Hampir dua minggu blog ini tidak dikemas kini. Dalam tempoh itu juga, banyak masa dihabiskan di bilik sahaja dan "melayan" suhu badan yang tak menentu, tekak yang "berduri" dan macam-macam lagi karenah sistem biologi badan ini. Berjumpa dengan GP dua kali - dan masih dikatakan ini adalah masalah virus dan biarlah sistem imunisasi badan yang akan melawannya, ada tikanya membuatkan diri ini kurang sabar. Apatah lagi, apabila tiba malam hari dan mata sukar dilelapkan, dada terasa dihimpit-himpit dan batuk berterusan tanpa noktahnya. Benarnya, apabila kita diuji dengan kesakitan, kita baru menyedari akan enaknya erti NIKMAT KESIHATAN.
Sepanjang tempoh itu juga, kerja-kerja akademik agak kelam kabut - hanya yang mana mampu dilakukan cuba juga dilakukan sebaiknya dan dikumpul juga kekuatan untuk merungkai kekusutan bertemu dengan individu yang lebih pakar untuk mendapatkan nasihat, dan moralnya: "BERTANYALAH, DAN BERUSAHALAH SERTA JANGAN KENAL ERTI PUTUS ASA".
Dalam tempoh ini juga, banyak sekali pengajaran tentang erti KASIH KELUARGA, erti SAHABAT, erti KEMASYARAKATAN yang dipelajari. Apa yang mampu dilakukan dari jarak beribu kilometer dari keluarga hanyalah secebis doa agar semuanya berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Keluargaku...Pastinya ujian yang saban hari datang tandanya Allah sayangkan kita semua dan membuka titik pertemuan untuk kita lebih mendekatkan diri kepadaNya. Mana yang silap, wajar kita perbetulkan dan janganlah merasa malu untuk berubah kepada perkara yang baik.
Menghirup udara Brunel bukan semudah dan seindah yang disangkakan. Inilah kamus kehidupan, bermacam ragam dan sifat manusia yang dihidangkan, moga-moga diri ini akan senantiasa memetik hikmah atas setiap yang berlaku dan sehalus-halusnya menilai mana yang wajar dijadikan panduan dan mana yang harus dijadikan sempadan.
Pengajian pastinya semakin mencabar - tanpa senior, tanpa rakan-rakan sealiran penyelidikan dalam bidang yang hampir serupa di sini, banyak mengajar erti "DAYA TAHAN", "BERFIKIR UNTUK TAHU - DAN BUKAN TERPAKSA TAHU" dan pastinya doa kepada yang memegang segalaNya dipanjatkan. Supaya kekuatan dan ketabahan diri ini senantiasa tumbuh mekar.
Akhir kalam, secebis ingatan untuk diri ini agar senantiasa kuat, tabah dan memetik hikmah atas segala yang berlaku. Ingatkan, apabila diturunkan hujan pada tika hari yang panas, rupanya ada selingkar pelangi yang indah menanti. Namun, kaca mata kemanusiaan kita terlalu kerdil untuk memikirkannya. Moga diri ini, AFANDI AHMAD menjadi insan yang lebih berfikir.
No comments:
Post a Comment