My Calendar

Wednesday, 30 July 2008

Syukur kepadaNya dan Terlalu Kerdil Diri Ini

Semakin jauh kaki ini melangkah, benarlah terasa semakin kerdil diri ini. Moga Allah senantiasa menghadirkan rasa keinsafan dalam diri ini tanpa batasan. Maaf, buat kalian yang sudi meluangkan masa membaca blog yang tidak seberapa ini.
Mutakhir ini, agak kalut dengan kesibukan pengajian dan pembentangan kertas kerja di Crete Island (Insya Allah akan dikongsi kelak pengalaman tersebut) dan hari ini (30 Julai 2008 - Rabu) telah berlaku satu acara yang semakin membuatkan diri ini terasa lemah dan risau memikirkan hari-hari mendatang.
Hari ini, Progression Panel untuk Transfer Viva Tahun Pertama berjalan jam 10 pagi tadi (UK Time). Sememangnya, sejak mendapat emel dari penyelia (sejurus balik dari Greece) hati ini tak keruan. Masakan tidak, ianya sangat penting dan menentukan adakah diri ini layak maju ke Tahun 2 sebagai calon PhD atau "downgrade" kepada pelajar MPhil sahaja.
Masuk sahaja ke bilik viva, dua soalan pertama dari pemeriksa "I guess you are second year student?" dan "Your report is too long". Hati ini makin berdebar. Apabila diizinkan memulakan pembentangan (4 daripada 35 slaid - seperti di bawah) sememangnya rasa "nervous" kali ini sangat menggila.




Selesai pembentangan, terus dimulakan dengan soalan asas; "What will be the platform for your design" - boleh dijawab dengan baik (penilaian: soalan bertujuan untuk memastikan adakah saya telah membuat analisa berkaitan FPGA) dan terus kepada satu soalan yang tidak terduga "What will you demonstrate to the panel during your real PhD viva?" - aduh! terlalu awal rasanya untuk terduga soalan ini (penilaian: soalan yang sangat baik kerana sememangnya kita sudah rancang dan boleh bayangkan apa yang bakal kita tunjukkan "intellectual contribution and challenges" kepada pemeriksa kelak" - dijawab dengan tidak berapa kemas (apa ni AFANDI! baiki kelemahan ini)).
Itu adalah antara beberapa persoalan yang penting untuk direkodkan, selebihnya lebih kepada soalan-soalan asas dan beberapa "pujian" yang tidak perlu diambil kisah (untuk mengelakkan diri ini mudah rasa berpuas hati dan selesa).
Apa yang pasti, berikut adalah sewajarnya tindakan drastik untuk memperbaiki diri:
1. Baiki kemahiran berkomunikasi dan pastikan pembentangan berjalan dengan fasih - umpamanya diri ini adalah penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama - dan ini penting dalam mempertahankan hasil kajian kelak
2. Kemaskan kemahiran pembentangan - tahu untuk memilih slaid mana yang ingin diberikan penekanan supaya pemeriksa jelas akan "contribution" yang dibuat
3. Jangan terlalu takut - hingga menyebabkan pemeriksan jelas nampak wajah takut (itu yang dibisikkan oleh penyelia sejurus keluar dari bilik viva)
4. Teruskan pembacaan dan penulisan - perbaiki LR yang telah dibuat dan pastikan terus menulis supaya kemahiran penulisan semakin baik dan kelak memudahkan dalam proses penulisan tesis
Apapun, kini walaupun telah berjaya ke Tahun 2 PhD bukan bermakna diri ini telah berjaya! Jangan duduk leka kerana perjalanan masih jauh dan memerlukan banyak lagi pengorbanan.
Terima kasih kepada semua terutama mak dan bak yang sanggup mendoakan, solat hajat, puasa demi anak mu ini. Tidak lupa kepada keluarga dan tunang yang banyak memberikan sokongan serta pastinya yang lain dan tidak perlu dititipkan namanya di ruangan ini - kerana diri ini percaya kalianlah (guru, sahabat-sahabat, anak murid dan semuanya) yang senantiasa ada di sisi ketika diri ini memerlukan sokongan.
Satu peringatan untuk insan bernama AFANDI AHMAD - semakin langkah ini ke depan, semakin kerdil diri ini. Hak semuanya adalah MILIKNYA. Maka, merendah diri lah bahawa diri kita adalah TERLALU LEMAH !

Friday, 11 July 2008

Mengajarlah bukan kerana kita seorang pensyarah...

