My Calendar

Sunday 7 March 2010

Berbeza Kebolehan

Sebagai ahli akademik, kita harus yakin dan percaya bahawa setiap pelajar mempunyai kebolehan yang berbeza. Sama ada suka atau tidak, kita sama sekali tidak boleh menyamatarakan kebolehan kita [jika kita dahulu sememangnya dalam kelompok pelajar cemerlang] dengan apa yang sedang dilalui oleh pelajar kita.

Benar, bukan tulisan ini berniat untuk mewujudkan budaya memanjakan pelajar yang akan membawa kepada kemusnahan kecemerlangan pelajar, tetapi ia seharusnya dilihat dalam aspek bagaimana kita sebagai ahli akademik berupaya,

A. Mengangkasakan pelajar yang sedia cemerlang
B. Menyemarakkan kebolehan pelajar yang sederhana
C. Mengasah bakat pelajar yang tercicir

Ini bukan satu tugas mudah! Apabila kita bersedia menyarung jersi sebagai ahli akademik, suka atau tidak ini adalah tugas dan tanggungjawab yang perlu kita tunaikan dengan penuh integriti. Janganlah, setelah tertera DR pada pangkal nama kita, layak digelar SARJANA atas kelulusan kita, kita menganggap pelajar-pelajar kita hanya tahu 'merengek'.

Apabila pelajar kita dalam kepayahan, lihat dengan mata hati kita bagaimana ketika kita belajar dahulu. Jika dahulu kita dapat lalui semuanya dengan mudah, kita perlu juga sedar dan ingat bahawa:

'kejayaan kita bukan atas hanya usaha kita'

Tidak rugi rasanya untuk kita memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam membantu pelajar kita. Tentu sekali, kita akan rasa sangat gembira apabila dapat melihat mereka yang pernah berguru dengan kita berjalan meniti hari dewasa dengan penuh nilai dan integriti. Jika sekalipun kita tidak diingati di dunia yang serba sementara ini, pastinya ada balasan yang dijanjikanNya. Mudahnya,

'memberilah kerana kita tidak akan rugi apa-apa'

No comments: