Percaya pada kebolehan dan bakat yang ada seringkali menjadi satu masalah bagi sebilangan besar mereka yang bersifat "introvert". Ada tiga pengajaran yang dipelajari dalam minggu ini. Kisah makan malam di Queen's University, diskusi bersama tuan penyelia dan bertemu rakan baru di UUJ.
Entah atas justifikasi apa yang digunakan oleh pihak penganjur, saya diletakkan semeja dengan profesor-profesor dari Queen's dan UM, serta pelajar perubatan dari Queen's. Satu tugas yang nyata berat untuk membuka bunga perbualan. Banyak yang saya timba antara persoalan adab dan bagaimana membawa diri di meja makan. Nyata, telahan awal saya bahawa sesi makan malam itu akan menjadi satu sesi yang "mengerikan" adalah meleset. Bukan sahaja perut penuh berisi, tetapi minda juga diisi dengan pelbagai persoalan apabila duduk dengan orang berilmu. [KATA KUNCI: MEMBAWA DIRI]
Dalam satu kisah lain, saya memang bukan seorang yang aktif. Mungkin juga jatuh dalam kelas pelajar pasif. Sekali lagi, tuan penyelia saya memberikan dorongan supaya lebih yakin dengan diri sendiri dan jangan sesekali "undervalue" diri dan kebolehan. Saya rasakan sedikit kelainan dalam aspek keyakinan diri saya pada masa ini, terutamanya di UMIES. Saya seperti hilang perasaan "malu" dan sesiapa saja saya akan tegur. Saya harap ini satu perubahan yang baik dan membina keyakinan diri saya lagi dan lagi!. [KATA KUNCI: "UNDERVALUE"]
Saya diberi peluang bertemu dengan seorang rakan yang baik budi di UUJ. Umurnya baru sahaj 25 tahun, namun kematangan dan keberaniannya membuatkan saya malu pada diri sendiri. Beliau dalam kerja-kerja akhir menyudahkan pengajian kedoktorannya, saya doakan agar dapat dilalui dengan mudah. Dan lagi, beliau adalah khatib Jumaat yang lalu! Itu yang membuatkan hati saya benar-benar terusik! Nyata, usia bukan ukuran kematangan, saya perlu belajar banyak perkara dari rakan ini!. [KATA KUNCI: USIA DAN KEMATANGAN]