My Calendar

Friday, 30 July 2010

Tugas dan peranan kita

Bersembang dengan seorang sahabat, N. Beliau menyebut dan mengingatkan saya,

"Success is about replicating yourself to help people to become more successful than you"

Saya sangat bersetuju. Saya ambil satu contoh. Jika dulu saya menyelia pelajar sarjana muda dan mereka berjaya menyempurnakan PSM dan kemudiannya meniti alam kerjaya, saya melihat mereka bergraduasi - saya tersenyum puas. Saya sedar, apa yang saya berikan tiada apa-apa. Tetapi, setiap kali mengajar dan berdiskusi dengan mereka saya selau titipkan pesan bahawa,

"Apa yang saya ajarkan semuanya ada dalam buku, tetapi "nilai dalam diri" yang sangat saya ambil berat ini tidak tercatat dalam mana-mana buku. Kalian bukan sahaja perlu cemerlang menguasai pengetahuan teknikal sebagai jurutera, tetapi ada yang lebih penting dari itu. Antaranya: ingat jasa orang tua, guru, rakan dan teman, jangan gelap mata dengan rasuah supaya rezeki kita berkat dan semakin tinggi kejayaan kita, semakin rendahkan diri kita"

Saya juga selalu mengingkatkan agar jangan kedekut untuk berkongsi. Apa yang ada pada kita bukan milik kita. Jadi mengapa perlu kita tidak ingin berkongsi? Saya sukar untuk memahami "spesis" manusia jenis sebegini.


Berguru dengan Dr AA juga banyak membuka pemikiran saya terhadap nilai-nilai keilmuan. Hubungan kami saya boleh sifatkan sangat profesional. Sebelum ini, cemburu juga dengar ada rakan-rakan yang begitu akrab dengan penyelia mereka. Tetapi, dalam hubungan kami, keakraban kami sangat berbeza.

Saya banyak belajar erti kerajinan dan kesungguhan dalam diri penyelia saya. Saya jadi malu sendiri jika saya tidak sungguh-sungguh menjalankan tugas saya. Ada tikanya, beliau sanggup lapangkan masa hujung minggu dan hadir ke pejabat untuk berbincang dengan saya tentang kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan.

Saya juga tidak malu untuk menyatakan bahawa kejayaan PhD ini adalah kejayaan penyelia saya mengurus kelebihan dan kekurangan diri saya. Saya melihat, beliau cepat menangkap kekuatan dan kelemahan saya. Benar, ada dua kali (saya sangat pasti) yang saya sangat-sangat tertekan bersama beliau dan hampir-hampir sahaja ingin kembali pulang ke Malaysia. Syukur, Allah masih memberikan saya bantuan dan bimbingan supaya tidak membuat keputusan melulu. Tidak kurang juga peranan rakan-rakan positif yang sedia memberikan buah fikiran.

Saya sedar, kejayaan PhD ini bukan satu kejayaan agung! Ramai orang telah berjaya dengan PhD masing-masing. Sekarang adalah masa untuk saya merangka strategi bagaimana untuk saya memberikan sumbangan dengan apa yang saya ada. Semoga saya akan senantiasa ingat, dari mana saya datang dan ke mana saya akan pergi! Kepada yang mengikuti laman blog ini dan mengenali saya secara peribadi, tegurlah saya andai saya tersasar dari jalanNya.

Thursday, 29 July 2010

Apa erti sebuah PhD?

Jumaat lalu (23 Julai 2010) seperti baru sahaja berlalu. Masih terbayang-bayang setiap inci perjalanan pada hari tersebut. Pastinya kenangan ini akan senantiasa tersemat dalam kamus kehidupan saya.


Kredit foto: HUSNI HASSAN

Pelbagai persoalan timbul, setelah "tamatnya" pengajian peringkat PhD ini. Adakah seharusnya wajar diteruskan dengan menyempurnakan pula "PostDoc"? Niat di hati sememangnya ada, tetapi ada tuntutan lain yang perlu diambil kira.

Cabaran yang lebih hebat juga hadir selepas memperolehi PhD. Harapan dan jangkaan masyarakat sekeliling juga meningkat. Tetapi apa yang sangat perlu disemat dalam hati ialah, jangan ada sifat penyakit hati. Mula rasa kita pakar dan maha hebat dalam segenap segi. Itu adalah sangat tersasar!

Seharusnya, dengan sedikit ilmu yang ada kita perlu membantu membangunkan modal insan masyarakat pula. Bantu dan berkongsilah, tiada ruginya kita. Semoga, saya akan lebih faham tugas dan peranan saya selepas ini.

Menulis dan terus menulis...

Tahniah buat sahabat H, atas usaha sama yang diberikan dan kini hasil kerja kita diterima untuk diterbitkan sebagai "Book of Chapter" oleh IGI Global (satu penerbit antarabangsa). Setinggi kesyukuran kami panjatkan. Terima kasih juga kepada PM. Dr. Yudariah atas bimbingan yang diberikan untuk kami mula menapak dalam dunia akademia.

Insya Allah, dengan izin dan peluang yang dikurniakan kami akan terus dan terus menghasilkan karya ilmiah yang dapat dikongsi bersama dan memberikan manfaat dalam percambahan ilmu di Malaysia.

Wednesday, 28 July 2010

Travelog Viva PhD

Saya pasti, cerita dan perkongsian saya yang berkisar dalam soal asam garam pengajian peringkat doktor falsafah, bukanlah satu karya agung! Tetapi, jauh di sudut hati saya agar perkongsian yang bersifat peribadi ini dapat menjadi dorongan dan panduan kepada mereka yang mencari-cari kisah sebegini. Apabila disebut sebagai perkongsian peribadi, pastinya pelbagai parameter perlu diambil kira dan akan sentiasa berubah-ubah. Lantas, generalisasi juga lazimnya perlu diminimumkan.

Saya akan cuba kongsikan pengalaman saya pada hari peperiksaan lisan tersebut dan pastinya kisah ini hanya sesuai bagi mereka yang mengikuti pengajian di UK (kerana sistem penilaian PhD adalah berbeza mengikut lokasi).

Saya menyerahkan tesis secara rasmi untuk tujuan peperiksaan lisan pada 2 Julai 2010 (Jumaat) dan panel penilai (pengerusi dan kedua-dua pemeriksa) bersetuju agar peperiksaan dijalankan pada 23 Julai 2010 (Jumaat) bermula jam 10.30 pagi. Sejujurnya, ini adalah satu proses yang singkat dan tempoh lazim di Brunel memakan masa 4 - 6 minggu bagi membolehkan peperiksaan lisan diatur.


Saya hadir awal (jam 9.00 pagi) ke lokasi peperiksaan di Howell (H139) bagi memastikan keadaan bilik dan alat bantu berada dalam keadaan yang terbaik. Saya membuat persediaan sehinggalah kira-kira jam 9.45 pagi, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah), Prof. Luiz Wrobel datang dan datang bersembang serta memberikan kata-kata semangat.

Tidak lama selepas itu, penyelia saya yang datang dari Northern Ireland muncul dan mula bersembang dengan Prof. Luiz. Di sini, kita ada hak untuk membenarkan atau tidak kehadiran penyelia dalam peperiksaan lisan kita.

Tidak lama selepas itu, kira-kira jam 10.10 pagi, pemeriksa dalam dalam pengerusi muncul. Saya sudah mula gementar (lebih gementar). Mujur, pemeriksa dalam seolah-olah nampak riak wajak risau saya dan beliau mempelawa saya minum kopi bersama dan mula bertanya beberapa soalan pembuka perbualan. Beliau nampak seorang yang sopan dan tutur katanya sangat tertib.

Sedang kami berbual, baru muncul pemeriksa luar. Perasaan saya ada ketika itu sangat risau dan gemuruh. Tidak lama kemudian, pengerusi meminta saya keluar sebentar bagi membolehkan pra-mesyuarat di kalangan panel dibuat. Kurang lebih dua minit selepas itu, saya dipanggil masuk untuk memulakan peperiksaan. Pengerusi memperkenalkan panel dan bertanya adakah saya ingin membuat pembentangan. Saya katakan saya ingin membuat pembentangan sekitar 15 - 20 minit. Beliau memberikan keizinan untuk saya bermula. Saya kira jam pada ketika itu sekitar 10. 40 pagi.



Saya cuba memberikan pembentangan sebaik mungkin dan nampak pemeriksa dalam menunjukkan minat (berdasarkan bahasa badan) , tetapi tidak bagi pemeriksa luar. Ini agak mengganggu fokus saya, lantas saya alihkan anak mata saya lebih kepada pemeriksa dalam (mujur mereka duduk bersebelahan). Untuk rekod, tiada soalan sepanjang sesi pembentangan dijalankan.

