My Calendar

Wednesday, 4 December 2013

Bagaimana Menulis Kertas Cadangan, Seminar atau Laporan Projek/Makmal?


Menulis tidak semudah yang disangka, tambahan lagi apabila kita diperlukan untuk menulis dalam bukan bahasa ibunda kita serta menterjemah pemahaman teknikal sesuatu perkara. 

Dikongsikan beberapa panduan mudah untuk lebih difahami apa yang patut diketengahkan dalam sesebuah kertas seminar atau laporan projek bagi memastikan kita bukan hanya menyediakan laporan sebaliknya menyediakan naskhah yang berkualiti tinggi. 


Bahagian [Pengenalan]
Pengenalan adalah komponen penting selepas abstrak, iaitu memberikan gambaran umum kajian yang dilaporkan
  1. Pengenalan perlu ditulis menggunakan konsep "besar" kepada "kecil" atau "umum" kepada "spesifik"
  2. Gunakan "tajuk kajian" sebagai garis permulaan menulis pengenalan dengan membuat peta minda berkaitan. Pecahkan dan tuliskan fakta berkaitan
  3. Untuk jadikan pengenalan anda lebih istimewa, pastikan ada rempah ratusnya, misalnya statistik berkaitan, pernyataan dari tokoh/aktiviti utama berkaitan dll
  4. Bahagian pengenalan seharusnya menjawab persoalan "APA" kepada kajian yang ingin dilaporkan.

Bahagian [Pernyataan Masalah]
Bahagian ini menjelaskan kepada pembaca berkaitan masalah yang ingin diselesaikan bersama cadangan penyelesaian
  1. Senaraikan masalah-masalah berkaitan dengan kajian anda
  2. Senaraikan penyelesaian berkaitan dengan kajian anda
  3. Tuliskan rumusan masalah dan rumusan penyelesaian
  4. Ringkasnya, bahagian ini mesti menjawab "MENGAPA" kajian ini mesti dijalankan
  5. Jika anda tidak berupaya menulis dengan baik bahagian ini, pembaca akan melihat bahawa "kajian anda tidak relevan" kerana tiada masalahpun yang ingin anda selesaikan.

Bahagian [Objektif]
Bahagian ini MESTI ditulis dengan teliti. Jika anda silap menulisnya, hampir keseluruhan kajian ada hanyalah retorik dan tahap kebolehlaksanaannya diragui.
  1. Jangan senaraikan terlalu banyak objektif, sebaiknya tiga (3) sudah memadai
  2. Objektif lebih bagus disusun berdasarkan susur galur proses kerja yang terlibat dalam kajian yang anda lakukan
  3. Objektif mesti dimulakan dengan "kata kerja" atau "verb" yang boleh diukur. Jangan sesekali menulis proses pembelajaran yang mesti dibuat sebagai objektif, misalnya "to learn, to study" dll.
  4. Gunakan konsep S M A R T dalam menulis objektif, iaitu SPECIFIC, MEASURABLE, ACHIEVABLE, REALISTIC, TIMELY
Contoh:
This research embarks the following objectives:
1. to design an efficient circuit to ....
2. to implement the proposed circuit using ....
3. to test the systems in terms of ...


Bahagian [Batasan Kajian]
Seksyen ini penting bagi membolehkan kajian anda tidak bercita-cita untuk mengubah dunia. Sesuatu kajian TANPA batasan adalah tidak realistik. 
  1. Batasan boleh dibahagikan kepada jenis data yang terlibat, jenis pengukuran yang ingin dibuat, kawasan yang terbabit, alat yang digunakan dll yang berkaitan
  2. Ini bertujuan agar kajian lebih fokus dan tidak bersifat "broad-based"
  3. Ini juga membantu menjawab persoalan pihak luar mengapa kajian anda tidak kaji X, Y dan Z
  4. Tetapi, setiap batasan kajian mesti didatangi bersama "alasan saintifik" dan bukannya alasan mudah untuk menjadikan kajian ini bersifat mudah atau "simplistik"

Bahagian [Kajian Perpustakaan]
Pengalaman saya menunjukkan, bahagian inilah yang paling mencabar. Kerana kita bukan sahaja diminta menulis "mentah-mentah" apa yang telah kita baca. Tetapi, melakukan analisa kritikal terhadap apa yang kita baca.
  1. Pastikan bahan bacaan yang dipilih adalah berkualiti
  2. Sumber utama lazimnya ialah artikel jurnal atau persidangan, atau juga artikel menerusi majalah teknikal atau huraian paten
  3. Baca dan analias secara kritis - kaedah yang digunakan, kebaikan, kekurangan dll
  4. Tulis semula huraian berkaitan dalam ayat sendiri dan masukkan rajah/jadual yang boleh membantu kajian anda
  5. Hasilkan "spectrum of issues" berasaskan tahun untuk menjelaskan bahawa kajian anda adalah relevan
  6. Hasilkan "tabulation of issues" yang merujuk kepada parameter berkaitan kajian. Ini penting bagi menjelaskan kelompangan kajian yang boleh dimanfaatkan dalam kajian anda. 

