My Calendar

Sunday, 12 February 2012

Dalam kepayahan ada kemanisan

Saya dapat rasanya, masa untuk saya membaca semakin kurang. Membaca adalah anak kunci percambahan ilmu dan membuka minda. Terima kasih kepada penyelia saya yang masih tidak henti-henti mewujudkan peluang untuk saya maju ke hadapan. Saya sangat terhutang kepada budi baik pekerti penyelia saya.


Dengan peranan sebagai "international committee" saya diamanahkan menilai kertas-kertas penyelidikan dan secara langsung mempromosikan UTHM di persada dunia. Semoga saya akan terus rajin membaca dan memperbaiki diri dalam segenap segi. Banyak juga kertas penyelidikan yang tidak sempat saya tulis. Saya perlu susun strategi sebaiknya.

Musuh Dalam Selimut

Saya seringkali terlepas pandang perkara ini "musuh dalam selimut" atau "gunting dalam lipatan". Saya perlu lebih berhati-hati dan mencerakinkan persekitaran saya dengan lebih kemas dan teratur. Kemudian, saya susun umpama "menarik rambut dalam tepung". Saya berdoa kepadaNya agar sentiasa memberikan saya keampunan dan bimbingan dan ujian yang berlaku ini.

Sunday, 5 February 2012

A M A N A H

Memikul amanah dan kepercayaan bukan kerja mudah. Sejujurnya saya sangat bimbang akan kepercayaan yang diletakkan di bahu saya buat masa ini. Walaupun pelbagai tafsiran boleh dilemparkan ekoran keputusan yang saya ambil, namun kepadaNya jua saya memohon keampunan dan bimbingan.

Izinkan saya memberikan selagi yang terdaya saya kerjakan demi kebaikan semua. Berbicara soal kebaikan dan kesukaan, ada tikanya perkara ini bersifat subjektif. Saya perlu banyak lagi belajar dan memerhati, benar kali ini bukan isu FPGA, medical imaging atau perkara-perkara bersangkutan dengan bidang kajian dan penyelidikan. Tetapi, soal MANUSIA yang punya pelbagai akal dan budi.


Saya gembira dapat menunaikan sedikit amanah memberikan maklumat tepat berkaitan Fakulti tempat saya mencari sesuap rezeki. Semoga seisi dewan yang mendengar dapat maklumat yang tepat dan akan lebih ramai pelajar memilih tempat saya bekerja sebagai pilihan pertama pengajian mereka.

Apapun, pastinya dalam saya mendaki tangga hari demi hari pasti ada silapnya di sana dan sini. Teguran jua yang saya pohon daripada seisi rakan untuk memperbetul mana yang khilaf. Terima kasih semuanya.

Friday, 3 February 2012

Pengalaman Pakar

Seawal 2007 ketika mula menjejakkan kaki ke bumi asing - saya cuba merekodkan setiap butiran penting perjalanan untuk menggapai sebuah cita-cita. Pelbagai suka duka sepanjang perjalanan yang ada jatuh bangunnya itu dicatatkan. Tanpa saya sedar, catatan ini mempunyai khalayak pembaca tersendiri. Terima kasih saya ucapkan. Moga-moga melalui nukilan yang tidak seberapa ini dapat membawa manfaat kepada kalian semua.


Tempohari saya diundang berkongsi pengalaman perjalanan pengajian - tajuknya sangat menggerunkan, saya kira tidak layak untuk saya tampil "Pengalaman Pakar". Pakar apakah saya ini? Sekadar berceloteh berkongsi rasa bolehlah, tetapi untuk digelar pakar terasa meremang bulu roma.

Saya cuba kumpulkan kekuatan dan bahan yang ada - dan nyata nukilan melalui blog ini banyak menyumbang rencah rasa persembahan. Syukur, khalayak pendengar dirasakan begitu dekat dan daripada wajah-wajah mereka jelas terpancar keinginan mereka untuk berjaya dalam lapangan masing-masing.

Pastinya, saya mendoakan kejayaan kalian semua - agar dimudahkan segala urusan. Ingatlah, bahawa kita berjaya bukan kerana kita hebat atau juga bijak, sebaliknya tidak terhitung kita doa dan harapan yang dititipkan oleh insan-insan sekeliling kita. Apabila berjaya kelak, usah di lupa rumput di bumi. Selamat maju jaya buat semua!

Istiqamah

Laman ini pastinya mengalirkan air mata kesedihannya. Langsung tiada kemas kini sejak kebelakangan ini, adakah satu gambaran bahawa usaha sejak 2007 ini akan berkubur? Inilah antara perkara sukar dalam melaksanakan sesuatu perkara - melaksanakan dengan I.S.T.I.Q.A.M.A.H

Baru-baru ini, satu idea baru dicetuskan - cadangan mewujudkan Taman Rama-rama Mini di kawasan saya bertugas. Ada yang menganggap idea-idea ini tidak masuk akal dan pastinya akan berkubur! Tak mengapa, saya sudah biasa melaksanakan sesuatu sebagai 'calon tidak popular' dan sering dipandang remeh! Biarlah, hasil kerja yang membuktikannya!



Kredit foto ini untuk seorang rakan penyelidik - kami sama-sama dengan beberapa individu lain yang tiada latar belakang biologi cuba menerjah satu cabang ilmu. Nyata, berdamping dengan unsur-unsur alam ini begitu mendamaikan dan membuka minda kita dengan lebih pantas, akan kebesaranNya.

Rumusannya, sesekali elok juga keluar daripada kepompong kebiasaan. Buat sesuatu yang kita sukai supaya kita lebih menikmati hari-hari mendatang sengan senyuman yang menguntum indah!