My Calendar

Sunday, 12 June 2011

Tumpang Bangga

Tentu sekali saya teruja dan jadi bersemangat. Malah tak keterlaluan juga kalau saya katakan tumpang bangga atas kejayaan seorang rakan baik saya di arena antarabangsa. Walaupun kami berbeza warna kulit dan agama, tetapi tanpa saya sedari erti dan nilai persahabatan yang terjalin adalah sangat dekat.


Julai 2010, saya masih ingat lagi. Saya bertungkus lumus menyiapkan diri dengan viva, rakan baik saya inilah yang bertindak menjadi "external examiner" bagi tesis dan turut membantu saya mengadakan "mock viva", lantaran pada masa itu penyelia saya sudah berpindah ke universiti lain.

Apabila menerima berita beliau dianugerahkan Awards for the Best Visual Presentations, saya tersenyum dan menjadikan kejayaan ini sebagai satu dorongan untuk saya berkerja lebih kuat. Ini adalah satu contoh yang sangat baik supaya kita tidak hanya menjadi jaguh kampung! Kita mesti bermain dan menempa nama dalam litar antarabangsa! Tahniah Ng Thian Hong!

Wednesday, 25 May 2011

Smart Partnership

Walaupun usaha awal saya untuk mewujudkan Research Incubator pada peringkat awal kepulangan saya tempohari kurang berhasil, kini saya agak gembira juga. Tanpa dirancang dengan teliti, seorang pelajar saya (Elektronik Digit) dahulu yang kini menjadi jurutera di sebuah syarikat membuka ruang kerjasama antara kumpulan penyelidikan saya bersama syarikat tempat beliau bekerja.

Hasilnya, Tuan Shazlan sudi berkunjung untuk kali kedua memberikan input berguna kepada pelajar-pelajar penyelidikan di bawah seliaan saya. Bukan itu sahaja, beliau juga bersetuju untuk memberikan beberapa bantuan lain yang saya lihat sangat signifikan dalam memajukan kumpulan penyelidikan ini.


Walaupun kumpulan penyelidikan ini masih terlalu muda, tetapi saya harus melihatnya sebagai satu aset yang begitu tinggi nilainya. Ahli kumpulan juga kini bertambah dengan dua pelajar menjalankan latihan industri, menyemarakkan lagi budaya penyelidikan. Saya perlu lebih tekun dan serius menetapkan indeks penilaian prestasi agar kumpulan penyelidikan ini bukanlah bersifat jaguh kampung semata-mata!

Tuesday, 24 May 2011

Amanah

Apabila kita diberikan kepercayaan, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab untuk kita menunaikan amanah tersebut dengan sebaiknya. Saya hanya seorang insan biasa yang serba kekurangan. Dengan kekurangan yang ada, saya cuba mengemudi amanah yang diberikan. Nyata, amanah ini memerlukan saya tangkas dalam segenap aspek.

Saya cuba melihat dan membawa amanah ini menyusur perspektif ke arena yang lebih jauh dan luas. Saya ingin sekali melihat, kolej kediaman bukan sahaja tampil sebagai ruang enak penginapan pelajar semata-mata, malah lebih daripada itu! Mungkin juga, saya terlalu bersifat bercita-cita tinggi! Bagi saya itu tidak mengapa.

Sebagai rumah kedua kepada para pelajar, dan ketetapan tahun pertama pengajian pelajar di universiti dimestikan mereka menghuni kolej kediaman, sudah pasti peranan dan sumbangan kolej kediaman perlu diperhalusi dan diperkemaskan. Saya senantiasa memohon bimbingannya, agar amanah yang diberikan oleh Universiti dapat ditunaikan sebaiknya.

Kepada yang bersama-sama saya berkerja bagi menjayakan misi ini, semoga kita berusaha sebaiknya dan tidak akan kenal erti jemu untuk memberikan sumbangan yang terbaik. Sesungguhnya, tiada jalan pintas untuk muncul sebagai insan luar biasa!