Bahagian [Metodologi Kajian]
Bahagian ini sering disalah ertikan oleh penyelidik muda, apabila mereka lazimnya mencerita proses kajian dibuat dengan mempersembahkan "waterfall model".

Perkara yang ingin dilihat dalam bab ini adalah perincian aktiviti yang mesti dibuat bagi membolehkan objektif kajian ini dicapai. 
  1. Bina rajah blok atau rajah aliran bersandarkan objektif yang telah ditetapkan
  2. Perinciankan rajah blok/aliran ini dengan semua aktiviti major dan minor bagi membolehkan kajian terlaksana
  3. Buatkan secara pakej demi pakej supaya mudah disemak dan dikenalpasti permasalahan dan cara mengatasinya

Bahagian [Jangkaan Keputusan]
Bahagian ini seolah-olah kita menjadi "ahli nujum" dengan menjangkakan apakah yang akan terhasil menerusi kajian ini.
  1. Kita mesti jelas jenis kajian kita, adakah kita membina algoritma baru, mencertus idea senibina litar baru, menghasilkan sistem atau bagaimana?
  2. Kita mesti menulis bahawa kajian kita akan menyumbang kepada penghasilan misalnya produk baru dalam bidang X, Y dan Z

Bahagian [Kesimpulan]
Namapun kesimpulan, kalau bahagian ini ditulis lebih daripada pengenalan dan yang-lain nampak sangatlah tidak tepat.
  1. Bahagian ini tulis dengan menjelaskan tiga (3) perkara - apa yang telah dibuat, sedang dibuat dan akan dibuat
  2. Kaitkan dengan objektif kajian, adalah semuanya berjaya dicapai atau bagaimana
  3. Rumuskan juga cadangan pada masa depan bagi membolehkan kajian ini lebih berdaya saing

Bahagian [Rujukan]
Ramai yang keliru beza antara "Rujukan" dan "Bibliografi". Rujukan adalah semua bahan yang kita berikan sitasi (citation) di dalam teks laporan kita. 

Manakala bibiliografi pula adalah SEMUA bahan yang kita rujuk dan tidak semestinya ditindikkan dalam laporan/teks kita. 
  1. Pastikan rujukan mengikut format yang ditetapkan
  2. Semak kaedah penulisan nama penulis, mesti konsisten, nama persidangan, jurnal dll
  3. Rujukan mestilah terkini (lima (5) tahun) melainkan rujukan klasik dalam bidang berkaitan

Sunday, 13 October 2013

Media Sosial dan Mencelakakan Guru!

Rutin menulis perlu disambung semula jahitannya. Nampak terlalu tidak kemas jahitan di medan ini. Displin diri yang lebih tinggi amat diperlukan untuk memastikan medan ini dapat memberikan lebih banyak manfaat kepada sekalian khalayak.



Foto kenangan ketika di IoE, UoL

Catatan kali ini berkisar bagaimana "hebatnya" kesan bebasnya membicarakan hak individu menerusi laman-laman sosial. Apabila seorang pelajar dengan bangganya menggelar pendidiknya sebagai CELAKA! Terkesima kita yang membaca tanpa sepatah kata.

Benarlah, seringkali saya tekankan di dalam sesi kuliah saya betapa sangat pentingnya sikap dan kefahaman terhadap adab (walaupun kadangkala kelihatan penuntut saya kurang selesa). Pesan dan catatan untuk para pendidik ilmu:
  1. Bersabarlah dalam menyampaikan ilmu. 
  2. Usah sama sekali melenturkan prinsip menjunjung kebenaran yang kita semua tunjangi. 
  3. Kuatkan semangat dan fahami mengapa kita cintakan tugas kita menyampaikan ilmu
  4. Kita bukan artis yang mendambakan populariti, jadi teguhkan hati
Akhirnya, saya masih ingat pesan emak:
"Biar kita tiada rupa asal jangan adab tiada. 
Biar kita harta tiada asal jangan kita suka mencerca"

Monday, 22 July 2013

23 Julai 2010...Ini Bukan Sebuah Karya Ulung

23 Julai 2010 merupakan hari peperiksaan lisan PhD saya. Pengalaman pada hari tersebut khususnya, masih segar. Ada masanya, apabila kadangkala motivasi kerja perlu dicas akan dibelek-belek tesis dalam foto ini - memberikan dorongan peribadi terhadap "erti kesungguhan".