Kini, semakin ramai rakan pelajar yang satu ketika dulu bergelar anak muridku menginjak status: pelajar - pensyarah, pelajar - jurutera. Pastinya mereka semua selayaknya menzahirkan rasa gembira setelah berhempas pulas menghadapi cabaran dunia pelajar. Zuhaimi, Huda dan Aziyana kini menggalas tugas di POLISAS, Sarah di KK Cendering (antara nama yang dapat dikesan) pastinya mereka gembira dan diharapkan dapat membuktikan bahawa graduan UTHM ini sememangnya serba boleh dan penuh dengan nilai integriti. Pastinya ada yang sudah boleh merencana ke mana agihan gaji pertama kalian. Apapun, seraut pesan dititipkan agar tidak sama sekali lupa kepada ibu, ayah dan keluarga kalian semua yang banyak berdiri di belakang ketika jatuh.
Dataran ilmu ini pastinya bakal kita rindui - menyimpan seribu satu macam kenangan suka dan duka. Daripada sebuah kampus kerdil yang tidak dikenali, pastinya dibahu kitalah terletaknya tugasan untuk memperkenalkan bahawa Universiti ini mampu melahirkan insan yang berhati mulia, bekerja sebagai ibadah dan senantiasa melakukan yang terbaik dalam segenap perkara. Ingatlah, tiada ruginya kita memberikan kualiti yang terbaik kerana kita juga inginkan yang sedemikian, dan pastinya Allah suka akan hambaNya yang apabila melakukan sesuatu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Ini pula sebahagian kenangan bersama pelajar-pelajar AE04 yang ketika itu "dibebankan" dengan konsep PBL dalam subjek Elektronik Digit. Kini, mereka juga telah tamat dan bakal bergelar jurutera muda. Sekalung tahniah untuk kalian atas usaha dan akhirnya sampai ke garisan penamat untuk peringkat ini. Apapun dan siapapun kita - usah ada terbit rasa bangga dan hebat dalam diri. Kita hanya lah insan yang sebenarnya terlalu kerdil dan tidak punya apa-apa.

Kini, semester baru bermula - pastinya keputusan semester lepas bagi yang masih belajar ada turun naiknya. Kalau yang turun: lakukan bedah siasat di mana silapnya dan apa tindakan yang perlu dilakukan. Kalau yang naik: sesuatu juga perlu dilakukan, kerna "dont stop at the top".

Seorang rakan pensyarah baru ada bertanya bagaimana untuk mengajar dengan baik? Sebagai individu yang agak baru juga dalam arena ini, pesan saya kepada beliau: "Mengajarlah dengan hati, dan sentuhlah hati pelajar kita. Jangan sekali-kali merasakan kita pensyarah kita sentiasa betul dan ambik beratlah kepada mereka seperti mana kita juga inginkan. Tanyalah mereka, cukup duitkan untuk makan, ada masalah ke dll...tiada ruginya". Yang pasti: jadikannya sebagai satu ibadah dan saham kita menuju kehidupan yang kekal abadi, Insya Allah. Peringatan kepada insan bernama AFANDI AHMAD.

Thursday, 10 July 2008

Hanya Kesyukuran Dilafazkan...ResCon 2008

ResCon 2008 merupakan persidangan dalaman anjuran School of Engineering and Design yang berlangsung pada 25 - 26 Jun 2008. Peluang diambil untuk sama-sama turut serta walaupun dalam bahagian "poster presentation", sekalipun tidak diminta oleh penyelia. Pesan Prof. Dr . Uda sentiasa disemat : "Works beyond your bos expectation". Walaupun pada asasnya, bukan tujuan untuk memenangi sebarang anugerah/hadiah dalam ResCon ini - namun ini adalah satu bonus. Yang pasti pandangan dan kritikan serta soalan dari Prof. Peter dan Dr. Abbes Amira banyak membuka mata akan kelemahan persoalan dan skop penyelidikan ini.

Walau apapun, hanya kesyukuran mampu dilafazkan atas kejayaan memperoleh "Best Poster Award" dan pastinya sekalung penghargaan buat semua insan yang senantiasa mendoakan kesejahtaraan dan kejayaan diri ini. Tak perlu disenaraikan, pastinya yang membaca tulisan ini dapat merasai betapa tak terbalasnya akan sokongan dan doa kalian. Tidak lupa pastinya, buat sahabat yang banyak memberikan kritikan dan pandangan terhadap poster dari idea pertama hingga apa yang terhasil untuk dipamerkan. Benarlah, bukan mudah mencari rakan/sahabat yang positif yang ingin sama-sama berjaya.

Berikut adalah beberapa pengajaran yang diperolehi dalam perkara ini:
(1) Buat baik jangan nanti disuruh - tambahan lagi sebagai pelajar (tak kira la PhD ke, Master ke atau Sarjana Muda). "Work Beyond Your Bos Expectation"
(2) Semua benda walaupun mungkin pada pandangan invididu lain hanyalah perkara yang kecil (poster) tetapi kalau dibuat sebaiknya memberikan kesan yang signifikan. "Small but worth the significant".
(3) Dalam kesedihan, kritikan dan ujian yang mendatang - pastinya doa jangan dilupakan. Kerana yang mudah, yang sukar semuanya dari Allah. Maka kepadaNya juga kita pulangkan segalanya. Kita ni terlalu lemah, hanya melihat dari kaca mata kita manusia yang sangat kerdil dan tak punya apa-apa.

Peringatan kepada insan bernama AFANDI AHMAD.

Bersama poster bertajuk "VLSI Architecture for Wavelet-Based Video Codec"


Menerima sijil dan cek 100 GBP atas kejayaan "Best Poster Award"
dari Prof. Tassou (Head of School)



Bersama para pemenang untuk Best Poster Award dan Best Paper Presention dengan Prof. Tassou (Head of School) dan Prof. Wrobel (Deputy Head).


Bersama penyelia yang ternyata gembira yang hadir sama dalam majlis penyampaian hadiah.

Friday, 4 July 2008

Challenges, Obstacle ...

Sekadar peringatan buat insan bergelar AFANDI AHMAD