Selepas selesai, saya duduk dan sedang saya membuka tudung botol air, pemeriksa luar sudah mula bertanya soalan. Saya sedikit kaget dan cepat-cepat meneguk air. Soalan pertama adalah pada halaman abstrak. Tiada masalah untuk dijawab.

Soalan kedua pula, tiba-tiba sahaja melompat kepada bab 5. Saya terkedu, kerana penyelia saya ada menceritakan pengalamannya yang lazimnya soalan akan berjalan mengikut jujukan. Selepas soalan dalam bab 5, pemeriksa luar kembali memberikan soalan bab 1, kemudian bab 4 dan kemudian bab 1 semula. Bermula di sini, beliau mengikut jujukan yang betul sehingga ke soalan terakhirnya.

Sesi soal jawab bersama pemeriksa luar berjalan sekitar 50 minit dan saya mula mengalami keletihan. Pemeriksa luar saya adalah English dan agak berumur. Pada tempoh 15 - 20 minit awal saya mengalami sedikit kesukaran untuk memahami sebutan beliau. Selain itu, intonasi beliau juga agak senada, yang lucunya ada ketikanya beliau bukanpun bertanyakan soalan, tetapi saya sangkakan soalan! Aduh sungguh memalukan diri sendiri.

Selepas tamat soalan dari pemeriksa luar, giliran pemeriksa dalaman. Apabila beliau menyatakan, "I just have one question..." Saya rasa amat lega dan soalan terakhir itu dapat saya jawab dengan baik. SELESAI!

Pengerusi meminta saya keluar dari bilik. Saya menuju ke koridor dan sangat berdebar-debar. Sejujurnya, saya kurang berpuas hati dengan pencapaian saya dan pelbagai fikiran yang bersifat negatif timbul. Akan berjayakah saya?

Tidak lama (selepas 2 - 3 minit), penyelia saya meminta saya masuk. Saya melangkah masuk. Saya lihat pemeriksa luar berdiri dan belum sempat saya duduk, pemeriksa luar menyatakan, "I would like to congratulate you, pass with minor revision". Saya rasa sangat sebak dan masa berlalu begitu cepat, panel dan penyelia saya datang menghulur tangan untuk salam dan ucap tahniah. Penyelia memberikan "arahan" kepada saya, "go home and have a nice sleep".

Saya bergegas pulang dan dalam perjalan pulang saya menghubungi kedua ibu dan bapa serta ahli keluarga. Sampai di rumah, saya cuba memberikan "element of suprise" kepada suri hati saya. Terima kasih semua!

Akhirnya, saya tahu, kisah saya ini bukan satu kisah unggul. Maaf andai perkongsian ini disalah tafsir oleh mereka yang membaca. Insya Allah, saya akan terus menulis beberapa perkara lain contohnya, persediaan untuk VIVA, bagaimana menulis tesis dll. Semoga ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua.

Monday, 26 July 2010

Penilaian kedua

Dalam proses pengajian PhD, mendapatkan pandangan dan penilaian kedua (selain daripada penyelia pengajian kita) adalah sangat penting. Tetapi awas! Ada tikanya terdapat penyelia yang kurang selesa jika kita berjumpa dan mendapatkan pendapat dari pensyarah-pensyarah di institusi yang sama. Justeru, adalah lebih elok jika kita mendapatkan "penilaian kedua" menggunakan kaedah "penerbitan" dalam jurnal dan persidangan (conference) yang mempunyai impak faktor tinggi.

Yang pasti, penyelia kita juga pastinya gembira dan kita juga dapat menjadikan jadual kerja kita lebih tersusun dengan adanya "deadline" untuk kita kejar. Saya secara peribadi, melihat dalam pengajian PhD penerbitan adalah sangat penting. Terlalu banyak faedah yang akan kita kecapi dengan menerbitkan hasil kerja kita dalam jurnal impak faktor dan juga "leading conferences".

