My Calendar

Friday, 19 August 2011

Hadiah Ramadhan

Sejak mula artikel ini dihantar pada 8 Oktober 2010, kemudian melalui dua (2) kali proses penilaian, kali pertama seorang penilai bersetuju dan seorang lagi tidak gembira dengan hasil yang kami sediakan. Sekali lagi, kami buat penambahbaikan demi menjaga kualiti dan memuaskan hati penilai kedua, syukur akhirnya artikel ini diterima untuk diterbitkan dalam Springer Journal of Real-time Image Processing dengan impak faktor 0.960 (2010).

Saya sifatkan hasil artikel ini sebagai satu motivasi untuk saya agar tidak sama sekali mengabaikan aspek penerbitan (walaupun banyak sekali projek tertunggak yang belum dibereskan) dalam pada sibuk dengan amanah-amanah lain yang turut perlu dikerjakan.

Saya masih menanam azam untuk memastikan artikel terbengkalai saya dalam kategori kertas tinjauan (survey paper) untuk berikan tanda noktah. Terasa benar-benar merugikan apabila bahan yang ada tidak disudahkan sebagai sebuah karya yang boleh memberikan manfaat kepada rakan penyelidik lain. Semoga saya dapat terus mencuri masa untuk menulis dan sekalung terima kasih buat semua yang sentiasa memahami dan menerima saya seadanya.

Friday, 22 July 2011

23 Julai 2011 Vs 23 Julai 2010

23 Julai 2010 merupakan hari saya menjalani peperiksaan lisan PhD. Tulisan ini sengaja saya simpan untuk ditulis pada 23 Julai 2011, walaupun sesi graduasi telah berjalan pada 20 Julai 2011. Pastinya, tiada apa yang mampu saya ucapkan atas nikmatNya yang diberikan. Moga saya akan lebih bersyukur atas segala pemberiannya. Begitu juga nilai perhargaan yang harus saya titipkan kepada semua yang tidak perlu saya catatkan di sini. KepadaNya saya memohon doa agar ke semuanya diberikan kebaikan dan mendapat lindungan di dunia dan akhirat.


Kepada rakan-rakan yang sedang berjuang menyudahkan langkah terakhir dalam pengajian PhD masing-masing, saya mendoakan kalian sentiasa berada dalam kesihatan yang baik dan berupaya mengharungi setiap langkah dengan penuh hikmah. Apabila rasa sedih meruntun jiwa, letih melanda pusatkan segala kekurangan kita kepada yang memilikiNya.



Ingin juga saya catatkan kisah seorang insan yang banyak memberikan bantuan, usai penyelia utama saya berpindah ke universiti lain. Beliau bukanlah penyelia kedua saya pun, namun kebaikan beliau memberikan saya motivasi, keyakinan terhadap hasil kerja saya, malah menyemak sepintas lalu tesis saya sebelum peperiksaan lisan pasti tidak mampu saya lupakan. Inilah antara nilai keikhlasan yang saya pelajari, membantu tanpa minta dibalas! Terima kasih Dr D.


Sunday, 12 June 2011

Tumpang Bangga

Tentu sekali saya teruja dan jadi bersemangat. Malah tak keterlaluan juga kalau saya katakan tumpang bangga atas kejayaan seorang rakan baik saya di arena antarabangsa. Walaupun kami berbeza warna kulit dan agama, tetapi tanpa saya sedari erti dan nilai persahabatan yang terjalin adalah sangat dekat.


Julai 2010, saya masih ingat lagi. Saya bertungkus lumus menyiapkan diri dengan viva, rakan baik saya inilah yang bertindak menjadi "external examiner" bagi tesis dan turut membantu saya mengadakan "mock viva", lantaran pada masa itu penyelia saya sudah berpindah ke universiti lain.

Apabila menerima berita beliau dianugerahkan Awards for the Best Visual Presentations, saya tersenyum dan menjadikan kejayaan ini sebagai satu dorongan untuk saya berkerja lebih kuat. Ini adalah satu contoh yang sangat baik supaya kita tidak hanya menjadi jaguh kampung! Kita mesti bermain dan menempa nama dalam litar antarabangsa! Tahniah Ng Thian Hong!