Sekadar berpesan kepada sahabat-sahabat khususnya yang sedang melalui perjalanan terowong PhD, akan beberapa perkara (berdasarkan pengalaman peribadi):

1. Pelihara hubungan profesional bersama penyelia. Ada masanya penyelia meminta bantuan dalam kerja yang "kurang" menyumbang kepada tesis PhD - misalnya bina laman web kumpulan penyelidikan, dll. Rebut peluang itu sebagai usaha untuk menimba ilmu sebagai penyelidik tulen.

2. Setiap kali usai mesyuarat (pertemuan) bersama penyelia, jadikan amalan untuk disediakan "minutes of meeting" yang bertaip kemas dan diemel kepada penyelia (untuk simpanan) dan difailkan untuk rujukan peribadi.

3. Tetapkan "deadline" sendiri dan maklumkan kepada penyelia, sebagai "tekanan mesra" bagi kita supaya tidak bermalas-malasan dan leka dalam terowong kegelapan!

4. Jangan sesekali duduk diam tanpa dimaklumkan kepada penyelia perkembangan terkini! Walau kelihatan penyelia "sibuk" sebenarnya mereka sangat ingin tahu perkembangan terkini pelajar seliaan masing-masing.

5. Displin diri yang kuat sangat penting. Jadikan rutin bekerja dan sentiasa mempunyai sasaran untk "publish" dan "share" hasil kerja menerusi "journal submission" serta poster. Poster, walau kelihatan kecil tetapi adalah latihan yang sangat baik untuk membina keyakinan diri dan menajamkan kemahiran komunikasi.

Selamat maju jaya buat sahabat-sahabat semua!

Saturday, 13 July 2013

Soalnya..."Mengapa kita tidak pernah belajar daripada sejarah?"


Antara instrumen yang digunakan untuk membuat petaksiran terhadap keupayaan pelajar, khususnya dalam domain kognitif adalah menerusi peperiksaan. Apabila keputusan atau gred terpapar, apakah hikmah yang sama-sama dapat kita perhalusi?

Berada dalam kalangan pelajar, membuatkan rasa sumbangan perlu lebih diberikan. Berdasarkan pemerhatian dan pengamatan, dikongsikan 10 perkara yang perlu diberikan penambahbaikan selepas ini, iaitu: 

1. mengenalpasti sinopsis kursus yang diambil;
2. menjadualkan agihan masa bagi setiap kursus;
3. bersahabatlah dengan rakan-rakan yang positif;
4. rajin-rajinlah berdiskusi bersama pensyarah;
5. nota kuliah dan tutorial hendaklah sentiasa sedia dan kemas;
6. libatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum yang berpatutan;
7. jangan sama sekali mengabaikan hubungan dengan pencipta;
8. jaga kelakuan dan sentiasa berniat untuk menjadi yang lebih baik;
9. jadilah ketua dalam projek/tugasan berkumpulan; dan
10. jujur, jangan sesekali amalkan budaya plagiat dll.

Tidak dinafikan, dalam setiap semester pelbagai cabaran dan ada tikanya ujian-ujian yang tidak dijangka berlaku. Jangan mudah mengalah, mudah berpuas hati atau over confident

Berpijaklah di bumi yang nyata, kenali diri sendiri....soalnya, "mengapa kita tidak pernah belajar daripada sejarah?"

Wednesday, 5 June 2013

Penyelia...dan yang diselia


Sekitar 2008, pernah ditulis sebuah pandangan peribadi khusus berkaitan "misteri seorang penyelia". Kali ini, selepas diizinkanNya menyudahkan pengajian PhD (kira-kira lima tahun selepas artikel tersebut ditulis), mohon izin untuk diulas sekali lagi perkara ini. 

Mungkin dalam nada dan nafas yang sedikit berbeza. Mengapa berbeza, kerana telah selesai pengajian PhD selepas:

1. bertukar penyelia dan domain kajian selepas 11 bulan;
2. kemudiannya menjalankan PhD dengan seorang penyelia dan seorang "penyelia tersembunyi";
3. penyelia kemudiannya berpindah ke Universiti  lain pada tahun 3 PhD; dan
4. menjalankan kajian pada tahun 3 tanpa penyelia (penyelia jarak jauh).

