My Calendar

Wednesday, 30 September 2009

Aku Membaca, Tetapi...

Kerdilnya diri ini. Kita membaca, tetapi tidak pula kita fahami. Hebatnya kuasa kerana semuanya tercatat dalam kitabNya. Kalau kita rasanya PhD kita ini sangat unggul dan susah sampaikan kita merasakan orang lain tiada nilai di mata kita, renungkan betapa indahnya kalam Allah dalam Surah ke 51, Az Zariyat, ayat 1 - 6.
  1. Demi angin yang menerbangkan debu
  2. Dan awan yang mengandungi hujan
  3. Dan kapal-kapal yang berlayar dengan mudah
  4. Dan malaikat-malaikat yang membagi-bagi urusan
  5. Sungguh apa yang dijanjikan kepadamu pasti benar
  6. Dan sungguh hari pembalasan pasti terjadi
Jelas bukan? Telah tercatat segala kandungan dan pelbagai ilmu dan kajian untuk kita terokai. Mari kita sama-sama mencuba ambil sepotong demi sepotong dan cuba memahami dan mengamalkannya. Insya Allah.

Tuesday, 29 September 2009

Akhir September 2009

September 2009 berakhir. Ada catatan yang signifikan, di mana dan bagaimanakah keadaan diri pada September 2010? Nyata, satu perkara yang sangat takut untuk difikirkan. September kali ini ada banyak juga lipatan sekolah kehidupan yang menuntut pengertian, kesabaran dan kematangan berfikir.
Catatan ringkas untuk diambil iktibar:
  1. Umur bukan ukuran kematangan. Tahap pendidikan juga bukan ukuran kematangan. Ada yang "besar" angka umurnya, tinggi tahap akademiknya, tetapi lagaknya seperti 'seorang ahli sihir'! Berdoa kepadaNya agar diri ini sentiasa dalam lorongan Allah dan kasih sayangnya!
  2. Banyak bercakap tanpa berfikir, seringkali mengundang bunga sengketa dan lebih buruk lagi melambangkan betapa rendahnya tahap keilmuan dan nilai kemanusiaan. Benarlah, lebihkan berfikir sebelum berbicara itu penting!
  3. Jangan suka menangguh! Semakin banyak yang dilakukan dengan perlahan, makin kurang dinamiknya! Jangan mudah merasa selesa! Jalan masih panjang di hadapan!
  4. Kita tiada kuasa untuk meminta semua orang suka pada kita! Asasnya mudah, hormati orang lain seperti mana kita ingin dihormati. Pedulikan apa label yang diletak kepada kita, yang penting kita mesti ada pendirian!
  5. Bila kita akan mati? Apa yang bakal kita tinggalkan? Renungkan...
Mungkinkah akan ke sana lagi kelak?

Monday, 21 September 2009

Belajar di luar negara?

Salah satu sebab utama memilih Brunel untuk pengajian dahulu ialah, kerana kurangnya Malaysian! Mungkin ada yang berbulu dengan alasan tersebut, tetapi itulah hakikatnya. Pada masa aku sampai (November 2007), boleh dibilang dengan jari rakyat Malaysia di sini. Sejujurnya, bilangan yang tidak ramai merapatkan kami. Terkini, bilangan rakyat Malaysia di sini semakin bertambah dan moga-moga bertambahnya ahli-ahli di sini, tidak membawa kepada perpecahan dan mengundang keburukan!
Sekadar beberapa nota pesanan, berdasarkan pandangan dan pengalaman peribadi kepada yang baru memulakan rentak di rantau orang. khususnya di Brunel:
  1. Rapatkan diri dengan komuniti Islam di sini melalui jalan yang paling mudah dan penuh manfaat, solat jemaah di Prayer Room. Kenapa? Kita akan menjalin ukhwah merentas sempadan negara, warna kulit dan merentas kursus pengajian. Ini sangat bagus untuk menjalinkan silaturrahim dengan saudara sesama Islam. Di sini kita akan mula belajar berkaitan perbezaan mazhab yang kita kurang terdedah di Malaysia.
  2. Kurangkan keadaan yang lama bersama-sama rakan-rakan yang 'menggunakan bahasa ibunda yang sama'. Mungkin ada yang tidak bersetuju dan menganggap nota ini menggalakkan kita menjadi kera sumbang! Jangan salah faham, sebaliknya lihat dari perspektif yang lebih putih warnanya! Dengan meluaskan pergaulan dengan mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, kita akan dapat meningkatkan kemahiran mendengar, sebutan, keyakinan diri dan banyak lagi! Bukankah itu antara sebab kenapa kita ke sini? Memperbaiki kemahiran berbahasa Inggeris?
  3. Sertailah kelas-kelas bahasa Inggeris yang sememangnya percuma! Menarik kerana yang menjadi guru kita adalah native speaker dan dengan cara ini kita dapat memperbaiki tatabahasa, penulisan akademik, kemahiran komunikasi, meluaskan pergaulan dengan bangsa lain!
  4. Berjalan dan makan angin itu boleh bagi merehatkan minda! Tetapi awas dan jangan sampai kita jadi lupa diri apa akan tujuan asal kita ke sini. Letakkan keutamaan dengan jelas apa yang kita inginkan, dan boleh dijadikan peluang makan angin sebagai 'hadiah peribadi' selepas kita berjaya mencapai kejayaan dalam tugasan pengajian misalnya.
  5. Memberi barang-barang berjenama juga wajar berpada-pada! Jangan sampai makan diri dan kita akan kering kewangan! Bimbang kalau-kalau ada kes-kes kecemasan di sini mahupun di tanah air yang menuntut keperluan kewangan yang tinggi.
  6. Buktikan kita sebagai orang Islam Malaysia mempunyai sifat-sifat yang positif, insan yang berbudi bahasa tinggi, komited dalam pengajian, pandai bergaul dan ini akan memberikan gambaran yang sangat baik dan akan memudahkan kita berdamping dengan sesiapa sahaja

Nota ini lebih kepada seraut pesan untuk diri penulis sendiri. Masa yang berbaki mesti dipenuhi dengan perkara yang membawa manfaat.

"Tidak segankah kepada diri sendiri, andai apabila pulang nanti, aku tak mampu berbahasa Inggeris dengan baik dan yakin?"