Antara dua kesan positif utama yang boleh diperolehi adalah seperti berikut:
  1. Hasil kerja kita akan disemak oleh individu pakar dalam bidang (reviewer), dan komen yang diberikan boleh digunakan untuk memperbaiki kualiti kertas tersebut; dan
  2. Jika hasil kerja kita diterima dalam jurnal impak faktor, umumnya hasil tersebut diakui sumbangannya.
Sekadar berkongsi senarai penerbitan (terpilih) sepanjang pengajian:

Jurnal:
  1. A. Ahmad, B. Krill, A. Amira, and H. Rabah, “Efficient Architectures for 3-D HWT using Dynamic Partial Reconfiguration", Elsevier Journal of System Architecture - Special Issue on Hardware/Software Co-Design, ISSN 1383-7621, Volume 56, pp. 305-316, Feb. 2010. [Impact factor = 0.984]
  2. B. Krill, A. Ahmad, A. Amira, and H. Rabah, “An Efficient FPGA-based Dynamic Partial Reconfiguration Framework for Image and Signal Processing IP Cores", Elsevier Journal of Signal Processing: Image Communication - Special Issue on Breakthrough Architectures for Image and Video Systems, ISSN 0923-5965, Issue 5, Volume 25, pp. 377-387, May 2010. [Impact factor = 0.836]
  3. A. Ahmad, K. K. Loo and J. Cosmas, “VLSI Architecture Design Approaches for Real-Time Video Processing”, WSEAS Transaction on Circuits and Systems, ISSN: 1109-2734, Issue 8, Volume 7, pp.855-868, August 2008. [Acceptance rate = 6.44%]

Persidangan:

  1. A. Ahmad, A. Amira, M. Guarisco, H. Rabah and Y. Berviller, “Efficient Implementation of a 3-D Medical Imaging Compression System using CAVLC", The 2010 International Conference on Image Processing (ICIP), September 26th - 29th 2010, Hong Kong.
  2. A. Ahmad, B. Krill, A. Amira, and H. Rabah, “Dynamic Partial Reconfigurable 3-D Haar Wavelet Transform IP Cores Design", The 2nd UK-Malaysia Engineering Conference (UK-MEC), April 8th - 9th 2010, London, United Kingdom, pp. 25-35. [Awarded as a best paper]
  3. A. Ahmad, B. Krill, A. Amira, and H. Rabah, “3-D Haar Wavelet Transform with Dynamic Partial Reconfiguration for 3-D Medical Image Compression", The IEEE Biomedical Circuits and Systems Conferences (BIOCAS), November 26th - 28th 2009, Beijing, China, pp. 137-140.
  4. A. Ahmad and A. Amira, “Efficient Reconfigurable Architectures for 3-D Medical Image Compression", The 2009 International Conference on Field-Programmable Technology (FPT), December 9th - 11th 2009, Sydney, Australia, pp. 472-474.
  5. A. Ahmad, A. Amira, Y. Berviller, and H. Rabah, “Rapid Prototyping of Finite Radon Transform (FRAT) for Medical Imaging Applications", The 2nd European Workshop on Visual Information Processing (EUVIP), July 5th - 7th 2010, Paris, France.

Selain itu, gunakan juga peluang yang ada bagi persidangan dalaman yang dianjurkan oleh fakulti/sekolah. Ini dapat membina keyakinan kita menyampaikan hasil kajian dan mengukuhkan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris yang sangat penting untuk proses peperiksaan lisan (viva) kelak.

Semoga, kita semua akan terus menghasilkan hasil kerja yang terbaik!

Doa

Peranan doa tidak boleh kita nafikan. Selain doa, usaha dengan penuh kesungguhan juga adalah keperluan yang mesti dipenuhi. Sekadar berkongsi, beberapa bait doa untuk kita sama-sama amalkan. Contohnya, bagi solat sunat Dhuha, kita boleh berdoa seperti berikut:

Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha ini adalah waktu DhuhaMu
Keindahanya, kecantikannya, kekuatannya, kekuasaannya
Jika rezekiku masih di langit, kau turunkanlah
Jika rezekiku masih jauh di dalam bumi, kau keluarkanlah
Jika rezekiku masih jauh, kau dekatkanlah
Jika rezekiku itu sukar, kamu mudahkanlah
Berkat waktu Dhuhamu, keindahannya, kecantikannya, kekuatannya, kekuasaanya
Kau limpahkanlah rezeki kepadaku seperti yang telah kau limpahkan
kepada hambaMu yang soleh

Selain itu, dalam setiap hari bagus kalau kita dapat amalkan solat sunat Taubat dan solat sunat Hajat. Mungkin kita boleh menunaikan solat sunat Taubat (selepas Maghrib) dan solat sunat Hajat (selepas Isyak atau sebelum Subuh).

