang aku lalui, aku tetap aku menyusur langkah. Setiap apa yang datang akan aku cuba lakukan dengan baik.


[Kertas kerja PhD]
Dengan izin Allah, dalam UK-MEC 2010 ini kertas kerja aku dipilih untuk 'Best Paper Award' yang mana aku langsung tidak terfikir. Ya lah, nak dibandingkan dengan calon-calon PhD dari universiti termuka dunia yang lain.


[Kelemahan pembentangan]
Tetapi, dalam aspek pembentangan aku masih banyak tercicir. Aku kena kukuhkan penguasaan bahasa Inggeris supaya boleh menyampai dan menerangkan dapatkan kajian dengan lebih fasih dan yakin. Aku akui, aku rasa sangat rendah diri berdiri di hadapan mereka dan menyebabkan aku sedikit gugup. Aku perlu perbaiki.

Tak mengapa, aku sangat percaya, selagi kita ingin belajar dan memperbaiki diri, selagi itu Allah akan tunjukkan ruang dan peluangnya. Moga aku akan senantiasa kuat dan konsisten dalam kayuhan mengejar ilmu ini.

Nota: Ada seorang kawan juga belajar di ENSTA - salah satu universiti tersohor. Moga kawan akan dapat timba seberapa banyak ilmu dan kelak dapat berkongsi apabila pulang.