Selepas kembali bertugas, nama saya bukan sebuah nama popular menjadi pilihan ramai pelajar untuk mereka lantik sebagai penyelia. Hanya beberapa orang (boleh dibilang dengan jari) yang datang dan menyatakan kesediaan untuk bekerja di bawah seliaan saya. Sebab musabab saya bukan menjadi pilihan, saya tahu juga :-)

Apapun, ingin dikongsikan beberapa pesanan berhubung soal penyelia dan yang diselia:

Pesan 1:
Sebelum menjalankan kajian/penyelidikan, lakukanlah kajian/penyelidikan terhadap penyelia anda

Pesan 2:
Dapatkan CV beliau dan lakukan analisa, apakah kekuatan dan kekurangan beliau (mungkin seperti SWOT analisis). Misalnya:

Kekuatan: Pakar rujuk bidang kajian, mahir dalam penerbitan jurnal impak tinggi, ramai pelajar graduate on time (GoT)
Kelemahan: Kekangan masa (penyelia menjalankan tugas pentadbiran), pelajar seliaan beliau ramai
Kekuatan + Kelemahan: Cerewet

Pesan 3:
Semak dengan pelajar-pelajar beliau terdahulu yang telah selesai atau mungkin juga belum selesai. 
- Yang sudah selesai, tanya apa pengalaman mereka
- Yang belum selesai juga ajukan apakah yang berlaku
- Yang tidak selesai, tanyakan "mengapa"

Pesan 4:
Jumpalah penyelia dan cuba baca bahasa badan penyelia. Bolehkah anda berkomunikasi dengan baik dengan beliau, atau terdapat kesukaran. Awas, ada juga penyelia yang "suka menguji" dalam pertemuan pertama!

Pesan 5:
Dapatkan artikel-artikel tulisan bakal penyelia anda dan selami, lihat bagaimana kemahiran beliau dan adakah anda teruja untuk berguru dengannya? Jika ya, itu isyarat yang baik tetapi jika tidak, mungkin penyelia ini harus anda lupakan!


Rumusan mudah, penyelia yang bakal kita bekerjasama tidak kiralah apa peringkat pengajian, sarjana muda, sarjana apatah lagi PhD - akan mencorakkan diri kita! Selepas 1, 2 atau 3 tahun kelak, lihat bagaimana kesan seorang penyelia terhadap diri anda.

Awas, andai kita kurang mengkaji bimbang kiranya kita akan khilaf dalam memilih dan mungkin kelak memberikan kesan buruk kepada kita dan orang lain juga, termasuk penyelia. 

Friday, 31 May 2013

Benarlah...untuk mengekal momentum itu tidak mudah


Blog ini semakin meningkat usianya. Sedikit malang, akhir-akhir ini semakin terpinggir dan tidak disisipkan dengan perkara-perkara yang boleh membawa manfaat kepada khalayak pembaca.

Alangkah ruginya, kerana dihimpit dengan kegagalan mengurus kesibukan dengan hikmah dan bijaksana, beberapa perkara yang boleh disifatkan "signifikan" dalam rutin kehidupan semakin tercicir.

Moga, keazaman 1 Jun 2013 akan membawa dimensi baharu dan mengembalikan bidang tujah tulisan di sini. Kerana, perlu sentiasa disemat bersama keazaman mengapa blog ini perlu dikekalkan ialah:

Jika hari ini kita dipanggil menghadap Ilahi, sudah cukupkah persediaan kita?

Berapa banyak ilmu berguna yang telah kita sebar luaskan?
Berapa banyak sedekah jariah yang telah kita hulurkan?
Adakah anak soleh/solehah yang akan mendoakan kita?

Friday, 12 April 2013

Anda memilih laluan ini...PhD


Bulan ini, kegembiraan dikongsi apabila mendapat berita seorang pelajar/rakan sejawat selesai pengajian kedoktorannya di Perancis dan di England. Pastinya kejayaan kalian memberikan kegembiraan buat saya dan mengingatkan kembali suka duka sepanjang pengajian dua (2) tahun yang lalu.

Pada masa yang sama, ramai juga rakan-rakan sekuliah sarjana muda dahulu kini menjalani kursus persediaan sebelum memulakan pengajian sedikit masa lagi. Tahniah! Rakan-rakan telah melangkah dan berdoalah senantiasa kepadaNya agar kekuatan dalam segenap aspek senantiasa bersama kalian.

Memilih untuk mengikuti pengajian PhD pastinya ada alasan yang tersendiri. Walau apapun alasan yang menjadi asas kepada kita untuk melanjutkan pengajian, senantiasalah kita mengukuhkan semangat. Jangan sesekali benarkan aura negatif yang menguasai kita.

Selamat maju jaya buat semua!



Tuesday, 5 March 2013

Duhai Diri


Duhai diri...semakin kaki ini melangkah...semakin banyak onak dan duri



Jadilah diri yang lebih berani
Jadilah diri yang lebih memahami
Mungkin itu jua tidak mencukupi

Jangan sesekali diabai hubungan yang hakiki
Kumpul dan bina kembali motivasi diri
Semoga kejayaan itu pasti