Kerana, setiap hari kita berbuat dosa yang terlalu pelbagai. Setiap detik dan saat kita berkehendakan bantuanNya dan berhajat kepadaNya. Justeru, dengan seluas lautan tanpa sempadan dosa kita, siapalah kita untuk tidak meminta keampunan dan kemaafan? Siapalah kita untuk tidak meminta bantuan dan pertolonganNya?

Satu peringatan untuk diri sendiri!

Saturday, 24 July 2010

Acknowledgements

I gratefully acknowledge who has supported me throughout my PhD work and finally the preparation of this thesis. In particular, I would like to thank my supervisor, Dr Abbes Amira, for accepting me as a student, whilst I am in a dark tunnel. Abbes, many thanks for your relentless commitment you have shown along this journey. You could have taken the short cut, but you stood by me. I will always remember and look to you as an example of how to work hard! I would also like to thank Dr Hassan Rabah, Dr Yves Berviller and Dr David Smith for insightful guidance of my research studies. All your effort shows me the real meaning of sincerity!

. and ...
. and ...
. and ...

Alhamdulillah, saya dimudahkanNya dalam urusan pada 23 Julai 2010. Terima kasih semuanya!

Thursday, 22 July 2010

10.15 am (22 Julai 2010)

Uh... Insya Allah pada masa yang lebih kurang sama esok (23 Julai 2010) saya akan menghadapi peperiksaan terakhir dalam dunia formal akademik. Kalau ditanya dari sudut perasaan, pastinya perasaan yang bercampur aduk hadir. Ringkasnya, lebih banyak perasaan 'misteri' terhadap proses pada hari esok dan apa yang bakal berlaku sangat menguasai diri. Ada detiknya, saya rasa yakin untuk menghadapi semuanya, tetapi ada juga saat dan ketikanya rasa yakin itu hampir tiada, terlalu banyak persepsi negatif yang muncul.

Saya rasakan, ini adalah pengurusan perasaan yang paling mencabar yang pernah saya lalui bagi perkara yang berkaitan dengan akademik. Apa yang saya boleh katakan, saya akan usahakan yang terbaik dan pasti yang tetap menguasai semuanya adalah Allah. Saya sentiasa berdoa dan memohon supaya berada senantiasa dalam bimbingan dan panduanNya. Saya tak kisah kalau orang lain tidak suka sama saya, tetapi saya SANGAT risau jika saya tidak mendapat bimbingan dan panduanNya.

Semoga, laluan PhD ini adalah satu titik permulaan kepada insan bernama AFANDI.

Tuesday, 20 July 2010

Membantulah selagi mampu

Dengan kekangan jarak antara saya dengan tuan penyelia, sedikit sebanyak ini membataskan proses persediaan bagi menghadapi peperiksaan lisan yang bakal berlangsung pada 23 Julai 2010. Tetapi, saya benar-benar terkesan dan kagum dengan sikap tuan penyelia yang begitu mengambil berat dan sanggup menelefon saya bertanya khabar dan usaha beliau dalam memastikan saya cuba membuat persediaan dengan sebaiknya.

Saya dengan sifat kurang malu saya, cuba mendapatkan buah fikiran dari Dr Maysam dan Dr David akan pengalaman mereka sebagai penyelia, pemeriksa dan juga mereka yang telah melalui proses viva.

Aku kagum, keikhlasan insan-insan ini dalam membantuku. Dr Maysam dan Dr David misalnya, bukan penyelia saya dan tiada langsung kaitan, tetapi keikhlasan mereka sangat memberikan kesan kepada saya. Semoga saya akan boleh mencontohi mereka semuanya!

Thursday, 15 July 2010

Pembangunan Ilmu di Paris

Diberi lagi peluang untuk berkunjung ke Paris, salah satu senarai "kampung halaman" selepas Ulster. Kali ini bagi menghadiri EUVIP 2010. Apabila saya diberi kesempatan untuk berkunjung ke negara asing, ada beberapa perkara yang bakal menjadi pemerhatian saya. Antara yang sering saya perhalusi ialah pembangunan ilmu di negara terbabit.


Persidangan kali ini berlangsung di Telecom, ParisTech dan yang menarik perhatian saya ialah berkaitan pembangunan karya dalam bahasa ibunda mereka. Ini memberikan kesan dan peringatan kepada saya untuk turut sama memberikan sumbangan dalam lapangan ilmu.


