My Calendar

Friday, 30 July 2010

Tugas dan peranan kita

Bersembang dengan seorang sahabat, N. Beliau menyebut dan mengingatkan saya,

"Success is about replicating yourself to help people to become more successful than you"

Saya sangat bersetuju. Saya ambil satu contoh. Jika dulu saya menyelia pelajar sarjana muda dan mereka berjaya menyempurnakan PSM dan kemudiannya meniti alam kerjaya, saya melihat mereka bergraduasi - saya tersenyum puas. Saya sedar, apa yang saya berikan tiada apa-apa. Tetapi, setiap kali mengajar dan berdiskusi dengan mereka saya selau titipkan pesan bahawa,

"Apa yang saya ajarkan semuanya ada dalam buku, tetapi "nilai dalam diri" yang sangat saya ambil berat ini tidak tercatat dalam mana-mana buku. Kalian bukan sahaja perlu cemerlang menguasai pengetahuan teknikal sebagai jurutera, tetapi ada yang lebih penting dari itu. Antaranya: ingat jasa orang tua, guru, rakan dan teman, jangan gelap mata dengan rasuah supaya rezeki kita berkat dan semakin tinggi kejayaan kita, semakin rendahkan diri kita"

Saya juga selalu mengingkatkan agar jangan kedekut untuk berkongsi. Apa yang ada pada kita bukan milik kita. Jadi mengapa perlu kita tidak ingin berkongsi? Saya sukar untuk memahami "spesis" manusia jenis sebegini.


Berguru dengan Dr AA juga banyak membuka pemikiran saya terhadap nilai-nilai keilmuan. Hubungan kami saya boleh sifatkan sangat profesional. Sebelum ini, cemburu juga dengar ada rakan-rakan yang begitu akrab dengan penyelia mereka. Tetapi, dalam hubungan kami, keakraban kami sangat berbeza.

Saya banyak belajar erti kerajinan dan kesungguhan dalam diri penyelia saya. Saya jadi malu sendiri jika saya tidak sungguh-sungguh menjalankan tugas saya. Ada tikanya, beliau sanggup lapangkan masa hujung minggu dan hadir ke pejabat untuk berbincang dengan saya tentang kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan.

Saya juga tidak malu untuk menyatakan bahawa kejayaan PhD ini adalah kejayaan penyelia saya mengurus kelebihan dan kekurangan diri saya. Saya melihat, beliau cepat menangkap kekuatan dan kelemahan saya. Benar, ada dua kali (saya sangat pasti) yang saya sangat-sangat tertekan bersama beliau dan hampir-hampir sahaja ingin kembali pulang ke Malaysia. Syukur, Allah masih memberikan saya bantuan dan bimbingan supaya tidak membuat keputusan melulu. Tidak kurang juga peranan rakan-rakan positif yang sedia memberikan buah fikiran.

Saya sedar, kejayaan PhD ini bukan satu kejayaan agung! Ramai orang telah berjaya dengan PhD masing-masing. Sekarang adalah masa untuk saya merangka strategi bagaimana untuk saya memberikan sumbangan dengan apa yang saya ada. Semoga saya akan senantiasa ingat, dari mana saya datang dan ke mana saya akan pergi! Kepada yang mengikuti laman blog ini dan mengenali saya secara peribadi, tegurlah saya andai saya tersasar dari jalanNya.

1 comment:

Unknown said...

benar..ramai manusia disekeliling yang byk membantu dalam kejayaan yg diperolehi