My Calendar

Sunday 15 August 2010

UKM

Saya berkesempatan bersembang menerusi FB dengan rakan lama. Saya kenali beliau seusia tingkatan empat dan seterusnya kami sama-sama menyempurnakan pengajian sarjana muda di Parit Raja. Kini masing-masing mencorak kehidupan masing-masing.

Tetapi ada persoalan perbincangan yang agak memberikan kesan kepada saya. Bagaimana beliau katakan, UKM (kini beliau sedang mengikuti pengajian sarjana separuh masa di UKM) telah membuka fikirannya terhadap nilai keilmuan melalui para pensyarahnya.

Ternyata saya sangat-sangat bersetuju. Walaupun hanya setahun sahaja (November 2002 - 2003) saya di bumi Bangi, banyak yang saya belajar sebagai ahli akademik di sini. Saya kenali beberapa nama besar dalam dunia akademik (terutamanya bidang saya) yang bukan sahaja mantap ilmu akademiknya tetapi yang lebih meruntun hati manusia saya ialah sifat rendah diri mereka. Bagi saya, ini adalah harga yang tidak dapat dibeli. Peluang saya berguru antaranya dengan Prof. Masuri, Prof. Sahbudin, Prof. Ibrahim, Prof. Ahmad Kamal, Dr. Badariah dan Prof. Che Husna banyak mengingatkan saya bahawa "Memberilah dengan hati yang ikhlas".

Saya kerap kali bertemu dengan ahli akademik yang bersifat agak mendukacitakan. Saya bertemu dalam dua situasi, mereka sebagai pensyarah saya dan ada juga yang saya temui sebagai rakan sekerja. Nyata, saya sentiasa berdoa kepadaNya agar apa yang saya lihat dan alami itu tidak berlaku pada diri saya.

Bukan niat saya untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak, tetapi biarlah ini menjadi iktibar kepada kita semua. Bagi saya, peranan sebagai ahli akademik ini memberikan terlalu banyak kesan langsung kepada pembangunan sesebuah negara. Andai, yang mengajar bidang kejuruteraan itu tidak menitik beratkan masa, akan lahirlah jurutera yang "tidak mempunyai jam tangan".


Saya juga sering kali terpukul, apabila ada sesetengah pihak yang suka merendah-rendahkan pelajar. Bagi saya, sebagai ahli akademik kita tidak sama sekali harus bersifat demikian. Mengkritik dan memberikan buah pandangan itu tiada salahnya. Tetapi akan menjadi satu kesalahan jika kita hanya tahu mengkritik tanpa cadangan dan usaha untuk memperbaikinya!

Spesis ini banyak sekali saya jumpa. Mereka rasakan, dengan bersifat begini mereka adalah insan hebat yang patut di sanjung! Nyata mereka silap. Ingatlah, kalau hari ini kita seorang yang kita rasakan "sangat bagus", siapakah yang ada di samping kita ketika kita tercari-cari kunci jawapan, kunci semangat dan kunci arah perjalanan? Malah, kalau kita benar-benar memahami peranan dan tugas kita, yang lebih berat ialah bagaimana untuk kita membantu mereka yang lemah untuk menjadi lebih maju?


4 comments:

Abu Uwais said...

assalamualaikum

saya bersetuju dengan pendapat tuan. Terdapat dua jenis manusia iaitu yang PERTAMA yang suka merendah2kan orang lain (termasuklah dalam situasi tuan ini, seorang pensyarah yang merendahkan pelajar yang sudah tentu cetek ilmunya berbanding pensyarah). Dan yang KEDUA adalah orang yang menghormati orang lain.

Perkara mcm ni tak terbatas kepada pensyarah shj, namun amat malang bagi pesyarah (seorang pendidik yang berkelulusan akademik yang tinggi) jika mempunyai sifat suka merendahkan orang lain.

Ilmu itu tidak tertakluk kepada umur seseorang. Seseorang yang lebih tua tidak semestinya lebih ilmunya berbanding seorang yang lebih muda darinya. Namun, yang tua perlu sayang kepada yang muda dan yang muda perlu hormatkan yang lebih tua darinya.

Musa Abu Samah said...

mcm mana kita bleh tulis pasal benda yg sama di blog masing² nie... mmg terkesan sgtlah maknanya UKM di hati kita

M. H. Jabbar said...

saya fikir kesan keperibadian yang tinggi memang mengkagumkan semua manusia.

jadi bila seorang professor mempunyai sikap rendah diri, menghormati seorang pelajar yg merasakan dirinya begitu lemah, ia dapat menjadi sumber motivasi yg hebat buat pelajar tersebut.

sama juga keadaannya pada keperibadian seorang pemimpin. seorang pemimpin yg hebat, seperti nabi kita, dapat mencorakkan manusia disekelilingnya menjadi lebih baik hanya dengan perangai yg rendah diri disamping berilmu, terutamanya kepada rakyat yang miskin.

nice entry bro.

liyana said...

salam DR. Afandi Ahmad...

akhir nya, sy jumpa blog pensyarah sy ini.. gembire ^_^

Terima kasih diatas perkongsian entry yg bermakna ini sbb sy sedar, sy perlu bersyukur mempunyai tenaga pengajar yang hebat & gigih mendidik sy selama ini.