Lihatlah, beberapa rujukan utama yang ditulis dalam bahasa ibunda mereka sendiri. Ini semakin mengukuhkan lagi realiti betapa sukarnya kita yang tidak pandai berbahasa Perancis apabila berada di bumi mereka.



Semoga satu masa nanti, saya juga dapat memberikan sekurang-kurangnya senaskah karya dalam lapangan ilmu, sebagai bekalan di hari kemudian.

Tuesday, 13 July 2010

Peta Minda

Untuk membantu pembacaan dan kefahaman, bagus kalau selepas kita membaca sesuatu misalnya artikel penyelidikan yang berkait rapat dengan kajian kita untuk dimudahkan dalam bentuk peta minda.


Faedah menggunakan peta minda telah banyak diperkatakan. Apa yang pasti, kita perlu mempelbagaikan corak dan kaedah pembelajaran dan ini juga salah satu elemen penting dalam pengajian PhD iaitu "mempelbagaikan kaedah pembelajaran".

Sunday, 11 July 2010

Verb Tense Overview with Examples

Penguasaan tatabahasa Inggeris saya masih terlalu lemah. Misalnya dalam menentukan "Verb tense" yang perlu digunapakai dalam penulisan. Saya masih mencari-cari kefahaman yang tepat dalam menentukan penggunaannya dan laman web berikut saya fikirkan boleh membantu di samping contoh-contoh yang diberikan juga agak mudah untuk difahami.


Selain itu, penggunaan "Active/Passive Voice" juga begitu signifikan untuk difahami penggunaannya. Semoga dengan adanya panduan sebegini saya akan lebih menguasai tatabahasa Inggeris dengan lebih baik dan tepat.

Contoh:

Simple Present
[Active] Once a week, Tom cleans the house.
[Passive] Once a week, the house is cleaned by Tom.

Present Continuous
[Active] Right now, Sarah is writing the letter.
[Passive] Right now, the letter is being written by Sarah.

Present Perfect
[Active] Many tourists have visited that castle.
[Passive] That castle has been visited by many tourists.

Kalau Kita Tahu

Dalam tempoh terdekat ini, ada dua kisah sedih berlaku yang memberikan banyak kesan. Seorang teman baik, isterinya keguguran kandungan yang berusia tujuh (7) minggu. Berkelana di rantau orang, tambahan lagi di negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeri benar-benar memberikan banyak kisah pengajaran. Didoakan agar kalian akan senantiasa sabar dan kuat dalam ujianNya.

Seorang lagi rakan dalam komuniti di sini diuji apabila kandungan isterinya yang sudah cukup bulan (9 bulan) dan hanya menunggu untuk dilahirkan kembali kepadaNya. Hakikatnya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Benar, ujian itu sukar untuk dihadapi tetapi kaca maca manusiawi kita pastinya tidak nampak apa akan hikmah tersembunyi.

Melihat bagaimana pengurusan jenazah di sini dan juga bagaimana kawasan perkuburan diselenggara membuka kotak fikiran. Mendengar talkin dibacakan juga diharapkan dapat disemat dalam diri ini. Antara intipatinya:

Ingatlah wahai AFANDI,
apabila datang kepada kamu dua orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir,
maka janganlah berasa gentar dan takut,
janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai AFANDI,
bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala,
sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.
Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.
Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul.
Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.

Friday, 2 July 2010

Ilham dan idea

Ilham adalah satu perkara yang sangat penting. Contohnya, ketika kita menulis karangan ada tikanya idea atau ilham datang mencurah-curah. Tetapi ada juga masanya seolah-olah kotak memori kita baru sahaja diformat! Kering, kosong dan kontang!

Berdoalah kepadaNya agar kita senantiasa diberikan ilham dan bimbingan

Submission

Dengan izin Allah, satu proses telah selamat dilalui. Pagi tadi, tiga salinan tesis diserahkan kepada "Research Office" untuk permohonan tarikh peperiksaan lisan (Viva).


Apa sebenarnya perasaan dalam diri? Jawapannya ialah: gembira dan risau! Gembira kerana "halangan" pertama untuk memuaskan hati tuan penyelia bagi membolehkan tesis dikemukakan untuk tujuan peperiksaan lisan dan SANGAT RISAU memikirkan apakah agaknya yang bakal ditanya oleh pemeriksa dalam dan luar pada hari peperiksaan lisan kelak.

Semoga sentiasa dalam lindungan, bimbingan dan dimudahkanNya.